Selasa, Ogos 04, 2009

Kera Terus Disusukan

Ahad lalu saya meninjau penempatan warga Indonesia dipercayai buruh binaan bekerja membina Sekolah Rendah Mutiara Damansara, Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Rumah papan didirikan mengguna bahan pembinaan terbuang terletak di kawasan berpagar di atas bukit, justeru tersorok dari pandangan orang ramai lalu-lalang di jalan utama berhampiran. Tinjauan saya pada jam 2 petang mendapati sebilangan penghuni sibuk makan tengahari. Dipercayai majoriti mereka membina koloni di kawasan itu, kaum Madura berasal dari Indonesia.

Timbul persoalan, sebagai buruh binaan, adakah mereka berhak mendirikan penempatan sewenang-wenangnya? Jika kehadiran mereka lengkap memiliki dokumen sah, majikan wajib menyediakan penempatan lebih sempurna?

Saya difahamkan, ada pihak mendesak pihak berkuasa merobohkan penempatan sama. Khabarnya, penempatan terbabit pernah diserbu RELA Daerah Wilayah Petaling sebelum ini, namun warga asing bermaustatutin tetap engkar dan berdegil tinggal di penempatan itu.

Lebih menghairankan, rumah mereka dilengkapi bekalan elektrik, jika tidak masakan antena TV kelihatan terpacak hampir di setiap rumah. Dari mana sumber elektrik mereka? Adakah bekalan elektrik didapati secara sah atau sebaliknya? Tidakkah pihak berkuasa tempatan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Jabatan Imigresen tahu mengenai penempatan itu?

Jika tidak, biarlah 360 membongkar kisah di sebalik penempatan warga Indonesia terbabit dan kemudian saya percaya baharulah banyak pihak akan membuka mata.

Saya hairan, sedang 23 keluarga berketurunan India di Kg. Buah Pala, Pulau Pinang berhadapan dilema dipaksa meninggalkan penempatan mereka seluas 2.6 hektar, warga asing di Selangor, jelas bebas mendirikan rumah sesuka hati tanpa dipersoalkan.

Nampaknya, kera di hutan masih disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

* Jumlah kematian akibat Selsema Babi semakin bertambah, risau?

Tuala Wanita Bersepah!

Tandas kotor, senario biasa dilihat di pelbagai premis berbeza di negara kita. Di kedai makan, di stesyen minyak malah di surau dan masjid.

Di rumah, majoriti pengguna lelaki atau perempuan lebih prihatin. Selepas menggunakan tandas, mereka jarang lupa ‘flush’ kerana kelalaian itu akan mengakibatkan mereka ditegur, dikritik dan dileter panjang ahli keluarga lain.

Bagaimanapun sikap kebanyakan pengguna berubah sejurus memasuki tandas awam. Sebilangan lelaki membuang air kecil atau besar dan kemudian selesa membiarkan najis berselerak di dalam mangkuk tandas. Selamba mereka keluar sambil bersiul dan kemudian membasuh tangan. Tidak langsung memikirkan pengalaman menjijikkan bakal ditempuh pengguna seterusnya. Mengapa berlaku begitu?

Perhatikan, golongan hawa seringkali kelihatan rapi dan molek apabila keluar dari tandas. Saya yakin selain membuang air, cermin besar di tandas digunakan wanita antaranya untuk tujuan menghias diri, berbedak, mengenakan gincu, membetulkan kedudukan tudung senget dan menyisir rambut kusut.

Namun, hemat saya, keadaan tandas perempuan mungkin tidak jauh berbeza berbanding tandas lelaki, malah mungkin lebih teruk.

“Jomlah pergi toilet lain, sini teruklah, busuk dan kotor gila, I sanggup tahan dulu,” komen perempuan bergegas keluar dari tandas..

Suami atau teman lelaki hanya menunggu di luar, tandas perempuan kawasan larangan. Lelaki waras tidak berani menjenguk apatah lagi masuk ke tandas perempuan untuk meninjau.

“Cis! Sial betul! Pad (tuala wanita) bersepah dibuang merata, pengotor tahu dia orang ni!,” komen lain sering didengar.

‘Dia orang’, merujuk kepada perempuan bukan lelaki, pastinya.

Sejauhmana benarnya kenyataan 'perempuan tidak berhemah bila menggunakan tandas'?

* Pondan dan pengkid masuk tandas lelaki ke perempuan?

Isnin, Ogos 03, 2009

Nasib Ikan Kecil

Dilaporkan lebih 20,000 peserta terbabit dalam demonstrasi membantah Akta Keselamatan Negeri, ISA, Sabtu lalu, 1 Ogos 2009.

Polis menahan 589 peserta demonstrasi, 572 dibebaskan setelah selesai proses pendokumentasian.

29 didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, 16 daripada mereka didakwa menyertai perhimpunan haram manakala 13 lagi termasuk remaja berusia 16 tahun didakwa membekalkan kemeja-t Perhimpunan Gagasan Memansuhkan ISA di demonstrasi sama.

