Jumaat, Januari 30, 2009

Tiga Line?

Teringat kenyataan Pemangku Presiden Pertubuhan Kebajikan Dakwah Islam Malaysia, Pekida, Jamaludin Yusof dalam sidang media di Kuala Lumpur tidak lama dahulu.

“Kalau nak jadi ahli kena memasang niat ataupun mempunyai iktikad, dia mesti berpegang teguh kepada konsep perjuangan berpandukan Al Quran dan hadis dan kita punya cogan kata, amal makruf nahi mungkar”

Beliau berkata demikian semasa melancarkan program ‘pemutihan’ berikutan laporan media mengaitkan ahli Pekida dan kegiatan berunsur jenayah.

Tidak menghairankan, sebelum ini sebilangan mendakwa ahli Pekida dilapor terbabit dalam kes pergaduhan sesama Melayu. Ada antara mereka kaki tonggang dan terjebak dalam kes peras ugut warga asing. Pekida dilaporkan mempunyai lebih 72,000 ahli di seluruh negara termasuk mereka bekerjaya penarik kereta dan bouncer pusat hiburan.

Kini timbul persoalan, apa pula kumpulan ‘Tiga line’, dianggap gangster Melayu? Kumpulan seringkali dikaitkan dengan Pekida. Adakah mereka juga mempraktikkan cogan kata sama, ‘amal makruf nahi mungkar’?

Sinonim

Dulu, waktu petang ramai wanita kampung gemar berkumpul sambil bersimpuh di tangga jiran selepas penat membanting tulang membantu suami bertani, bersawah atau menoreh getah.

“Huh! Tak ada kerja lain, mengumpat la tu,” kata lelaki melintas berhampiran rumah.

“Ish! Mana ada,” balas wanita tertuduh, serentak.

Kini, segelintir wanita di pejabat masih gemar berkumpul di waktu terluang atau ketika mencuri tulang.

“Huh! Mengumpat la tu!,” gurau lelaki rakan se pejabat.

“Tak lah!,” balas wanita tertuduh, serentak.

Wanita dan mengumpat, sinonim?

Khamis, Januari 29, 2009

Tunaikan

Saya bercadang melakukan perkara lebih menarik. Selama hampir 14 tahun di bidang penyiaran, sebilangan penonton seringkali mengajukan persoalan berikut ..

“Boleh tak saya ikut awak pergi assignment? Nak tengok macamana shooting”

Bagaimana jika permintaan itu saya tunaikan? Maksudnya beberapa penonton terpilih diberikan peluang mengikuti sekaligus terbabit dalam pembikinan paparan 360. Dalam erti kata lain, penonton terbabit mungkin terpaksa berhujan, berpanas, berpeluh, mungkin dimaki, dimarahi maupun dipuji. Rakaman paparan 360 tidak semua menjanjikan saat manis, itu fakta.

Berminat?

Hantarkan butiran nama penuh, usia, kerjaya dan no boleh dihubungi ke mazidul360@yahoo.com.my.

Siapa Dalang?

Semalam surat khabar Kosmo mendedahkan sekumpulan kira-kira 100 warga Indonesia tinggal selesa di hutan berhampiran Seksyen 5 Bandar Baru Bangi, Selangor. Majoriti mereka bekas pekerja buruh pembinaan kini terpaksa menjual barangan boleh di kitar semula sebagai sumber rezeki.

Bagaimanapun, ada pihak ‘bersimpati’.

Bekalan air bersih disambung secara haram ke penempatan pendatang tanpa izin itu dari Pangsapuri Taman Tenaga. Dilaporkan bil air dibayar kepada penduduk di Taman terletak berhampiran terbabit.

Terfikir, tanpa keuntungan diraih masakan dalang dipercayai warga tempatan sanggup ‘membantu’ sedemikian rupa?

Rabu, Januari 28, 2009

Misi Membantu Masyarakat

Jangan lupa menyaksikan 360 malam ini jam 9 malam.

Kes kuari beroperasi tanpa lesen di Rawang, Selangor- selesai

Kes lori berat menjadikan lorong berhampiran kawasan perumahan di Klang, Selangor – selesai

Paparan terbaru ..

Masalah gerai milik Majlis Perbandaran Selayang di Selayang Indah dimonopoli warga asing.

Penduduk Taman Tun Sardon, Gelugur, Pulau Pinang dihimpit masalah air najis akibat sistem pembentungan tidak sempurna.

Tiket Ke Neraka

“Betul ke perempuan mudah masuk neraka?,” tanya rakan kepada ustaz.

“Perempuan ni nak masuk syurga senang, masuk nerakapun senang,” balas ustaz.

“Macamana tu?”

“Kalau dia taat kepada suami dan mengikut perintah Allah S.W.T, dijamin syurga untuk dia. Bila engkar, contohnya lah, malam suami minta isteri bancuh air. Isteri tak nak, mengemukakan pelbagai alasan. Terguris hati suami, pergi dia ke dapur bancuh sendiri, masam muka dia. Malaikat akan laknat isteri tu dari waktu dia mula tidur sampailah subuh esoknya. Kalau dia mati sebelum sempat minta maaf? Itu tiket dia masuk neraka,” jelas ustaz.

“Tapi suami jangan pula gunakan kelemahan isteri, maafkan kesilapan dia,” tambah ustaz lagi.

Selasa, Januari 27, 2009

Jelingan Berbeza

Ini bukan gossip. Pagi tadi semasa menemubual pelakon drama bersiri ‘Anak Betong’, Ezany, Fizz dan penulis skrip Cik Li, saya terlihat gelagat menarik. Penyanyi kelahiran Labuan, Karen Kong, 24 tahun menjadi co-host saya dalam MHI seperti direncanakan penerbit Fetri Yahya.

