Khamis, Disember 31, 2009

Majalah Katolik Dibenar Guna Perkataan 'Allah'

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan majalah mingguan Katolik, Herald dibenar menggunakan perkataan ‘Allah’ dalam penerbitannya.

Menurut hakim, sebelum ini Kementerian Dalam Negeri bertindak salah melarang majalah itu menggunakan perkataan terbabit.

Hakim pembuat keputusan, Datuk Lau Bee Lan.

Jika hakim terbabit bernama Ibrahim Muhammad atau Khaidir Daud, mungkin keputusan berbeza.

Sejauhmana adilnya manusia berbanding Allah dalam membuat keputusan?

Ucapan Kepada semua pembaca blog ini, selamat tahun baharu 2010!

Bisnes Air Lendir

Kini saya bertugas sebagai Penerbit Eksekutif program ‘999’. Sewaktu mula bersiaran lebih 7 tahun lalu, saya membantu program sama sebagai wartawan dan pengacara bersama Zakiah Anas. Untuk rekod, bermula Januari 2010, Zakiah mula mengacarakan program bual bicara Malaysia Hari Ini bermula jam 6.30 pagi.

Hakikatnya, sepanjang bersiaran, ‘999’ mempunyai rating tinggi, purata 2 juta penonton setiap minggu. Kini program diterajui Halim Din itu diambil alih Shahnon Hanif sebagai penerbit. Wartawan baharu di tampilkan bermula siaran 7 Januari, jam 9 malam akan datang. Bekas wartawan ‘360’ Norasliza Norasikin Mohd Yusof, Mohd Shahrizam Hamzah membantu penerbitan bersama pengacara baharu, Hazlin Hussain.

Saya menaruh keyakinan kepada Hazlin untuk diangkat sebagai ikon program ‘999’. Berusia 25 tahun, anak kelahiran Kuala Lumpur ini memiliki minat mendalam dalam bidang penyiaran. Saya dan Shahnun, 42 tahun akan cuba sedaya upaya untuk membantu Hazlin membina kredibiliti dan kerjayanya, InsyaAllah, bukan sahaja sebagai pengacara tetapi wartawan berjati diri tinggi.

Di awal pertemuan, katanya dia berasa ‘inferior’ melihat kebolehan saya dan Zakiah mengendalikan proram ‘999’ sebelum ini. Nasihat saya kepadanya, setiap manusia memiliki bakat unik, justeru Hazlin perlu menampilkan karektor tersendiri. Apapun, dengan latihan intensif, saya percaya ‘999’ akan sinonim dengan gadis manis, peserta program Gadis Melayu ini.

Misi saya, ‘999’ bagi tahun 2010 harus diangkat ke tahap lebih ‘hardcore’. Sebelum ini ‘999’ dilihat sebagai program berbentuk reaktif, maksudnya wartawan kerap menyertai operasi di atas jemputan pelbagai pihak berkuasa. Kini, saya ingin melihat ‘999’ membawa pendekatan berbeza, proaktif.

Contohnya, terbaharu '999' menghantar wartawan membuat penyamaran di rumah pelacuran di satu daerah di Kuala Lumpur. Menggunakan kamera tersembunyi wartawan terbabit ‘melanggan’ pelacur mengikut kadar ditetapkan. Dalam kes ini, seks bagi satu sesi berharga cuma RM30, mereka warga tempatan, bukan warga asing. Saya ingin mendengar kenyataan pelacur terbabit, mengapa mereka melacurkan diri? Siapa pelanggan mereka? Mengapa biarpun premis terbabit diserbu berulangkali dek pihak berkuasa tetapi masih terus berdiri gah?

Selesai rakaman dan temubual, saya meminta wartawan ‘999’ menemubual orang ramai lalu lalang di kawasan sama. Biar mereka melontarkan pandangan peribadi berhubung kes ini.

Kemudian baharulah ‘999’ meminta bantuan pihak berkuasa membuat pemeriksaan di premis sama. Kaedah terbaharu bermain di pemikiran saya, ‘dedah dan rujuk’.

Saya maklum pihak polis sentiasa menjalankan tugas mereka mengikut sistem perundangan sedia ada. Persoalannya, mengapa premis pelacuran masih terus beroperasi? Lebih menghairankan bukan secara tersembunyi tetapi terbuka, mudah dilihat setiap warga melintasi kawasan terbabit. Adakah ‘kuasa’ sindiket mendalangi rumah pelacuran itu mengatasi kuasa diperuntukkan kepada polis? Biarlah '999' menampilkan jawaban kepada soalan itu.

