Ahad, Ogos 28, 2011

SOS! Angkasawan Ke ISS, Kampung Tiada KemudahanTelefon Talian Tetap

Lihat gambar di bawah ini, saya rakamkan petang tadi.


3 hari lagi Malaysia akan menyambut hari ulang tahun kemerdekaan ke-54. Masyarakat di  bandar dan bandaraya telah berkurun mengecapi nikmat pembangunan berikutan kemerdekaan negara.

Selain dilengkapi kemudahan jalur lebar, khidmat telefon talian tetap turut ditawarkan oleh TM kepada pengguna hampir di seluruh pelusuk tanah air.

Namun keadaan itu tidak boleh diapplikasikan di beberapa kampung di antara Tanjung Malim dan Slim River, Perak.

"Setiap bulan pengguna kena bayar sewa talian RM26 tetapi talian bukan ada. TM dah hantar kepada saya 29 surat warning agar menjelaskan bil telefon tertunggak, lebih RM200," jelas Shahrin Mohd Rani.


Untuk rekod, Shahrin, anak bekas ketua kampung, Kampung Sungai Dara.

Sebelum secara kebetulan bertemu penduduk kampung berusia 58 tahun itu, saya sempat merakamkan beberapa gambar tiang telefon tanpa wayar.


"Sebelum ini, memang ada wayar tetapi dengarnya, kabel diperbuat daripada tembaga asyik kena curi tetapi masakan masalah itu tidak boleh diatasi kakitangan di Tanjung Malim?," soal Shahrin.

Ya, masakan masalah itu tidak boleh ditangani.

Pencuri memang tetap mencuri namun tidakkah wujud kaedah lain untuk membantu lebih 400 penduduk untuk menikmati kemudahan telefon talian tetap?


Terfikir, angkasawan negara, Dr. Sheikh Muszaphar Syukor telah dihantar ke International Space Station, ISS, penduduk beberapa kampung selain daripada Kampung Sungai Dara, masih tidak mengecapi sistem perhubungan asas.

Janggal sungguh bunyi kenyataan di atas.


Saya difahamkam penduduk Behrang Batu 7, Behrang Batu 8 dan Kampung Sungai Bill setakat ini mempunyai telefon talian tetap dibekalkan TM di rumah tetapi sekadar dijadikan hiasan sahaja.

Pada masa sama, kawasan perkelahan, Kampung Sungai Bill juga tidak menikmati kemudahan talian Celcom hingga ke saat tampalan ini ditulis.

Untuk rekod, Ahli Dewan Negeri bertukar ganti, pada awalnya disandang wakil Barisan Nasional, kemudian Parti Keadilan Rakyat, kini bebas, Yang Berhormat Jamaluddin Mohd Radzi.

Kuasa berada di tangan YB, bantulah penduduk kampung.

Ingat, penduduk di perkampungan terbabit mengibarkan Jalur Gemilang sama seperti penduduk di daerah lain sempena menyambut 31 Ogos 2011.



Sudahlah tiada talian tetap, tiada talian Celcom jauh sekali kemudahan jalur lebar. Bukan apa, sesekali teringin memuat naikkan tampalan blog dari rumah tanpa perlu memandu kira-kira 17 kilometer ke pekan Slim River untuk berkongsi nukilan bersama ribuan pembaca.

Penatlah YB. 

Lebih mengejutkan, Celcom mengambil inisiatif membina stesyen pemancar di kawasan pedalaman, Kampung Orang Asli Pos Bersih, Ulu Slim tetapi tidak di beberapa perkampungan Melayu.

Saya berasa amat gembira, orang asli mendapat kemudahan telekomunikasi sebegitu tetapi pada masa sama terkilan berhubung sikap operator talian mudah alih kerana dilihat menganaktirikan kemudahan di kampung dihuni penduduk majoriti negara ini.

Baca di sini.

