Sabtu, Disember 25, 2010

"Penduduk Di Sini Tidak Bersatu ..."

Malam tadi saya berpeluang menemubual Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Rahim Mohd Radzi, 53 tahun, anak kelahiran Kuala Kangsar, Perak.

Turut menjayakan program Hujah di TV9, Badrul Hisham Shabudin, Pengerusi Persatuan Penduduk Alam Taman Budiman, U10, Shah Alam, Selangor.


Tajuk dibincangkan, 'Mengukur penurunan indeks kadar jenayah'.

Sebelum ini saya berulang kali mendengar keluhan penduduk  kawasan perumahan berhubung  pelbagai kes jenayah berlaku.

Mereka memohon saya menghantar wartawan untuk membuat liputan antaranya kes ragut dan pecah rumah.

Teringat sewaktu tinggal di kampung lebih 25 tahun dahulu. Jika kejadian kecurian kerap berlaku, penduduk kampung secara bersepakat membentuk kumpulan peronda malam.

Untuk rekod, bermula Julai tahun ini, ahli Persatuan Rukun Tetangga dilaporkan menerima elaun RM500 sebulan berbanding hanya RM200 sebelum ini.

Di kampung pada waktu itu, mereka terbabit meronda berjalan kaki  melakukannya secara sukarela, tiada bayaran diterima. Usaha menjaga keselamatan kampung dilaksanakan secara bersepadu berasaskan semangat kekitaan.

Sebilangan isteri penduduk kampung juga berjaga malam, menyediakan minuman kopi 'O' dan biskut kering  secara bergilir-gilir sebagai juadah ringan untuk mereka bertugas. Tentunya rondaan dijalankan tanpa bantuan pihak polis atau Rela, jauh sekali dibantu kereta peronda, hanya membabitkan penduduk kampung sahaja.

Menjelang subuh, majoriti peronda ke kebun untuk menoreh getah.

"Malam tadi kasut Adidas anak diletakkan di bawah rumah kena curi," kata penduduk.

Bayangkan, kes kecurian kecil membabitkan kerugian tidak seberapa sekali pun dibincangkan jemaah surau sewaktu berborak selepas menunaikan solat maghrib dan isyak.

Kini, sebilangan penduduk taman perumahan hanya berharap pihak berkuasa seperti polis untuk menangani kes jenayah berlaku.

'Saya dan keluarga berasa amat bimbang melihat anak muda menghisap dadah di tingkat 5 blog G  setiap malam di kawasan perumahan kami. Kejadian pecah rumah juga semakin berleluasa. Saya bimbangkan keselamatan ahli keluarga sewaktu saya pergi bekerja. Minta bantuan untuk membuat tinjauan bagi memastikan keselamatan kami terjamin'

Itu antara kandungan pesanan ringkas pernah dihantar kepada saya sebelum ini.

Apabila pengadu dihubungi ...

"Penduduk ada membuat rondaan ke?," soal saya.

"Penduduk di sini tidak bersatu ... ," ujarnya.

Benar, 2 perkataan, 'tidak bersatu', kata kunci utama dalam kes ini.

Pengadu harus ingat, pengamal media cetak dan elektronik bukan pihak berkuasa. Wartawan dibantu jurukamera berperanan melaporkan kes jenayah sekaligus menyebarkan maklumat berhubung kaedah mencegah jenayah daripada berulang dengan bantuan pihak berkuasa.

Apa pun, wajarkah tanggungjawab memantau keselamatan kawasana perumahan diserahkan secara bulat-bulat kepada pihak berkuasa berikutan sikap penduduk tidak bersatu hati untuk bersama  mencegah jenayah?

7 ulasan:

  1. En. Badrul rupenye... Mlm tadi sewaktu menonton hujah saya ingatkan namanya Shamsul (mata makcik2 mcm gini le, kelabu...).

    Pada pendapat saya, walaupun sudah ada pengawal keselamatan & peronda Polis yg meronda sekali sekala, kita sbg penduduk perlu bersatu hati bersama-sama memantau keselamatan keluarga & kejiranan.

    Saya akui agak sukar utk melihat penduduk bersatu - contoh terdekat 18/12/2010 @ 5ptg tmn perumahan saya mengadakan mesyuarat melantik Pengerusi, Timbalannya, Bendahari & AJK yg baru berikutan drp Pengerusi berpindah ke negeri lain & melantik muka2 baru sesudah jawatan yg sedia ada tersandang di bahu mereka selama 2thn.

    Sambutan amat dingin walhal notis sudah dihantar 1 minggu sebelum itu. Mungkin mereka tdk nampak itulah ruang & peluang utk bertemu muka, bersapa dgn jiran tetangga (ada pot luck lg tu...) & yg paling penting blh menyuarakan segala permasalahan & cadangan yg membina demi keharmonian & keselesaan di tmn perumahan.

    Ingatlah, apabila kita ditimpa sesuatu musibah sewaktu berada di rumah, jiran tetanggalah yg sampai dulu menghulurkan tangan sebelum pihak polis/ambulan/adik-beradik/saudara-mara.