Rakan saya sempat merakamkan gambar ini. Fizz kelihatan ceria duduk bersebelahan Karen.

“Lain jelingan pesilat ni,” bisik naluri saya.

Nilai sendiri apa saya maksudkan.

Saksikan drama bersiri terbitan TV3 terbabit disiarkan antara Isnin dan Khamis setiap minggu pada jam 4.30 petang.

MHI Bersama Karen Kong

Isnin, Januari 26, 2009

Jangan Lari!

11 Januari lalu, Noor Aishah, 15 tahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor dilapor melarikan diri dari rumahnya di Taman Paramount. Dia dikatakan mengikut teman lelakinya setelah ditegur ibu kerana kerap ‘melayan’ sistem pesanan ringkas, SMS. Aishah berang kerana ibunya dikatakan merampas telefon bimbit digunakan.

Fakta, emosi remaja ‘fragile’, rapuh dan sensitif. Mereka sering melakukan tindakan di luar jangkaan jika tidak dikawal keluarga. Bagaimanapun, Aishah tidak menyedari, melarikan diri bukan tindakan bijak. Dia mungkin terdedah kepada pelbagai kegiatan jenayah akhirnya merosakkan diri.

Selamat Tahun Baru Cina

Selama bertugas di TV3, saya mempunyai ramai kenalan berbangsa Cina. Kami sering berkongsi ilmu pengetahuan tanpa mengira usia. Mungkin kekadang pendapat dan pandangan berbeza tetapi tujuan tetap sama. Memaparkan berita kepada semua.

"Abang Mazidul, esok you masuk 6.30 pagi. Semua info saya sudah email. You sudah dapat ke?" tanya seorang daripada penerbit Malaysia Hari Ini, MHI, Loo Tung Seang.

"Sudah Loo," jawab saya.

Loo mempunyai cara kerja tersendiri, terlalu teliti. Kekadang dia berulangkali menghubungi saya sehari sebelum bersiaran, mengacarakan MHI.

"Bang, nama tetamu esok ada perubahan sedikit. You sudah dapat ke?" soalnya melalui telefon.

"Sudah Loo," balas saya.

Biarpun butiran terperinci bahan siaran terbabit dihantar Loo lebih awal, dia tetap membuat susulan melalui panggilan telefon. Loo menghubungi saya tanpa mengira waktu, pagi, tengahari, petang maupun malam bagi memastikan siaran berlangsung sempurna. Itu Loo.

Teringat, sewaktu kejadian tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Loo penerbit lokasi lintas langsung pada awal pagi, saya wartawan ditugaskan bersama, membuat laporan. Dalam perjalanan dari Sri Pentas ke kawasan dilanda malapetaka, Loo memandu kenderaan sewaktu hujan lebat. Saya tidur di kerusi penumpang, di sebelah. Sesekali saya terjaga waktu kenderaan terlanggar lopak air di jalanraya.

"Sabarnya dia ni. Tenang memandu sedangkan aku tidur," bisik hati.

Itu Loo.

"Bang, bangun. Kita sudah sampai," katanya sewaktu kami tiba di lokasi.

Perasaan hormat menjadi amalannya. Itu Loo.

Antara jam 5 dan 10 pagi kami berada di lokasi, pakaian basah kuyup, hujan turun tanpa henti. Namun tugasan kami laksanakan dengan sempurna. Dia kelihatan tenang dan bersahaja biarpun ada waktunya dia agak kelam kabut di lokasi siaran. Itu Loo.

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada Loo dan keluarga. Begitu juga kepada semua rakan meraikan perayaan sama di TV3 dan seluruh negara.

Gong Xi Fa Chai!

Ahad, Januari 25, 2009

Polis BUKAN Melayu

Ada tanggapan perlu diperbetulkan mengikut hemat saya.

Polis BUKAN Melayu.

Hakikatnya, Pasukan Polis Di Raja Malaysia, PDRM dianggotai pelbagai kaum lain antaranya Cina, India, Orang Asli dan kaum etnik dari Sabah dan Sarawak.

Justeru, sentimen perkauman tidak seharusnya dibangkitkan dalam sebarang kes membabitkan nama PDRM.

Ingin saya tegaskan, ramai pegawai dan anggota PDRM terkorban semasa melaksanakan tugas membanteras jenayah. Jangan lupa, mereka ditikam dan ditembak penjenayah tidak berhati perut dan bersifat kebinatangan. Kematian mereka ditangisi isteri, anak, saudara mara dan rakan taulan. Cuma kisah pahit kesudahan kehidupan majoriti mereka tidak diperbesarkan.

Ada pihak berteriak ..

“Polis tidak boleh dipercayai!”

Ingat pepatah Melayu, dalam setandan pisang kekadang ada sebiji dua busuk. Maksudnya, bukan semua polis tidak boleh dipercayai. Pandangan peribadi saya, masih ramai pegawai dan anggota polis berkhemah tinggi, berpendidikan agama dan sanggup menggadaikan nyawa demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan kita dan negara tercinta.

Terfikir, jika tiada PDRM, mampukah kita semua hidup tenang sebegini?

Drama Tempatan

Berikut pandangan sekelompok manusia ..

“Penonton drama tempatan sering dimomokkan dengan pelbagai adengan sedih. Barangkali kerana airmata dilihat satu ekspresi jelas menggambarkan perasaan manusia. Tidak cukup dengan itu, drama disuntik antaranya unsur hasad dengki, kecurangan dan fitnah kalau ingin mendapat sambutan dan 'rating' tinggi. Jadi, tak ada faedah menonton drama!”