Sabtu, Ogos 27, 2011

Hantu Menghuraikan Status Imej 'Hantu'

Wow! Secara tiba-tiba blog ini menerima aliran trafik mencurah-curah. Thanks to Tukang Dera, sebelum ini bersungguh-sungguh mengutuk status imej dirakamkan oleh pembaca blog ini kira-kira lebih 2 tahun lalu.

Tanpa disangka, gambar berikut masih menjadi isu pertikaiannya. 


Tukang Dera membuka thread di Lowyat.net semata-mata untuk melontarkan amarahnya apabila beberapa pandangan berbentuk kurang sopan dihantarnya tidak saya muat naikkan di blog ini.

Di dalam thread terbabit dia menukar nama kepada 'Rahman Henderson'.

Tukang Dera kini bergelar Rahman Henderson masih tidak berani mendedahkan identiti dirinya, justeru kita tidak mengetahui kadar kepakaran dimiliki individu terbabit berhubung dunia photografi.

Dalam thread sama, pembaca melabel Rahman sebagai 'attention whore' kerana gagal memperkenalkan diri sebagai individu membuka thread terbabit.

Klik imej di bawah untuk meneliti jawaban dikemukakannya.


Pembaca, Dark Confidant mengajukan soalan di thread sama dan baca respon Rahman.


Sebelum ini, pakar teknologi maklumat secara sukarela menghantar EXIF data gambar, dipaparkan di sini, bukti nyata dari aspek teknologi, imej terbabit tidak diubahsuai.

Berikutan sikap enggan memperkenalkan dirinya samada dia juru kamera bertauliah atau rocket scientist, saya mendapatkan pandangan juru kamera berpengalaman untuk menghuraikan status gambar sama.

Kenyataan Mohd Kamal Mishah boleh dibaca di tampalan sama. 
 

Sah, pandangan Rahman kabur atau dia mengalami kesukaran mencerna maklumat secara tepat.

Dalam 2 tampalan terdahulu, tidak sekalipun saya menggunakan perkataan 'hantu' sewaktu mengulas status imej terbabit.

Barangkali, dia mencipta perkataan itu untuk menakutkan dirinya sendiri.

Rahman kemudian mengeluarkan kenyataan berikut.



Untuk rekod, gambar terbabit dihantar individu tidak berkepentingan. Jika dia bertujuan mengejar glamor, lebih baik imej itu dihantar untuk dianalisa pihak tertentu di peringkat antarabangsa, bukan sekadar dikongsikan di blog ini.

Tukang Dera atau kini Rahman Henderson melontarkan pandangan dengan menggunakan status 'hantu', a person without any proper identity.

Justeru sekaligus semua pandangannya boleh dianggap sekadar berbentuk lontar batu, sembunyi tangan, tidak profesional. I don't stalk hantu and I am not a ghost hunter as well.

Dia berbeza, hantu berhasrat menghuraikan status imej digelarnya 'hantu'.


Tomzfm, whoever you are, you have the correct statement to conclude.  

Ikuti hasil tinjauan terkini kru 666 ke Serendah, Selangor.

Klik di sini.

Jumaat, Ogos 26, 2011

'Raya Bapa Merdeka' - Dokumentari Terbitan Mazidul Akmal Sidik

4 hari lagi umat Islam di Malaysia akan menyambut hari lebaran.

Hari Raya, bukan sahaja hari untuk bergembira malah hari untuk kita semua bermaaf-maafan. Hari membuka ruang untuk kita berjumpa majoriti sanak saudara dan rakan taulan.

Kepada pembaca bakal pulang ke kampung halaman samada jauh dan dekat berhati-hati memandu di jalan raya. Jika tidak memandu sekalipun, peringatkan kepada pemandu agar lebih cermat mengendalikan kenderaaan.

Sejak 2 bulan lalu, saya memperuntukkan banyak masa, melakukan penyelidikan di Arkib Negara Malaysia di Kuala Lumpur.

