Jumaat, Jun 06, 2008

CC atau Harga?

Kenaikan harga petrol dan diesel diumumkan 4 Jun lalu. Bagaimanapun kenaikan itu sudah dijangka majoriti masyarakat kita. Sebelum diumumkan pihak media, ramai antara kita menerima maklumat berhubung kenaikan itu samada melalui emel atau pesanan ringkas.

Kenderaan memiliki CC kurang daripada 2.o dilapor akan menerima subsidi RM625 sewaktu memperbaharui cukai jalan. Manakala kenderaan dengan CC lebih daripada 2.0 diberikan potongan cukai jalan sebanyak RM200. Tujuannya bagi memastikan golongan berada menerima ganjaran setimpal dengan kedudukan mereka, begitu juga mereka dikategorikan sebagai golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Saya menerima emel menarik daripada pembaca blog ini.

Katanya, pemilik kereta Mini Cooper baru berharga lebih 200 ribu ringgit pastinya datang dari golongan berpendapatan tinggi. Tetapi CC kenderaan terbabit, 1.6 sahaja. Maka, biarpun pemilik dikategorikan mewah itu masih akan mendapat subsidi RM625.

Berbanding pemilik kereta Mercedes 190E terpakai, kini dianggarkan berharga 20 ribu ringgit barangkali pesara berusia 67 tahun, bukan mewah tetapi hanya akan mendapat potongan cukai jalan sebanyak RM200.

Jadi, bukankah lebih bijak sekiranya subsidi diberi berlandaskan harga terkini kenderaan bukan CC sahaja? Itu persoalan dilontarkan pembaca.

Apa pandangan anda?


Biasalah Itu ..

Tengahari 5 Jun lalu saya ke Taman Tun Dr Ismail, TTDI Kuala Lumpur menjelaskan bayaran bil Celcom.

“Bos, bila you free kejap lagi kita pergi makan. Last time kita makan, bil lupa nak bayar, RM13.60,” mempelawa pengurus cawangan Celcom TTDI, Rusli Ahmed makan tengahari bersama sebelum keluar dari bilik beliau.

“Ok,” balas Rusli, pengurus tidak pernah keberatan membantu setiapkali saya menghadapi masalah resepsi modem wireless saya gunakan.

Sewaktu berjalan menuju ke restoran menghidangkan masakan Melayu selang 5 kedai dari Celcom, saya terpandang lelaki sedang duduk di kerusi kecil membaiki kasut. Saya berhenti dan berdiri di hadapannya.

“Encik orang mana?,” saya menyapa.

Dia kemudian mendongak dengan wajah kehairanan.

“Bukit Tinggi, Indonesia”

“Dah lama repair kasut sini?,” soal saya lagi.

Lelaki saya anggarkan berusia lewat 30 an itu tunduk sambil memaku getah tumit kasut wanita di tangan. Dia tidak mendongak lagi, barangkali berasa kurang selesa dengan soalan awal saya ajukan.

“Dah lama repair kasut sini?,” soalan saya ulang barangkali tidak jelas kedengaran di telinganya.

“5 bulan”

“Datang ke Malaysia, pakai visa apa?,” sekadar ingin tahu syarat orang berkelana.

Dia hanya diam membatu.

“Visa pelancong?"

“Ya. Sudah 3 tahun di sini. Tapi saya berulang-alik ke Indonesia,” panjang sedikit responnya.

Visa pelancong hanya sah digunakan selama 3 bulan sahaja. Selepas itu setiap ‘pelancong’ harus balik ke negara asal sebelum kembali semula ke negara ‘dilawati’. Itupun sekiranya benar-benar datang dengan tujuan melancong.

“Macamana guna visa pelancong boleh berniaga di sini? Bukan ke itu melanggar undang-undang negara Malaysia?,” tiada niat menekan cuma ingin mendengar penjelasan dari sumber primer.

“Biasalah itu, kita buat kerja baik bukan kacau orang,” selamba ulasnya.