Setuju atau tidak?

Jumaat, Januari 23, 2009

Usah Terlalu Emosi

1. Berita kematian suspek kes mencuri kenderaan, A. Kugan, 22 tahun 20 Januari lalu sewaktu ditahan reman di Balai Polis USJ 8, Subang Jaya, Selangor menarik perhatian saya.

2. Berpandukan kepada hasil bedah siasat mayat di Hospital Universiti Petaling Jaya, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata Kugan mati akibat masalah paru-paru berair. Bagaimanapun beliau berjanji siasatan telus dijalankan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan, mendatang kecederaan parah.

3. Pada masa sama keluarga Kugan mendakwa dia didera polis sehingga mati. Berikutan itu mereka dan dua Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, K. Devamany dan T. Murugiah dilapor ‘menceroboh’ bilik mayat Hospital Serdang lebih 2 jam. Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dalam kenyataan beliau mengatakan tindakan itu perbuatan jenayah. Kini, gambar mayat Kugan tersebar di internet. Manakala dua Timbalan Menteri terbabit akan dipanggil pihak polis untuk memberi keterangan.

4. Pengkebumian mayat Kugan ditangguhkan. Sekaligus keluarga si mati mendesak bedah siasat ke dua dijalankan. Bagaimanapun setakat ini mereka mendakwa polis enggan memberikan kebenaran.

5. Terkini, menurut laporan Bernama, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail mengklasifikasikan kematian Kugan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

6. Justeru, percanggahan fakta berlaku antara butiran (2) dan (5).

7. Bagaimanapun kita semua harus menunggu hasil siasatan sebenar. Usah terlalu emosi dalam pemikiran dan tindakan. 'Innocent until proven gulilty', itu pegangan.

8. Jika benar Kugan dibunuh, mahkamah akan menjatuhkan hukuman setimpal kepada pesalah terbabit.

Kerjaya Tergadai

[ Gambar: Sanggupkah orang kita? ]

Siapa pelayan restoran? Siapa pembantu rumah? Siapa pembina bangunan kedai? Siapa pembina rumah kos rendah, sederhana dan banglo? Siapa pekerja ladang sawit? Siapa pekerja kilang elektronik? Siapa pekerja kedai runcit? Siapa menjual ikan dan sayur di pasar? Siapa pemandu teksi, bas dan lori? Siapa pekerja kontrak membuat jalanraya?

Jawaban sama, warga asing!

Menurut Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, G. Rajasegaran sektor pembuatan dan perkhidmatan menggunakan tenaga kerja lebih 1 juta warga asing. Kerajaan kini bercadang membekukan kemasukan warga asing secara berperingkat sekaligus membuka ruang pekerjaan kepada warga tempatan.

Persoalannya, mampukah rakyat tempatan ‘mengambilalih’ kembali kerjaya tergadai selama ini dilaksanakan warga asing secara efisyen?

Tambahan pula, sekian lama majoriti rakyat tempatan dikatakan berat tulang dan terlalu memilih kerja.

Khamis, Januari 22, 2009

Tuduhan dan Pembuktian

Suspek beberapa siri kes rompakan dan curi kereta mewah, A. Kugan, 22 tahun mati didakwa didera polis semasa proses siasatan. Ayah Kugan, R. Ananthan mendakwa terdapat kesan luka di leher, belakang, tangan, kaki dan pergelangan tangan mayat anaknya. Justeru, dia mahukan pihak menyebabkan kematian anaknya dibawa ke muka pengadilan.

Tidak disangkal, sebelum ini pihak polis pernah didakwa mendera suspek kes jenayah.

Apapun saya bersetuju dengan komen Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, siasatan secara terperinci dan telus harus dilaksanakan terlebih dahulu. Tuduhan boleh dilakukan sesiapa sahaja, pembuktian tuduhan, satu perkara lain.

Saya pernah melalui perkara sama. Satu akhbar tempatan pada 27 November lalu secara bertulis menuduh saya dan isteri DISAHKAN bercerai. Sila rujuk post bertajuk ‘Bodoh Sombong’, 25 Disember 2008. Semalam, Hakim Syarie, Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, Selangor, Ghazali Ahmad memutuskan kami pasangan suami isteri sah.

Saya masih menunggu wartawan akhbar terbabit memohon maaf secara peribadi. Ingat, dosa memfitnah sesama manusia, hanya manusia mampu memaafkan. Bimbang, jika nanti helaan nafas terakhirnya sukar.

Rabu, Januari 21, 2009

Notis Henti Operasi Kuari

Post 17 Januari bertajuk ‘Dihantui Mati’ dirujuk.

Jam 11.45 tadi saya dihubungi Penolong Pegawai Perhubungan Awam, Majlis Perbandaran Selayang, MPS Helda Syima Abu Talab. Menurut beliau, MPS akan mengeluarkan notis mengarahkan syarikat kuari terbabit memberhentikan operasi. Sebelum ini dimaklumkan kuari beroperasi sejak tahun 2003 itu, tidak membuat permohonan memperbaharui lesen bagi tahun ini. Maksudnya operasi meletupkan batu antara 1 dan 19 Januari lalu, haram.

Kenyataan itu MPS bakal disiarkan dalam siri 360 malam ini. Bagaimanapun saya dan krew 360 akan memastikan perlaksaannya. Mual dengan kenyataan kosong tanpa implementasi berlaku sebelum ini.

