Sabtu, Ogos 08, 2009

Mereka Beruban

Tahun 1987, saya berpeluang bertemu lebih 300 remaja, majoriti pelajar terbaik sekolah berasrama penuh dari seluruh pelusuk negara. Bernasib baik, kami semua ditaja Jabatan Perkhidmatan Awam melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat. Sebelum ke luar negara kami bersama menuntut selama 2 tahun di Kolej Pengajian Persediaan, KPP di Seksyen 17, Shah Alam, Selangor, batch pertama.

Waktu itu semua masih muda, berusia 17 tahun. Rambut hitam bergaya, badan sihat bertenaga dan bujang, ertinya kemana sahaja tiada siapa menghalang samada siang atau malam.

Kini, pada usia 42 tahun, mereka semua sudah berkeluarga, beranak pinak dan berjaya dalam kerjaya. Apapun dari pengamatan saya, majoriti mereka berkongsi ‘pengalaman’ sama, Sindrom Takut Bini, STB.

“Bukan kami takut bini, bini tak takut kami,” luah Norzal Ghazali atau nama jolokannya ‘Mat Jo’ secara rela.

Rakan lain tersenyum, ada tertawa, mereka tahu STB hanya bahan gurauan sahaja, tidak lebih daripada itu.

Mat Jo, bapa kepada 4 anak, gemar menyakat rakan, sejak azali. Sewaktu remaja gila rugbi, kini hanya futsal. Mungkin kerana faktor usia dan tubuh semakin kurang berdaya.

“Tengok tu, bila nak bersembang suruh anak main jauh-jauh, takut anak report kat bini,” ujar Huzaidi Zawawi mengusik Mohd Razif.

Razif kini beruban lebat, bukan kerana cabaran menjadi bapa kepada 4 anak berusia di antara 5 dan 16 tahun, barangkali kesan bebanan kerja keterlaluan. Dia perunding IT ( bukan ‘ibu tunggal’ tetapi teknologi maklumat ) di Openminds, syarikat beroperasi di Cheras, Kuala Lumpur.

“Marriage aku long lasting, 17 tahun,” tambahnya.

Isterinya, Rohana Zainon, kawan dan pernah tinggal sebilik dengan Zalina sewaktu menuntut di KPP. Zalina, isteri Farid atau ‘Apek’, rakan sekelas semasa menjalani kursus Bahasa Inggeris saya dahulu.

“Kenal tak siapa tu?,” tanya Farid kepada isterinya.

Berkerut dahi Zalina seketika.

“Ulik lah,” celah saya melenyapkan tanda tanya.

‘Ulik’ atau nama sebenarnya Rosli, kini berniaga sendiri, mengurus sisa pepejal di Tawau, Sabah. Sebelum ini dia berkhidmat dengan syarikat pengutip sampah, Alam Flora. Rambut Ulik seperti rambut Raziff, beruban, cuma tidak begitu ketara kerana dipotong pendek.

“Aku kahwin dengan adik Nazri Mokhdar (Ayi), sekarang dia abang ipar aku,” ujar Ulik.

‘Ha?,” saya agak terkejut.

Nazri Mokhdar, rakan sebilik sewaktu kami tingal di Seksyen 18, Shah Alam. Malam tadi Ayi mengenakan penutup kepala, mungkin rambut dia juga beruban seperti rambut Ulik dan Razif.

“Engkau buat cerita hantu di Bukit Putus, Kuala Pilah. Sekarang aku nak balik malam fikir dua tiga kali tahu,” sampuk Nazri Juda.

Nazri, kontraktor berjaya kini bermaustatutin di Negeri Sembilan, isterinya Norzehan, pernah menuntut bersama saya di Miami, Florida lebih dua dekat lalu.

Paling kelihatan formal malam tadi, Hafidz Jamaludin, kemas berbaju kemeja belang biarpun jam di tangan saya menunjukkan pukul 12 malam. Namun, dia juga beruban.

