Selasa, Jun 03, 2008

Gores dan Kalah

Saudara pembaca,

Saya berasa amat hairan, mengapa masih ramai terpedaya dengan kegiatan sindiket ‘gores dan menang’ atau ‘buka dan menang’ atau apa sahaja panggilannya. Mungkin anda juga memikirkan hal sama.

Pihak media cetak dan elektronik di negara kita berulangkali memaparkan kes menyebabkan ramai kerugian ribuan ringgit. Pada hemat saya, tiada siapa mampu menyanggah kenyataan itu.

Saya sendiri sewaktu bertugas sebagai wartawan 999 pernah membuat liputan kes sama di Kedah dengan bantuan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP. Saya melihat wajah sesal dan marah khususnya di kalangan orang Melayu mendakwa ditipu.

Persoalannya, adalah mereka benar-benar ditipu? Atau pihak sindiket sekadar memanipulasi sifat tamak mereka? Soalan sama dibangkitkan seorang daripada pengirim emel dihantar terus kepada saya, Noraziah namanya.

Modus Operandi, MO sindiket amat mudah tetapi licik. Pekerja mereka kebanyakannya remaja berusia antara 18 dan 22 tahun kerap ‘diletakkan’ di lokasi cukup strategik. Antaranya di depan institusi kewangan dan di kawasan tempat meletak kereta pusat membeli-belah ternama di seluruh negara.

Berbekalkan kupon di tangan, mereka menghampiri orang ramai secara rambang. Jika ada ruang mereka menggunakan peluang. Selalunya mereka bermula dengan menawarkan pelbagai jenis barangan elektrik pada harga murah, diskaun. Maklumlah, mereka tahu orang kita gemar mendengar perkataan ‘diskaun’ maka ‘diskaun’ mereka tawarkan.

Barangan ditawarkan bukan berjenama terkenal dan tidak berkualiti. Tetapi orang kita sering terpancing akibat kepetahan pekerja sindiket berkata-kata. Apakah antara barangan terbabit? Biasanya penapis air, mesin pengurut kaki dan pengisar air buah-buahan.

Saya percaya pekerja bergerak secara berkumpulan itu sudah dilatih terlebih dahulu sebelum dibenar menjalankan tugasan mereka. Mereka diajar teknik mempengaruhi dan menyakinkan orang ramai sekaligus memanipulasi sikap gemar memburu keuntungan mudah dan tamak manusia.

Sekiranya mereka mendapati individu didekati tertarik dengan tawaran itu, misi utama mereka dilaksanakan tanpa disedari. Mereka kemudian meminta ‘bakal mangsa’ menggores atau membuka kupon kononnya untuk mendapatkan hadiah lebih mahal.

Jika kupon digores atau dibuka kebanyakan orang pasti diistiharkan pemenang. Menang hadiah seperti motorsikal dan kereta bernilai puluhan ribu ringgit. Melompat pekerja sindiket, berdekah mereka tertawa, pura-pura tumpang gembira atas kejayaan ditempa. Bagaimanapun sebelum hadiah diserahkan, sejumlah bayaran wajib dijelaskan. Bayaran itu sudah pasti mencecah belasan atau puluhan ribu ringgit. Berikutan janji ditabur pihak sindiket ramai sanggup menggunakan kad kredit maupun wang tunai bagi melangsaikan wang dituntut. Fikir mereka, apa salahnya mengeluarkan wang asalkan harga kereta dimenangi lebih daripada jumlah perlu dibayar. Contohnya, bayar 30 ribu ringgit sedangkan harga sebenar kereta dianggarkan 80 ribu ringgit. Mereka masih untung, itu tanggapannya sewaktu bisikan tamak dihembuskan ke telinga berulangkali.

Apa terjadi dengan barangan elektrik? Kerapkali syarikat sindiket menawarkan khidmat menjual barangan itu kononya kepada pelanggan sedia ada sekiranya tidak diperlukan. Maklumlah, menang kereta, apalah gunanya pengisar air buah-buahan?
Apa bakal terjadi selepas itu? Mimpi ngeri jawabannya. Pihak sindiket akan mengelak dihubungi. Talian telefon bimbit tidak berjawab. Jika pejabat dihubungi, pelbagai helah dikemukakan pekerja menjawab panggilan. Bersua muka jauh sekali.