“Niat tidak menghalalkan cara. Memang berniaga tak kacau orang tetapi bekerja menggunakan visa pelancong melanggar undang-undang imigrasi di negara ini,” balas saya.

“Biasalah itu. Saya cuma cari makan,” katanya.

“Encik sudah kahwin?,” pantas saya mengemukakan satu lagi soalan.

“Sudah”

“Kahwin dengan perempuan Indonesia?”

“Ya. Dari Padang,” balasnya sambil memasukkan kasut sudah siap diperbaiki ke dalam plastik putih tertulis Tesco.

“Isteri pun guna visa pelancong? Dia kerja mana?”

“Biasa lah itu, visa serupa saya. Dia kerja jahit baju,” ujarnya.

Menurutnya dia tinggal menyewa di Kampung Kayu Ara, Petaling Jaya, Selangor dengan bayaran RM200 bagi satu bilik.

“Repair kasut satu bulan boleh dapat berapa ringgit paling banyak?”

“700 ringgit, 800 ringgit. Begitulah,” jawabnya.

“Duduk sini 5 bulan memang tak ada sesiapa kacau?,” saya ingin tahu.

“Tak ada. Polis ada datang repair kasut sama saya. Saya mahu bagi percuma tetapi dia orang tak mahu,” katanya tanpa teragak-agak.

Saya kemudian menghantar pesanan ringkas kepada Rusli.

‘Bos, saya tunggu di kedai’

Biarpun hakikatnya saya baru separuh jalan, belum pun lagi sampai ke restoran untuk mengisi perut. Tetapi, kerjaya melatih saya untuk menunggu. Menunggu jurukamera, menunggu responden dan menunggu respon pihak berkuasa.

Pelbagai persoalan bermain di fikiran saya ketika menuju ke restoran.

Tidakkah ada antara pegawai atau anggota pihak berkuasa tempatan terjeling kehadiran lelaki warga asing terbabit sejak 5 bulan lalu? Sedangkan saya pernah melihat tukang kasut jalanan warga tempatan dihambat begitu sahaja.

Atau kita reda dengan alasan mereka juga mencari rezeki di bumi Allah ini lalu kita tutup sebelah mata?

Atau kita juga akan berkata, 'biasalah itu'?

Milo Tin

“Masa you kahwin isteri umur berapa?”

“Itu jam tahun 06, bulan 10, hari 23. Dia umur 16,” balas Manudin, 34 tahun, warga Bangladesh.
“16?,” saya agak terperanjat.

Manudin menganggukkan kepala. Waktu itu kami bersama makan malam di restoran Jepun, Momotalo Yakiniku di Tropicana, Damansara, Petaling Jaya jam 9.18 malam, 5 Jun lalu.

Turut sama, majikan Manudin, Pengarah Urusan, Lucky Car Interior Sdn. Bhd, Lucky C. H. Lim, Johny, Wong, 3 rakan sekerja Manudin serta kawan baik saya Hamdan Ahsan dan Shaifuddin.

“Ini farewell dinner for Manudin. Empat tahun dia kerja sama kita bikin itu working table untuk Proton Perdana Executive,” jelas Lucky Lim sambil tersenyum.

Bagaimanapun saya lebih tertarik dengan kisah perkahwinan Manudin. Sejak mendirikan rumahtangga selama 2 tahun, dia hanya berpeluang tinggal bersama isterinya hanya 3 bulan, 90 hari sebelum ini.

“Masa kahwin berapa banyak wang pakai?”

“Kalau campur makan, campur beli itu lembu, kain semua, sini punya wang 7 ribu ringgit. 7 ribu sama 170,000 Taka, Bangla punya wang,” ujarnya agak fasih berbahasa Melayu.

“Kahwin susah?,” tanya saya lagi.

“Bapa, mama pergi tengok itu perempuan dulu. Dia bapa mama cakap ok, baru angkat itu cincin. Kemudian kasi wang, baru kahwin. Kasi orang makan, panggil unustan”

“Unustan ni, macam kenduri la kut,” Hamdan cuba menjelaskan dengan telahan.