Hakikatnya, kisah kehidupan kami berbeza, namun masih bersahabat dan mesra seperti 22 tahun lalu biarpun hampir semua beruban, kecuali saya. Eh! Ya ke?

* Atas: Mazidul, Razif, Huzaidi dan Hafidz

* Tengah: Ulik

* Mat Jo (paling kiri), Nazri Juda (paling kanan)

Bangsa SMS

Antara 7 wasiat Raja-Raja Melayu sewaktu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 …

‘Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu’

Gambaran jelas kepentingan bahasa khususnya kepada rakyat Malaysia.

Blog tulisan Tun Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim antara ribuan blog dicatat menggunakan Bahasa Melayu. Biarpun kandungan blog berbeza tetapi bahasa mereka gunakan sama, Bahasa Melayu.

Bagaimanapun ramai juga blogger berkongsi ide mereka di blog menggunakan bahasa Sistem Pesanan Ringkas, ‘Bahasa SMS’.

Antara contoh saya kutip di blog ‘Italembut’, klik [ Italembut ], ‘x’ bermakna ‘tidak’, ‘kol’ bermakna ‘call’, ‘taw’ bermakna ‘tahu’, ’uols’ bermakna ‘you all’, ‘gittew’ bermakna ‘begitu’, ‘ko’ bermakna ‘engkau’, ‘ske’ bermakna ‘suka’ dan ‘ittew’ bermakna ‘itu’ - tima ksh Ita.

Lebih menghairankan, majoriti mereka menggunakan Bahasa SMS di blog terdiri daripada kelompok terpelajar dan profesional, antaranya GURU, pereka hiasan dalaman dan jurutera. Barangkali, mereka kurang memahami perbezaan di antara penulisan blog dan SMS. Penulisan SMS wajar pendek dan ringkas kerana ruang terhad, sekaligus membabitkan kos berbanding di blog, banyak ruang dan percuma. Biarpun bukan pakar bahasa, secara realistik, saranan saya, marilah bersama kita menggunakan Bahasa SMS semasa menulis SMS sahaja bukan di blog.

Penat benarkah jari menaip ‘tidak’ berbanding ‘x’?

Apapun, saya menyanjung golongan gemar menulis kerana majoriti mereka suka membaca dan mencerna maklumat. Jika tidak, pasti sukar memerah otak untuk menghasilkan catatan bernas menjadi bahan bacaan ramai. Jauh berbeza berbanding sebilangan blogger sekadar taksub memuatkan gambar lucah di blog mereka, ‘a picture tells a thousand words’, justeru tidak perlu menulis panjang.

Ramai tahu, bahasa melambangkan bangsa. Mereka berketurunan Melayu berbahasa Melayu, India berbahasa Tamil dan Cina antaranya berbahasa Mandarin dan Kantonis.

Pengguna bahasa SMS, bangsa SMS?

Jumaat, Ogos 07, 2009

Di Antara Arak Dan Judi

Sebelum ini ada pihak bertanya, mengapa kegiatan perjudian sekian lama wujud di negara ini?

Tikam ekor dan judi di kasino, antaranya.

Ada pihak menjawab, selain Melayu berugama Islam, Malaysia mempunyai rakyat pelbagai bangsa, mengamalkan budaya dan menganuti kepercayaan ugama berbeza. Sekaligus pelbagai tuntutan perlu dipenuhi.

Ada pihak kemudian mencelah mengatakan kerajaan ‘menghalalkan’ kegiatan terbabit. Jika tidak masakan tikam ekor dan judi di kasino diamalkan secara terbuka sesetengah kelompok berminat.

Bagi saya, itu logik biarpun saya akur bukan cendikiawan dalam perihal politik.

Kemudian, isu penjualan arak secara terbuka di Selangor menarik perhatian saya. Kini Selangor bukan lagi di bawah pemerintahan kerajaan terdahulu, fakta semua orang tahu. Justeru, mengapa penjualan arak masih tidak diharamkan? Mengapa terus diperdebatkan?