Terfikir, jika butiran kes boleh sampai kepengetahuan saya, masakan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, DBKL tidak menyedari premis di bawah bidang kuasa mereka digunakan sebagai premis pelacuran? Ingin benar saya mendengar kenyataan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fuad Ismail berhubung perkara ini.

Saya percaya sekiranya DBKL melaksanakan tugas mereka secara lebih efisien, premis ini tidak wujud secara berterusan. Arahkan kakitangan Tenaga Nasional Berhad memotong bekalan elektrik ke premis sama dibantu syarikat pembekal air memutuskan bekalan sumber asas kehidupan disalurkan selama ini. Relakah pelacur melayan pelanggan di dalam gelap tanpa air? Mungkin tidak, mereka pasti sukar melihat dan 'membasuh'.

Hemat saya, jika kemungkaran di hadapan mata tidak mampu dibanteras secara total apatah lagi kegiatan tersorok. Pasti ada pihak bertahta di mata beraja di hati, memperdagangkan tubuh manusia sekaligus mengaut keuntungan berganda bersandarkan bisnes ‘air lendir’ (memetik kenyataan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim). Senario sebegini pastinya mencetuskan pelbagai andaian negatif masyarakat terhadap pihak berkuasa.

Setuju?

Hari ini, jam 9.15 pagi, saya akan ke Kota Kinabalu, Sabah membongkar kes menarik untuk didedahkan. Biarlah saya kongsikan butirannya setelah misi selesai dilaksanakan.

Rabu, Disember 30, 2009

We Have To Be Different

Pelbagai kejadian pedih jerih diharungi krew '360' selama hampir 3 tahun bersiaran. Apapun, hemat saya, tiada wartawan berasa ragu dengan setiap tugasan mereka laksanakan. Tidak sekalipun saya terdengar rungutan mahupun persoalan, "susah la!", "boleh ke?" atau "bahaya tak?" terpancul daripada mulut wartawan '360' ketika diberikan tugasan saban minggu.

Kepada wartawan, Fadzli Ramli, Teh Syuhaida Sarip, Harris Farok Alex, Mohd Raziff Zulkafli, Norasliza Norashikin Mohd Yusof dan Fadly Khamis, sekalung penghargaan kepada semua kerana sudi bekerja bersama saya.

Terima kasih juga kepada semua wakil TV3 bertugas sebagai wartawan dan jurukamera, antara mereka, Zulhazri Abu Bakar di Johor, Hanafi Mat di Kelantan dan Nong, Fadhil, Azmi, Anuar di Lembah Klang.

Semoga pengalaman dikutip, lebih mendewasakan fikiran dalam membuat keputusan sekaligus memungkinkan semua mendepani pelbagai cabaran di persada penyiaran negara.

Hakikatnya, pengalaman kita tempuhi bersama pastinya tidak mampu dibeli biarpun ditawarkan harga jutaan ringgit. Pengalaman dilalui, dirasai dan ditempuhi bukan sekadar imaginasi.

Apapun sewaktu menjalankan tugas pastinya terselit kisah manis mencuit hati biarpun barang sekelumit cuma. Abadikan itu sebagai kenangan terindah. Jika semua kejadian dilalui itu tiada getirnya, barangkali kita tidak menghargai kemanisan kejayaan diraih.

Saya percaya, ‘in order to be dominant, we have to be different’. Itu antara formula pendorong kejayaan dalam apa jua kerjaya di dunia ini. Tanpa formula itu masakan mampu kita mencapai ‘the next level’ dalam pekerjaan dan kehidupan.

Di kesempatan ini, terima kasih kepada semua pembaca blog juga penonton setia '360' selama ini. Untuk rekod, episod bakal disiarkan pada jam 9 malam ini, paparan terakhir kami.

Salam.

Penerbit Eksekutif '360'

Selasa, Disember 29, 2009

Aceh: Diberi Betis Hendak Paha

“Apa hal ambil gambar ni?”

Sergah lelaki Aceh berdiri di hadapan kedai menjual jamu berhampiran Lorong Hj Hussein 3, Pasar Chow Kit Road, Kuala Lumpur.

Sebenarnya saya merakamkan gambar adik lelaki berkebetulan melintas di hadapan premis sama, bukan gambar kedai mereka. Panas telinga, pantas saya kembali menemui lelaki terbabit, namun dia melarikan diri ke belakang kedai.

