Sabtu, Mei 30, 2009

Batu Mata Ular

10.30 pagi, 30 Mei 2009, saya berada di Pengkalan Balak, Alor Gajah, Melaka, minum pagi bersama kenalan bergelar Datuk.

“Dul, engkau nak tengok batu ‘snake eye’? Ada pak Arab ni bagi aku,” katanya.

Perlahan dia mengeluarkan batu terbabit dari beg duit lusuh bewarna hitam diletak di poket kanan seluarnya.

“Dulu kena gigit ular di lengan, tekap batu ni atas kesan gigitan, setengah jam bisa hilang. Bisa sengatan ikan sembilang, lebah, penyengat pun batu ni boleh tarik, dah banyak kali guna, InsyaAllah ok,” jelasnya.

Kayu kemuning hitam juga dikatakan mempunyai khasiat sama.

Khamis, Mei 28, 2009

Ah Long Anjing

“Ada tiga mangsa ah long, kena kurung dalam rumah, kena ikat macam anjing!,” lapor jurukamera menghubungi saya jam 5 petang semalam.

“Awak di mana?,” tanya saya.

“Serdang,” jawabnya.

Lokasi mangsa berbangsa Cina, berusia antara 29 dan 45 tahun diselamatkan, bilik sebesar tandas di Jalan PBS 14/2, Pusat Perindustrian Bukit Serdang, Selangor. Kaki, tangan dan leher mereka diikat menggunakan rantai besi ke tiang. Ah long memberikan mereka makan roti dan minum air paip selama tempoh 'dipenjara', jika bising, dibelasah. Mereka diperlakukan sebegitu akibat gagal melunaskan hutang berjumlah antara RM1500 dan RM4000. Mangsa diselamatkan 3 jam selepas polis menahan dua ah long berusia 30 dan 33 tahun di Serdang Raya.

Jika dilihat, sebelum ini ah long bertindak menampal gambar peminjam di kawasan berhampiran rumah bertujuan memalukan mereka kerana gagal menjelaskan hutang dan bunga berlipat ganda. Selain daripada itu, ah long dilaporkan menyimbah rumah dan kenderaan peminjam menggunakan cat pelbagai warna.

Kini, tindakan ah long semakin berani. Mereka mampu menyeringaikan taring kerana tindakan acuh tidak acuh pelbagai pihak. Ah long saya lihat masih bebas menampal poster dan banting tanpa mengira lokasi, menawarkan khidmat pinjaman mereka, majoriti dipercayai berselindung di sebalik syarikat pemberi pinjam wang berlesen.

Dalam mendepani krisis ekonomi, semakin ramai mencari jalan mudah mendapatkan bantuan kewangan samada golongan marhain mahupun ahli perniagaaan. Mereka mendakwa sukar mendapatkan pinjaman ditawarkan institusi kewangan berikutan syarat ketat dituntut.

Secara peribadi, saya berasa muak mendengar masalah berulang tidak berkesudahan ini. Media khususnya berulangkali memaparkan kes membabitkan jenayah kekerasan ah long tetapi setakat ini tidak mendapat perhatian wajar pihak sepatutnya menangani masalah timbul.

Tunggu, sehingga ada nyawa terkorban, ketika itu pihak berkuasa bakal terhegeh-hegeh bertindak menggubal undang-undang diperlukan bertujuan membanteras kegiatan ah long.

[ Gambar: Berita Harian ]

Rabu, Mei 27, 2009

Fakta Sijil Halal

Saya mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Pembangunan Industri Halal, HDC kerana sudi memberikan penjelasan berhubung sijil halal.

Mungkin ramai tidak mengetahui, sejak 18 September 2006, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM tidak lagi mengeluarkan pengesahan sijil halal kepada premis menjual makanan di negara kita. Tugas terbabit diambil alih sepenuhnya HDC dibantu bekas kakitangan JAKIM. Sewaktu pertemuan, saya dimaklumkan, HDC mempunyai Panel Syariah diketui Datuk Najmi Ahmad manakala Panel Kelulusan Pensijilan Halal dipengerusikan Datuk Mustafa Abd Rahman.

Berikut beberapa fakta perlu dikongsikan bersama pembaca.

1. Tiada undang-undang mewajibkan premis menjual makanan di negara ini mendapatkan sijil halal. Bermaksud, permohonan sijil halal dilakukan pengusaha secara sukarela.

