Rabu, April 24, 2013

POHHHH!!!! (AJAIBNYA PERKATAAN ITU)

Lama saya memerhatikan tukang sapu wanita di bawah.


Sambil duduk berseorangan di simen pembahagi jalan di Chennei, India, saya merakamkan gambarnya. 


Beberapa minit kemudian, saya dihampiri oleh lelaki pemandu autorickshaw atau lebih dikenali sebagai 'otto' di kalangan penduduk tempatan. Kedua belah matanya merah, pakaiannya kelihatan tidak terurus dan mulutnya bebau alkohol. 

Lelaki saya anggarkan berusia awal 30 an itu, berdiri rapat di sebelah kiri saya,  bercakap dalam bahasa Tamil sambil menunjukkan isyarat meminta wang. Saya tetap terus merakamkan gambar wanita tukang sapu namun berada dalam keadaan berjaga-jaga. Jika saya  disentuh atau dia mengeluarkan senhata,  beberapa saat kemudian, dia pasti  'makan' kamera digital Canon berlaukkan lensa 18-200 milimeter.

"Poh! Poh!," kata saya perlahan.

Matanya bertambah  tajam memandang dan dia bergerak semakin  hampir dengan saya. Tanpa berlengah, saya menarik nafas panjang dan menjerit sekuat hati ...

"Pohhhhh!!!!!

Saya amat yakin gegendang telinganya hampir pecah  akibat jeritan itu. Tergesa-gesa dia beredar dan kembali duduk di dalam otto dipandunya diparkir di pinggir jalan. Sama sekali tidak saya duga,  perkataan bermaksud 'pergi' dalam bahasa Tamil itu  telah menyelamatkan saya daripada diperas ugut oleh lelaki mabuk. 


Mujur tindakan saya itu tidak langsung menarik perhatian orang ramai lalu-lalang di kawasan berhampiran. Di bandar, sesiapa sahaja bebas tidur dan kencing di tepi jalan, ternyata  jeritan bukan satu masalah bagi mereka.


Perhatian kemudian saya tumpukan sekali  lagi kepada penyapu wanita kelihatan begitu  mahir menggunakan dua penyapu lidi sekaligus untuk membersihkan permukaan jalanraya.


Purata suhu pada ketika itu, 38 darjah Celcius dan agak berangin. Sampah kebanyakkannya daun pokok luruh, disapu dan kemudian dilonggokkan di tepi jalan.


Apabila ditiup angin, sampah terbabit berterbangan, kembali bersepah  dan wanita itu pantas menyapu kembali. Saya difahamkan, dia seorang daripada pekerja Majlis Perbandaran Chennei dan diwajibkan memakai baju kebangsaan wanita India,  sari sewaktu bertugas.

Barangkali peraturan itu kita anggap tidak praktikal tetapi bak kata pepatah Melayu, lain padang, lain belalang.

Jika kakitangan majlis perbandaran atau bandaraya di Malaysia diwajibkan menyapu sampah sambil memakai baju Melayu dan baju kurang, pasti ramai membantah. 


Sebagai wartawan, saya cuba menjadi pemerhati prihatin. Pada hari pertama menginap di hotel 4 bintang,  Residency Towers, mata saya terpaku melihat gadis dianggarkan berusia kira-kira 17 tahun,  bertugas membersihkan lantai di ruang lobi hotel.


Dari awal pagi sehingga jam 8 malam, secara berterusan dia membersihkan lantai menggunakan mop. Hairannya, lantai itu tidak kotor atau  basah. Tiada hujan turun  dan suhu di siang hari  kekadang mencecah 40 darjah Celcius.  Jika air dikeluarkan oleh alat penghawa dingin kenderaan menitis ke lantai,  pasti cepat kering dan tidak perlu dimop sebegitu kerap. 


Populasi India kira-kira 1.3 trillion orang. Justeru bukan enteng mencari pekerjaan untuk menyara kehidupan.

Maka peluang pekerjaan terpaksa diwujudkan biarpun gaji diraih terlalu rendah jika dibandingkan dengan kadar gaji ditawarkan di negara kita. Contohnya, gaji bulanan pemandu kenderaan  di Chennei, 7,000 rupee, lebih kurang RM420 sahaja.

Sanggupkah pemandu di Malaysia menerima gaji sebegitu?

Seperti di Malaysia, Chennei juga tidak lengang daripada pengemis. Mereka menagih  simpati di pelbagai lokasi. Antaranya, di kawasan parkir, di hadapan  restoran dan pusat membeli-belah.


Jika ingin melancong  ke India, berikut  beberapa  panduan amat berguna untuk diikuti agar kesihatan dan keselamatan diri tidak terganggu.  

1. Jangan hulurkan wang kepada pengemis untuk mengelakkan daripada diserbu oleh lebih ramai pengemis lain. 

2. Jangan  minum air dijual di pinggir jalan.  Secawan  kecil teh India hanya berharga kira-kira 30 sen tetapi mampu mengakibatkan cirit-birit kronik.  Justeru bawa bekalan air mineral jika bersiar-siar.

3. Jangan menjamu selera di gerai tepi jalan kerana kebersihan juadah tidak terjamin. Bijak jika kita hanya makan dan minum di restoran hotel.

4. Jika ingin memasak air di dalam bilik hotel, sila  gunakan air mineral, bukan air paip di bilik air.

5. Jangan sentuh bibir ke bahagian tepi botol atau tin ketika minum. Ngangakan mulut dan tuangkan  air,  telan.

2 ulasan:

  1. memang benar pepatah melayu mengatakan jauh perjalanan luas pandangan. Tapi kt Malaysia nie ramai yang tidak tahu bersyukur dengan nikmat yang dikurnia oleh Allah..

    BalasPadam
  2. Sdr Mazidul.
    Penduduk India ialah 1.3 billion bukan trillion.
    t.kasih

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.