Adakah kerana alasan sama?

‘Selain Melayu berugama Islam, Malaysia mempunyai rakyat pelbagai bangsa, mengamalkan budaya dan menganuti kepercayaan ugama berbeza. Sekaligus pelbagai tuntutan perlu dipenuhi’

Mungkin pembaca mempunyai pandangan tersendiri ingin dikongsi.

Apapun, usah terlalu emosi.

* Hanya terjumpa gambar kecil sahaja :)

* Hari ini, 7 Ogos 2009, Kerajaan Negeri Selangor melalui Menteri Besarnya membuat keputusan meneruskan penjualan arak secara terbuka.

Khamis, Ogos 06, 2009

Update - Ibu Tunggal Islam Kini Ke Gereja

Entry di bawah dirujuk.

Pagi tadi saya menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Jam 6.20 petang tadi saya bercakap dengan pegawai JKM bertugas. Ibu tunggal berusia 36 tahun itu menghantar emel menggunakan akaun orang lain. Dia pernah bertugas sebagai pramugari dan kemudian berhenti kerja dan menetap di Rawang, Selangor. Ketika itu dia menerima bantuan Baitulmal Cawangan Rawang sebanyak RM350 untuk menampung kehidupan 8 anak berusia di antara 6 dan 13 tahun. Suaminya, penagih dadah, kini dilaporkan berada di Brunei.

Sebulan lalu dia berpindah ke Chow Kit Road, Kuala Lumpur dan memohon bantuan JKM Wilayah Persekutuan. Empat daripada anaknya ‘diberikan’ kepada keluarga dengan perjanjian dia tidak berhak menjenguk anaknya. Manakala 4 lagi anak tinggal bersamanya.

Bermula 1 September 2009, dia akan menerima bantuan kewangan berjumlah RM400 setiap bulan. Anaknya bersekolah di Sekolah Kebangsaan Jalan Batu, Kuala Lumpur juga diberikan bantuan berbentuk makanan percuma.

Bagaimanapun semasa berada di rumah, mereka sekeluarga dikatakan masih mendapatkan makanan dari gereja berhampiran.

Kekadang sebilangan manusia mengkisahkan cerita berbeza berbanding keadaan sebenar. Itu komen saya.

Update

Jam 9.30 malam tadi, 6 Ogos 2009, saya bercakap melalui telefon dengan ibu tunggal, IT menghantar emel di bawah, saya nyatakan kepadanya, saya akan membantu jika dia bercakap benar.

"Awak berani bersumpah atas nama Allah tidak menipu?," soal saya.

"Alamak! Saya dah tak boleh cakap nama tu," balasnya.

"Puan, murtad soal berat, seseorang boleh menjadi murtad melalui niat, perkataan dan perbuatan," saya jelaskan.

"Itu saya tahu," jawabnya.

"Jadi, puan masih Islam atau sudah bertukar agama," katanya.

Berikut SMS dihantar kepada saya selepas perbualan.

'Maaf, saya bukan minta bantuan JKM, cuma tolong kupas masalah saya. Saya dibantu pihak Kristian dan saya telah memohon tukar agama'

Beberapa minit kemudian dia menghantar SMS berikut.

'Saya bukan tipu, bukan minta bantuan, cuma mahu isu ini dikupas. Tapi tak apa, saya masih lagi Islam kerana saya baru kaunseling dan belajar akidah Islam semula'

Serius, saya pening.

Update - emel ke 2

'Saya adalah seorang ibu tunggal dengan 8 anak serta tidak ada nafkah dari pihak suami. Cerita saya memang panjang dan ia berlaku dalam masa 3 tahun ini selepas penceraian saya.. Kehidupan memang sukar dan saya pernah di halau oleh MPS gara2 rumah yang saya duduki tidak dijelaskan bayaran oleh bekas suami dan bermula lah episod saya dan anak2 menumpang di rumah ibu bapa saya.