2. Selain HDC, sijil halal turut dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri dan beberapa syarikat swasta lain.

3. HDC tidak mempunyai bidang kuasa mengambil tindakan undang-undang ke atas premis menjual makanan menyalahgunakan sijil dan logo halal. Sebaliknya, penguatkuasaan dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna.

4. Setakat ini hanya 26 hotel di Malaysia memiliki sijil halal dikeluarkan HDC, 159 lagi diperakukan Jabatan Agama Islam Negeri. Harus diingat, hanya dapur tertentu sahaja di sebilangan hotel diperakukan menerima sijil terbabit.

5. Semasa entry ini ditulis hanya 1 kopitiam menerima sijil halal HDC, Pak Hailam Kopitiam Sdn. Bhd di Taman Kepong, Selangor.

Pembaca boleh melayari laman web HDC, www.hdcglobal.com atau menghubungi talian bebas tol HDC 1800 880555 untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci.

Isnin, Mei 25, 2009

Price To Pay?

Kisah kemelut rumahtangga artis seringkali diperkatakan masyarakat. Kisah ditulis di media cetak dan dipaparkan di TV ada waktunya menyebabkan rumahtangga mereka retak menunggu belah sedangkan belum tentu berita terbabit sahih kebenarannya. Gosip dilihat pemangkin meruntuh dan menggugat kesejahteraan rumahtangga mereka. Walhal pada masa sama kita harus menerima hakikat, hal berkaitan rumahtangga artis, hak peribadi dan perlu dihormati.

Terbaru, pelakon veteran, Tan Seri Jins Samsudin menyarankan ruangan di akhbar dan program TV berbentuk gosip diberhentikan, tidak kisah di stesyen TV mana sekalipun.

Berikut antara komen paling kerap didengar di kalangan masyarakat.

“That’s the price that they (artists) have to pay”

Adakah kerana mereka artis, media dan orang ramai berhak melontarkan pandangan secara terbuka?

Atau apakah sebenarnya dimaksudkan dengan ‘price’ itu?

Cerita Hantu

Ramai mendakwa pernah terserempak pelbagai jenis hantu, antaranya pontianak, pocong, langsuir dan penanggal. Bagaimanapun majoriti dakwaan gagal dibuktikan, hanya sekadar cerita.

Kenyataan pakar agama, hantu itu syaitan. Mereka diangkat hijab mampu melihat makhluk terbabit.

Apapun, hantu seringkali didakwa dilihat majoriti orang Melayu. Masyarakat Cina hanya bercerita berhubung hantu melompat dengan tangan terdepa kehadapan. Manakala, jarang cerita hantu dikongsi masyarakat India di negara kita.

Jika anda pernah bertembung hantu, catatkan pengalaman itu dalam blog ini. Teringin tahu pengalaman itu.

Sabtu, Mei 23, 2009

Parkir HKL Kritikal

Melalui blog ini saya beberapa kali dijemput hadir menyaksikan sendiri kesibukan sebenar didepani kakitangan Hospital Besar Kuala Lumpur, HKL. 17 Mei lalu saya ke hospital terbabit.

“Teruk parking di sini. Selalu pelawat nak bertumbuk dengan saya. Apa tidaknya, masuk sini kena bayar RM2 untuk 3 jam pertama tetapi tempat parking tak ada, orang marah,” jelas pengawal keselamatan bertugas berhampiran bilik mayat HKL.

Saya kemudian menyusuri lorong bersebelahan bilik mayat ke bahagian kecemasan. Pada jam 6 petang, saya lihat bahagian pendaftaran kecemasan tidak sibuk. Manakala di bahagian pendaftaran pesakit luar, kurang 15 pesakit dilihat duduk.

Kira-kira 10 meter dari bahagian kecemasan, saya terlihat beberapa motosikal diparkir di celah lorong tersorok. Di kawasan sama terpampang papan tanda, ‘Di Larang Meletak Motosikal’.

“Siapa punya motosikal ni?,” tanya saya kepada pengawal keselamatan lain.

“Kakitangan punya. Saya dah cakap banyak kali, jangan parkir di sini tetapi di orang degil,” ujarnya kesal.

Saya hanya tersenyum.