Maka tersedarlah mereka daripada mimpi. Kereta diidam hanya sekadar janji manis, ketika itu dirasakan teramat pahit. Baru tersedar wang puluhan ribu ringgit hangus begitu sahaja, sia-sia.

Maka, tindakan lanjut dilaksanakan, membuat aduan kepada pihak polis. Pihak sindiket bijak, setiap pembayaran disertakan resit melambangkan transaksi sah. Justeru ramai mangsa malu alah, tersedar sikap tamak memakan diri. Pada masa sama, polis tidak mempunyai sebarang kuasa menahan pekerja remaja terbabit, hanya sekadar boleh menasihatkan mereka beredar agar tidak 'mengganggu' orang ramai.

Kepada mangsa lebih bersemangat, mereka akan melanjutkan laporan kepada KPDNHEP tanpa menyedari pihak terbabit sebenarnya tidak memiliki kuasa untuk memberhentikan operasi sindiket. Merayu kepada pihak tribunal bagi mendapatkan kembali wang tetapi belum tentu berhasil. Ketika itu syarikat sindiket sudah bertukar nama dan berpindah lokasi. Maka meloponglah mangsa menggigit jari.

Ringkasnya, jangan mudah terpedaya. Jika terlihat kelibat pekerja sindiket, jauhkan diri. Itu langkah terbaik.

360 bakal mengupas isu ‘gores dan menang’ dalam episod 11 Jun nanti.

12 ulasan:

  1. Saya tertarik dgn posting saudara. Yang ini jelas penipuannya tetapi apa bezanya program TV saperti Fulus Mania dan sebagainya. Bukankan ia satu penipuan juga, tapi 'dihalalkan' kerajaan. 'Peserta' ke 50 shj yang mempunyai peluang. Pertama, malang lah nasib orang petama hingga 49 dan orang yang ke 51 keatas kerana sudah pasti 'wang' mereka 'dicuri'. Kedua betul ke peserta ke 50 atau Syarikat TV tunggu sampai 'kantung' dah penuh ?

    Saya berpendapat Syarikat TV pun sama melakukan penipuan dan ini mesti diberhentikan.

    BalasPadam
  2. Salam,
    Saya rasa isu ini sering kali berlaku.Saya juga salah seorang daripada mangsa. Saya didesak untuk membayar sehingga RM12 000 untuk menyertai skim BELI & MENANG ini. Namun, nasib baik adanya Google untuk membenarkan saya memperoleh maklumat tentang kegiatan Gores dan Menang dan seumpamanya, dan terjumpa di www.consumer.gov.my.Dapatlah saya balik RM 12 000 melalui TRIBUNAL PENGGUNA.

    Taktik-taktik mereka hanyalah 2:
    1) Mendesak pelanggan membayar wang secara tunai @ kredit dengan menjanjikan hadiah-hadiah lumayan. Dan Mereka dilatih untuk terkinja-kinja untuk menarik perhatian kita.

    2) Menjanjikan barangan yang dibeli boleh dijual kembali kepada supplier lain dan akhirnya, mengatakan, supplier itu kemalangan dan tidak dapat membeli. Mereka akan berpakat untuk bermain dengan masa dan kemudian menutup cawangan dan membuka cawangan di tempat lain.


    Saya tidak pernah menyalahkan sesiapa ketika itu, tetapi, setelah membaca satu surat akhbar, BERITA HARIAN, di mana muka hadapan besar-besar menganai "GORES DAN MENANG DIHARAMKAN OLEH KERAJAAN". Ketika itu, lega hati saya.


    Namun, apabila dibelek akhbar itu di muka akhir(Bahagian Pertama),terdapat iklan syarikat Gores dan Menang sebanyak 2 halaman.

    PERSOALANNYA, Bagaimana isu ini dapat selesaikan sekiranya media akhbar sendiri membenarkan jenis pengiklanan sebegitu?


    Inilah yang membuatkan masyarakat terpedaya dengan taktik @ strategi mereka.


    Bagi saya, sepatutnya, akhbar perlu juga pandai memilih jenis pengiklanan yang disertai oleh syarikat-syarikat walaupun mereka mampu membayar kos pengiklanan. Kerana inilah, masyarkat, terutamanya melayu, yang mempercayai media selamanya, menjadi mangsa keadaaan.