Dilaporkan, setiap dewasa dibebaskan dengan ikat jamin RM500, kanak-kanak RM300 sebelum dipanggil semula ke mahkamah untuk dibicarakan.

Dianggarkan jumlah wang jaminan terbabit RM14,300.

Barangkali sebilangan mereka didakwa terpaksa meminjam untuk menjelaskan wang jaminan terbabit dan bakal turun naik mahkamah, pastinya membabitkan kos.

Itu, nasib ‘ikan kecil’.

Apapun, 'ikan besar' dibebaskan tanpa perlu membayar wang jaminan.

Ahad, Ogos 02, 2009

Demonstrasi Jalanan SAMA Perarakan Maulidur Rasul?

NIAT mereka terbabit dalam demonstrasi 1 Ogos 2009, mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA. Itu hak mereka.

Tetapi CARA mereka menyusahkan pelbagai pihak.

1. Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin jumlah kerugian dan kerosakan harta benda terpaksa ditanggung peniaga di Kuala Lumpur mencecah RM200 juta.

2. Sistem pengangkutan Transit Aliran Ringan, LRT tergendala apabila Stesyen LRT Masjid Jamek ditutup di antara jam 12 tengahari dan awal malam. Warga emas, wanita dan kanak-kanak terpaksa berjalan jauh ke stesyen LRT terdekat.

3. Pengunjung pusat membeli belah di bandaraya mendakwa terkurung lebih 2 jam kerana takut keselamatan tergugat akibat demonstrasi dianjurkan.

4. Demonstrasi turut membabit juvana, buktinya 37 remaja ditahan semalam.

Kesimpulannya, NIAT TIDAK MENGHALALKAN CARA.

***
Saya terbaca Hazrey menulis, ‘Berarak cara itu (demonstrasi anti-ISA) bukan cara Islam. Menyusahkan orang lain kerana nak tunjukkan kekuatan kita berkumpul’.

Komen terbabit kemudian dibantah Abuamin, catatannya sinis ditujukan kepada Hazrey, ‘Bro, kalau gitu, bro patut saman semua Jabatan Agama termasuk JAKIM kerana menganjurkan perarakan Maulidur Rasul dan Maal Hijrah setiap tahun. Itu bukan ‘ajaran Islam’ bro ..’

Komen saya, hairan, bagaimana Abuamin boleh MENYAMAKAN demonstrasi jalanan semalam dengan perarakan Maulidur Rasul dan Maal Hijrah kerana perarakan terbabit tidak menyusahkan pelbagai pihak berbanding demonstrasi jalanan dianjurkan.

KECUALI jika Abuamain bersetuju dua sambutan besar dalam kalendar Islam terbabit menyusahkan pihak tertentu.

Kata anda?

* Gambar: Lelaki, 77 tahun dan anak dari Alor Star, Kedah, terperangkap di Stesyen LRT Masjid Jamek akibat demonstrasi jalanan.

* Klik 'Abuamin' di komen, TIADA profil. Ish! Ish! Peserta demonstrasi semalam, ramai tutup muka :)

Belikan Seluar Dalam

Ada lelaki bernafsu terhadap lelaki. Mereka suka tanya, “Top, bottom atau flexi u ols?”

Ada perempuan bernafsu terhadap perempuan. Mereka suka kata “You sweet sangatlah sayang”

Ada lelaki ‘tukar’ jadi perempuan. Mereka suka kata, “Tak kuasa mak nyah!”

Ada perempuan ‘tukar’ jadi lelaki. Mereka suka kata, “Sayang cakap sahaja, nak bra mana satu, ‘abang’ belikan. ‘Abang’ tak perlu sebab pakai bengkung dada, biar flat. Nasib baik ada ‘abang’, lelaki kemut, silap-silap sayang kena belikan seluar dalam dia orang, kan?”

Terfikir, mengapa mereka suka tanya dan kata begitu?

* Pengkid berbaju belang dipanggil 'papa' :)

Sabtu, Ogos 01, 2009

Anak Kecil Bantah ISA?

Hari ini, ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur lumpuh. Hampir semua jalan masuk ke bandaraya ditutup. Jalan masih dibuka, sesak dengan kenderaan bergerak macam siput.

Stesyen Transit Aliran Ringan, LRT Masjid Jamek ditutup berikutan demonstrasi anti-Akta Keselamatan Dalam Negeri, ISA. Berikutan itu ramai penumpang tersekat, tidak mampu pulang ke rumah sehingga jam 7 malam tadi. Mereka termasuk warga emas, wanita dan bayi.

Manakala peniaga pasar malam di Jalan Tunku Abdul Rahman marah, banyak barang mereka rosak akibat peserta demonstrasi haram membantah ISA bertempiaran lari ke lokasi mereka berniaga sewaktu dikejar polis. Bimbangkan keselamatan tergugat, majoriti peniaga kedai di jalan sama menutup perniagaan mereka.

Semasa tiba berhampiran di hadapan Stesyen LRT, saya llihat kebanyakan peserta berhimpun di dalam dan hadapan Masjid Jamek. Mereka duduk berkumpulan, bersembang dan memerhati pergerakan polis trafik, Light Strike Force dan Pasukan Simpanan Persekutuan,FRU, bertugas di kawasan sama.