“Tengok gambar bini,” pinta saya.

Perlahan Manudin mengeluarkan sekeping gambar dengan kesan lipat dari beg duit dan menghulurkkan kepada saya.

“Wife nama apa?,” tanya saya sambil saya membelek gambar wanita tinggi lampai bersari, kelihatan tua berbanding usia.

“Shafali, sekarang 18 tahun,” balasnya sambil tersipu malu apabila menyedari gambar isterinya menjadi tumpuan kami semua.

“Haiya! Banyak tinggi you punya bini. Serupa ini,” luah Johny sambil memperbandingkan ketinggian Manudin dan isteri menggunakan jari.

“Orang Cina cakap, kalau laki rendah, wife tinggi. Boleh kahwin lama, sampai mati,” celah saya.

Kami semua tertawa sambil menjamah hidangan malam itu. Antaranya daging lembu, kambing, ayam, sotong dan ikan bakar serta sayuran.

“Hei! Makanlah,” pelawa Lucky Lim kepada pekerjanya bakal pulang ke Bangladesh pada 12 Jun akan datang.

“Tak apa bos, ini kubis, Bangla ada banyak,” balas Manudin jujur sambil menolak sedikit piring penuh dengan kubis mentah ke tepi meja.

Saya perhatikan kolar baju putih dipakai Manudin, koyak sedikit. Pakaiannya tidak setanding dengan status elit restoran tempat kami menjamu selera. Tetapi wajahnya kelihatan selamba. Barangkali itu semua tidak terlintas di benak fikiran anak kelahiran Naraygong, 10 kilometer dari Dhaka, ibu negara Bangladesh. Saya juga tidak kisah.

“Kampung you, orang cari makan kerja apa?,” tanya saya.

“Tanam padi ada, jaga lembu ada. Banyak susah,” ujarnya sambil segera meletakkan kembali lidah lembu bakar diambil menggunakan chop stick ke atas piring.

“Apa fasal?”

“Tak biasa makan bos,” katanya.

“Ya lah, serupa kita orang tak biasa panggil dia punya nama. Sana tempat kerja semua kawan panggil dia Milo Tin, Milo Tin!,” Lucky Lim bersuara.

“Milo Tin?,” saya keliru.

“Dia punya nama Manudin, kita panggil dia Milo Tin,” jelasnya lebih terperinci.

Semua tertawa, tidak terkecuali Milo Tin, Manudin.

“Manudin, sebab apa lelaki Bangladesh, kalau jalan-jalan dua orang mesti pegang tangan serupa boyfriend girlfriend?,” sudah lama ingin saya ajukan soalan itu.

“Kita pegang tangan sebab kawan baik,” celah rakan Manudin, Mohd Lincong Khan, duduk di sebelahnya.

“Lu orang dua selalu pegang tangan?,” tanya Johny.

“Tarak lah,” balas Manudin.

Sebelum pulang saya meluahkan perasaan.

“Ini malam, saya banyak syok”

Manudin memandang saya, begitu juga rakan lain.

“Bangla ada, Cina ada, Melayu ada. Ini food Jepun punya. Thank you Mister Lim for the dinner. Manudin, balik kampung baik-baik. Good night”




Khamis, Jun 05, 2008

Seluar Besar

“Hai Mazidul!,” tegur wanita bertubuh kecil molek manis bertudung dari luar kedai pakaian Big Guyz Shop di tingkat 1, Plaza Ampang City.

“Hai,” saya membalas sambil mengangkat tangan melambai.

Wanita sudah melintasi pintu kedai itu kemudian berpatah balik. Saya perhatikan wajahnya sekali lagi secara teliti.

“Datin Suliza Salam,” detak hati.

“You memang dari dulu manis. Buat apa kat sini?,” memuji sambil bertanya.

