Jumaat, Jun 20, 2008

Jom Makan

“Tempat ni kat tepi jalan, awak ok ke?”

Tanya rakan, Hisham Ghouth, 39 tahun pada jam 1.05 tengahari 19 Jun lalu sewaktu di dalam kereta.

“Saya ok”

Wartawan 360, Norasliza Norashikin Mohd Yusoff memandu. Jam 3 petang, kami mempunyai janji temu dengan syarikat penaja pakaian, Jackel Trading di Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

“Park la kat mana-mana,” kata Hisham sewaktu kami tiba di Jalan 217 Seksyen 51, Petaling Jaya, Selangor.

“Tempat ni full-house kalau tengahari, memang ramai orang makan,” sambungnya lagi.

“Selama ni tak pernah ajak pun ..,” bisik hati saya.

Sewaktu kami bertiga melangkah menuju ke gerai makan paling hujung, pergerakan kami diperhatikan pelanggan lain.

“Ambil nasi dulu, ikan datang kejap lagi,” ujar Hisham kepada saya dan Norasliza seperti melayan tetamu di rumah sendiri.

Lalu kami mengikut ‘perintah’ nya.

“Huh! Memang sedap. Ikan ni mesti specialty gerai ni kan?”

Belum sempat soalan itu dijawab kami dihampiri lelaki tua berpakaian kemas, berkemeja dan berseluar slack.

“Pak cik ni owner gerai,” Hisham memperkenalkan.

“Nama pak cik, Mohd Noh Yahya, umur 86, asal Rembau, Negeri Sembilan. Mula berniaga di sini sejak 2 Januari 1974,” kata beliau sebagai pembuka bicara.

“Ini ikan apa?,” tanya saya sewaktu Hisham dan Norasliza sibuk menyuap makanan.

Mereka makan sungguh berselera.

“Kami panggil ikan bebek,” balas Noh.

“Ikan cencaru sumbat,” celah isteri Noh, Zainab Sutan, 76 tahun berasal dari Seberang Prai, Pulau Pinang ketika lalu di belakang suaminya.

Noh bertemu Zainab sewaktu bertugas sebagai anggota polis di Junjung, Kulim, Kedah. Mereka dikurniakan 11 anak kini berusia antara 34 dan 56 tahun.

“Pekerja semua anak dan menantu. Tak ada orang lain. Saya tak ambil pekerja Indonesia,” ulas Noh.

Noh berkhidmat sebagai polis berpangkat First Class Police Constable selama 14 tahun sebelum berhijrah ke Brunai dan kemudian bersara.

“Peristiwa Bukit Kepong berlaku tahun 1951, saya bertempur dengan komunis awal lagi. Masa tu bertugas di Terap, pukul 6.30 petang bulan 8 tahun 1948, balai kena serang. Kami masa tu ada 7 orang dketui kopral. 9 komunis mati kena tembak,” ujar Noh kelihatan bersemangat, ingatannya kuat.

“Masih ingat lagi saya tarik perut komunis tu keluar, panjang tau perut manusia ni,” sambungnya lagi.

“Komunis serang nak apa?,” tanya saya.

“Nak senapang dan peluru lah,” celah Hisham.

“Masa tu pakai senapang apa?,” soal saya lagi.

“Senapang gajah, 303,” balas Noh pantas.

“Uih! Macam jeans la pulak bunyinya,” sekali lagi Hisham mencelah.

Kami tertawa bersama.

“Saya kena tembak lebih kurang 21 kali. Tak ada siapa cedera dalam kejadian tu, semua selamat,” ujar Noh.

Sepertimana Noh selamat, begitu juga 4 cencaru sumbat dalam pinggan dihidangkan, ‘selamat’ dimakan Hisham dan Norasliza.

“Mintak seekor lagi,” pesan saya.

Memang cencaru sumbat itu enak, RM3 seekor. Sebelum beredar, Hisham turut membayar bil 4 rakan sepejabatnya duduk di meja sebelah kami. 9 ikan, nasi, sayur dan minuman untuk 7 orang, RM60.

Terima kasih Hisham.

Jika anda tinggal di kawasan Petaling Jaya, berkunjunglah ke gerai Noh.

Itu cerita saya. Jika anda mengetahui gerai atau restoran menjual hidangan enak, kongsikan bersama pembaca blog ini.

Biar makanan sedap, bersama kira rasa.

3 ulasan:

  1. Kecur air liur baca coretan ni.
    Sememangnya saya dapati amat sukar untuk jumpa kedai masakan melayu yang betul2 sedap dan melayu di kawasan lembah klang ni.

    BalasPadam
  2. Salam, dengar cerita Sdr Mazidul dan rakan2 makan, tak semena-mena kecur air liur saya walaupun masih pagi.

    BalasPadam
  3. Salam,
    ...memang sedap makan tghari kat sini, lgpun dekat ngan office...
    dapat makan ikan panas2 ngan nasi puteh pun jalan...;P

    ><(((:>GC<:)))><

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.