Dara Tidak Berdara

Paparan ‘Kelab Tiada Dara’ di muka hadapan akhbar Harian Metro hari ini menarik perhatian saya. Gadis belasan tahun mencacah tatu di tubuh, lambang mereka tidak berdara dan sering terbabit dalam kegiatan seks bebas bersama ramai lelaki.

Berbanding dahulu, gadis dikatakan sukar menyerahkan dara dianggap mahkota, kepada teman lelaki. Bagi gadis terlanjur, jantung pasti berdegup kencang di malam pertama.

“Pengantin perempuan tak ada dara,” bisik Mak Andam sambil membelek kain putih di tangan.

Tugas Mak Andam meletakkan kain putih di bawah cadar tilam pengantin. Menurut cerita, jika selaput dara pengantin perempuan senipis kulit bawang pecah, tompokan kecil darah terlekat di kain terbabit. Jika tiada kesan, Mak Andam akan megesahkan status isteri itu. Gentar, gadis zaman dahulu lebih cenderung memelihara dara untuk dipersembahkan kepada suami pada malam pertama.

Kini, dara tidak begitu penting. Sebilangan gadis menganggap, perempuan berdara, kolot dan berfikiran ortodoks. Bagaimanapun perempuan untung, biarpun tidak berdara, selagi belum mendirikan rumahtangga, mereka tetap digelar ‘anak dara’.

Terfikir, berapa ramai pula perempuan mengambil kisah soal ‘teruna’ di kalangan lelaki?

Atau kita boleh membuat kesimpulan, dara dan teruna bukan perkara penting bagi majoriti masyarakat masa kini.

Jumaat, Mei 22, 2009

Dia Cerca Nabi

Di Malaysia, isu berhubung agama dan bangsa, sensitif. Bagaimanapun, hemat saya, ada pihak tidak memahami tuntutan itu kerana kedunguan sendiri.

Penulis laman web berikut, lantang mengutuk dan mencerca junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

http://www.topix.com/forum/my/kuala-lumpur/TDFARG6UUEH5VAD58

Manusia seperti ini seharusnya ditahan dan disiasat pada kadar segera.

Khamis, Mei 21, 2009

Hantu Tiada Rekod Jenayah

Masyarakat Melayu sekian lama dimomokkan dengan cerita hantu, tidak terkecuali saya.

“Kalau dengar orang bagi salam, tengok dulu siapa. Jangan main jawab sahaja. Takut nanti hantu Kum Kum,” pesan orang tua.

Hantu Kum Kum dikatakan wanita berpakaian serba hitam dan bertudung labuh, kerap merayau di kawasan kampung mencari mangsa, kanak-kanak. Hantu popular di penghujung tahun 70 an itu dikatakan mengumpan mangsa dengan ais krim Malaysia. Tetapi tiada mangsa hantu Kum Kum dilaporkan terkorban.

Pernah, pada jam 1 pagi, 25 tahun lalu, rakan sekampung menjerit tidak ketentuan di hadapan rumah.

“Aku nampak hantu tinggi tadi. Dia berdiri halang jalan, bila mendongak aku tengok dia tinggi, hitam, badan berbulu!,” katanya.

Hantu tinggi juga dikenali sebagai hantu galah, tidak pernah mencedera atau membunuh sesiapa.

Ketika bermalam bersama arwah opah saudara di Kampung Lintah, Slim Village, Perak, 35 tahun lalu, saya terbangun dari tidur.

“Hoi! Jangan kacau, cucu aku nak tidur, pergi tempat lain! Aku parang engkau baharu tahu!,” jerit opah sambil memegang lampu pelita minyak tanah.

“Apa itu opah?,” tanya saya.

“Langsuir. Dia terbang atas atap. Bila dihalau dia kencing atas pokok manggis depan pintu tu,” balasnya.

“Dia tak gigit orang ke?,” soal saya lagi.

“Tak adalah. Dia selalu mengilai, bising,” jawabnya.

Dahulu, orang tua kerap berkata …

“Huh! Anak si anu tu, jahat macam hantu”

Sebenarnya, jika benar wujud, hantu di Malaysia tidak sejahat sebilangan manusia. Manusia bergelar penjenayah antaranya menyamun, merompak, merogol dan membunuh. Hantu tidak pernah mencatatkan rekod jenayah.