Pilih Bulu

“Saya baru saja buka gerai, belum sempat jual nasi lemak lagi, dah disaman RM300 dek pihak berkuasa tempatan. Kalau nak kira, berniaga pun bukan sepanjang hari dan langsung tak menghalang lalu lintas. Dua jam maksimum, dari pukul 7 sampai 9. Hairannya, cuba tengok restoran besar milik taukeh Cina tu, bila petang letak kerusi meja sampai tutup jalan. Susah kenderaan nak lalu. Kaki lima kedai lagi dahsyat, siap boleh disewakan kepada pegerai lain sedangkan tempat tu bukan boleh digunakanpun untuk berniaga. Itu kan tempat pejalan kaki?,” keluh peniaga wanita berhampiran rumah saya.

“Pilih bulu, adat dunia,” balas saya.

Selasa, Januari 20, 2009

Kesudahan Hidup

Usianya 33 tahun, wanita Melayu beranak satu berasal dari Johor, alamat terkininya di Ampang, Selangor. Jam 5.30 pagi tadi dia dilaporkan terjun dari jejantas di Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Waktu itu saya dalam perjalanan ke studio, bertugas mengacarakan program Malaysia Hari Ini, MHI.

Kecederaan parah di kepala dan muka, dipercayai antara punca kematiannya. Darah merah pekat masih mengalir sewaktu gambar mayatnya dirakamkan.

“Dia memang niat nak mati. Saya anggarkan pada ketinggian jejantas, dia jatuh dengan halaju 120 kilometer sejam,” jelas penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim, antara tetamu MHI pagi tadi sewaktu gambar mayat saya tunjukkan.

Turut ditemui berhampiran mayat, buku diari dipercayai tulisan si mati dan kad pengenalannya.

‘Bosan, bosan, bosan, Kak Lin memang pandai gunakan aku. Cakap punyalah baik tapi Tuhan saja yang tahu apa yang terjadi. Aku lebih rela hidup susah. Biarlah mungkin sudah takdir Ilahi. GIVE UP FOR MY LIFE- Insan Malang’

Antara catatannya pada 13 April 2008.

Mengapa begitu kesudahan hidup?

Isnin, Januari 19, 2009

Meet Uncle Hussain

“Dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Juara Lagu ke 23, kisah manis. Tapi saya nak tanya satu daripada kisah pahit?,” tanya saya.

“Masa dulu, susah, kami biasa makan nasi dua ringgit, tiap-tiap hari, itu jer bajet ada,” balas Lan, vokalis Meet Uncle Hussain pagi tadi dalam MHI.

Saya melihat mereka kumpulan Indi dianggotai anak muda ‘humble’, bijak merendah diri. Lagu mereka ‘Lagu Untukmu’ dipilih sebagai juara lagu 2008.

“Tapi sekarang, awak semua suka makan ikan bawal goreng Medan Selera di Kota Damansara, kan?,” soal saya lagi.

Mereka terkejut.

“Ha! Ha! Ha!,” semua tertawa.

Berkebetulan pemilik gerai ‘Bawal Power’ di lokasi terbabit, jiran saya.

Ahad, Januari 18, 2009

Siapa?

Masih ramai cuba melontarkan komen tanpa identiti diri. Sekali lagi ditegaskan komen terbabit TIDAK akan dilayan dan disiarkan. Kepada pembaca setia blog ini, ucapan terima kasih saya rakamkan.

Hidup Merempat

Semalam sewaktu merayau-rayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, saya terjumpa lelaki ini di tepi jalan berhampiran Planet Hollywood. Usianya 47 tahun, masih bujang dan berasal dari Petaling Jaya, Selangor. Dia kelihatan kurang selesa ketika gambarnya meminta sedekah dirakamkan.

“Saya dulu askar. Lepas tu kena penyakit ni, tak boleh kerja. Banyak kali pergi ke hospital, lepas check, doktor kata tak dapat kesan penyakit apa,” ujarnya.

“Kalau tak silap saya ni penyakit elephant leg atau untut, boleh dirawat,” balas saya.

“Rawatan pun kena pakai duit. Minta tolong dengan Kementerian Pertahanan, letih turun naik bangunan tapi tak dapat bantuan juga. Terpaksa mengemis nak menyara hidup,” dakwanya.

Jika benar dakwaan itu, rakyat Malaysia pernah berjasa berkhidmat menjaga keamanan negara tidak seharusnya dibiarkan hidup merempat.

Sabtu, Januari 17, 2009

Anak Kita Di Bukit Bintang

Dayus

Setakat ini 1,188 nyawa rakyat Palestin terkorban, 375 kanak-kanak manakala 5,285 dilaporkan cedera. Terbaru, Regim Zionis dilaporkan membedil hospital di Gaza menggunakan ‘white phosphorous’, bahan letupan keluaran Amerika.

“Israel is instead United States best friend,” ujar pengulas Aljazeera.

Di New York, rakyat Amerika berdemonstrasi di depan pejabat suratkhabar New York Post membantah laporan berat sebelah, bias media cetak terbabit. Di India, pertempuran berlaku di antara penunjuk perasaan dan pihak polis. Demonstrasi anti Israel antaranya diteruskan di Indonesia, Iran, Kashmir dan banyak negara dunia lain.

Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu tidak bertaring, ketua negara Arab dayus, hanya sekadar melihat lebih ramai umat Islam dibunuh. Lebih menghairankan, negara Arab dilaporkan berpecah buat kali pertama dalam usaha menangani peperangan di Palestin.

Isnin, 19 Januari sehari sebelum Barrack Obama mengangkat sumpah sebagai presiden Amerika Syarikat saya akan menemubual tetamu berhubung dasar luar bakal presiden terbabit dalam program MHI.

Wanita Tertekan

[ Gambar Ehsan Harian Metro ]

8.25 pagi, 15 Januari lalu, wanita berusia 25 tahun dilaporkan terjun dari tingkat 2 bangunan di Taman Pelangi, Johor Bahru, Johor. Semasa melayang di udara wanita dipercayai tertekan akibat teringatkan kekasih lama itu dikatakan sempat melaungkan takbir. Maksudnya dia beragama Islam.