Walaupun saya mempunyai 8 anak, saya mempunyai pakej kecantikan semulajadi dan saya sering di fitnah oleh jiran tetanga danbekas mertua saya memang begitu membenci saya kerna kecantikan saya hingga saya di sihir dengan teruk iaitu bernanah satu badan. Ibu bapa saya berusaha untuk memulihkan saya dengan berubat tradisional.

Dalam masa itu masaalah kewangan memang menjadi kerunsingan pada diri saya, setelah kesihatan pulih saya bekerja sebagai Kerani di syarikat pembinaan dgn bergaji RM 700.00 sahaja. Dengan gaji begitu saya menampung anak2 saya dan mereka semua tidak pernah keciciran dalm sekolah.

Pada suatu hari sedang saya dan anak2 tidur, rumah ibu bapa saya telah dikepung oleh Jabatan Agama Islam kerana fitnah orang dan Jabatan Agama menyerbu tanpa usul periksa mengalahkan kami penjenayah.

Tiada apa yang mereka jumpa melainkan maki hamun kepada keluarga saya dan kami telah mendapat aib sangat. Keesokkan harinya pula JKM datang pula kerumah kerana mendapat aduan saya jual anak 30 ribu seorang, saya menjadi marah dan kerna semua tu adalah fitnah, lagi JKM siasat saya tetapi bukan menolong saya hingga kes ini ke Balai Polis.

Akhirnya saya menjadi kecewa dan marah kepada Jabatan Kerajaan, saya hilang pertimbangan dan dalam pada satu hari saya berjalan hingga ke sebuah Gereja di tempat saya, Paderi berkenaan menyapa saya dengan lembut dan menenangkan saya, saya masuk ke geraja dan bercerita kepada paderi, dengan senang hati paderi menghulurkan wang sebanyak RM 1000.00 kpd saya untuk menampong keluarga dan dari situ saya rapat dan belajar dengan paderi itu hingga pada bulan april tahun ni saya memohon untuk bertukar kepada agama kristian kerana kecewa dengan oarang yang seagama dengan saya dahulu'

Rabu, Ogos 05, 2009

Ibu Tunggal Islam Kini Ke Gereja

Sebelum ini saya pernah terbaca emel kisah ustaz memberi ceramah kepada pesakit AIDS, bukan di masjid tetapi di gereja. Saya terkejut, pesakit mendakwa mereka diabaikan golongan Islam sepatutnya membantu.

Jam 10.30 malam tadi, sejurus tiba di rumah, saya sekali lagi terkejut apabila membaca emel dihantar penonton 360 bertajuk ‘Derita Ibu Tunggal’.

Apapun saya berhasrat TIDAK mencetak sebarang komen berbaur politik di entry ini. Jadi, usah mencuba, letih jari menaip :)

Berikut saya cetakkan emel terbabit dalam bentuk asli.

‘APA KHkABAR,,SAYA TELAH MENONTON RANCANGAN INI BERTAJUK IBU TUNGGAL.

Saya ialah ibu tunggal dan mempunyai 8 anak dan bekerja sendiri.Baru-baru ini saya mendapat bantuan dari badan kebajikan masyarakat tetapi baru 1 bulan itu pun setelah saya memberontak kerana saya meminta bantuan dengan mereka dulu tetapi permohonan di tolak..saya hilang pedoman dan hilang kepercayaan kepada orag yang seagama dgn saya sendiri iaitu org islam...ada orang yang telah membantu saya iaitu pihak gereja dan memberi bantuan untuk saya berniaga secara kecil kecilan dan sekarang saya ada perniagaan untuk menamopung anak..selain dari itu saya jadi percaya kepada agama kristian dan sering ke gereja untuk belajar bersama anak saya.mereka melayan dan mengajar d dgan baik...mohon saya telah belajar Bible dan memohon untuk masuk krikstian kerana desakan hidup’

Saya membalas emel di atas dan menawarkan bantuan mampu dihulurkan. Saya percaya ibu tunggal terbabit terlalu kecewa dengan penderitaan dilalui. Sebahagian episod kehidupannya, mungkin tidak kita fahami.