“Pejabat kedua I kat sini. Buat trading”

Prisma Desiran Sdn. Bhd, beliau Pengarah Urusannya.

“Buat apa kat sini, serbu siapa?,” tanya beliau pula.

“Tak ada serbu siapapun, beli baju saiz besar Datin”

“Tak buat cerita hantu?,” soal Datin.

“Di kampung saya, Kampung Parit Betak, Benut, Pontian, Johor dekat jalan besar dari Pontian ke Rengit tu ada satu rumah quarters. Ramai orang tinggal kat situ, semua tak tahan,” cerita Datin berusia 43 tahun itu.

“Kenapa?,” sekadar ingin tahu.

“Bila masak kat rumah tu, makanan hilang. Bila tidur, bangun dah kat atas bumbung,” sambung beliau.

“Dahsyat tu,” respon saya.

Saya dijemput rakan, Zafar Ali, 29 tahun ke kedai terbabit.

“Datang lah bang, macam-macam baju ada, imported dan dilesenkan dari Kemboja dan Vietnam,” kata Zafar ketika menghubungi saya melalui telefon.

Benar kata Zafar, bukan sahaja baju malah pelbagai jenis pakaian lain dijual dikedai beroperasi sejak 5 bulan lalu itu. Plaza itu terletak di belakang Bangunan Felda.

“Ini seluar Levi’s saiz 54, saiz kecil pun ada, mula 32 inci. Untuk perempuan saiz 28 ada,” ujar Syamsulrizal Ismail, pekerja berasal dari Machang, Kelantan sambil mengenakan seluar berharga RM199.90 itu.

Ketawa beberapa pelanggan melihat gelagat Syamsul.

“Apa jeans paling top?,” soal saya.

“Levis’s Carpenter, blue black,” balas Syamsul.

“Ni kasut Clark original. Nak tahu ori ke tidak kita patahkan macam ni. Kalau tak rosak ori,” jelas Zabar.
Sepupu Syamsul, Mohd Ariffuddin Mohd Rozali, 21 tahun kemudian bersuara.

“Bang, ini seluar Levi’s 569. Tak ada lagi di Malaysia ni, baru launched februari lepas, harga RM170. Seluar Dockers pun ada, harga ok. Antara RM120 dan RM180. Saiz 32 sampai 54,” memang dia memiliki bakat berniaga.

“Kepada pembaca blog Mazidul, datang kedai atau call saya 019 2528056 dan 018 2271638. Kita bagi diskaun 10 persen. Tapi biasa lah kena cakap dah baca blog Mazidul,” janji Zafar.

“Terima kasih,” balas saya.

Selamat membeli-belah!

Selasa, Jun 03, 2008

Artis Berkemban

Selasa, 3 Jun lalu, saya dipasangkan bersama Ally Iskandar Mardzi mengendalikan Malaysia Hari ini.

“Encik Ally Iskandar, apa khabar?”

“Baik. Encik Mazidul Akmal Sidik,” cara biasa kami bertegur sapa.

Barangkali ramai orang berasa pelik dengan cara itu tetapi tidak saya dan Ally.

Pada jam 7.20 pagi kami mempelawa penonton berkongsi kisah berhubung isu gores dan menang, banyak panggilan masuk kami terima.

“Next caller, perempuan. Huh! Banyak calls masuk ni,” kata penerbit pagi itu, Alfian Kaus melalui ear piece kami pakai.

“Barangkali ramai wanita gemar berkongsi pandangan apabila Ally menjadi perantara,” bisik hati saya.

Tetapi itu tidak menghairankan, sikap keterbukaan dan jangkauan ilmu membuatkan dia cukup fleksibel bila berbicara secara bersahaja mengenai pelbagai isu.

Antara tetamu undangan pagi itu, Datuk Aziz Sattar serta pelakon dan penyanyi, Betty Banafe.

‘Sebutir beras sejuta keinsafan’ menjadi topik perbincangan secara langsung saya dan mereka.

