Jumaat, Jun 06, 2008

Biasalah Itu ..

Tengahari 5 Jun lalu saya ke Taman Tun Dr Ismail, TTDI Kuala Lumpur menjelaskan bayaran bil Celcom.

“Bos, bila you free kejap lagi kita pergi makan. Last time kita makan, bil lupa nak bayar, RM13.60,” mempelawa pengurus cawangan Celcom TTDI, Rusli Ahmed makan tengahari bersama sebelum keluar dari bilik beliau.

“Ok,” balas Rusli, pengurus tidak pernah keberatan membantu setiapkali saya menghadapi masalah resepsi modem wireless saya gunakan.

Sewaktu berjalan menuju ke restoran menghidangkan masakan Melayu selang 5 kedai dari Celcom, saya terpandang lelaki sedang duduk di kerusi kecil membaiki kasut. Saya berhenti dan berdiri di hadapannya.

“Encik orang mana?,” saya menyapa.

Dia kemudian mendongak dengan wajah kehairanan.

“Bukit Tinggi, Indonesia”

“Dah lama repair kasut sini?,” soal saya lagi.

Lelaki saya anggarkan berusia lewat 30 an itu tunduk sambil memaku getah tumit kasut wanita di tangan. Dia tidak mendongak lagi, barangkali berasa kurang selesa dengan soalan awal saya ajukan.

“Dah lama repair kasut sini?,” soalan saya ulang barangkali tidak jelas kedengaran di telinganya.

“5 bulan”

“Datang ke Malaysia, pakai visa apa?,” sekadar ingin tahu syarat orang berkelana.

Dia hanya diam membatu.

“Visa pelancong?"

“Ya. Sudah 3 tahun di sini. Tapi saya berulang-alik ke Indonesia,” panjang sedikit responnya.

Visa pelancong hanya sah digunakan selama 3 bulan sahaja. Selepas itu setiap ‘pelancong’ harus balik ke negara asal sebelum kembali semula ke negara ‘dilawati’. Itupun sekiranya benar-benar datang dengan tujuan melancong.

“Macamana guna visa pelancong boleh berniaga di sini? Bukan ke itu melanggar undang-undang negara Malaysia?,” tiada niat menekan cuma ingin mendengar penjelasan dari sumber primer.

“Biasalah itu, kita buat kerja baik bukan kacau orang,” selamba ulasnya.

“Niat tidak menghalalkan cara. Memang berniaga tak kacau orang tetapi bekerja menggunakan visa pelancong melanggar undang-undang imigrasi di negara ini,” balas saya.

“Biasalah itu. Saya cuma cari makan,” katanya.

“Encik sudah kahwin?,” pantas saya mengemukakan satu lagi soalan.

“Sudah”

“Kahwin dengan perempuan Indonesia?”

“Ya. Dari Padang,” balasnya sambil memasukkan kasut sudah siap diperbaiki ke dalam plastik putih tertulis Tesco.

“Isteri pun guna visa pelancong? Dia kerja mana?”

“Biasa lah itu, visa serupa saya. Dia kerja jahit baju,” ujarnya.

Menurutnya dia tinggal menyewa di Kampung Kayu Ara, Petaling Jaya, Selangor dengan bayaran RM200 bagi satu bilik.

“Repair kasut satu bulan boleh dapat berapa ringgit paling banyak?”

“700 ringgit, 800 ringgit. Begitulah,” jawabnya.

“Duduk sini 5 bulan memang tak ada sesiapa kacau?,” saya ingin tahu.

“Tak ada. Polis ada datang repair kasut sama saya. Saya mahu bagi percuma tetapi dia orang tak mahu,” katanya tanpa teragak-agak.

Saya kemudian menghantar pesanan ringkas kepada Rusli.

‘Bos, saya tunggu di kedai’

Biarpun hakikatnya saya baru separuh jalan, belum pun lagi sampai ke restoran untuk mengisi perut. Tetapi, kerjaya melatih saya untuk menunggu. Menunggu jurukamera, menunggu responden dan menunggu respon pihak berkuasa.

Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya ketika menuju ke restoran.