Lelaki Lemah Lutut

Sebilangan besar lelaki Melayu normal, hakikatnya terpaksa berhadapan beberapa cabaran ‘besar’ membuatkan mereka lemah lutut.

Terawal, upacara berkhatan atau bersunat. Majoriti remaja lelaki, gentar dan berdebar, tidak kurang menangis teresak-esak, ketakutan sebelum sebahagian daripada organ jantina mereka dipotong. Dahulu, cerita penduduk kampung terpaksa mengejar remaja bakal disunatkan keliling kampung biasa kita dengar, sebelum dia diserahkan kepada tok mudim.

Kedua, lelaki dewasa mendirikan rumahtangga akan melalui upacara ijab dan kabul, saat dinikahkan. Debaran memuncak, setiap telinga tetamu tertumpu, menunggu ungkapan ‘Sah!’ disuarakan kadi dan saksi. Ramai juga suami berasa sebak ketika membacakan taklik di hadapan tok kadi sejurus acara nikah disempurnakan.

Ketiga, debaran pasti dirasai lelaki ketika menyambut kelahiran anak pertama. Perasaan gembira dan bersyukur bercampur baur. Gembira menjadi bapa dan bersyukur kerana isteri tersayang mempertarungkan nyawa selamat melahirkan.

Peristiwa perempuan goyang lutut, bila?

Selasa, Mei 19, 2009

Suami Hidup Tersepit

“Kekadang bukan mudah menjadi suami,” keluh rakan sepejabat.

Katanya, jika kerap keluar bertemu rakan biarpun di kawasan berhampiran rumah, isteri membebel.

“Awak ni tak ada kerja lain. Asyik keluar, penting sangat ke kawan-kawan tu?,” kata isteri.

Jika suami duduk di rumah, sebilangan isteri tetap tidak berpuas hati.

“Awak ni tak ada kerja lain, duduk di sofa depan TV tu daripada pagi sampai petang”

Tanya rakan itu …

“Habis, nak buat apa lagi? Kalau kita cuti, berehatlah. Kerja rumah, maid ada, biarlah dia buat. Isteri tak puas hati, asyik membebel ni rasanya boleh buat nyawa suami pendek”

Tersepitnya hidup suami.

Samseng Jalanan

Hari ini secara rasmi Pasukan Polis Di Raja Malaysia berkuatkuasa serta merta menggantikan gelaran ‘Mat Rempit’ kepada ‘Samseng Jalanan’.

Dari aspek psikologi, label Mat Rempit membuatkan kelompok menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya berasa bangga dengan tindakan mereka. Menganggap diri hero, pelbagai aksi bahaya mereka pertontonkan kepada orang ramai.

Bersama kita lihat, adakah penukaran gelaran itu bakal membuatkan samseng jalanan tersedak dan berasa malu menampilkan diri mereka di jalanraya seluruh negara.

Isnin, Mei 18, 2009

Tidak Merempit


PENGAWAL KESELAMATAN DITAHAN

Jam 2 petang tadi saya keluar makan tengahari. Semasa keluar dari rumah saya singgah sebentar di pondok pengawal keselamatan apartment.

“Asal dari mana?,” soal saya.

Pengawal keselematan berseragam biru itu menjawab bersahaja.

“Tawau, Sabah”

Bagaimanapun loghatnya tidak langsung menggambarkan dia berasal dari Negeri Di Bawah Bayu.

“Kamu ada MyCard?,” tanya saya lagi.

“Ada. Tetapi tinggal di rumah,” balasnya.

Selepas makan, saya ke pejabat penyelenggaraan bertanyakan identiti pengawal keselamatan terbabit. Maklumat salinan kad pengenalan diberikan majikannya mencatatkan dia berasal dari Tawau, Sabah, dilahirkan pada 8 Januari 1984. Di hadapan tiga kakitangan syarikat penyelengaraan saya memanggil pengawal itu.

“Umur berapa? Tarikh lahir?,” tanya saya.

“Umur 25, lahir 28 Januari 1985,” jawabnya.

Maklumat itu bercanggah berbanding maklumat di salinan kad pengenalan ditunjukkan kepada saya. Saya kemudian menghubungi Ketua Balai, Balai Polis Kota Damansara melalui SMS.

‘Saya hantar MPV,’ balas SMS beliau.

