Khamis, September 10, 2009

Maaf! Tiada Gambar Seluar Dalam

Saya pernah dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor sebagai saksi kes bunuh berlaku di Subang Jaya, Selangor suatu ketika dulu. Mangsa, lelaki Melayu, maut akibat kecederaan parah di kepala akibat dipukul menggunakan senjata dipercayai besi pengunci kereta, steering lock.

Bagaimana saya terbabit sebagai saksi? Selepas siaran ‘999’ saya menerima nombor pendaftaran kereta melalui pesanan ringkas, SMS. Berpandukan maklumat SMS itu, polis berjaya mengesan kenderaan dikatakan berada di lokasi ketika kejadian. Hasil siasatan, polis berjaya memberkas suspek.

Di kamar perbicaraan, saya disoal peguam suspek, Gobind Singh Deo. Mujur saya tenang menjawab setiap soalan dikemukakan biarpun kes itu sudah berlaku lebih setahun. Mungkin ada bertanya, bagaimana saya mampu mengingat butiran terperinci rakaman kenyataan dicatat polis lebih 365 hari? Jawabannya, setengah jam sebelum dipanggil memberi keterangan, pegawai penyiasat memberikan saya kenyataan bertulis terbabit untuk dibaca. Itu satu daripada kes dikendalikan peguam dikenali ramai, Gobind.

Kini Gobind, peguam pemerhati keluarga Teoh Beng Hock, TBH. Terbaharu, beliau memanggil T. Sivanesan sebagai saksi inkues kematian TBH di Mahkamah Koroner, Shah Alam, Selangor. Sivanesan berkata seluar dalamnya terkoyak di bahagian depan dan punggung akibat didera pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Seluar dalam koyak itu dikemukakan kepada mahkamah.

Padanlah, di Malaysia, jurugambar tidak dibenarkan merakam sebarang gambar di kamar mahkamah sewaktu perbicaraan berlangsung. Jika boleh, pasti banyak gambar ‘pelik’ dirakam lensa jurukamera.

Terlintas di fikiran, mengapa pelukis dibenarkan melakar gambar hitam putih atau berwarna di kamar sama?

* Terkini, kerajaan Indonesia menjamin keselamatan rakyat Malaysia di negara mereka.

Rambut Sama Hitam

Sedar tidak sedar, blog ini kini mencatatkan lebih 350,000 hits dan hampir 600 pengikut, followers. Terima kasih kepada semua sudi membaca nukilan saya selama ini.

Sebenarnya bukan enteng menulis. Setiap nukilan harus diteliti terlebih dahulu sebelum dimuatkan di blog ini. Tambahan pula latar belakang pembaca berbeza, antaranya suri rumah, guru, juruterbang, pelajar, peguam, pramugara, jurutera, peniaga dan ahli agama.

Jadi, saya tidak pernah berasa hairan jika ada antara entry ditulis mendapat kritikan hebat, cemuhan mahupun pujian. Bak kata pepatah Melayu, rambut sama hitam, hati lain-lain. Saya akur, itu semua fitrah kejadian manusia. Ramai pembaca gemar melontarkan komen mereka. Pada masa sama, blog ini mempunyai silent readers, kelompok suka membaca tetapi tidak bersuara.

“Hai! Raya kali ni, tak ada sofalah rumah kita,” kata isteri berseloroh.

Saya hanya tersenyum. Sebenarnya, bukan tidak ada sofa. Cuma sofa 2-seater berwarna hitam di rumah saya koyak. Bukan akibat digunting anak, sekadar bukti jelas hampir 23 jam setiap hari saya duduk di sofa sama. Mungkin punggung tajam, kata orang tua.

Baik. Mari kita bercerita mengenai Hari Raya Aidilfitri.

Hari lebaran pertama saya akan bertugas mengendalikan rancangan siaran langsung Malaysia Hari Ini di Saloma Bistro, Kuala Lumpur. InsyaAllah saya dan keluarga akan pulang berhari raya di Tanjung Malim, Perak pada hari raya kedua sebelum bertugas kembali mengendalikan program sama pada raya ke tiga, empat dan kelima.