“Objektif program dilangsungkan di Menara Kuala Lumpur pada 7 dan 8 Jun ni untuk mengumpul dana membantu golongan memerlukan sekiranya berlaku bencana di dalam maupun di luar negara macam mangsa gempa bumi di China, mangsa taufan Nargis di Mynmar,” jelas Datuk Aziz.

“Baru-baru ini sewaktu sambutan pertama Hari Seniman, saya dengar ramai artis muda dan baru tidak muncul. Boleh dapat sambutan ke program ni Datuk?,” sekadar mengusik minda anak seni berpengalaman.

“Itulah, kita pun terkilan juga dengan sikap itu. Kali ini kita cuma minta mereka datang kerana tujuan untuk membantu. Syarikat buat shooting pun mintak lah cuti sehari, andai boleh. Sumbangan mereka biarpun umpama sebutir beras, InsyaAllah Tuhan berikan sejuta ganjaran di akhirat kelak,” terang beliau.

Hati saya tersentuh mendengar kenyataan itu. Dua kali beliau menyebut nama Mawi dengan harapan dia sudi turut serta memeriahkan program 12 jam bermula 10 pagi itu.

“Mazidul, artis boleh lelong pakaian terpakai atau jual makanan dia orang masak dan hasil jualan disumbangkan. Hidup ini macam roda, sentiasa berputar. Masa di atas kita bantu mereka di bawah,” celah Betty.

Selepas temubual saya menemui Datuk Aziz dan Betty di bilik tetamu.

“Datuk tengok engkau punya promo 360 tadi fasal hantu tu. Dia pun ada cerita juga,” Betty bersuara sewaktu saya duduk di sofa sebelah Datuk Aziz.

“Dulu saya tinggal di Kampung Saigon, Singapura. Bila bangun pagi nampak ada orang kecil jalan depan saya dalam bilik, terus tembus masuk dinding,” ujar beliau.

“Masa tu Datuk umur berapa?,” soal saya.

“6 ke 7 tahun, macam tu lah. Anggaran ketinggian lebih kurang 6 inci, badan dia warna crome, macam tu,” sambil beliau menunjuk ke arah tombol pintu.

“Seba itu bila saya dengar dulu ada budak sekolah jumpa orang kenit, saya tak hairan sebab saya sendiri pernah tengok,” sambung Datuk Aziz kini berusia 81 tahun.

Saya terdiam seketika.

“Datuk, nak tanya satu soalan,” pohon saya.

Saya lihat Betty menumpukan perhatian.

“Dulu, pelakon wanita kita berkemban dalam wayang. Berkemban ke sungai bawa kain basuhan dalam besen besar. Berkemban masa mandi. Sambil menyanyi pun di sungai pun berkemban. Tapi tak jadi isu pada ketika itu. Tapi sekarang ni kalau pelakon muda berkemban, mesti mendapat liputan meluas. Mengapa?”

Datuk Aziz terdiam, Betty juga menyepi. Berfikir barangkali.

Sebelum sempat mereka menjawab, terpancul Ally di bilik tempat kami duduk berehat.

“Ally, tadi saya tanya dengan Datuk, mengapa artis dulu berkemban orang tak kisah. Tak timbul langsung isu seksi. Tapi sekarang, kalau artis berkemban, puh! Mesti meletup. Mengapa?”

Ally diam buat seketika sebelum menjawab.

“Abang Dul, sebab ikut keadaan masa dan zaman. Time tu perempuan berkemban ni orang biasa tengok. Jadi tak menjadi kehairanan berbanding sekarang,” jawabnya ringkas.

“Betul. Saya dulu biasa mandi kat tepi jalan guna paip kerajaan. Perempuan mandi sekali, pakai kemban. Tak ada apa pun,” tambah Datuk Aziz.

Terjawab soalan saya.

Saya kemudian merakamkan gambar kenangan bersama beliau, Ally, Betty, dan Nik Azzura.

“Abang Dul, tolong,” Ally meminta saya mengabadikan gambarnya bersama Datuk.