Kurang 20 minit, pengawal keselamatan itu ditahan. Dia mengaku berasal dari Sumatera, Indonesia dan berhijrah ke negara ini sebagai pekerja ladang. Berikutan gaji murah, dia menggunakan salinan kad pengenalan palsu sekaligus menyalahgunakan permit bekerja sebagai pengawal keselamatan secara tidak sah.

Saya ingin mengingatkan semua, pengawal keselamatan layak bertugas di negara kita, wajib warga Malaysia atau bekas tentera warga Nepal atau warga asing diluluskan Kementerian Dalam Negeri. Itu sahaja.

Mengulit Sawa

10 Mei 2009 saya pulang ke Tanjung Malim, Perak. Dalam perjalanan ke kampung saya terserempak remaja berusia 18 tahun sedang menghidu gam di tepi jalan secara terbuka.

“Baharu setahun,” katanya.

Matanya layu, berdiri terhoyong-hayang sambil menggenggam beg plastik berisi gam tayar.

“Kamu boleh ke menunggang motosikal dalam keadaan begini?,” soal saya.

“Boleh. Tapi sudah banyak kali accident, tengok ini,” balasnya sambil menunjukkan parut besar di kaki.

Selama ini pelbagai aduan saya terima berhubung penyalahgunaan gam di kalangan masyarakat samada remaja atau dewasa. Mereka menghidu gam tanpa mengira lokasi, di desa, bandar dan bandaraya. Gam mudah diperolehi dengan harga murah di kedai runcit, RM2.50 setin. Kesan menghidu gam, ramai warga menjadi bodoh, berkelakuan lembab dan ‘gila’. Remaja saya temui dalam operasi di Kedah 10 tahun lalu contohnya, gemar bermain dan mengulit ular sawa albino sepanjang hari sewaktu khayal.

Hakikatnya, penghidu gam tidak boleh didakwa berikutan ketiadaan undang-undang. Pelik bunyinya, bagaimanapun itu kebenaran. Saya berasa amat hairan, sekian lama masalah melanda, sukar benar penggubal undang-undang melaksanakan tugas mereka. Kini, penghidu gam boleh ditangkap kemudian diarah menjalani sesi kaunseling, itu sahaja.

Sabtu, Mei 16, 2009

Kawal Motosikal

Definisi ‘Mat Rempit’, mereka menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya, bercangah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Kebanyakan cadangan saya terima melalui SMS menyarankan Mat Rempit diberkas pihak berkuasa dimestikan menyertai angkatan tentera bertujuan lebih mendisiplinkan mereka. Masalahnya, dalam operasi pernah saya sertai, sebilangan anggota pasukan keselamatan terbabit juga ditahan merempit.

Sebilangan mencadangkan, Mat Rempit ditahan, dihantar ke unit kecemasan hospital untuk mereka melihat sendiri keadaan mangsa kemalangan parah. Senario dipertontonkan diharap dapat menimbulkan keinsafan di kalangan mereka sekaligus memberhentikan tindakan pendek akal diamalkan. Logiknya, hospital sibuk, justeru kehadiran puluhan Mat Rempit di lokasi sama pasti akan lebih memeningkan doktor dan kakitangan menjalankan rutin mereka.

Ramai turut menyalahkan pengeluar filem dan drama. Kata mereka filem dan drama antaranya, ‘Bohsia’, ’Rempit Vs Impak Maksima’, ‘Rem-it’ dan ‘KL Menjerit’ mengalakkan remaja menunggang secara melulu di jalanraya. Adakah dakwaan itu bermaksud, tayangan filem berunsur ganas dan peperangan seperti ‘Rambo’ terbukti mendorong remaja membunuh? Hemat saya, kejadian menembak rakan sekolah di Amerika Syarikat berlaku kerana kecuaian keluarga mengawal penggunaan senjata api milik keluarga di kalangan remaja.

Sekaligus, saya bersetuju dengan kenyataan penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim. Menurut beliau, motosikal digunakan remaja, milik ahli keluarga kerana mengumpul wang bertujuan untuk membeli motosikal bukan amalan remaja di bawah usia 18 tahun. Keluarga harus berfikiran lebih kritis. Membenarkan remaja menggunakan motosikal pada waktu malam hingga ke dinihari dengan alasan untuk bersiar-siar harus ditolak. Majoriti mereka jelas melakukan kegiatan terpesong.