Saya percaya pembaca juga mempunyai agenda tersendiri menyambut hari raya bersama keluarga. Bagi pembaca di perantauan mungkin sambutan hari lebaran agak berbeza. Saya pernah melaluinya, 20 tahun lalu. Tetapi usah bersedih, menyambut hari raya bersama rakan mungkin sedikit sebanyak mengubat kerinduan kepada keluarga. Biarpun mungkin hanya makan burger dan french fries tanpa ketupat rendang. Barangkali.

Kata orang putih, ‘sharing is caring’. Jom kongsikan agenda anda pada 1 Syawal nanti. Saya kira SEMUA pembaca setia mampu mencatat komen sepatah dua, kan?

Rabu, September 09, 2009

Rakyat Malaysia Terancam

Saya tertarik membaca komen dilontarkan pelajar Malaysia di Indonesia di entry ‘Bakar Bendera’.

“Ada sekali tu smpai konsulat m'sia bgtau suruh student2 malaysia jgn keluar rumah sgt sbb takut kena dgn org indo”

Tambahnya lagi ...

“orientasi pljr pon ade sentimen anti malaysia ble pelajar senior indo menyuruh pljr br m'sia melaungkan "batik punya indonesia. keris punya indonesia. rendang punya indonesia. malaysia ga' ada apa2"

Berikut laporan Bernama 8 September 2009.

‘The Malaysian Students Department here ( Jakarta ) has advised Malaysian students in Indonesia to take care following reportedly rising anger among a small group of people over slanderous reports by the media of late’

Manakala blog ‘arezeo’, klik di sini, melaporkan 50 aktivis dari Benteng Demokrasi Rakyat di Indonesia melakukan ‘sweeping’ ke atas rakyat Malaysia melalui Jalan Diponegoro di Jakarta Pusat. Mereka memakai ikat kepala berwarna putih dan bersenjatakan buluh runcing.

Berikut laporan Kabar Nasional, Jakarta (tvOne) pada 8 September 2009.

‘Istana mengimbau masyarakat Indonesia tidak melakukan sweeping terhadap warga Malaysia untuk mengungkapkan ketidakpuasan terhadap Malaysia. “Kalau ada ketidakpuasan harus dilakukan secara hukum,” kata Andi Mallarangeng, juru bicara Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, di depan Istana Negara’

Nampaknya, Presiden Indonesia mengambil langkah bijak. Mungkin beliau terfikir bagaimana andai rakyat Indonesia di Malaysia di ‘sweeping’.

Berapa banyak ‘penyapu’ perlu digunakan?

Selasa, September 08, 2009

Kemelut PEKIDA

Saya pernah menulis berhubung Persatuan Kebajikan Dan Dakwah Islamiah Malaysia, Pekida, klik di sini.

Menurut portal Pekida, persatuan itu didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan Peraturan 1984 pada 10 Mei 1983. Antara tujuan penubuhan Pekida, memperkukuh perhubungan sesama Melayu dan membanteras kemungkaran. Kini persatuan sama dilapor mempunyai lebih 50,000 ahli di seluruh negara.

Justeru, tidak hairan, kini, dari Johor hingga ke Perlis nama Pekida sering menjadi sebutan. ‘Ayahanda’, ‘Abang long’, ‘Adik’, antara terma diguna melambangkan seniority ahli. Selain golongan tua, dewasa dan remaja, pelajar sekolah turut mendakwa menjadi ahli persatuan sama.

Kemudian muncul pula kumpulan ‘Tiga line’. Majoriti mendakwa ahli, seringkali dikaitkan dengan kegiatan 'menjaga' pusat hiburan, menarik kereta, memeras ugut pemilik premis perniagaan, kaki perempuan dan kaki botol.

“Kalau di kalangan masyarakat Cina dan India, samseng paling top, Geng 18 dan Geng 21,” ujar pegawai polis saya hubungi.

Manakala di kalangan masyarakat Melayu, selain Tiga line wujud kumpulan 30, 77 dan banyak lagi kumpulan bernombor. Saya cuba mencari jawaban sebenar. Adakah kumpulan antaranya seperti Tiga line, 30, 77, serpihan Pekida?