Membelek akhbar tahun 1957, bukan kerja mudah. Terkasar sedikit, material menyimpan pelbagai khazanah sejarah terkoyak. Kita tidak mahu kejadian itu berlaku.

Berbulan tempohnya, saya membaca bahan dicatatkan dalam bahasa Melayu dan tulisan jawi. Namun tidak sedetikpun saya pernah berasa bosan sejak diamanahkan oleh pihak majikan untuk menerbitkan dokumentari berjodol 'Raya Bapa Merdeka'.

Lazimnya, menjelang bulan Ogos, pihak media elektronik dan cetak memaparkan kisah perjuangan bekas Perdana Menteri Malaysia pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj meraih kemerdekaan negara pada tahun 1957.

Justeru, mendengar dan melihat gambar Tunku melaungkan perkataan keramat 'Merdeka' sudah menjadi kebiasaan.


Namun dokumentari berdurasi 30 minit bakal disiarkan pada 31 Ogos 2011, jam 1 tengah hari memiliki keunikan tersendiri.

Paparan terbabit mendedahkan fakta berhubung rutin Tunku pada bulan Ramadhan dan ketika beliau menyambut Hari Raya Aidil Fitri pada tahun 1957. Untuk rekod, Hari Raya Aidil Fitri pada tahun terbabit jatuh pada 1 Mei, bersamaan 1 Syawal 1376 Hijrah. Tunku waktu itu menyandang jawatan Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri pertama kira-kira 3 bulan kemudian.

Di samping berkongsi beberapa fakta sebelum siaran, di tampalan ini, saya muatkan gambar, sebilangan barangkali tidak pernah dilihat oleh pembaca. 

Sewaktu menemubual bekas pengasuh anak Tunku, Salmiah Md Isa, 60 tahun, saya dimaklumkan, Bapa Kemerdekaan itu gemar makan sambal, tidak kira pagi, petang mahupun malam.
 

Al-Marhum juga diakui sentiasa sopan dan bersikap lemah lembut setiap kali berbicara dengan sesiapa sahaja.

Itu fakta.


Kejadian di sebalik tabir pembikinan dokumentari ini juga tidak kurang menarik. Bekas kediaman rasmi Tunku, Residensi di Kuala Lumpur dilengkapi sistem penghawa dingin lama sekaligus tidak menghasilkan hawa sejuk. Kain baju Melayu nipis saya pakai, basah akibat berpeluh.

Mujur kipas saya terjumpa kecil di lokasi sama digunakan untuk mengeringkan pakaian sebelum rakaman diteruskan.


Sambil duduk saya berpeluang menghayati pelbagai kisah menarik dikongsikan oleh Salmiah dalam loghat Kedah.


Berikut gambar bilik tidur serta koleksi pakaian dan kasut Al-marhum dirakamkan di Residensi. Tanpa kebenaran bertulis, pengunjung tidak dilarang merekodkan gambar di lokasi terbabit.


Kru bertugas juga tidak melepaskan peluang keemasan itu untuk mengabadikan gambar di ruang makan Residensi.


Pada hari sama, 10 Julai lalu, saya ke Jinjang, Kuala Lumpur, bertemu bekas pemandu peribadi Tunku, R. Kalimuthoo, kini menetap di rumah anaknya.

Sebaik tiba di kawasan perumahan itu, saya disambut anak Kalimuthoo, Bala.


Ayahnya, Kalimuthoo kini dalam keadaan terlalu uzur, pernah berkhidmat lebih 40 tahun sebagai pemandu bekas Perdana Menteri Malaysia terbabit.

Sedih saya melihat keadaan Kalimuthoo sewaktu kali pertama bersua muka dengan beliau. Tangannya mengeletar tanpa henti dan ingatannya pudar namun semangatnya untuk berkongsi kisah silam tetap terserlah.


Sepatutnya waktu rakaman dijangkakan kurang 30 minit sahaja tetapi saya berada di rumah mereka lebih 90 minit.