Saya tunaikan permintaan seorang sahabat sambil menumpukan perhatian ke LCD kamera.

“Klik!”

“Dua manusia seni, dalam bidang berlainan, dipisahkan masa dan zaman berbeza,” itu detak hati saya.

Semoga Datuk Aziz dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur, begitu juga Ally.

Amin.

Gores dan Kalah

Saudara pembaca,

Saya berasa amat hairan, mengapa masih ramai terpedaya dengan kegiatan sindiket ‘gores dan menang’ atau ‘buka dan menang’ atau apa sahaja panggilannya. Mungkin anda juga memikirkan hal sama.

Pihak media cetak dan elektronik di negara kita berulangkali memaparkan kes menyebabkan ramai kerugian ribuan ringgit. Pada hemat saya, tiada siapa mampu menyanggah kenyataan itu.

Saya sendiri sewaktu bertugas sebagai wartawan 999 pernah membuat liputan kes sama di Kedah dengan bantuan pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, KPDNHEP. Saya melihat wajah sesal dan marah khususnya di kalangan orang Melayu mendakwa ditipu.

Persoalannya, adalah mereka benar-benar ditipu? Atau pihak sindiket sekadar memanipulasi sifat tamak mereka? Soalan sama dibangkitkan seorang daripada pengirim emel dihantar terus kepada saya, Noraziah namanya.

Modus Operandi, MO sindiket amat mudah tetapi licik. Pekerja mereka kebanyakannya remaja berusia antara 18 dan 22 tahun kerap ‘diletakkan’ di lokasi cukup strategik. Antaranya di depan institusi kewangan dan di kawasan tempat meletak kereta pusat membeli-belah ternama di seluruh negara.

Berbekalkan kupon di tangan, mereka menghampiri orang ramai secara rambang. Jika ada ruang mereka menggunakan peluang. Selalunya mereka bermula dengan menawarkan pelbagai jenis barangan elektrik pada harga murah, diskaun. Maklumlah, mereka tahu orang kita gemar mendengar perkataan ‘diskaun’ maka ‘diskaun’ mereka tawarkan.

Barangan ditawarkan bukan berjenama terkenal dan tidak berkualiti. Tetapi orang kita sering terpancing akibat kepetahan pekerja sindiket berkata-kata. Apakah antara barangan terbabit? Biasanya penapis air, mesin pengurut kaki dan pengisar air buah-buahan.

Saya percaya pekerja bergerak secara berkumpulan itu sudah dilatih terlebih dahulu sebelum dibenar menjalankan tugasan mereka. Mereka diajar teknik mempengaruhi dan menyakinkan orang ramai sekaligus memanipulasi sikap gemar memburu keuntungan mudah dan tamak manusia.

Sekiranya mereka mendapati individu didekati tertarik dengan tawaran itu, misi utama mereka dilaksanakan tanpa disedari. Mereka kemudian meminta ‘bakal mangsa’ menggores atau membuka kupon kononnya untuk mendapatkan hadiah lebih mahal.

Jika kupon digores atau dibuka kebanyakan orang pasti diistiharkan pemenang. Menang hadiah seperti motorsikal dan kereta bernilai puluhan ribu ringgit. Melompat pekerja sindiket, berdekah mereka tertawa, pura-pura tumpang gembira atas kejayaan ditempa. Bagaimanapun sebelum hadiah diserahkan, sejumlah bayaran wajib dijelaskan. Bayaran itu sudah pasti mencecah belasan atau puluhan ribu ringgit. Berikutan janji ditabur pihak sindiket ramai sanggup menggunakan kad kredit maupun wang tunai bagi melangsaikan wang dituntut. Fikir mereka, apa salahnya mengeluarkan wang asalkan harga kereta dimenangi lebih daripada jumlah perlu dibayar. Contohnya, bayar 30 ribu ringgit sedangkan harga sebenar kereta dianggarkan 80 ribu ringgit. Mereka masih untung, itu tanggapannya sewaktu bisikan tamak dihembuskan ke telinga berulangkali.