Berikut komen penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim di entry 20 Januari 2009.

“Kepada ahli PEKIDA di jalan benar, selagi seseorang boleh berkorban untuk ummahnya, ia perlu diteruskan”

Pagi tadi saya meminta penerbit 360, Mohd Raziff Zulkafli berkunjung ke Ibu Pejabat Pekida di 69E, 4A, Bangunan KOBENA, Jalan Raja Abdullah, Kuala Lumpur.

Saya ingin tahu komen Pekida berhubung pelbagai dakwaan buruk dilontar masyarakat berhubung kegiatan sebahagian 'ahlinya'. Selain itu, adakah benar Tiga line dan kumpulan bernombor lain serpihan Pekida? Atau sekadar menjaja nama Pekida, persatuan bermotokan, ‘amal makruf nahi mungkar’?

Jika kepemimpinan tertinggi Pekida sudi berkongsi maklumat, saya peruntukkan satu episod 360 bagi tujuan itu. Biar masyarakat faham, ‘kemelut’ berlaku agar pergolakan terkini tidak berterusan menjadi api dalam sekam.

Nyawa Hak Tuhan


“Pak cik, saya baru tinggal di rumah anak yatim”

“Nama siapa?,” tanya saya.

“Siti,” balasnya ringkas sambil berdiri di sebelah saya.

“Mak mana?,” soal saya.

“Mak saya sakit barah paru-paru, dah setahun duduk hospital, tak boleh bangun. Mak tak boleh jaga saya,” anak berusia 9 tahun itu menundukkan kepala.

“Tak apalah, duduk rumah anak yatim, kawankan ramai,” jelas saya.

“Kalau mak mati macam mana?,” ujarnya perlahan.

Airmata jernih kelihatan bergenang di kelopak mata anak kecil bertudung biru itu. Saya sama sekali tidak menduga ayat sebegitu mampu terpancul dari mulutnya. Apatah lagi kami baharu bertemu buat kali pertama. Saya terkedu, pantas mendakapnya. Dia masih terlalu kecil untuk bertanyakan soal mati.

“Kita semua akan mati, nyawa manusia, hak tuhan, bukan hak kita,” saya cuba menenangkannya.

Siti terdiam.

“Pak cik, boleh sign autograph?,” pintanya perlahan.

Pantas saya mencapai pen dari poket beg sandang dan menandatangani buku kecil dihulurkan Siti.

“Pak cik ni pelakon cerita apa ya?,” celah anak kecil manis berjalan menghampiri saya.

Namanya, Zalfinni Norbellina Zaidi, 11 tahun.

“Ish! Banyak filem pak cik berlakon. Dulu, tahun 1995, filem Sembilu dengan Ziana Zain, terbaharu sekali masih main di panggung wayang, Transformer,” balas saya selamba.

“Pak cik tipu!,” jerit Zalfinni, Siti dan ramai rakan mula mengelilingi saya sambil tertawa riang.

Zalfinni, 11 tahun, antara anak yatim, kematian ayah. Dia dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah dan kini belajar bersama rakan lain di Sekolah Kebangsaan King George ke-V di Seremban.

Terima kasih kepada Avillion Admiral Cove, Port Dickson, Negeri Sembilan kerana sudi mengundang 360 berbuka bersama mereka.

Monyet Tersenyum

Pertama kali bertemu, dia memperkenalkan dirinya sebagai ‘Black’ kepada saya. Black mendakwa antara penarik kereta berpengalaman di Petaling Jaya, Selangor.

“Percaya atau tidak, guna duit tarik keretalah saya membesarkan anak saya,” ujarnya.

Mulut lelaki berkulit gelap mendakwa menetap di Kota Damansara terbabit, manis bak gula. Dia juga bijak berceloteh sekaligus mampu menyakinkan ramai kenalannya.

***

“Dulu masa abang buat cerita fasal penarik kereta dalam ‘360’, dia kata abang kurang ajar. Sekarang saya tahu dia tu kurang ajar sebenarnya,” kata Tom.