“Ini negara saya, apa salahnya saya ambil gambar? Bukan Aceh kan?,” soal saya kepada beberapa rakan lelaki terbabit.

“Tak, pak cik, kawan saya tak cakap apa pun,” balasnya.

“Kamu ingat saya pekak?,” tanya saya.

Kepada sebilangan warga Aceh berniaga di Chow Kit, usah terlalu besar kepala, ini bukan Provinsi Daerah Istimewa Aceh. Dilihat dengan menggunakan mata kasar, tidak dapat dipastikan samada mereka memiliki dokumen perjalanan sah atau sebaliknya. Pokoknya mereka ramai dan memonopoli perniagaan menjual buah-buahan di kawasan itu sehingga meminggirkan peniaga warga tempatan.

Jika disingkap sejarah, kerajaan Malaysia suatu ketika dahulu mula menerima kedatangan warga Aceh kerana pada waktu itu mereka terbabit dalam perbalahan dan peperangan sesama kaum. Sebahagian besar melarikan diri ke negara ini bertujuan mendapatkan perlindungan, Malaysia bersikap ‘tutup mata’ kerana mereka beragama Islam. Itu antara sebab mengapa mereka kelihatan ‘kebal’, jarang diberkas pihak berkuasa sebelum ini. Ketika negara mereka dilanda Tsunami pada tahun 2004, bilangan warga Aceh di negara ini semakin bertambah. Kini Aceh tidak lagi bergolak mahupun dilanda musibah, namun majoriti mereka enggan pulang sekaligus membina empayar di negara kita, itu hakikatnya.

Tadi, pada jam 4 petang saya singgah di kedai runcit milik warga Aceh di Seksyen 5, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor untuk membeli kacang hijau dibuat bubur.

“Siapa punya kedai ni?,” soal saya.

“Tengku ZM,” jawabnya (pekerja berbaju oren).

Untuk rekod, ZM, kini warganegara Malaysia berasal dari Aceh, pemilik rangkaian kedai runcit.

“Kamu pakai dokumen apa bekerja di sini?,” desak saya.

“Bos cakap dia mahu buat permit, dah 2 bulan tak buat buat lagi,” jawabnya jujur.

Saya kemudian menghubungi kenalan, pegawai polis. Menurutnya, polis ketika ini hanya memberkas warga Aceh terbabit melakukan perlakuan jenayah sahaja.

“Ada 8 balai polis di Petaling Jaya tetapi lock up diwartakan hanya 4. Kalau kita tangkap pendatang tanpa izin (PATI) Aceh, kita buka kertas siasatan, reman 14 hari, lock up sesak, penuh. Jadi kalau kita terima maklumat mengenai PATI, kita salurkan ke Bilik Gerakan Jabatan Imigresen, biar dia orang tangkap,” jelasnya.

“Kalau orang awam buat report polis?,” soal saya, ingin tahu.

“Kita tangkap jugalah,” balasnya.

Jam 7 malam saya dihubungi ZM melalui telefon bimbit.

“Sebab apa guna orang Aceh tak ada permit di kedai?,” tanya saya.

“Dia orang mendatang, kita cuma bagi kerja,” jawabnya perlahan.

“Encik warganegara, orang kaya, bawa Mercedes, banyak kedai runcit, takkan biarkan pekerja tanpa permit. Orang Aceh di Malaysia, memang kebal ke? Polis dan Imigresen tak tangkap?,” balas saya.

“Tak adalah begitu,” jawabnya ringkas sebelum membisukan diri.

Bagi saya, sebilangan warga Aceh di Malaysia, bersifat sudah diberi betis, hendak paha, melampau.

Apapun sekiranya pembaca ingin membuat aduan berhubung PATI, sila hubungi Bilik Gerakan Jabatan Imigresen di Putrajaya di talian 03-8880 1556.

Ahad, Disember 27, 2009

Nah Gambarnya! (Pertemuan Bloggers)

Sabtu, Disember 26, 2009

Ini Kisahnya (Pertemuan Bloggers)

Terima kasih kepada semua bloggers, kanak-kanak, muda dan tua sudi datang ke FRIM, Kepong, Selangor di antara jam 10 pagi dan 2 petang tadi.

Azrul dan tunangnya, Ayu, Azieazah, Kak Cik dan beberapa lain muncul 10.10 pagi (a perfect number). Lokasi dipilih mereka, kawasan lapang datar di tepi sungai di bawah rimbunan pepohon hijau.