Saya sempat merakamkan gambar anak kecil berkopiah putih memakai t-shirt dengan logo ‘anti-ISA’ ini. Sedangkan lelaki dewasa bersamanya, mungkin bapa anak itu, tidak memakai t-shirt sama. Mungkin gentar menampilkan ‘perjuangannya’ melalui logo t-shirt sama. Persoalannya, mengapa mengheret anak kecil ini menyertai demonstrasi tanpa permit anjuran Gabungan Mansuhkan ISA, GMI? Sedangkan saya percaya dia sendiri tidak memahami erti ISA.

Jika ingin mendesak ISA dimansuh sekalipun, membawa anak kecil kelokasi itu dilihat sebagai eksploitasi kanak-kanak sekaligus bukan satu langkah bijak. Dia terpaksa berdepan semburan air atau gas pemedih mata FRU.

“Dia bawa anak kecil, kalau polis nak tangkap tak boleh. Tangkap bapa, siapa nak jaga anak tu?,” bisik anggota polis berdiri di sebelah saya.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohd Sabtu Osman, sehingga jam 6 petang 1 Ogos 2009, 438 ditahan termasuk 37 perempuan dan 38 remaja.

* Lain kali jika ingin berdemonstrasi, buat di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor. Jangan susahkan orang lain. Menyusahkan orang lain itu sebenarnya perbuatan KEJAM dan tidak ADIL.

Makan Sup Pakai Garpu

“Apa fasal kau makan sup pakai garpu?,” tanya Gayah kepada kawan lelakinya, bertubuh 'six-pack', Boon Tut.

“Kau tak faham Gayah, itu pilihan aku, manusia tak sama. Aku memang tak suka makan sup pakai sudu, aku tak sama macam kau. Lagipun itu hak individu, so aku pilih garpu,” jawab Boon Tut.

Sejak kecil, Boon Tut diajar ibu menghirup sup menggunakan sudu, mudah, selamat, tidak bercanggah dengan perlakuan normal dan adat makan. Bagaimanapun, pilihannya berubah.

“Actually bukan kau sahaja pernah tegur aku, ramai lagi. Tetapi dia orang siapa? Apa hak dia orang? Aku suka garpu dan tak suka sudu. Kau tak faham perasaan aku. Aku ‘stim’ jilat garpu bila makan sup. Bila sup tu menitis di celah garpu, jilat, jilat dan jilat. Pergh! Nikmat gila, terangakat punggung tahu?,” hujah Boon Tut.

Berkerut dahi Gayah, keliru.

“Kalau masa jilat, garpu tercucuk lidah, padan muka kau! Berdarah lidah, silap-silap nanti berulat, lepas tu lidah kau tanggal. Masa tu baru kau nak guna sudu?,” ujar Gayah.

“Gayah, kau boleh tegur aku tetapi jangan kutuk ok! Apapun, aku tahu, sesuatu tidak kena bila aku makan sup pakai garpu. InsyaAllah, satu hari nanti aku akan berubah tetapi perubahan memerlukan masa,” jawab Boon Tut.

“Nak berubah macam mana? Langsung tak ada usaha. Seingat aku, dulu masa awal kenal kau, aku nampak kau makan sup pakai garpu, sekarang ‘anak garpu’, garpu kecil punya banyak kau simpan dalam handbag. Pelik sungguh, stim terlampau kau ni Boon Tut,” sambung Gayah.

Boon Tut, spontan membuka zip beg tangan dan membelek kandungannya.

“Betullah, aku sedar tu. Habis, kau nak suruh aku jumpa dan minta nasihat Tok Guru Nik Aziz ke?,” Boon Tut tercabar.

“Ish! Kesitu pula kisahnya, bila orang tegur nak melatah, Boon Tut, kau kawan aku sebab itu aku nasihat. Lagipun sekarang ni dah ramai sangat spesis makan sup pakai garpu di negara kita, di seluruh dunia. Perbuatan tu ‘songsang’, aku rasa kalau kau jumpa Tok Guru, for sure dia pun tak makan sup pakai garpu tahu,” Gayah tersenyum.

Berulangkali ditegur Gayah, Boon Tut masih makan sup menggunakan garpu, biarpun perbuatan itu sia-sia tetapi kerana hak memilih dan didorong nafsu songsang, dia masih tidak berubah.

“Kalau dah nama Boon Tut, sampai bila pun akan terus suka Boon Tut,” kata Gayah.

“Eh! Kesitu pula kisahnya, kau marah ‘mak’ ke?,” soal Boon Tut pantas.

“Tak. Cuma aku rasa terkilan, bercakap dengan kau ni, tak ubah macam mencurah air ke daun keladi. Apa pun lain kali, aku akan nasihat lagi dan sebagai kawan aku tidak akan berhenti memperingatkan kau, makan sup guna sudu, bukan garpu,” tegas Gayah menamatkan perbualan.