Isnin, Jun 02, 2008

Kerja Gila!

“Kita selalu pergi ke banglo tu sabtu malam ahad,” kata ketua kumpulan Searchers, Suhaimi Hashim sewaktu saya menghubunginya melalui telefon.

“Nanti saya nak ikut,” balas saya kepada remaja berusia 22 tahun lebih selesa di panggil Pak Tam.

“Ok,” balasnya ringkas.

Pagi 1 Jun lalu, saya dan wartawan 360, Liza menuju ke Bukit Tunku, Kuala Lumpur bersama Pak Tam dan 4 rakan lain. Turut serta jurukamera, Nong.

Setiba di lokasi, saya lihat Nong terkial-kial mengeluarkan bateri lampu dari bekasnya.

“Masa ni la pula nak putus wayar,” suaranya geram.

“Nong, buat perlahan-lahan,” nasihat Liza lembut, sambil berdiri menyuluh bateri.

Lebih 15 minit kemudian lampu Nong menyala semula, pantas kami memasuki kawasan banglo tinggal melalui pagar roboh. Saya menjeling jam di tangan, 12.48 pagi.

Berhati-hati kami berlapan melangkah masuk ke banglo 3 tingkat itu dan mula meninjau ground floor. 4 bilik dilengkapi 2 tandas.

“Kat sini saya biasa tengok kelibat mahkluk hitam melintas,” kata Pak Tam.

“Uih! Cabulnya mulut,” bisik naluri saya.

Saya perhatikan gelagat Pak Tam, matanya liar meninjau setiap sudut. Meremang bulu roma, jantung berdebar secara tiba-tiba. Tetapi saya beranikan diri apabila melihat Liza selamba berjalan di hadapan dengan lampu suluh Surefire milik saya di tangannya.

“Boleh la relax, jalan tengah-tengah, lampu aku dia guna.Tak reti-reti bawa lampu sendiri dah tau nak masuk kawasan gelap-gelita. Aku kat belakang sekali ni terasa macam ada benda jer nak tangkap kaki,” hati saya menyumpah.

Saya rakamkan gambar menggunakan kamera digital tidak lekang di tangan. Di setiap bilik, flash saya menyala biarpun menyedari banyak gambar Orbs saya rakamkan, jari terus menekan butang kamera.

“Alamak, dia jentik telinga la pulak,” tiba-tiba Mohd Hishamuddin Majid, 40 tahun, ahli Searchers tertua bersuara sambil berlari ke arah tingkap bilik dan menjengok kepala keluar.

Nong meneruskan rakaman biarpun saya pasti dia turut berdebar apatah lagi menyedari DC light digunakan mulai malap.

“Huh! Dah dekat pukul 2. Kerja gila ni,” bisik hati saya.

Terfikir, pemilik banglo pasti membelanjakan wang banyak membina mahligai segah itu, di atas tanah barangkali berjuta nilainya. Tetapi, mengapa ditinggalkan begitu sahaja terbiar punah? Pelik.

Lantai banglo dipenuhi blok simen pecah, dawai, besi dan papan lapis bertaburan merata. Justeru saya mengatur angkah secara lebih berhati-hati. Bimbang jatuh dan tercedera.

“Baik-baik Za,” saya mengingatkan Liza kelihatan bagai tidak berperasaan, sesekali tersepak kaki sesama sendiri.

“Jom kita masuk banglo sebelah. Tapi kita orang tak pernah masuk sebelum ni. Kena buat trek sendiri sebab semak,” kata Pak Tam.

Benarlah kata Pak Tam. Sewaktu menuju ke banglo kedua kami terpaksa menyusur akar besar terjurai ke tanah membelit pokok di kiri kanan denai. Sesekali terasa angin malam menhembus tubuh mula dibasahi peluh dingin. Kami lalu di sebelah kolam renang dibina separuh siap dipenuhi air tenang dan rumput-rampai, hijau semasa disuluh.

“Blup!”

“Siapa baling batu?,” tanya Hishamuddin.

Semua mendiamkan diri dan meneruskan perjalanan.

“Jalan ni semak sangat. Patah balik, kita cari jalan dari luar. Bahaya la,” saya terpaksa mencelah sebagai orang paling tua.