Jika penggunaan motosikal di kalangan remaja dikawal keluarga, mungkinkah gejala rempit dapat dikurangkan?

Wabak H1N1 Di Malaysia

Dua kes virus influenza A, H1N1 dikesan di negara kita setakat ini.
Mangsa pertama, pelajar lelaki berusia 21 tahun kini dikuarantin di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Pelajar terbabit dikatakan pulang ke Malaysia menggunakan penerbangan MH091 pada 13 Mei lalu.

Mangsa kedua, wanita, dilapor dikesan di Pulau Pinang.

Semalam, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, 33 negara dunia dilanda wabak sama, lebih 6,500 menjadi mangsa. Di Mexico, 60 terkorban, Amerika Syarikat, 3 dan 2 di Costa Rica, jumlah keseluruhan 65.

Mereka mengalami demam, sakit tekak dan badan harus mendapatkan rawatan di hospital secepat mungkin.

Decoding The Heaven

13 Mei lalu, pelakon drama bersiri Gerak Khas, disiarkan RTM, Farid Amirul Hisham Abdullah memegang watak ‘Detektif Lim’, menukar pengakuannya kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur terhadap pertuduhan mencuri dua buku berharga RM194.90 di Mid Valley Mac lalu.

Farid Amirul, 43, sepatutnya dijatuhkan hukuman pada hari ini setelah mengaku bersalah pada 8 April, tetapi menukar pengakuannya di hadapan Majistret Mohd Faizi Che Abu.

Dia didakwa mencuri sebuah buku bertajuk ‘Sistine Secrets’ berharga RM89.90 dan ‘Decoding The Heavens’ berharga RM105 di Kedai Buku MPH Bookstore, Mid Valley, pada 7.15 malam 27 Mac lalu.

Pelakon terbabit diwakili peguam bela Nor Azri Mohd Arif didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Jun ini untuk tarikh perbicaraan.

Rabu, Mei 13, 2009

HDC

Saya menghubungi JAKIM pagi tadi dan dimaklumkan kini pengeluaran sijil halal di bawah bidang kuasa Halal Industry Development Corporation, HDC. HDC ditubuhkan pada September 2006.

Selasa, Mei 12, 2009

Status Halal Kopitiam

‘Kopitiam’ bermaksud kedai kopi dalam bahasa Cina. Justeru tidak hairan kebanyakan kopitiam dimiliki taukeh berbangsa Cina. Perhatikan juga, majoriti pekerja premis perniagaan terbabit, warga Myanmar dan tempatan bukan beragama Islam. Jika ada pekerja Islam sekalipun, mungkin hanya juruwang, perempuan Melayu atau Indonesia bertudung.

Kopitiam kini tumbuh bagai cendawan selepas hujan di seluruh negara termasuk di Kelantan. Majoriti menu disediakan dilihat bersesuaian citarasa orang Melayu, antaranya mee kari, laksa dan nasi lemak.

Bagaimanapun status halal sebilangan kopitiam dipertikaikan dan pelbagai komen dipaparkan dalam banyak blog. Dalam ajaran Islam, jika timbul perasaan was-was, elak memakan hidangan disediakan.

Saya pernah menghubungi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM bertanyakan status sijil halal diberikan kepada kopitiam. Kakitangan terbabit enggan identitinya dipaparkan.

“Susah hendak cakap, sekarang ini bukan JAKIM sahaja mengeluarkan sijil halal. Ada pihak lain keluarkan juga,” katanya.

Jadi tidak hairan, jika kita melihat sijil halal ditampal di dinding sebilangan kopitiam, bukan dikeluarkan JAKIM.

Hairan, biarpun isu status halal haram kopitiam hangat diperkatakan, mengapa masih ramai orang Melayu berkunjung ke premis sama?

Isnin, Mei 11, 2009

Piagam Pelanggan

Saya melayari laman web Kementerian Kesihatan Malaysia lalu terlihat piagam pelanggan berikut.

PIAGAM PELANGGAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

TERAS PIAGAM

Piagam ini ditujukan kepada setiap pelanggan yang berurusan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

1. KEMUDAHAN UNTUK PELANGGAN

1.1 Setiap pelanggan boleh mendapatkan perkhidmatan yang sewajarnya daripada Kementerian ini tanpa mengira umur, jantina, keturunan, agama dan taraf sosial-ekonomi.