Terlalu sukar untuk beliau memberikan respon kepada majoriti soalan saya ajukan. Peristiwa diabadikan lipatan sejarah, sukar dirungkaikan namun saya tetap mencuba biarpun terpaksa bertanyakan soalan sama berulang kali sebelum dijawab.


Beliau kini berusia 86 tahun, hanya menerima bayaran pencen RM480 sebulan. Berikutan itu saya telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur agar beliau dibantu untuk hidup lebih selesa.

Maklumat terkini saya perolehi, pegawai JKM dilaporkan telah berkunjung ke rumah terbabit sebelum ini namun beliau dan keluarga tiada di rumah. Saya masih berharap, usaha JKM untuk membantu Kalimuthoo diteruskan dengan kaedah proaktif. Masakan individu pernah berkhidmat kepada Tunku tanpa kesetiaan berbelah bahagi tidak mampu dijengok sekali lagi sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.


Berikut perakuan bertulis ditandatangani oleh Tunku berhubung jasa Kalimuthoo kepada beliau sewaktu hidup.


Jika sumbangan Kalimuthoo secara tulus dan jelas diakui oleh Tunku, masakan tiada pihak bertanggungjawab terbuka hati untuk menjenguk bekas pemandu itu sewaktu beliau uzur dan hidup serba kekurangan. 

Di akhir pertemuan, hati saya berasa amat tersentuh melihat Kalimuthoo melaungkan 'Merdeka! Merdeka! Merdeka!, biarpun beliau kelihatan sukar untuk mengangkat tangan kanannya, tangan suatu ketika dahulu digunakan untuk memutar stering kenderaan dinaiki oleh Bapa Kemerdekaan.


Di dalam dokumentari sama, saya kongsikan juga hasil temubual bersama anak angkat Tunku, Datin Syarifah Maheran Syed Kassim, Pangarah Bahagian Arkib Negarawan, Ihsan Hassan, Pengerusi Masjid Jamek Alam Shah, Kuala Lumpur  Hj. Ridzwan Idris dan bekas pegawai kanan Polis, Datuk Sri JJ Raj. Mereka semua bercerita berhubung sambutan Hari Raya Tunku pada tahun 1957.


'Jadi pada masa itu orang cukup meriah, bila sebelum Tunku datang (ke Masjid Alam Shah) semua keluar, kat padang ini lah keluar. Budak-budak cukup meriah betullah, semua hendak merasa bersalaman dengan Tunku Abdul Rahman. Dia pun seronok,senyumlah. Semuanya dibawa masuk oleh pengerusi Tuan Imam, Tuan Hj Abdul Wahab - Hj. Ridzwan Idris'


'Almarhum juga telah sempat bersama-sama dengan rakyat Persekutuan Tanah Melayu untuk meraikan Hari Raya Aidil Fitri selama 9 hari di mana Almarhum telah berangkat ke London pada tengah hari 9 hari bulan Mei  1957 - Ihsan Hassn' 


'Tunku made it very clear. Citizenship one saja. Either you are a citizen of Malaysia or citizen lain country, tak boleh ada dua, you cannot be citizen of Malaysia dan juga citizen of Britain, India ke China ke apa. Tunku made it very clear.  Ini hal mustahaklah. Citizenshipship if you want only Malaysia - Datuk Seri JJ Raj'


'Macam malam raya, buat kuih, Mak Engku hendak buat kuih, dia buat sendiri, tak nak beli di luar. Kuih-kuih dia buat tradisional punya kuih lah, yang mana Tunku suka - Datin Sharifah Maheran Syed Kassim'

Jika pembaca sudi menonton dokumentari Raya Bapa Merdeka pada 31 Ogos, jam 1 tengah hari, InsyaAllah, pelbagai maklumat istimewa berhubung Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bakal saya kongsikan bersama semua.

Kepada pembaca beragama Islam, selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin serta selamat bercuti panjang.

Ouch! Tukang Dera - Sila Tampar Pipi Sendiri

Sejak mula menulis blog lebih 3 tahun lalu, saya melihat pelbagai peel pembaca sewaktu melontarkan komen.