Tom, 25 tahun, anak kelahiran Umbai, Melaka, pemilik kereta Satria Neo berwarna kelabu, MBK 5111, dibeli pada tahun 2007. Bayaran ansuran bulanan keretanya, RM580. Bagaimananpun sejak berhenti kerja sebagai pembeli emas terpakai, dia gagal melangsaikan bayaran ansuran kereta selama 4 bulan.

“Black datang tarik kereta saya. Tapi kereta tu dia tak masukkan kedalam stor untuk serah kepada Ambank. Katanya, biar abang jaga kereta awak dulu sampai awak ada duit boleh bayar kepada bank,” ujar Tom.

“Lepas itu?,” celah saya.

“Dalam bulan April tahun ini, Black kata ada ‘pembeli’ nak kereta tu, kira dia sambung bayarlah. Black bagi saya RM500, saguhati, kemudian dia minta IC saya tapi bila saya minta photocopy IC pembeli, dia kata, petang nanti abang bagi. Sampai sekarang, kereta tu tak tahu di mana, Black pun hilang sekali, bila call tak angkat,” jelasnya sugul.

“Bila check dengan bank, ‘pembeli’ tu bayar ansuran bulanan bank tak?,” soal saya.

“Tak,” balas Tom.

Kesilapan Tom, dia tidak menukar hak pemilikan keretanya kepada ‘pembeli’. Kereta Satria Neo itu kini digelar, ‘kereta piang’, kereta hilang dan digunakan orang tanpa identiti secara percuma. Black pasti tertawa gembira, menerima imbuhannya daripada ‘pembeli’ terbabit biarpun mungkin sekadar RM2,000 sahaja.

Black kini dipercayai berada di Ipoh, Perak. Justeru, berhati-hati, jangan pisang berbuah dua kali kerana pasti ada monyet tersenyum gembira.

* Gambar: Tom

Isnin, September 07, 2009

Isteri Ke-3 Penarik Kereta

Kita kerap membaca kisah gadis tempatan didakwa dilarikan atau diculik.

Jika benar seperti dilaporkan, paparan muka hadapan Harian Metro hari ini menarik perhatian saya. Di Taman Sidam Kiri, Sungai Petani, Kedah, Amira Azua Mohamad, 18 tahun dilapor dilarikan lelaki penarik kereta berusia 40 an pada 1 Ogos lalu. Ayah Amira, Mohamad Hussin, 51 tahun terkejut apabila dua isteri lelaki terbabit datang ke rumahnya memaklumkan Amira telah bernikah dengan suami mereka di Thailand. Mohamad yakin anak remajanya itu diculik sekaligus dipaksa menjadi isteri ketiga lelaki terbabit.

Sehubungan itu, 6 Ogos lalu, dia membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Petani dan Pejabat Ugama Islam Daerah Kuala Muda. Lebih menarik, Amira juga membuat laporan polis di balai sama.

Saya kerap mengikuti perkembangan kes culik di negara kita secara terperinci. Malah dalam perbualan dengan beberapa pegawai dan anggota polis terbabit dalam siasatan kes culik berjaya diselesaikan, didapati majoriti mangsa dikurung sebelum dibunuh atau dibebaskan. Setiap kes culik juga membabitkan tuntutan wang tebusan, samada berjumlah ribuan atau jutaan ringgit. Tidak pernah dilaporkan mangsa culik sempat membuat laporan di balai polis.

Justeru, kita harus bijak membezakan di antara kes remaja dipujuk dan rela lari mengikut teman lelaki berbanding kes remaja diculik.

Kepada pembaca mempunyai anak perempuan remaja, sayangi dan jaga mereka sebaik mungkin tetapi usah terlalu mengongkong. Jiwa terkongkong mampu memberontak dan mengundang mereka melakukan perkara di luar jangkaan keluarga.

* Gambar ehsan Harian Metro

* Eiffel Tower 'berpindah' ke Italy, bukan di Perancis lagi. Berita gempar di blog Hazrey, klik sini