    "Jiran sepakat membawa berkat"

    Err... Cikgu, kelas intonasi suara & bahasa tubuh yg menarik perhatian audien bila Cikgu?

    BalasPadam
  2. Kita perlu mengembalikan semangat rukun tetangga yang di amalkan oleh orang tua kita zaman dahulu..

    Orang zaman dahulu mempunyai semangat kejiranan yang sangat baik.. Mereka banyak bekerjasama dalam semua perkara.

    Sebagai contoh masa waktu kenduri.. Kebanyakan masyarakat kampung zaman dahulu melaksanakan majlis kenduri kahwin dengan melaksanakan gotong-royong. Dengan cara ini akan menjadikan penduduk di sesuatu kawan tersebut bersatu dan lebih saling kenal mengenali antara satu sama lain..

    Zaman sekarang ni semua org sibuk dengan urusan kerja masing-masing.. Jadi semangat gotong-royong sewaktu mengadakan majlis kenduri sudah tidak dapat silaksanakan. Jadi kebanyakan majlis kenduri pada masa ini dilaksnakan dengan bantuan katering..

    saya nak pergi pasar mukah.. Jumpa di lain kali.. ;)

    BalasPadam
  3. Dulu kita sangka orang yg tinggal di rumah teres saja mudah ilang barang di luar rumah/porch tapi sekarang ni, duduk di flat tinggi pun, mudah juga hilang sepasang dua kasut. Kadang2 helmet pun lesap!

    BalasPadam
  4. Pembetulan tuan ; Persatuan Penduduk Taman Alam Budiman, Seksyen U10, Shah alam (PPTAB). bukannya Persatuan Penduduk ALAM Taman Budiman, U10, Shah Alam, Selangor.

    Terima kasih kerana 'nampak' kami di Taman Alam Budiman. kalau rajin, sila layari www.alambudiman.net

    BalasPadam
  5. Saya masih ingat ketika tinggal di Seksyen 14, PJ pada awal tahun 70an pasukan Rukun Tetangga bergiat aktif dari maghrib hingga ke suboh. Kami lakukan secara 3 shift atas semangat kejiranan dan muhibah semua kaum. Memang seronok. Hubungan kami juga amat akrab dengan semua jiran2.

    BalasPadam
  6. mmg sukar utk mendapatkan sokongan semua penduduk, sbb itu kami di Taman Alam budiman menggunakan pelbagai mekanisma utk mendapat keyakinan penduduk terhadap persatuan seperti laman web yg aktif, forum dan buletin. malahan kami mempunya sistem sendiri iaitu sistem maklumat penduduk, sistem penyata bayaran online dan sms blaster. semuanya dibangunkan oleh kami sendiri. Sehinggakan AGM kami juga menggunakan e-vote dlm proses pemilihan AJK. Selain itu, persatuan juga perlu aktif dgn pelbagai program..
    Bila penduduk yakin dan nampak komitmen persatuan, maka lebih mudah utk mendapat sokongan penduduk...
    Terima kasih mazidul kerana banyak share pengalaman dengan kami masa hujah hari tu...

    BalasPadam
  7. Salam semua,

    Merujuk kepada program Hujah yang telah disiarkan secara langsung pada 24 Disember 2010 yang lalu, pihak kami mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang untuk turut serta di dalam program tersebut dan dapat duduk semeja serta bertukar fikiran bersama Yang Berbahagia TKSU Kementerian Dalam Negeri(KDN) Dato' Abdul Rahim serta pengacara terkenal Saudara Mazidul

    Pihak kami juga berasa amat sukacita mengetahui kadar jenayah telah dapat dikurangkan, dan kami yakin hasil membanggakan ini adalah kerana usaha dan komitmen kerajaan terutama KDN, polis, masyarakat dan juga pihak media seperti TV9.

    Kepada KDN kami ucapkan tahniah dan berharap agar usaha dapat diteruskan dan dipertingkatkan demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.

    Kepada TV9 Kami ucapkan ribuan terima kasih atas keprihatinan stesen ini mengetengahkan isu-isu keselamatan. Harap banyak lagi slot-slot seperti ini dapat dibuat kerana kami yakin impak yang baik dapat diberi dengan usaha yang berterusan.

    Kami pula dari perspektif komuniti dan individu, akan memberi kerjasama dan sokongan sepenuhnya kepada semua demi mengekalkan tahap keselamatan dan keharmonian negara kita yang tercinta. Kami juga berharap agar KDN dan juga TV9 dapat memperbanyakkan lagi penglibatan persatuan penduduk dalam program-program yang akan datang.

    Kami akhiri dengan ucapan terima kasih daun keladi, kalau ada rezeki kita jumpa lagi. Untuk apa jua urusan, boleh hubungi kami di 010 334 0474 atau email kami di abra@alambudiman.net

    Sekian, terima kasih

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.