Acara dimulakan apabila Azie mengambil alih tugas sebagai ‘tester’ makanan dan minuman dibawa secara pot luck. Hampir kesemua makanan dikatakan menjadi kegemarannya, itu hakikat.

“Ha! Bak sini dulu! Saya test,” katanya sambil mengambil tempat di tengah ‘gelanggang’, di kelilingi lain.

Sejam kemudian, bloggers lain tiba dengan keluarga dan rakan, 32 kesemuanya. Diana, Acu, Yuz, Mohd Rahman, Azrul, Azie, Kak Cik, Azizah, Rahmat, Idayu, Izan, Nor Sharifah, Norhayati dan DJ Epoi, semuanya gembira membawa pelbagai juadah. Mee goreng, bihun goreng, nasi goreng, nasi lemak, roti, jeli, dadih dan pelbagai lagi makanan.

Tetamu termuda dan berusia, Alia, 2 tahun dan datuknya, Nordin Hitam, 61 tahun (anak dan ayah Diana). Sedang Nordin melayan cucunya mandi di sungai berair jernih, bloggers lain sibuk bersembang. Editorially, cerita menyentuh soal pendatang tanpa izin, hantu dan kes Kartika. Kisah tidak mampu dipaparkan bloggers dalam tempelan mereka, itu perkiraan saya.

Cuaca pada awalnya cerah, mendung pada jam 12 tengah hari.

“Saya diam tadi bukan kosong, baca tu (jampi),” usik Mustafa, kakitangan Bernas, kini bertugas di Shah Alam, Selangor.

Mungkin nasib menyebelahi semua, awan mendung berarak pergi, cuaca kembali panas.

“Zaman dulu, sebelum majlis kahwin, keluarga pengantin buang baju pengantin atas bumbung rumah, petua elak hujan,” ujar Azie.

Memang Azie berulang kali mencuit hati semua dengan keletah dan gurauannya.

“Alah! Kereta tinted apa class? Buat apa pun kat dalam, asyik terlanggar gear,” katanya selamba.

Kak Cik hanya tersenyum mendengar komen 18SX rakannya.

Rahmat tiba dengan temannya, Rose, menjinjing jajan dan brownies. Pelbagai soalan diajukan kepada ‘pemburu hantu’ terbabit dan dijawabnya selamba sambil menunjukkan jari tangan kiri putus sewaktu kemalangan di Bukit Putus, Negeri Sembilan.

Blogger Azizah, bekas majestrit kini bertugas di Palace Of Justice, Putrajaya, datang bersama rakannya.

“Hilang stress bila datang ke gathering macam ini. Selalunya saya busy, bangun pagi sempat tengok MHI (Malaysia Har Ini) sahaja,” bisik anak kelahiran Kelantan itu.

Untuk rekod, tiada bloggers perempuan mandi kerana tidak dibenarkan memakai swimming suit seperti dipersetujui semua. Mereka bimbang air sungai mengalir, terhenti terkejut melihat keseksian dipamerkan, barangkali.

Syukur, makanan dibawa mencukupi untuk semua. Saya pasti mereka semua kenyang dengan juadah dihidangkan.

Tepat jam 2 petang, hujan turun lebat bagai mengetahui saat perpisahan tiba seperti dirancang. Diharapkan, itu bukan pertemuan pertama dan terakhir bagi semua pembaca blog ini.

“Next time kita buat di Kemensah, saya sponsor sound system, kita karaoke,” janji DJ Epoi.

Ya! Kita akan bertemu kembali, InsyaAllah. Apapun sekali lagi, terima kasih kepada semua datang dengan minda terbuka dan berhati ikhlas.

Gambar lain akan dimasukkan kemudian.

Pertemuan Bloggers



Seksa Ayam Kampung

Di kiri, gambar ‘Ayam daging’ saya rakamkan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur, jam 8 malam tadi.

“Selalu, ayam bertelur dua tiga biji sehari. Ayam ini bertelur mungkin sebiiji sehari, itu pun kadang-kadang. Bila jarang bertelur, dia dipanggil ‘Ayam pencen’, “ jelas peniaga.

“Bila mula jarang bertelur, mesti ayam takut, takut kena sembelih, kan?,” usik saya.

Peniaga tersenyum.

Daging ayam pencen (kanan) amat liat dan sesuai dimasak rendang. Itupun daging terpaksa direbus berjam lama, jika tidak sukar hancur ketika dikunyah.