“Ok. Undur slow-slow,” Pak Tam bersetuju.

Saya bimbang, lain dicari lain jumpa. Semak sebegitu mungkin ‘banglo’ bagi ular tedung Selar berbisa atau binatang berbahaya. Berang diganggu mungkin mengakibatkan maut. Tambahan pula kami tiada bersenjata. Sewaktu berjalan keluar, sesekali kaki tersadung akar kayu, pantas saya menanggalkannya selipar Crocs dan menarik akar membelit.

“Huh! Naik bulu roma ni,” kata Hishamuddin lagi semasa kami menghampiri banglo ke dua.

Saya bersetuju. Sewaktu menjeling paparan LCD kamera, saya menyedari lebih banyak gambar Orbs saya rakamkan secara rawak.

“Jom la kita keluar. Dah pukul 2.30 pagi ni,” sekali lagi saya bersuara.

Sewaktu melangkah keluar, lampu kamera Nong sudah lama kehabisan bateri. Lampu suluh Surefire saya berada di tangannya berjalan mendahului semua. Saya lihat Liza melangkah berlahan, teraba-raba bagai orang buta kehilangan tongkat.

“Nong, agak-agak la. Lampu tu suluh sini sikit, kalau tak nak jalan macamana?,” saya sedikit marah.
Nong berhenti, menyuluh jalan sehinggalah semua selamat keluar dari kawasan banglo terbabit.

Saya menarik nafas lega.

Saksikan rakaman bingkisan ini di 360 siaran 4 Jun, jam 9 malam.

Selamat menonton.


8 ulasan:

  1. ada tak kemungkinan orbs tu adalah habuk2 yang berterbangan sebab rumah tinggal biasanya banyak habuk. errr...pendapat saya la sebab biasanya orbs ni terbentuk apabila terdapat rembesan air atau habuk2 yang berterbangan terlalu hampir dengan lens.

    BalasPadam
  2. agak bersetuju dgn pendapat yatie tu...

    setakat ni abg, tempat mana lagi abg akan pergi..???

    BalasPadam
  3. Paparan yang menarik juga malam ni cuma kesahihan cerita yang ditemuduga tu sukar dibuktikan. Saya percaya hanya mereka yang pernah menempuhnya sahaja yang tahu benar tidaknya keujudan makhluk halus ini. Masyarakat peribumi Sarawak amat mempercayai keujudan makhluk halus khususnya yang masih menetap di kawasan kampung. Ayah saya sendiri pun sudah banyak kali melalui pengalaman serupa sebelum, semasa dan selepas menjadi anggota tentera. Kerana mendengar dari ayah sendiri, maka saya juga mempercayai keujudan makhluk halus ini biarpun tidak pernah mengalaminya secara peribadi.

    BalasPadam
  4. Promosi kepada hantu atau ingin memberi pendedahan hantu

    Hantu ialah Jin atau syaitan. Mereka adalah makluk yang tak boleh lihat secara mata kasar.

    Kita perlu tegaskan bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian. Kita ada kekuatan kita dan jangan takut pada hantu.

    Apakah kekuatan manusia?

    BalasPadam
  5. abang, terlepas la rancangan 360 ni gara2 beratur di stesyen minyak..

    BalasPadam
  6. buat fauzi, memanglah manusia sebaik2 kejadian.. jangan la bandingkan kita ngan hantu2 tu.. kekuatan kita ialah akal dan juga ayat2 al-Quran yang boleh dijadikan pendinding diri.. amalkanlah ayat2 tu, insya Allah dengan izinNya, kita selamat..

    BalasPadam
  7. salam mr mazidul....

    dakwaan mamat yang rakam video hantu dgn hp NOKIA 6600 tu dah lama saya tengok masa di Kulai sekitar tahun 2006... iage lambaga putih melintasi 2 budak yang sedang bergurau atas katil... cuma saya xdapat nak copy video masa tu sebab hp belum canggih lagi...

    BalasPadam
  8. sedara fauzi..

    kekuatan manusia terletak pada ketinggian ilmu dunia dan akhiratnya. serta bagaimana dipraktikkan..

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.