Ahad, September 11, 2011

Restoran Mamak Berpengawal Bersenjata?

Dua hari lalu, Kongres India Muslim Malaysia, Kimma, mencadangkan semua restoran mamak dilengkapi pengawal keselamatan bersenjata ekoran beberapa kejadian rompakan. 

Baca laporan berhubung cadangan itu di sini.

9 September lalu, saya juga menulis berhubung kes rompakan nekad di kedai mamak sekaligus menyentuh isu berhubung keselamatan pelanggan.

'Jika kegiatan jenayah berterusan, pelanggan bakal takut dan mungkin mengambil keputusan untuk tidak berkunjung ke restoran terbuka. Sukar membayangkan, andai pengawal keselamatan bersenjata api terpaksa digajikan untuk sentiasa bersedia menjaga kesejahteraan pelanggan'

Tampalan lengkap di sini.

Bayangkan, sedang kita makan di restoran mamak, setiap gerak-geri diperhatikan oleh pengawal keselamatan bersenjata.

Mungkin pelanggan berasa lebih selamat tetapi jika pelanggan mempunyai pilihan lain, masihkah perlu menjamu selera di restoran mamak?

Melalui informasi dipaparkan oleh media, setakat ini kumpulan perompak terbabit dilaporkan tidak menjadikan restoran Melayu sebagai sasaran mereka. Hanya premis menjual makanan diusahakan oleh mamak dan Cina disamun. Mengapa?

Saya sendiri tidak mempunyai jawaban kepada soalan itu.

Hakikatnya saya berasa amat terkilan kerana penyamun terbabit didapati merampas barangan berharga milik pelanggan. Untuk mendapatkan wang, mereka kemudiannya dipercayai menjual barangan seperti komputer riba dan telefon bimbit kepada pembeli untuk mendapatkan wang tunai.

Masakah komputer disamun digunakan oleh mereka untuk melayari Facebook.

Hemat saya, kumpulan perompak itu pasti akan tumpas. Pihak polis semestinya tidak berdiam diri pada ketika ini cuma hasil siasatan tidak didedahkan kepada masyarakat. 

Jika polis gagal menangani kes jenayah itu, kritikan pasti menghujani pihak berkuasa.

Justeru, saya melihat Kimma harus berbincang dengan pihak polis untuk mengetahui perkembangan hasil siasatan dan tindakan pihak berkuasa itu. Tindakan terburu-buru menggajikan pengawal keselamatan bersenjata api akan memberikan gambaran negatif kepada pelancong dari luar negara.

"Oh! My God! I was in Malaysia last week and guest what? Many restaurants over there were being heavily guarded," ujar Jack.

Mungkin Jack, rakyat Amerika Syarikat berkata begitu sebaik bertemu rakan dan taulan di negara asalnya.

Izinkan pihak polis menangani masalah itu.

Ada baiknya pada masa sama, Kimma melihat satu isu lain.

Latih pekerja dari India berkhidmat di restoran mamak agar mampu menguasai bahasa dan mempelajari budaya tempatan.

Bukan hanya sekadar mampu bertanyakan soalan lazim ...

"Makan? Minum?"

Kimma semestinya akur, restoran mamak dikunjungi oleh ramai pelanggan pelbilang kaum kerana servis cepat berikutan bilangan pekerja lebih ramai. Mungkin kerana perniagaan mendapat sambutan, majoriti pemilik restoran tidak begitu mengambil endah berhubung keupayaan komunikasi dan sikap pekerja warga asing mereka. Asalkan jumlah jualan harian lumayan, sudah. Mereka hanya datang ke restoran untuk mengutip wang tunai hasil jualan.

Sebelum ini, Persatuan Pemilik Restoran Muslim Malaysia, Presma, mendedahkan kurang 100 pertanyaan diterima berhubung 45,000 jawatan kosong di premis menjual nasi kandar dan mamak.

Maksudnya, rakyat tempatan tidak berminat berkhidmat di restoran bernaung di bawah Presma biar pun gaji bulanan ditawarkan di antara RM800 dan RM1,300.

Manakala penyelia dan tukang masak pula diberikan imbuhan di antara RM1,500 dan  RM2,500 sebulan.

Baca laporan berkaitan di sini.

Saya percaya pembaca mempunyai pandangan peribadi mengapa jawatan terbabit gagal diisi?

Jom kita kongsikan secara jujur agar Presma tahu sebabnya.

6 ulasan:

  1. Benar! Pelayan di restoren mamak tidak faham bahasa Melayu.
    Saya pernah pergi ke sebuah restoren mamak di Cyberjaya.
    Saya memesan minuman air tembikai.
    Saya memesan dalam bahasa Melayu kerana saya pasti saya berada di Malaysia, tanah tumpah darahku.
    Pelayan itu tidak faham apa yang saya sebutkan.
    Saya hanya menyebut perkataan mudah, iaitu "air tembikai".
    Saya tidak menggunakan bahasa Melayu tinggi.
    Tapi, pelayan itu masih tidak faham apa itu "air tembikai".
    Saya masih yakin yang saya sedang berada di Malaysia.
    Oleh itu, saya pun berterusan menyebut "air tembikai" sehinggalah rakan saya menyebut perkataan "watermelon" kepada pelayan itu.

    BalasPadam
  2. tak sanggup nak makan di kedai yg ada pengawal bersenjata. takut pula kalau pengawal tu "ter"cuai dan senapang tiba2 meletup! Ishhh!

    BalasPadam
  3. SRS Training & Consultancy mengesyorkan supaya pekerja restoran di latih dengan ilmu beladiri yang sesuai dengan keadaan semasa. SRS menawarkan kursus percuma beladiri - MENANGANI SERANGAN PARANG untuk mereka yang berminat. http://www.facebook.com/event.php?eid=189085471163288

    BalasPadam
  4. KELAKARNYA..KATA ADA CCTV MAERATA2 TEMPAT DAN POLIS BUAT RONDAAN 24JAM. MASIH TAK CUKUP LAGI KE???ITULAH KERAJAAN TIDAK MELAKSANAKAN HUKUMAN ISLAM. LEPAS INI TAJUK CERITA APA PULA.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.