Apa terjadi dengan barangan elektrik? Kerapkali syarikat sindiket menawarkan khidmat menjual barangan itu kononya kepada pelanggan sedia ada sekiranya tidak diperlukan. Maklumlah, menang kereta, apalah gunanya pengisar air buah-buahan?
Apa bakal terjadi selepas itu? Mimpi ngeri jawabannya. Pihak sindiket akan mengelak dihubungi. Talian telefon bimbit tidak berjawab. Jika pejabat dihubungi, pelbagai helah dikemukakan pekerja menjawab panggilan. Bersua muka jauh sekali.

Maka tersedarlah mereka daripada mimpi. Kereta diidam hanya sekadar janji manis, ketika itu dirasakan teramat pahit. Baru tersedar wang puluhan ribu ringgit hangus begitu sahaja, sia-sia.

Maka, tindakan lanjut dilaksanakan, membuat aduan kepada pihak polis. Pihak sindiket bijak, setiap pembayaran disertakan resit melambangkan transaksi sah. Justeru ramai mangsa malu alah, tersedar sikap tamak memakan diri. Pada masa sama, polis tidak mempunyai sebarang kuasa menahan pekerja remaja terbabit, hanya sekadar boleh menasihatkan mereka beredar agar tidak 'mengganggu' orang ramai.

Kepada mangsa lebih bersemangat, mereka akan melanjutkan laporan kepada KPDNHEP tanpa menyedari pihak terbabit sebenarnya tidak memiliki kuasa untuk memberhentikan operasi sindiket. Merayu kepada pihak tribunal bagi mendapatkan kembali wang tetapi belum tentu berhasil. Ketika itu syarikat sindiket sudah bertukar nama dan berpindah lokasi. Maka meloponglah mangsa menggigit jari.

Ringkasnya, jangan mudah terpedaya. Jika terlihat kelibat pekerja sindiket, jauhkan diri. Itu langkah terbaik.

360 bakal mengupas isu ‘gores dan menang’ dalam episod 11 Jun nanti.

Isnin, Jun 02, 2008

Kerja Gila!

“Kita selalu pergi ke banglo tu sabtu malam ahad,” kata ketua kumpulan Searchers, Suhaimi Hashim sewaktu saya menghubunginya melalui telefon.

“Nanti saya nak ikut,” balas saya kepada remaja berusia 22 tahun lebih selesa di panggil Pak Tam.

“Ok,” balasnya ringkas.

Pagi 1 Jun lalu, saya dan wartawan 360, Liza menuju ke Bukit Tunku, Kuala Lumpur bersama Pak Tam dan 4 rakan lain. Turut serta jurukamera, Nong.

Setiba di lokasi, saya lihat Nong terkial-kial mengeluarkan bateri lampu dari bekasnya.

“Masa ni la pula nak putus wayar,” suaranya geram.

“Nong, buat perlahan-lahan,” nasihat Liza lembut, sambil berdiri menyuluh bateri.

Lebih 15 minit kemudian lampu Nong menyala semula, pantas kami memasuki kawasan banglo tinggal melalui pagar roboh. Saya menjeling jam di tangan, 12.48 pagi.

Berhati-hati kami berlapan melangkah masuk ke banglo 3 tingkat itu dan mula meninjau ground floor. 4 bilik dilengkapi 2 tandas.

“Kat sini saya biasa tengok kelibat mahkluk hitam melintas,” kata Pak Tam.

“Uih! Cabulnya mulut,” bisik naluri saya.

Saya perhatikan gelagat Pak Tam, matanya liar meninjau setiap sudut. Meremang bulu roma, jantung berdebar secara tiba-tiba. Tetapi saya beranikan diri apabila melihat Liza selamba berjalan di hadapan dengan lampu suluh Surefire milik saya di tangannya.