1.2 Setiap pelanggan yang ditakrifkan sebagai dalam keadaan kecemasan akan diberi perkhidmatan dengan segera.

2. TARAF PERKHIDMATAN

2.1 Setiap pelanggan akan dilayan dengan baik, mesra, bertimbangrasa, hormat, bersopan santun, jujur dan ikhlas.

2.2 Setiap pelanggan akan diberi perkhidmatan sebaik mungkin secara profesional.

2.3 Setiap pelanggan akan disediakan dengan kemudahan dan persekitaran yang bersih dan sempurna.

3. MAKLUMAT PERKHIDMATAN

3.1 Setiap pelanggan boleh mendapatkan penjelasan dan nasihat mengenai perkhidmatan diberikan kepadanya.

3.2 Setiap pelanggan boleh mendapat laporan mengenai perkhidmatan yang diterimanya secepat mungkin setelah membuat permohonan mengikut peraturan ditetapkan.

4. PENDIDIKAN KESIHATAN

4.1 Setiap pelanggan akan diberikan maklumat mengenai aspek-aspek penting dari segi rawatan kesihatan dan pencegahan penyakit.

Piagam tidak digariskan sewenang-wenangnya kecuali untuk dijadika misi semasa menawarkan rawatan kepada semua.

Jumaat, Mei 08, 2009

Terima Kasih AADK

Saya mula bertugas di TV3 pada 17 Julai 1995. Memulakan kerjaya sebagai wartawan kadet dan perantara program Malaysia Hari Ini. Saya kemudian diberikan peluang bekerja sebagai wartawan eksekutif rancangan Remaja dan Majalah 3. Beberapa tahun kemudian saya dipindahkan ke Jabatan Berita Dan Hal Ehwal Semasa, menjalankan tugasan wartawan berita, selepas itu mengendalikan rancangan bual bicara, Bincang Petang.

Sepanjang 7 tahun berlalu, saya melihat ramai rakan wartawan baharu dan lama samada petugas media cetak mahupun elektronik menerima pelbagai anugerah. Anugerah, bukti komitmen dan dedikasi mereka sewaktu melaksanakan tugas. Saya amat gembira melihat kejayaan diraih.

Tahun 2002, saya menyertai program ‘999’ dan kemudiannya diberikan ruang menerbitkan rancangan ‘360’ sehingga kini. Empat tahun bersama 999 dan lebih 2 tahun bersama 360, saya terus melihat rakan wartawan menerima lebih banyak anugerah hasil tulisan dan paparan mereka di TV. Saya teruja dengan kejayaan mereka biarpun tidak terlintas di fikiran untuk menempa kejayaan sama. Saya sedar sumbangan dihulurkan selama lebih 14 tahun di bidang penyiaran hanya sekelumit. Apapun, tidak menerima anugerah bukan penghalang saya terus berkarya. Minat dalam kerjaya ini tidak pernah luntur biarpun pernah ditegur, dihina, dicerca dan dimaki, sesekali dipuji masyarakat, penonton setia.

360 pernah menyiarkan episod berhubung penyalahgunaan gam dan ‘benzo’ di kalangan remaja dan golongan dewasa. Paparan kesan buruk mereka ketagih gam atau 'glue'. Saya masih ingat saat menemubual bapa penagih gam di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor lebih setahun lalu.

“Anak saya kalau hendak turun dari rumah flat ini, dia tidak menggunakan tangga atau lif. Dia keluar ikut beranda, pijak belebas tepi itu, dari tingkat empat dia turun merangkak macam spiderman. Berani betul, sebab otak dia khayal akibat gam disedut,” katanya.

Jam 2.30 petang tadi saya dihubungi kakitangan komunikasi korporat TV3, Irma Mahamat Tahir melalui emel. Kata beliau Agensi Anti Dadah Kebangsaan, AADK memilih saya untuk menerima Anugerah Wartawan Terbaik TV 2009 berhubung tugasan saya laksanakan itu. Anugerah pertama saya, selepas hampir 15 tahun menghambakan diri di bidang saya minati.

Terima kasih AADK, TV3, jurukamera dan krew 360.