Wanita itu bagaimanapun berjaya disambut lalu diselamatkan pegawai Bomba dan Penyelamat Larkin berbangsa India. Pegawai terbabit dan anggotanya sanggup mempertaruhkan keselamatan mereka demi menyelamatkan wanita tidak menghargainya nyawanya sendiri.

Kejadian hampir sama berlaku sebelum ini di Kuala Terengganu, Terengganu. Gadis Melayu berusia 19 tahun cuba terjun dari bumbung hotel kerana dilapor dikecewakan kekasih. Bagaimanpun dia berjaya dipujuk dan diselamatkan.

Hairan, kebelakangan ini percubaan membunuh diri kerapkali membabitkan wanita Islam. Adakah perbuatan terbabit sekaligus menggambarkan betapa mudah wanita tertekan berbanding lelaki lalu mengambil keputusan tidak berhajat mencium bau syurga?

Dihantui Mati

Jam 11 pagi semalam saya berada di Rawang Perdana 2, Rawang, Selangor. Ketibaan saya disambut beberapa penduduk Cina dan Melayu.

“Pukul 12 tengahari, Isnin, Selasa, Khamis, mesti itu bom bunyi, ada tiga kali, ada lima kali, kita punya rumah goyang serupa gempa bumi,” ujar C.K Weng.

‘Bom’ dimaksudkan Weng, dinamit diletupkan di kuari terletak berhampiran rumahnya.

Difahamkan lebih 80 peratus rumah di kawasan sama mengalami nasib sama, retak di bahagian dinding dalam dan luar dipercayai akibat ledakan kuat dinamit di kuari beroperasi sejak 8 tahun lalu.

“Saya jam 12, mesti lari, tak mau duduk sini rumah, takut runtuh, nanti mati, itu bom banyak kuat,” kata jiran Weng, B. H Tan, 59 tahun.

Tan kemudian mempelawa saya meninjau keadaan di dalam rumah dibelinya pada harga RM175,000 tiga tahun lalu. Kesan rekahan ketara, tidak hairan mengapa Tan dihantui ketakutan setiap hari.

Batu batan lahap diletupkan dipercayai dijual syarikat kuari kepada pelanggan. Keuntungan bagi syarikat, seksa terpaksa ditanggung lebih 1000 penduduk di kawasan sekitar, itu hemat saya.

Operasi kuari perlu mendapat kebenaran daripada pelbagai agensi kerajaan antaranya Jabatan Mineral dan Geosains, Jabatan Alam Sekitar, Polis dan Pejabat Tanah sebelum diluluskan Majlis Perbandaran Selayang, MPS.

Hairan, bagaimana MPS meluluskan lesen kuari beroperasi kurang 100 meter dari kawasan perumahan?

Janga lupa menyaksikan 360, siaran 21 Januari. Saya akan mendapatkan penjelasannya.

Khamis, Januari 15, 2009

Istimewa Mamak

Perhatikan …

Restoran Melayu kerap menghidangkan pelbagai juadah membuka selera. Antaranya, nasi campur, lauk pauk ala kampung beserta ulaman segar. Malang, tidak banyak bertahan lama biar pun makanan disajikan enak. Beroperasi beberapa bulan kemudian ‘bungkus’, terpaksa berhenti berniaga.

Jauh berbeza berbanding restoran mamak. Memilih menghidangkan makanan berasaskan kari dipanaskan berulang kali tetapi mampu bertahan lama tanpa mengira lokasi.

Apa istimewanya?

Rabu, Januari 14, 2009

Jem

Kita semua tidak gemarkan kesesakan lalu lintas. Bosan apabila kenderaan dipandu bergerak perlahan bak siput. Sebahagian daripada kita pengguna jalanraya mula tercabar kesabaran jika terperangkap dalam kesesakan jalanraya.

Tekanan akibat kesesakan jalanraya mampu mencetuskan pelbagai tindakan tidak diduga. Pasangan suami isteri bermasam muka sekiranya terperosok terlalu lama di dalam kenderaan untuk sampai ke destinasi dituju. Ramai pemandu membunyikan hon secara semberono, geram. Biarpun mereka tahu tindakan terbabit tidak merubah keadaan. Kekadang ada pemandu cuba memotong di lorong sempit semata mata ingin berada di hadapan.

Jadi, apakah tindakan bijak dilakukan setiapkali berhadapan dengan kesesakan jalanraya?

Selasa, Januari 13, 2009

Bagai Pahat Dan Penukul

Bermula 7 Januari lalu, 360 beralih ke skop liputan berbeza. Wartawan saya setiap minggu bertemu golongan bermasalah, sekaligus berperanan menjadi moderator bagi menyelesaikan masalah didepani mereka.

Contohnya, minggu lalu saya menerima aduan penonton dari Klang, Selangor berhubung lorong di tepi taman perumahan dijadikan jalan pintas kenderaan berat sejak setahun lalu. Mereka dihantui bunyi bising dan membangkitkan soal keselamatan penduduk. Jam 4 petang sabtu lalu, wartawan 360 ke lokasi dan mendapati jalan sepanjang 2 kilometer dibina berhampiran taman sebelum ini, mendap teruk sepanjang 50 meter. Kini kawasan sama dijadikan tempat pembuangan sampah haram pihak tidak bertanggungjawab.