Tidakkah ada antara pegawai atau anggota pihak berkuasa tempatan terjeling kehadiran lelaki warga asing terbabit sejak 5 bulan lalu? Sedangkan saya pernah melihat tukang kasut jalanan warga tempatan dihambat begitu sahaja.

Atau kita reda dengan alasan mereka juga mencari rezeki di bumi Allah ini lalu kita tutup sebelah mata?

Atau kita juga akan berkata, 'biasalah itu'?

4 ulasan:

  1. kalau gaji RM1000 sebulan...setahun baru RM12,000. Setahu saya jumlah pendapatan sebanyak ini tak layak bayar income tax pun. kalau sy tak silap la...

    BalasPadam
  2. Sdr Mazidul, isu pekerja asing ini nampaknya sering dipandang remeh oleh pihak berkuasa. Memang kita terlalu meraikan tetamu. Membiarkan mereka mencari rezeki di negara kita walaupun salah dari segi undang2. Bila dah lama, dah ramai, dah 'berkuasa' tentu sukar untuk menghantar pulang. Akhirnya, kita terpaksa akur. Hatta, pulau yang nyata milik kita pun akan terlepas....

    Ironinya, kita hanya berlembut dengan 'tetamu' kita. Tapi tegas dengan orang kita.

    Lihar sahaja di sektor binaan. Carilah orang tempatan, pasti sukar. Sdr Mazidul pun kalau nak repair rumah sendiri, siapa yang datang, walaupun kita deal dengan orang kita.

    Kita ada ratusan pusat latihan kemahiran. Kita keluarkan puluhan ribu setiap tahun. Tapi ke manakah mereka?

    Memang kalau seorang, nampak tiada masalah. Kalu dia hantar RM200 sebulan. Ah... tak mengapa. Dia datang tak kacau kita. Tapi kalau sudah 2.3 juta? Darab dengan RM200 sebulan, darab lagi 12 bulan. Tentu ianya mengacau ekonomi negara kita. Itu bilangan yang disahkan. Khabarnya yang tak sah sekali ganda lagi. Kita hilang billion setahun.

    Adakah orang kita malas? cerewet? mungkin ia.. tapi.. Pada saya itu hanyalah persepsi yang diadakan... bagi memberi peluang pada kontraktor tertentu terus-terusan mengambil pekerja asing. Byr gaji murah.. longgokkan stempat 10-20 orang. Pastinya mereka tak dapat lakukan pada rakyat tempatan.

    Kita sebenarnya tiada polisi jelas. Tiada undang2 yang mewajibkan kontraktor mesti mengambil pekerja tempatan yang telah dilatih. Mereka bebas mengangkut orang luar. Ada pula yang diizinkan membawa orang luar dengan keuntungan berlipat ganda.

    Kesian belia kita. Akademik mungkin tak seberapa. Belajar kemahiran dengan harapan boleh mengubah kehidupan. Malangnya... sekadar mendapat sijil sahaja. Nak jadi kontraktor kelas F, ianya dibekukan. Nak bekerja... tiada yang sudi. Akhirnya... sijil kemana... apa ke mana... jual burger dan air tebu juga akhirnya. Melihat berbagai pembangunan yang ada.. berbagai koridor.. yang mampu hanya menyapu koridor.

    Sdr Mazidul, Maafkan saya. Saya sudah lawati puluhan pusat seluruh negara. Menyedihkan.. itu sahaja yang dapat saya katakan. Lebih sedih. Tiada yang bangun membela.

    Mungkin.. 360 mampu mengubah keadaan.. atau sekurang-kurangnya.. menyedarkan banyak pihak. Wallah huallam.

    Ada kelapangan lawati www.enzek.blogspot.com

    BalasPadam
  3. tertarik dengan statement Abg Mazidul...
    'Sedangkan saya pernah melihat tukang kasut jalanan warga tempatan dihambat begitu sahaja'.

    Entah apa silapnya. Cuba panjang-panjang leher dan jenguk Medan MARA atau Aked MARA yang biasanya dibina untuk 'warga tempatan'...TIADA RUANG PARKING KERETA. Berbanding lesen yang diberi kepada 'bukan tempatan'...hmmm...biasalah tu...!

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.