Berhampiran gerai menjual ayam sudah diproses, saya rakamkan gambar di bawah, ‘Ayam kampung’. Untuk rekod, harga Ayam kampung jauh lebih mahal berbanding harga Ayam pencen dan Ayam daging. Biarpun mencecah RM21 seekor, daging ayam terbabit dianggap ‘istimewa’, kurang lemak dan lebih enak.

Bagaimanapun, Ayam kampung hanya istimewa selepas disembelih dan dijadikan hidangan. Ketika hidup, ayam dikurung di dalam bekas besi beruang sempit bergelumang najis. Lihat, puluhan ekor terpaksa berasak-asak mencari ruang untuk berdiri pada posisi lebih selesa. Hakikatnya, sebelum dibeli pelanggan, ayam di sangkar dibiarkan tanpa makanan dan minuman.

Justeru saya terfikir, banduan (penjenayah kejam) beberapa jam sebelum menjalani hukuman gantung sampai mati mandatori sekalipun wajib dihidangkan makanan terakhir mengikut permintaan mereka, ‘the last meal’. Samada mereka berselera menjamah juadah disediakan pihak penjara atau tidak, itu persoalan kedua.

Seperkara lagi, ramai aktivis memperjuangkan hak haiwan peliharaan seperti kucing dan anjing. Sebilangan mereka sanggup berpiket jika mendapati hak haiwan dicabuli, malah tidak kurang menangis teresak-esak andai melihat haiwan sama dibunuh kejam.

Seperti anjing dan kucing, Ayam kampung juga makhluk ciptaan tuhan, mempunyai hak. Jadi, mengapa perlu diseksa ketika masih bernyawa? Sebelum dijadikan makanan manusia?

Mana suara aktivis? Kononnya memperjuangkan hak haiwan? Lebih penting, mana suara kita dalam hal ini?

Nota Kepada semua bloggers mempunyai masa terluang, kita berjumpa di FRIM, Kepong, Selangor di antara jam 10 pagi dan 2 petang hari ini.

Jumaat, Disember 25, 2009

Bukan Senang Jadi Bunga

Dalam persembahan pentas, selalunya ramai kanak-kanak kepingin memegang watak putera atau puteri, watak kerap menjadi tumpuan penonton.

Berikut antara contohnya, manis.

Jika tidak berpeluang memegang watak utama, menjadi 'raindeer,' memacu peluncur salji Santa Claus sudah lebih daripada mencukupi.

Seperti di bawah ini.

Tetapi bagaimana jika terpaksa memegang watak sekuntum bunga merah? Mungkin ramai melihat watak kecil itu tidak langsung signifikan, kurang penting sekaligus sukar mencuri perhatian pernonton. Perhatikan reaksi watak bunga merah (berbaju hijau) di posisi bawah tengah gambar. Dia hanya mampu memerhatikan putera, putera, 'witch', 'angel', 'bee' melakonkan watak mereka sambil menari dan menyanyi gembira.


Penat menoleh ke belakang, dia kemudian kembali ke posisi asal sebagai bunga peghias pentas watak diamanahkan hanya memandang kehadapan (read: wajah bosan).


Saya kemudian merakamkan gambar 'bunga merah' tiba-tiba tersenyum. Bukan kerana dia menjadi tumpuan penonton tetapi kerana baharu tersedar gambarnya disiarkan secara langsung di skrin televisyen (tidak kelihatan) di hadapannya.


'Bunga merah' ini bernama Haziq (gambar bawah), berusia 5 tahun dan bersekolah tadika di Sepang, Selangor sama seperti 2 bunga lain, hijau dan biru. Mereka mengadakan persembahan pada jam 8.45 pagi tadi di program Malaysia Hari Ini dan tiba di Sri Pentas pada jam 7 pagi. Saya difahamkan, mereka semua terpaksa bangun awal, jam 5.30 pagi biarpun hari ini cuti umum, Hari Christmas.



Bagi saya, Haziq dan bunga lain, insan kecil berdisiplin, mampu bangun pagi, disolek (read: muka diconteng) kemudian menaiki kenderaan ke TV3 biarpun untuk memegang watak kecil sahaja.

Sedangkan sebelum ini saya pernah melihat artis tempatan, dewasa dan terkenal tiba di TV3, 30 minit selepas waktu diperuntukkan kepadanya membuat persembahan berakhir.