Berikutan liputan dilakukan 360, petang tadi Majlis Perbandaran Klang, MPK mengarahkan kontraktor dilantik membersihkan kawasan terbabit. MPK difahamkan bakal berbincang dengan Jabatan Kerja Raya untuk membaik pulih jalan mendap itu agar dapat digunakan semula kenderaan berat kini menjadi igauan ngeri kepada penduduk taman.

Bagai pahat dan penukul, itu rumusan saya.

Jika anda berhadapan masalah, sila hantarkan perinciannya ke email saya.

Isnin, Januari 12, 2009

Boikot Produk Berjenama Amerika Syarikat

“Kita wajib memulau produk berjenama Amerika Syarikat di negara ini. Syarikat terbabit secara jelas menyalurkan dana kepada Israel. Setakat ini ramai menghubungi saya, bimbang pemboikotan itu akan memberi kesan kepada jualan produk syarikat di Malaysia. Ada juga khuatir, peluang pekerjaan rakyat negara ini bekerja dengan syarikat terbabit, terjejas,” ujar Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia, PPIM dalam temubual MHI, jam 7.45 pagi tadi.

Saya harap pemboikotan itu tidak berbentuk hangat hangat tahi ayam, harus konsisten sehingga misi menyedarkan Amerika Syarikat tidak bersekongkol dengan Israel tercapai.

Apakah antara barangan wajib diboikot? Sila layari laman web PPIM, http://www.muslimconsumer.org.my/ppim

Ahad, Januari 11, 2009

Homestay

Kekadang lari dari hiruk pikuk kota memberikan ketenangan terindah.

Tanpa dirancang, perjalanan selama 90 minit dari Petaling Jaya, Selangor membawa saya dan keluarga menyertai program homestay di Parit 2, Kg. Sg. Haji Dorani, Sungai Besar, Selangor. Biar pun hanya semalaman, anak-anak berpeluang tidur di rumah kayu di tengah bendang menghijau terbentang luas, memancing ikan puyu di tepi halaman, mencanting batik dan menumbuk padi. Terpancar kegirangan di wajah mereka, wajah jarang berpeluang menyaksikan keindahan sebenar alam semulajadi.

Beberapa gambar saya muatkan di Mazidul Face Club, sila klik link di Rakan Blogger, sebelah kanan.

Kami menginap di rumah Mohd Yatim Basri, 55 tahun bersama isteri dan 6 anak serta 3 cucu beliau. Mereka bukan jutawan tetapi begitu kaya dengan budi bahasa dan adab sopan.

Tidak jauh dari rumah Yatim, pasar petang, kebanyakan peniaga berketurunan Jawa menjual pelbagai hasil laut pada harga jauh lebih murah berbanding harga di kota. Udang, mentarang, ketam, ikan, semua segar. Semalam, di jeti berhampiran saya rakamkan sunset untuk dikongsikan bersama pembaca.

Pakej lima orang, termasuk makan minum, RM300, hanya RM60 seorang. Percayalah, pengalaman dilalui berbaloi dengan harga tidak seberapa.

Biar Beridentiti

Bermula hari ini setiap komen ‘tanpanama’ atau ‘anonymous’ TIDAK akan disiarkan di blog ini.

Sabtu, Januari 10, 2009

Lari!

Hari ini saya mengambil keputusan lari dari hiruk pikuk kota besar. Jam 4 petang, saya InsyaAllah akan berada di Homestay Kg. Hj. Dorani, Sungai Besar, Selangor sehingga 12 tengahari esok. Jika ada antara pembaca berada di sekitar kawasan sama, hubungi saya melaui SMS, 019 2345 360.

Suka Hati Kau lah Labu ...

Bermula 1 Januari 2009, pemandu kenderaan disaman jika penumpang di belakang tidak memakai tali pinggang keledar. Pihak berkuasa dilaporkan serius melaksanakan undang-undang terbaru itu dalam operasi dijalankan di seluruh negara.

Bagaimanapun tanpa disangka wujud pilih bulu dalam perlaksaan undang-undang terbabit.

Pemandu kenderaan didaftarkan di luar negara antaranya dari Singapura, Thailand dan Brunei disahkan ‘kebal’. Mereka tidak boleh disaman biarpun penumpang belakang melakukan kesalahan sama. Itu kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat.

Justeru, adakah undang-undang itu bermaksud rakyat Malaysia memandu di Singapura, Thailand dan Brunei boleh melanggar isyarat lampu merah dan tidak disaman?

Suka hati kau lah labu …

Jumaat, Januari 09, 2009

Elak Memfitnah

“Sebelum ini, media pernah mengusik saya dalam ruangan gosip, tetapi saya tidak pernah mengendahkannya atau melenting. Bagaimanapun, tuduhan kami bercerai sesuatu yang melampau” – Datuk K ( Harian Metro 9 Januari 2009)

Bukan mudah menjadi selebriti, cerita kecil kerap kali diperbesarkan. Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, 30 tahun sebelum ini jarang dilanda gosip. Namun kebelakangan ini, kisah rumahtangga beliau dan suaminya, Datuk K kerap mendapat liputan. Barangkali itu lumrah bagi kelompok bergelar selebriti. Berbeza berbanding contohnya, kisah rumahtangga kerani di syarikat swasta goyah, tiada pihak ingin mengambil tahu.

Sambung Datuk K ..

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang jika berita yang disiarkan tidak benar dan mengaibkan maruah saya”

Wartawan harus beretika semasa menulis, memastikan setiap berita disiarkan di media cetak dan elektronik tidak berbaur fitnah.

PBB Luluskan Resolusi Genjatan Senjata

14 hari mengharungi konflik, lebih 769 rakyat Palestin terkorban, termasuk 129 kanak-kanak, jam 10.30 pagi tadi Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB meluluskan Resolusi 1860, menguatkuasakan genjatan senjata ‘serta merta’ antara pejuang Hamas dan tentera Israel. Amerika Syarikat mengambil tindakan berkecuali sewaktu pengundian dijalankan, 14 ahli Majlis lain menyokong.