    Memang benar, tidak boleh disalahkan media. Saya tidak mengatakan begitu. Cuma dengan adanya pengiklanan sebegitu, membuatkan orang ramai lebih mempercayai tentang GORES DAN MENANG.


    Itu sahaja yang mampu saya berikan sebagai pandangan. Bagi saya untuk memerangi isu ini, inilah langkah-langkahnya:

    1) Hentikan pengiklanan syarikat GORES DAN MENANG di akhbar-akhbar

    2) LHDN sepatutnya memaparkan nama-nama syarikat MLM @ Gores dan Menang di akhbar untuk memberi "GUIDE" kepada masyarakat supaya berjaga-jaga sekiranya didekati oleh kaki-kaki kelentong itu..

    Sekian, terima kasih.

    -M Izdihar-
    TTDI

    BalasPadam
  3. " Curiosity kills! "

    Samada percaya atau tidak, kebanyakan mangsa yang 'terkena' disebabkan sikap ingin tahu mereka yang akhirnya merugikan diri sendiri.

    Saya menonton MHI pagi ini dan apa yang boleh saya katakan rata-rata pemanggil lah subjek yang memberi respons kepada 'umpan' ajensi2 gores dan menang ini.

    Saya berasal dari felda dan gejala ini pernah melanda kawasan saya.

    Justeru itu saya menyarankan agar kempen kesedaran 'Gores dan Kalah' ini diperhebat di kawasan luar bandar kerana di sini masyarakat lebih mudah 'termakan' dengan janji2 manis.


    Dlm MHI pg tadi juga saya menonton Dato' Aziz Satar n Betty Banafe bersama Mazidul.

    Betul dan setuju, tindakan artis membuat derma/persembahan amal amat dihargai dan membawa banyak kebaikan.

    Terpanggil dengan itu, idea ini saya lontarkan kepada semua untuk dihalusi.

    Mengapa tidak ditubuhkan sebuah pusat simpanan makanan bagi kes2 bencana alam atau tragedi. Apabila berlaku, kita tidak perlu meminta kerana sudah pasti memakan masa (pengumpulan, pengiraan, penghantaran)

    Barang2 runcit /mentah juga boleh disimpan. Jika tempoh sah barangan menjadi isu, apa kata dermakan kepada rumah2 anak yatim, balu2, ibu tunggal, atau maahad2 tahfiz.

    Mungkin pendapat ini sekadar pendapat. Namun ada kesamaan dengan pendapat Pak Aziz:
    Sebutir beras, mungkin nilainya segantang di syurga di mata Nya

    BalasPadam
  4. Saudara, pagi ini saya menonton MHI, saya amat tertarik dengan topik Gores & Menang. Daripada pengalaman yang penonton ceritakan, sebenarnya mereka yang memberi peluang kepada golongan-golongan ini untuk mengambil kesempatan kepada diri mereka. Sudah tahu modus operandi golongan tersebut, lagi dijemput, lagi dilayan karenah mereka, lagi disua muka untuk menghadap mereka.

    Perkara begini juga pernah berlaku kepada saya. Menerima panggilan ke talian rumah mengatakan syarikat mereka ingin menghadiahkan barangan perabot. Alasan mereka, adalah kerana ingin mengurangkan cukai jualan/pendapatan syarikat. Kata saya, sekiranya itu alasan mereka, berikan hadiah tersebut kepada mereka yang lebih memerlukan seperti rumah anak yatim, kebajikan masyarakat dan sebagainya. Puas mereka memujuk, saya tetap tidak berminat dan terus meletakkan telefon.

    Sewajarnya masyarakat kita harus celik, bukan sekadar celik yang tidak buta, tetapi celik hati dan pemikiran. Tiada apa yang percuma di dunia ini melainkan sumber-sumber pemberian tuhan.

    Satu perkara lagi yang saya masih tidak puas hati adalah peraduan/pertandingan secara SMS. Tidak berapa lama dahulu fatwa telah dikeluarkan mengharamkan pertandingan sebegini. Seawal waktu, masing-masing akur dengan fatwa tersebut. Tapi lama-kelamaan fatwa entah ke mana, pertandingan sedemikian semakin berleluasa. Malah ada pertandingan yang baru pula muncul seperti Fulus Mania oleh ASTRO & Teka-Teki oleh TV3. Peserta harus menjadi pemanggil atau penghantar SMS yang dinyatakan. Satu panggilan & SMS sahaja bernilai tak kurang dari RM1. Entah berapalah keuntungan yang dikaut oleh mereka. Yang tertipu & terpedaya adalah penonton yang rata-ratanya adalah dari golongan anak remaja.

