Hebat! Memang hebat! Nasib baik saya tidak pernah terserempak dengan 2 remaja terbabit. Tersilap langkah, saya pun disamun dek mereka. Maklum sahaja, saya selalu ke Johor.“Cepat!! Bak sini semua barang berharga! Nampak ini? Hoi! Kau nampak ini?”
Mungkin itu antara ‘skrip’ remaja berusia 18 dan 19 tahun diberkas polis di kafe siber di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru, Johor, ketika menyamun mangsa sambil mengacukan ‘pistol’ dan ‘senapang M-16’ seperti dilaporkan. Kasihan wanita dan warga emas dijadikan sasaran, pasti mereka terperanjat dan menggigil ketakutan.
Senjata tiruan?
Beberapa bulan lalu sewaktu makan di Restoran Singgah Selalu, saya dapati peniaga gerai di kawasan sama menjual pistol tiruan secara terbuka. Saya tegur ‘keberanian’ mereka tetapi menerima senyuman sebagai balasan.
“Buat tembak cicak sahaja bang,” kata peniaga terbabit.
Kerap kali demi meraih seciput keuntungan, peniaga tidak hirau sekiranya barangan jualan mereka disalahgunakan pembeli.
Lebih mengejutkan, dua remaja sama bukan sahaja menyamun tetapi dilapor terbabit dalam kes pecah kereta di Skudai.
Mereka disiasat mengikut Sekyen 379 Kanun Keseksaan kerana menyamun berkumpulan dan Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 kerana memiliki senjata tiruan.
Berbeza benar perangai remaja sekarang berbanding kelakuan remaja zaman saya. Dahulu, paling jahat, remaja mencuri rambutan, kini menyamun.
Di mana silapnya?
Nota Jangan lupa menyaksikan paparan 360, 'Hujan emas di negeri orang', 9 malam ini di TV3.