“Boleh la relax, jalan tengah-tengah, lampu aku dia guna.Tak reti-reti bawa lampu sendiri dah tau nak masuk kawasan gelap-gelita. Aku kat belakang sekali ni terasa macam ada benda jer nak tangkap kaki,” hati saya menyumpah.

Saya rakamkan gambar menggunakan kamera digital tidak lekang di tangan. Di setiap bilik, flash saya menyala biarpun menyedari banyak gambar Orbs saya rakamkan, jari terus menekan butang kamera.

“Alamak, dia jentik telinga la pulak,” tiba-tiba Mohd Hishamuddin Majid, 40 tahun, ahli Searchers tertua bersuara sambil berlari ke arah tingkap bilik dan menjengok kepala keluar.

Nong meneruskan rakaman biarpun saya pasti dia turut berdebar apatah lagi menyedari DC light digunakan mulai malap.

“Huh! Dah dekat pukul 2. Kerja gila ni,” bisik hati saya.

Terfikir, pemilik banglo pasti membelanjakan wang banyak membina mahligai segah itu, di atas tanah barangkali berjuta nilainya. Tetapi, mengapa ditinggalkan begitu sahaja terbiar punah? Pelik.

Lantai banglo dipenuhi blok simen pecah, dawai, besi dan papan lapis bertaburan merata. Justeru saya mengatur angkah secara lebih berhati-hati. Bimbang jatuh dan tercedera.

“Baik-baik Za,” saya mengingatkan Liza kelihatan bagai tidak berperasaan, sesekali tersepak kaki sesama sendiri.

“Jom kita masuk banglo sebelah. Tapi kita orang tak pernah masuk sebelum ni. Kena buat trek sendiri sebab semak,” kata Pak Tam.

Benarlah kata Pak Tam. Sewaktu menuju ke banglo kedua kami terpaksa menyusur akar besar terjurai ke tanah membelit pokok di kiri kanan denai. Sesekali terasa angin malam menhembus tubuh mula dibasahi peluh dingin. Kami lalu di sebelah kolam renang dibina separuh siap dipenuhi air tenang dan rumput-rampai, hijau semasa disuluh.

“Blup!”

“Siapa baling batu?,” tanya Hishamuddin.

Semua mendiamkan diri dan meneruskan perjalanan.

“Jalan ni semak sangat. Patah balik, kita cari jalan dari luar. Bahaya la,” saya terpaksa mencelah sebagai orang paling tua.

“Ok. Undur slow-slow,” Pak Tam bersetuju.

Saya bimbang, lain dicari lain jumpa. Semak sebegitu mungkin ‘banglo’ bagi ular tedung Selar berbisa atau binatang berbahaya. Berang diganggu mungkin mengakibatkan maut. Tambahan pula kami tiada bersenjata. Sewaktu berjalan keluar, sesekali kaki tersadung akar kayu, pantas saya menanggalkannya selipar Crocs dan menarik akar membelit.

“Huh! Naik bulu roma ni,” kata Hishamuddin lagi semasa kami menghampiri banglo ke dua.

Saya bersetuju. Sewaktu menjeling paparan LCD kamera, saya menyedari lebih banyak gambar Orbs saya rakamkan secara rawak.

“Jom la kita keluar. Dah pukul 2.30 pagi ni,” sekali lagi saya bersuara.

Sewaktu melangkah keluar, lampu kamera Nong sudah lama kehabisan bateri. Lampu suluh Surefire saya berada di tangannya berjalan mendahului semua. Saya lihat Liza melangkah berlahan, teraba-raba bagai orang buta kehilangan tongkat.

“Nong, agak-agak la. Lampu tu suluh sini sikit, kalau tak nak jalan macamana?,” saya sedikit marah.
Nong berhenti, menyuluh jalan sehinggalah semua selamat keluar dari kawasan banglo terbabit.

Saya menarik nafas lega.

Saksikan rakaman bingkisan ini di 360 siaran 4 Jun, jam 9 malam.

Selamat menonton.