    BalasPadam
  5. Saya terdengar tuan menyebut address blog tuan dlm MHI, sampai ofis terus saya cuba. Alhamdulillah terus dapat.

    Benar apa yang tuan maklumkan itu. Masyarakat kita seringkali terpedaya. Apa nak buat, masing2 nak senang cara express.

    Nanti saya nak kongsi dengan tuan perjalanan saya ke pusat latihan kemahiran di mana belia-belia kita dilatih dengan kemahiran dengan harapan, menjadi tenaga kerja mahir negara.

    Malangnya,... nanti kita berhubung.

    zakaria
    UTM Skudai

    BalasPadam
  6. gores, kalah dan sesal kebanyakannya melibatkan kepada kaum melayu walaupun terang terang tersiar di akhbar .

    Adakah kerana sifat tamak dan terburu buru atau mahu mencuba nasib?

    BalasPadam
  7. satu lagi tektik dia orang bila suami tak ada dirumah... tahu-tahu ada benda yang orang rumah beli yang tak tahu untuk apa... ada ke dia beli tilam elektrik yang boleh panas... kita bukannya dikhutub utara nak panaskan tilam!....

    ini satu lagi kes nak tipu orang... terima emel dari UK yang suruh kita beli bahan suntikan kuda dari pembekal dimalaysia untuk seorang pembeli yang kononya biasa beli dengannya dengan yang lebih mahal...dia tak lagi boleh membekalkannya untuk pembeli tu. pembeli akan datang ke malaysia untuk membeli dari kita dengan harga 2x kali ganda harga bahan tu dimalaysia... keuntungan darinya dikira kemudian.... kalau tak fikir panjang memang kena.... tak boleh ke mazidul buat trap kepada kes-kes macam ni? yelah dengan kerjasama polis.

    BalasPadam
  8. tempoh hari saya ada terdengar tentang isu gores dan menang ni kat MHI dan isu ini juga menjadi tajuk utama dalam perbincangan radio... spt menjadi isu hangat kini... isu ni membawa saya mengimbas kembali pengalaman ayah saya pernah membawa seorg gadis cina ke rumah setelah gadis tersebut mengesahkan ayah saya & bakalpemenang gores dan menang kompeninya & bakal menerima sebuah kereta tetapi dengan syarat membuat bayaran proses...

    seriously, kalau dengar apa minah tu cakap, macam menang betul2, siap dia tunjuk keratan akhbar dari akhbar tempatan yang menunjukkan beberapa org pelanggan memang pernah menang kereta... masa tu, mama saya berteas tak caya, jadi gadis tu call bos dia, nak ajak mama dan ayah saya pergi ke pejabat mereka malam tu juga untuk melihat semua bukti2 bertulis...sepanjang perbualan tue, saya yang risau ayah saya ni di tipu & takut apa2 jadi, so saya ambil kamera saya dan merakamkan video penjelasan amoi tu dari sisi meja (curi2 ambil) dan mengambil beberapa keping gambar keratan akhbar tersebut...

    alhamdulillah, mama saya nie keras orangnya, w'pun pada asalnya mama hampir2 mengikut utk menemankan ayah saya ke pejabat mereka (mama taknak tapi nak puaskan hati suami)... then saya adik badik kata, kalau ayah nak kereta sangat, nanti kami keje kuat2 belikan kereta... jadi kemudian,mama tak jadi pergi dan berkeras utk tidak dan ayah saya takut skit mama bebel2...so, selamat... hehe...

    sekarang,bila menonton video tue, apa yg terlintas dalam fikiran saya, amoi tu yg masih student; camne dia boleh terjebak?sedar atau tidak? atau dia juga ditipu? inikah cara mudah student kini utk yuran pengajian??? then tertanya2 apa akan jadi jika ibu bapa saya jumpa 'bos' amoi tue malam tue... persoalan yang menakutkan kami sejak malam tersebut....

