
Jam 2 pagi tadi sewaktu pembaca mungkin sedang lena diulit mimpi, saya menyertai operasi bersama 91 pegawai dan anggota RELA Daerah Petaling menyerbu penempatan warga asing di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.
Lebih 100 pekerja asing diperiksa dalam operasi selama hampir 2 jam terbabit, 19 pendatang tanpa izin, PATI warga Indonesia, Vietnam, Nepal dan Bangladesh berusia di antara 18 dan 36 tahun diberkas.
Mereka semua dibawa ke Kem Tahanan Jabatan Imigresen di Kemayan, Pahang sebelum dihantar pulang ke negara asal.
Saya dimaklumkan penempatan sama diserbu berulangkali pihak polis, Jabatan Imigresen dan RELA. Bagaimanapun warga asing keras kepala terbabit terus membina koloni tanpa gentar.
“Tengok Flores ni, mesti dah ramai ‘makan’ orang di kampung dia, jenis hati kering,” ujar anggota RELA berdiri di sebelah saya.
“Makan orang?,” soal saya.
“Flores kalau banyak tatoo selalunya memang pernah bunuh orang,” jelasnya.
Saya perhatikan PATI berambut kerinting berusia 19 tahun, Erwan duduk mencangkung di hadapan saya. Pengalaman sebelum ini membuktikan suku kaum Flores tidak boleh bertembung dengan suku kaum Madura, kerap mereka berbunuhan.
“Tatoo banyak, pernah bunuh orang?,” tanya saya untuk mendapatkan kepastian.
“Tidak, ini adat Flores,” jawab Erwan ringkas.

Dari Batam, Indonesia, dia mendakwa menyusup masuk ke Malaysia melalui Johor sebelum bekerja di kawasan pembinaan di Pelangi Damanasara sejak sebulan lalu, itu dakwanya. Dia kemudian mengaku membayar lebih RM1200 kepada sindiket menguruskan kemasukan warga asing secara tidak sah ke negara ini.
Badannya berpeluh, mungkin gementar kerana ditahan kali pertama sejak memasuki negara ini.
“Kamu mandi di mana?,” soal saya.
“Di sana pak,” jawabnya.
“Mazidul tengok, kolah air dia orang lebih besar berbanding kolah di masjid, air jernih,” sampuk anggota RELA terdengar perbualan kami.

Saya kemudian merakamkan gambar paip air tanpa meter di tepi kolah. Sebarang struktur binaan seperti rumah didirikan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan tidak layak mendapat bekalan air, peraturan itu jelas. Maksudnya, bekalan air bersih digunakan penghuni lebih 50 rumah diperbuat daripada kayu dan papan terbuang terbabit disambungkan secara haram. Mereka semua tidak perlu membayar setiap meter padu air digunakan untuk keperluan seharian.
Berikutan itu, saya meminta penerbit 360, Mohamad Raziff Zulkafli menghubungi Syarikat Bekalan Air Selangor, SYABAS untuk mengambil tindakan. Saya percaya, jika bekalan air dipotong, kehidupan koloni terbabit pasti pincang.
Sebelum ini Kerajaan Negeri Selangor memberi 20 liter padu air percuma bernilai RM11.40 kepada semua rakyatnya untuk memenuhi janji dibuat dalam Pilihanraya Umum Ke-12 lalu.
Tetapi jika warga asing khususnya di lokasi serbuan mengetahui ‘hadiah’ Kerajaan Negeri itu, mereka mungkin hanya tersenyum sinis dan berkata …
“Waduh! Tidak hairan, kami sudah lebih 5 tahun dapat air secara gratis! Hu! Hu! Hu!”
‘Gratis’, maksudnya percuma dalam Bahasa Indonesia.
SYABAS, tolong buka mata, ada orang curi air!

Tindakan susulan SYABAS bakal dipaparkan dalam episod 360, siaran 12 Ogos, jam 9 malam.
* Di Gua Musang, Kelantan, gadis berusia 15 tahun dirogol kemudian disimbah asid ayah tiri berusia 50 an.
* Semalam pensyarah UITM, Hidayat berkata, "Saya suka baca blog awak". Terima kasih :)
* Pihak SYABAS melawat kawasan terbabit petang 11 Ogos lalu mengatakan bekalan air didapati secara sambungan sah.