Khamis, Mei 07, 2009

Kritikan Bekas Pesakit Dipersoal

Beberapa pegawai perubatan, doktor, menghantar emel kepada saya menyatakan ketidakpuasan hati mereka berhubung paparan program '360', 6 Mei 2009 bertajuk ‘Suka duka layanan di hospital kerajaan’. Mereka mendakwa media bukan saluran terbaik untuk mengkritik golongan profesional.

360 hanya memaparkan antara ribuan komen dilontarkan masyarakat berhubung kualiti perkhidmatan ditawarkan pihak hospital. Bukan SEMUA hospital, hanya SEBILANGAN sahaja. Antara isu diutarakan, masa menunggu terlalu lama sebelum mendapat rawatan dan cemuhan dilemparkan sebilangan kakitangan hospital semasa wanita bersalin.

Dari awal siaran saya secara jelas menyatakan premis paparan terbabit, masyarakat tidak menyalahkan SEMUA kakitangan hospital, hanya SEBILANGAN daripada mereka.

Adakah wajar suara pesakit tidak harus didedah dan diendahkan?

Rabu, Mei 06, 2009

Sebat Mat Rempit

Selain menunggang secara melulu dan berbahaya, setakat ini Mat Rempit dilaporkan terbabit mencederakan pengguna jalanraya, membunuh, merogol dan bergaduh sesama mereka.

Justeru, ada pihak serius mencadangkan mereka disebat jika berjaya ditahan pihak berkuasa. Andai dipenjara, kerajaan jelas membazirkan wang cukai dikutip daripada rakyat untuk menanggung kos penahanan Mat Rempit terbabit.

Saya percaya jika hukuman itu diluluskan, majoriti mereka bakal disebat, remaja Melayu bukan bangsa lain.

Terfikir, mengapa anak Melayu merempit?

Selasa, Mei 05, 2009

Tomok Juara One In A Million


Isnin, Mei 04, 2009

Lelaki Membosankan?

Sebilangan perempuan lebih berminat menjalin cinta membabitkan hubungan seksual dengan perempuan, kelompok lesbian.

“Perempuan sebenar lebih bijak ‘melayan’ kehendak perempuan sebenar lain,” kata mereka.

Namun aktiviti sisi gelap lesbian tidak begitu menonjol berbanding kegiatan pengkid. Pengkid, perempuan berperwatakan seperti lelaki, gemar menggoda kaum berjantina sama. Mereka berani berpegangan tangan dan berpelukan di khalayak ramai, kononnya lambang bukti cinta sejati.

Perempuan lesbian dan pengkid, mungkinkah mereka bosan terhadap lelaki sehingga menuntut kasih sayang kaum sejenis?

Ahad, Mei 03, 2009

100 Jam Kerja Amal

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye menggesa hukuman lebih berat dikenakan kepada mat rempit ditahan pihak berkuasa.

Pesalah disaran melakukan kerja amal selama 100 jam manakala pelajar melakukan kesalahan berulang dimasukkan ke Sekolah Henry Gurney.

Selama ini mahkamah hanya menjatuhkan hukuman denda kepada pesalah menunggang secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Komen?

Apa Jawaban?

Kemalangan jalanraya berlaku tanpa diduga dan musibah mungkin menimpa sesiapa sahaja tidak mengira bangsa dan ugama.

Kita kerapkali terserempak kemalangan maut. Mangsa mati, mayat ditutup menggunakan surat khabar atau plastik hitam. Pegawai polis trafik hadir di lokasi untuk menyiasat punca kejadian dan mengenalpasti pihak terbabit mengakibatkan kemalangan. Selesai siasatan, jip polis akan membawa mayat ke hospital untuk dibedah siasat.

Jika mangsa hidup, dia mungkin menggelepar kesakitan di atas jalan. Meraung dan menjerit tanpa kawalan. Kecederaan teruk dialami selalunya mengakibatkan tubuh mangsa berlumuran darah. Namun nyawa mangsa barangkali boleh diselamatkan jika rawatan segera diberikan.

“Tolong encik, boleh bawa dia ke hospital? Dah tunggu lebih 15 minit ambulan tak datang lagi,” pinta rakan mangsa kepada PEMANDU memperlahankan kenderaan.

Jika PEMANDU itu anda, apa jawaban diberikan?

Ingat, mangsa mungkin mati dalam kenderaan anda dalam perjalanan ke hospital.