    BalasPadam
  9. Lepas menonton 360 tadi, Sdr Mazidul ada menyebut blog saudara dan saya cuba-cuba cari dan terjumpa juga.
    Isu gores ni berleluasa juga di Kuching khasnya di pusat membeli-belah atau kawasan sekitarnya. Awal-awal perkenalan, kita dah dijanjikan mendapat hadiah percuma yang akan diberikan selepas mendengar sampai habis penerangan mereka.Lampu suluh, bekas makanan dan lampu meja mini adalah beberapa bentuk hadiah yang pernah saya dapat. Yang menariknya semua hadiah tersebut mempunyai logo dan nama syarikat mereka. Oleh kerana taktik mereka ni sudah banyak kali saya baca di akhbar, maka tak mudahlah saya terjerat. Pendedahan 360 akan hal ini amatlah elok supaya lebih ramai yang sedar khususnya golongan yang kurang membaca akhbar.

    BalasPadam
  10. Salam Abg Mazidul,
    Sy rasa citer gores&menang ni cam dah patut lama berkubur dr sanubari masyarakat sbb ia bkn benda baru. Dlm business siapapun leh amik kesempatan tp yg herannya kenapa pengguna sendiri dah tau tp masih taknak amik pengajaran..apa2pun jgn cepat terpedaya hanya kerana nak untung cepat. Saya rasa isu yg masih berlegar skrg ni adalah taktik penipuan dan menjurus kpd perjudian iaitu peraduan SMS..kenapa sy cakap perjudian sbb dia cam unsur2 'main tikam'. Semlm sy ada byk idea nk diutarakan kt abg mazidul tp tetiba harini blank plaks..Ok..Salam.

    BalasPadam
  11. lahai mazidul, gores dan menang ni saya dah kena banyak kali

    1999, diorang datang rumah... pendek kata.... kena paksa rela beli set pinggan mangkuk yang berharga RM350. Tak apalah... nak hadiah kat emak.. tapi harga sebenarnya cuma RM150 satu set.

    Kali kedua, 2001. Suruh pergi collect set Hi-Fi kat office diorang kat bandar sg petani... saya pergilah... diorang nak pekena set Hi-Fi kokak yang nilainya tak sampai seribu pada harga RM5000. Saya selamba rock kata saya tak mau.. dan keluar dari office mereka.

    Akhir sekali, 2005 jam 10 malam... mereka buat 5 tawaran hadiah. No 1 Naza Ria, No 2 Waja, No 3 Kelisa, No 4 Set Peralatan Rumah, No 5 Set Peralatan Elektrik. Pendek kata, mereka meloncat-loncat bila saya dikatakan dapat set peralatan electrik...

    saya tanya, barang apa? oooo.... alat mengurut, kerusi urut, urut tapak kaki, alat yang boleh urut seluruh badan (ikut suka hati nak tekan kat mana)... harganya RM5300.

    oleh kerana ada kerusi urut, saya pun bagi cek kat dia. tapi saya pesan, cashkan tengahari sebab jantung saya rasa lain macam.

    malam tu, saya terfikir, saya dah terkena ni....
    so, saya bagitau kat kawan saya yang kebetulan kerja kat bank, jangan masukkan apa-apa cek saya hingga saya sampai pagi itu.

    sesampai di bank, kawan saya bagi tau, budak tu masuk sebaik saja pintu bank di buka. tapi, budak tu dah tak ada... balik office dia, mengadu sebab cek tak boleh cash. saya call mereka dan paksa dia tunjukkan saya hadiah-hadiah lain dari no 1 sampai 4 yang dia sebutkan pada saya pada malam tu, baru saya release cek tu. atau saya buat police report... mereka kelam kabut lebih setengah hari... kerana tak dapat tunaikan permintaan saya. kerana mereka tahu bahawa saya sudah tahu mereka menipu. tambah teruk, barang mereka ada pada saya, tapi cek saya tak release.

    akhir sekali... dia pulangkan cek saya.... ambil kesemua barang yang ditinggalkan pada malam itu, dan hadiahkan saya dua alat urut free... (lahai... low quality nyer). so, saya betul dapat gores dan menang... selamat RM5300.

    BalasPadam
  12. ya..salam sejahtera semua..saya rasa semua itu pokok pangkalnya daripada kita sendiri jika didatangi orang orang gores dan menang buat tak tau jer jangan layan gerenti dia blah atau kita buat wajah sombong je!kalau kita yang berbadan gagah perkasa tentu dia pikir dua kali untuk mendekati kite ! haaa..haaa!

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.