Sejurus resolusi terbabit diluluskan, bunyi tembakan dan letupan masih kedengaran di bandaraya Gaza. Serangan helikopter penggempur masih berterusan. Semuanya petanda awal, resolusi PBB itu tidak dihormati.

Menteri Luar Palestin, Riyad Al Maliki dalam sidang media menyatakan malangnya resolusi sama tidak menyatakan secara jelas waktu spesifik tentera Israel harus berundur dari Gaza. Malah beliau percaya, dalam tempoh 2 hari akan datang, tentera Israel akan terus melakukan serangan dijangka mengorbankan lebih banyak nyawa.

Khamis, Januari 08, 2009

Kepuasan?

Konstabel Balai Polis Kota Damansara didakwa merogol kanak-kanak berusia 6 tahun di Seksyen 14, Petaling Jaya, Selangor.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksima 30 tahun dan disebat.

Satu soalan berlegar di minda, apa perogol dapat daripada kanak-kanak sekecil itu? Kepuasan?

Rabu, Januari 07, 2009

Biar Mati Pun Tak Apa

Bila kecewa, ada antara kita mengeluh …

“Biar mati pun tak apa!”

Pandangan saya, kecewa itu lumrah manusia, fitrah. Ada waktunya kita juga mengecewakan orang lain waktu kita menumpang di dunia fana ini. Kecewa itu perasaan. Perasaan itu milik kita. Maksudnya kita harus bijak bertindak setiap kali berdepan dengan kekecewaan. Mati bukan jalan penyelesaian. Malaikat Izrail akan mencabut nyawa kita tika tiba waktunya, tidak cepat atau lambat biar sesaat sekalipun.

Kekecewaan tidak membunuh manusia, itu hakikat. Cuma kerapkali manusia membunuh semangat mereka sendiri untuk meneruskan kehidupan.

Berbeza jika kita renung kejadian berlaku di Palestin, lebih 600 nyawa terkorban setakat ini. Mayat kanak-kanak bergelimpangan, dibunuh kejam regim Zionis tanpa belas kasihan. Saya percaya ibu bapa mangsa kecewa gagal melihat nasib tidak terbela. Tetapi mereka semua masih mahu terus hidup, berhajat melihat sinar keamanan di bumi sendiri. Semangat juang mereka kental. Semangat harus kita miliki.

Jadi, jangan sesekali mengungkapkan kenyataan ..

“Biar mati pun tak apa!”

Selasa, Januari 06, 2009

Siapa 'devil' sebenar?

Hari ke 10 pencabulan senjata Israel, 530 warga Palestin dilaporkan terbunuh, 100 daripada statistik itu, kanak-kanak dan wanita. Lebih 2700 mangsa tercedera gagal dirawat secara sempurna berikutan 70 peratus bekalan elektrik di Bandar Gaza terputus. Hospital kerajaan kekurangan bekalan perubatan untuk menjalankan pembedahan.

Tentera Hamas dilengkapi senjata ringan kini dilaporkan menentang tentera Israel menggunakan senjata berteknologi tinggi seperti meriam, helikopter dan jet pejuang.

Presiden Amerika Syarikat, George Bush mendakwa Israel berhak mempertahankan diri. Sedangkan Israel menjajah Palestin. Bakal Presiden, Barrack Obama hanya membisu, fokusnya menangani krisis ekonomi di negara Uncle Sam itu.

Menteri Luar Israel, Tzipi Livni melabelkan pejuang Hamas sebagai ‘devil’.

Peliknya ..

Isnin, Januari 05, 2009

Mati Katak

Masalah Mat Rempit tidak bernoktah. Bukan sahaja di bandaraya, bandar malah di desa. Mereka kerap mempamerkan aksi berbahaya di jalanraya. Kekadang aksi terbabit dibantu teman wanita membonceng di belakang.

Ramai antara mereka terkorban, mati katak. Putus tangan dan kaki dalam kemalangan. Namun perkataan serik tidak wujud di kotak pemikiran mereka, itu hakikat sukar disangkal.

Pihak berkuasa pula bagai kehilangan taring membanteras kegiatan mampu mengundang maut itu biarpun operasi berulangkali dilaksanakan. Tangkapan dilakukan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 tidak berkesan mengurangkan bilangan Mat Rempit bermaharajalela di seluruh negara.

Hanya segelintir Mat Rempit berbangsa Cina dan India. Majoriti, Melayu.

Mengapa? Apakah cara terbaik mengekang kegiatan Mat Rempit?


Ahad, Januari 04, 2009

Terima Kasih Semua

Post berhubung modifikasi kereta dimuatkan dalam blog ke dua saya pada 14 Disember 2008 bertajuk ‘Macam-macam’ mendapat pelbagai komen, setakat ini bilangan komen terbanyak.

Persoalan saya timbulkan, mengapa ramai antara pemilik kenderaan keluaran tempatan antaranya Wira, Waja, Kancil dan MyVi gemar memodifikasi kenderaan terbabit kelihatan seperti kenderaan buatan luar negara. Bukan sahaja bentuk kenderaan diubahsuai malah enjin.

TIDAK ada dalam post terbabit saya mempertikaikan tindakan itu. Cuma sekadar ingin mendapatkan pandangan.

Ramai pembaca mencatat, modifikasi kereta berhubungkait dengan kreativiti dan hobi, bukan kerana malu memiliki kenderaan jenama tempatan.

Komen Yatt, menarik perhatian ..

