Ahad, Jun 08, 2008

Mayat Berikat

“Di mana?,” tanya saya kepada jurukamera, Nong.

“On the way ke Sungai Buloh, ada jumpa mayat,” balasnya pada jam 1.58 pagi 8 Jun.

Ketika itu perlawanan bola sepak Euro 2008 antara Switzerland dan Czech Republic di Basel baru sahaja berakhir dengan keputusan 0-1.

Saya tiba di lokasi kira-kira 15 minit kemudian. Mayat ditutup menggunakan kertas suratkhabar terbaring di tepi jalan di bawah jejantas Lebuhraya Utara-Selatan.

Dua pekerja Hospital Sungai Buloh berdiri di sebelah saya.
“Encik, ini jalan apa?”

“Jalan Hospital. Tu hospital, 200 meter dari sini,” jelas seorang daripada mereka.

“Padanlah ambulan lalu-lalang kat jalan ni,” bisik hati saya.

Ketika kertas suratkhabar diselak, saya rakamkan gambar. Mayat diikat di mulut, tangan dan kaki. Terdapat kesan darah kering pada hidung dan telinga mangsa, bibir bengkak akibat ikatan di antara dua bibir. Si mati memakai t-shirt berlengan panjang serta berseluar jeans.

Jurukamera NTV7, Maziah Seman atau dikenali dengan nama CJ turut sibuk mencari sudut sesuai merakamkan gambar mayat terbabit.

“Dah berapa lama dah awak ambil gambar?,” soal saya sebaik mayat ditutup semula.

“Dekat 4 bulan bang,” balasnya sambil mengukirkan senyuman manis.

Pada hemat saya, gadis bertudung berusia 19 tahun itu memiliki semangat kental. Tiada riak gentar di wajahnya. Saya percaya dia benar-benar minat dengan kerjaya diceburi. Kemahirannya banyak dipelajari daripada Nong, jurukamera 999 dan 360. ltu saya tahu.

“Bagus budak ni. Malam minggu, remaja lain mungkin sedang leka berhibur menonton bola sepak atau lena diulit mimpi di rumah, dia selamba ambil gambar orang mati,” terlintas di fikiran saya.

Di sebelah CJ berdiri wartawan suratkhabar Nanyang Siang Pau, Kite nama gelarannya. Dia masih muda.

“You tahu apa maksud ‘CJ’ in Cantonese?,” tanyanya kepada CJ.

“Apa?,” CJ ingin tahu.

“Perempuan senior,” jelas Kite.

“Perempuan tua ke?,” saya mencelah.

Kite mendongak melihat saya.

“Bukan! Perempuan berpengalaman. You tahu ‘sifu’ kan? Sifu lelaki berpengalaman. CJ perempuan berpengalaman,” terang Kite.

Saya dan CJ mengangguk faham biarpun agak terkeliru pada awalnya.

“You dari mana?,” Kite bertanya kepada saya.

CJ tersenyum. Saya balas soalan Kite dengan soalan.

“Berapa lama you sudah jadi wartawan?”

“2 tahun. You berapa lama?,” soalnya.

“Tambah lagi 12,” jawab saya.

“14 tahun ah?,” Kite kehairanan.

Saya tersenyum melihat wartawan muda itu. Benar, sudah hampir 14 tahun saya bertugas sebagai wartawan penyiaran. Sudah ratusan mayat saya lihat. Mayat di dalam semak, di dalam rumah, di dalam sungai dan di tepi jalan. Mayat tanpa kepala, tanpa tangan, tanpa kaki dan tanpa pakaian.

Saya percaya Kite akan menjadi wartawan hebat dan 'CJ'. Masa dan pengalaman faktor penentunya.

Dalam sidang akhbar di lokasi, Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosli Hassan berasal dari Temerloh, Pahang berkongsi maklumat.

“Polis terima laporan pada jam 1.15 pagi tadi. Mangsa dipercayai berbangsa India berusia lingkungan 30 an, tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada mayat. Mungkin dibunuh di tempat lain, kira-kira 5 jam sebelum mayatnya dicampakkan di sini. Sebab kematian masih disiasat. Terdapat kecederaan di bahagian tangan”

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, bunuh.

Saya tiba di rumah pada jam 3 pagi dan terus menulis di blog ini.

Terima kasih kerana sudi membaca.

Selamat malam!

4 ulasan:

  1. salam..

    kat sunagi buluh nie macam2 ada..jenayah pun palingbanyak.. dulu polis selalu jadikan bawah terowong nie tempat cari makan masa petang...sekarang dah tiada mungkin dia takut...tiba-tiba ada pula mayat kat situ...macam-macam ada...

    malaysiaheboh.blogspot.com

    BalasPadam
  2. bersungguh-sungguh 3 pagi terus tulis blog . bagus punya update . cayalah

    BalasPadam
  3. tak sangka sy Mazidul ada blog... sy tau ni pun lps baca email pasal mazidul ambil gambar jin tempohari. blog ni bakal jadi favourite sy ni...

    BalasPadam
  4. salam....
    sy minat 360 bukan sbb sy kenali saudara masa kat ITM dulu...tp sebab pengisiannya yang padat dan jujur memberi peringatan, pedoman dan maklumat tentang bahaya yg ada di sekeliling kita, yg kita tak sedar. Tahniah la. Bila ada blog ni, surely sy akan selalu baca...sbb sy suka nak tau berita2 gempar seperti pembunuhan dan keganasan sebegini utk sy jadikan peringatan diri dan keluarga serta semua yg sy sayangi. tq

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.