Pun begitu, jika pembaca mempunya ide bernas untuk menangani masalah dikemukakan dalam kadar segera, sila kongsikan bersama saya.

Terima kasih.

* Mangsa kematian akibat H1N1: 16

Gambar Demonstrasi - Mesti Tengok

Maaf, gambar ini bukan dirakamkan di Malaysia.

5 gambar tragis berikut dikirim kenalan dari Myanmar. Myanmar, negara berada di bawah pemerintahan Junta tentera. Gambar dimuatkan dirakam pada September 2007 ketika lebih 300,000 rakyat berdemonstrasi menuntut demokrasi membabitkan sami, rakyat dewasa, remaja dan kanak-kanak.

Gambar kiri, peserta demonstrasi mati akibat dihentak kepala menggunakan senapang M16.

Menurut pengirim gambar, otak bertaburan di longkang di satu daripada gambar di bawah, milik kanak-kanak menyertai demonstrasi dianjurkan. Dia ditembak mati secara kejam askar Junta, berusia 14 tahun.

Dilaporkan ramai sami dibelasah, dibunuh dan mayat mereka kemudian dicampakkan kedalam paya bakau berhampiran Pelabuhan Yangon. Yangon, ibu negara Myanmar.

Kata pengirim, ‘kesimpulannya, Malaysia negara mempunyai pemerintah paling baik hati. Apapun, saya sangat menentang apa juga demonstrasi jalanan di Malaysia, sebab negara kita 'sangat aman', tiada tembakan didengar di malam hari, tiada mayat orang mati dibunuh dijumpai pada pagi hari'.




















Tidak hairanlah, mengapa ramai rakyat Myanmar berhijrah ke Malaysia, mencari rezeki di negara aman dan makmur ini. Jika berdemonstrasi di negara sendiri, maut diundang.

* Terima kasih kepada semua sudi menjadi followers blog ini :)

* Saksikan 360 malam ini, jam 9 malam, kisah 'Derita Ibu Tunggal'

Selasa, Ogos 04, 2009

Terasa Gersang

“Alamak! Matilah! Aku tersilap hantar!”

Biasa terdengar ayat itu? Atau pembaca sendiri pernah mengungkapkannya?

Tersilap hantar apa? Tersilap hantar sistem pesanan ringkas, SMS. Maklumlah, SMS kini tren komunikasi tanpa suara seringkali kita semua gunakan.

Mari kita cuba analisa antara kesan buruk terhantar SMS kepada penerima tidak sepatutnya.

‘Sayang, jadi ke tidak keluar malam ni? Rindulah’ - SMS sepatutnya dihantar kepada GIRLFRIEND tetapi terhantar kepada ISTERI.

‘Aku mengular kejap, kalau bos tanya, cakap aku pergi klinik. Dia bukan tahupun’ - SMS sepatutnya dihantar kepada RAKAN baik berkerja sepejabat tetapi terhantar kepada BOS.

‘Lepas hantar Along kesekolah, baharu I pergi beli minyak masak. Mama nak minyak berapa kilo punya? Pampers baby nak beli sekali tak? I love you’ - SMS sepatutnya dihantar suami mengaku bujang kepada ISTERI tetapi terhantar kepada GIRLFRIEND.

‘Ayang, hubby I hari ini out station, sebab itu dari pagi dah mula terasa gersang ’ - SMS sepatutnya dihantar kepada BOYFRIEND tetapi terhantar kepada SUAMI.

‘Leha, aku meluat betul dengan Salmah mulut tempayan tu, kerja dia celik mata, mengumpat 24 jam. Dia tak tahu laki dia dahsyat amat, main kayu tiga’ - SMS sepatutnya dihantar kepada LEHA tetapi terhantar kepada SALMAH.

Jika pernah terhantar SMS seperti dicatatkan di atas, boleh senyum tak?