‘Tapi kelakar la tgk kete Wira dibuangkan tulisan ‘Wira’ di bumper dan digantikan dengan ‘Mitsubishi’ serta logonya sekali. Bila tengok aku terfikir ‘mamat ni, macam la orang tak tau ko tu pakai kete Wira, perasan pakai Mitsubishi Lancer’

Ini petikan komen Kingshahepisode membidas pandangan berbeza ..

‘pompuan abiskan duit beratus2 tuk kain baju n alat mekap? ko pelik tak? depa tak sayang duit janji puas ati n tuk nampak cantikkan?’

Komen PNFC ..

‘Adakah peminat mods kete mcm kami nie menyusahkan hidup kamu semua?’

Saidmp3 ..

‘Kalau kau yang bagi kitorang duit nak modify, ko nak bising takpe jugak...’

Wan8 ..

‘Jgn nak kondem je bro, tepuk dada tanye la hati, mampukah aku nak modi kereta nie? kalo mampu teruskan, kalo tak diam2 suda...pasal kos modi kereta nie bukan murah..’

Rochiano ..

‘Takisah pun klu na modified ke naperasan kereta nasional mcm kete mahal ke...tp klu tgk kebanyakan tuan kete modified ni kuang aja atas jln raya.jln tgh jam pun buat mcm jlnraya lengang. Tiap2 hari i jumpa ok? Ni bukan sekadar ckp. Tau la korang ade yg da expert hal ni. Relax ar, org lain kasi comment jgk. Poyo slow skit ye abg2, jgn melenting tapasal :)

Newneo berkata ..

‘Suka hati la kita nak buatrupa keta jadi apa pun.. nafsu masing2 duit masing2. kena tahan jpj pun hal masing2. bro mazidul ko pakai kete apa?’

Anonymous mencatat ..

‘Tahukan en mazidul, dengan saiz badan anda sekiranya bersandar atau duduk atas hood wira apa akibatnya? cuba anda duduk atau bersandar pada hood lancer atau evo yang dipasang pada body wira... anda akan sedar kenapa wira lebih cantik kalau di pakaikan bodypart lancer atau evo. saya rasa anda perlu berfikir panjang sebelum melontarkan komen atau membuka satu tajuk perbincangan yang sebegini berat’

Saya tersenyum membaca semua komen di samping menambahkan pengetahuan berhubung reaksi manusia. Apa pun terima kasih kerana sudi berkongsi pandangan.

Hentikan Keganasan

Airmata tiba-tiba bergenang sewaktu menonton Buletin Utama malam tadi. Visual mayat anak kecil, kaku berbalut kain putih dipenuhi titisan darah lambang keganasan regim Zionis. 19 kanak-kanak antara lebih 500 setakat ini terkorban di Palestin akibat bedilan jet pejuang regim sama.

25 ribu pejuang Hamas membuat keputusan mempertahankan Wilayah Gaza dan rela mati syahid.

Manakala Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush dalam satu temubual melalui radio menyalahkan pejuang Hamas sekaligus bagai merestui tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

Saya mengutuk tindakan ketenteraan membabitkan nyawa orang awam.

Sabtu, Januari 03, 2009

Dulu Lain Sekarang Lain

Dulu ..

Lelaki bujang acapkali dituduh bersikap tidak setia kerana sering mempunyai lebih daripada seorang teman wanita.

Antara ALASAN lelaki ..

“Normal lah! Lelakikan, kalau boleh biar ada koleksi. Kemudian kita pilih satu terbaik dijadikan isteri. Bayangkan, kalau ada satu saja, macamana nak diperbandingkan, tak ada basis of comparison, so kita pun tak tahu mana satu terbaik untuk kita? ”

Kini dipercayai ..

Segelintir perempuan bujang mengambil tindakan sama, mempunyai koleksi teman lelaki.

Antara ALASAN mereka ..

“Dulu lain, sekarang lain. Lelaki ni kita faham sangat, bila dia dah tak nak, dia cabut macam tu saja. Bayangkan, kalau ada satu, payahlah. So, biar lebih daripada satu, kalau satu lari, masih ada lagi boleh dijadikan calon suami”

Aduh!

Komen lelaki dan perempuan bujang?

Mereka sudah berumahtangga boleh turut sama melontarkan pandangan ..

Khamis, Januari 01, 2009

Parti Seks? Uh!

[ Penyampai berita dan pelakon drama bersiri ditahan-gambar ehsan Kosmo ]

Dalam operasi pada jam 3.30 pagi tadi, pelbagai minuman keras, dadah jenis ketamine, kokain, syabu dan ecstasy dirampas polis di bilik hotel tingkat 11, Jalan P.Ramlee, Kuala Lumpur. Sembilan disahkan positif dadah manakala pelajar kolej swasta dari Kelana Jaya berusia 21 tahun dipercayai pembekal dadah ditahan di bilik sama. Parti itu dipercayai didalangi pasangan suami isteri berumur lingkungan 20 an, melangsungkan perkahwinan 3 minggu lalu.

26 ditahan, majoriti berada di bawah pengaruh alkohol, separa sedar. 'Peserta' parti dikatakan saling mengenali melalui rangkaian laman web, Friendster. Penyampai berita syarikat televisyen swasta, bukan anak syarikat Media Prima dan pelakon wanita drama bersiri kurang dikenali, keduanya berusia 25 tahun turut ditahan.

Sehari sebelum sambutan tahun baru 2009, polis melalui media elektronik dam cetak mengingatkan orang ramai tidak terbabit dalam kejadian jenayah agar tidak berakhir menjadi tahanan lock up.

Nampaknya, peringatan itu dipandang remeh sesetengah pihak.

Lagenda Seni