

Selasa, 3 Jun lalu, saya dipasangkan bersama Ally Iskandar Mardzi mengendalikan Malaysia Hari ini.
“Encik Ally Iskandar, apa khabar?”
“Baik. Encik Mazidul Akmal Sidik,” cara biasa kami bertegur sapa.
Barangkali ramai orang berasa pelik dengan cara itu tetapi tidak saya dan Ally.
Pada jam 7.20 pagi kami mempelawa penonton berkongsi kisah berhubung isu gores dan menang, banyak panggilan masuk kami terima.
“Next caller, perempuan. Huh! Banyak calls masuk ni,” kata penerbit pagi itu, Alfian Kaus melalui ear piece kami pakai.
“Barangkali ramai wanita gemar berkongsi pandangan apabila Ally menjadi perantara,” bisik hati saya.
Tetapi itu tidak menghairankan, sikap keterbukaan dan jangkauan ilmu membuatkan dia cukup fleksibel bila berbicara secara bersahaja mengenai pelbagai isu.
Antara tetamu undangan pagi itu, Datuk Aziz Sattar serta pelakon dan penyanyi, Betty Banafe.
‘Sebutir beras sejuta keinsafan’ menjadi topik perbincangan secara langsung saya dan mereka.
“Objektif program dilangsungkan di Menara Kuala Lumpur pada 7 dan 8 Jun ni untuk mengumpul dana membantu golongan memerlukan sekiranya berlaku bencana di dalam maupun di luar negara macam mangsa gempa bumi di China, mangsa taufan Nargis di Mynmar,” jelas Datuk Aziz.
“Baru-baru ini sewaktu sambutan pertama Hari Seniman, saya dengar ramai artis muda dan baru tidak muncul. Boleh dapat sambutan ke program ni Datuk?,” sekadar mengusik minda anak seni berpengalaman.
“Itulah, kita pun terkilan juga dengan sikap itu. Kali ini kita cuma minta mereka datang kerana tujuan untuk membantu. Syarikat buat shooting pun mintak lah cuti sehari, andai boleh. Sumbangan mereka biarpun umpama sebutir beras, InsyaAllah Tuhan berikan sejuta ganjaran di akhirat kelak,” terang beliau.
Hati saya tersentuh mendengar kenyataan itu. Dua kali beliau menyebut nama Mawi dengan harapan dia sudi turut serta memeriahkan program 12 jam bermula 10 pagi itu.
“Mazidul, artis boleh lelong pakaian terpakai atau jual makanan dia orang masak dan hasil jualan disumbangkan. Hidup ini macam roda, sentiasa berputar. Masa di atas kita bantu mereka di bawah,” celah Betty.
Selepas temubual saya menemui Datuk Aziz dan Betty di bilik tetamu.
“Datuk tengok engkau punya promo 360 tadi fasal hantu tu. Dia pun ada cerita juga,” Betty bersuara sewaktu saya duduk di sofa sebelah Datuk Aziz.
“Dulu saya tinggal di Kampung Saigon, Singapura. Bila bangun pagi nampak ada orang kecil jalan depan saya dalam bilik, terus tembus masuk dinding,” ujar beliau.
“Masa tu Datuk umur berapa?,” soal saya.
“6 ke 7 tahun, macam tu lah. Anggaran ketinggian lebih kurang 6 inci, badan dia warna crome, macam tu,” sambil beliau menunjuk ke arah tombol pintu.
“Seba itu bila saya dengar dulu ada budak sekolah jumpa orang kenit, saya tak hairan sebab saya sendiri pernah tengok,” sambung Datuk Aziz kini berusia 81 tahun.
Saya terdiam seketika.
“Datuk, nak tanya satu soalan,” pohon saya.
Saya lihat Betty menumpukan perhatian.
“Dulu, pelakon wanita kita berkemban dalam wayang. Berkemban ke sungai bawa kain basuhan dalam besen besar. Berkemban masa mandi. Sambil menyanyi pun di sungai pun berkemban. Tapi tak jadi isu pada ketika itu. Tapi sekarang ni kalau pelakon muda berkemban, mesti mendapat liputan meluas. Mengapa?”
Datuk Aziz terdiam, Betty juga menyepi. Berfikir barangkali.
Sebelum sempat mereka menjawab, terpancul Ally di bilik tempat kami duduk berehat.
“Ally, tadi saya tanya dengan Datuk, mengapa artis dulu berkemban orang tak kisah. Tak timbul langsung isu seksi. Tapi sekarang, kalau artis berkemban, puh! Mesti meletup. Mengapa?”
Ally diam buat seketika sebelum menjawab.

“Abang Dul, sebab ikut keadaan masa dan zaman. Time tu perempuan berkemban ni orang biasa tengok. Jadi tak menjadi kehairanan berbanding sekarang,” jawabnya ringkas.