Majoriti beradab dan menulis buah fikiran secara profesional, dijana pemikiran dewasa manakala segelintir lagi melontarkan komen secara tidak berhemah.

Contohnya, sebaik saya memaparkan gambar di bawah, beberapa pembaca blog ini pantas melontarkan pelbagai tuduhan tidak berasas.

 
Berikut satu daripada contoh komen saya masukkan ke folder spam sebelum ini. Sila klik imej di bawah untuk membaca kenyataan secara lebih jelas.


Jika dilihat komennya, berapi-api tetapi malangnya pengecut untuk memperkenalkan diri.


Mengapa dia bertindak begitu? Mengapa perlu menyembunyikan identiti jika yakin komen dicatatkan terbabit benar dan boleh diterima semua?

Gentar kelak dikenali sekaligus bakal dicemuh bertindak kurang bijak?

Hanya Tukang Dera mampu memberikan jawaban kepada semua soalan itu.

Mari bersama kita teliti komen dilontarkan Tukang Dera sebelum ini.

'aci kerat tengkuk la kalau betul gambar tu hantu..'

- Jika diteliti tiada sekalipun di tampalan ini atau ini, saya menulis perkataan 'hantu'. Ternyata   dia tidak memahami isu diutarakan.

'gambar slow shutter pun nak kecoh kat saka..'

- Ternyata melalui komen juru gambar berpengalaman, Mohd Kamal Misahah, gambar terbabit tidak dirakam menggunakan kaedah slow shutter seperti didakwa.

Berikut komen dihantar doktor berasal dari Kelantan.
'Saya mula mengambil foto sejak berusia 12 tahun. Sehingga kini saya dan adik saya Mohd Ridhuan (Ex-Dawama Photographer) sudah mengambil puluhan ribu gambar. Mulanya saya tidak mahu beri komen tetapi oleh kerana nampak berpanjangan maka di sini saya berikan pendapat saya yang sudah 40 tahun menggunakan kamera... MAZIDUL... TO ALL: MAZIDUL IS RIGHT. THE PICS ARE REAL. NO DOUBT ABOUT IT. Kalau nak yang lebih 'eerie' pergi ke tanah perkuburan seksyen 19 PJ... tgk apa yg dapat shoot... lebih dari itu pun ada'
'saya bukan diskredit tanpa asas, terang dan jelas saya cakap gambar ni slow shutter.. jangan main sapu bawah karpet je hujah saya tu wahai cik anna..'

-Ternyata hujahnya kurang berasas.

'sekarang cik anna check tgk gambar ni pakai slow shutter ka tidak, kalau ya, cik ana boleh tampar pipi sendiri laju laju. sekian'

- Tukang Dera, sila tampar pipi sendiri.

Selain catatan di atas, pelbagai lagi komen dihantarkan oleh Tukang Dera kepada saya. Komen berbentuk kurang ajar melampau terbabit terpaksa saya bakul sampahkan.

Kepada semua pembaca blog ini ...

Tidak salah jika pendapat kita berbeza.

Cuma, cubalah melontarkan komen secara dewasa, itu sahaja. Usah meludah bercampur kahak hijau ke langit dan kemudian terkena muka sendiri.

Rabu, Ogos 24, 2011

Bukti Gambar ORIGINAL (Tangan Saka?) UPDATED II Latest! Penjelasan Juru Gambar Profesional

Sebaik saya memaparkan gambar dirakamkan kenalan, Tangan Saka?, pelbagai komen dilontarkan oleh pembaca, positif dan negatif.

Terima kasih.

Saya muat naikkan semula gambar terbabit untuk memudahkan pembaca meneliti imej terbabit.


Pada masa sama, saya cetak kembali beberapa komen dicatatkan oleh pembaca sebelum ini.

'Nyata sekali pada imej ke3, jika diamati nyata jari dan tangan hingga siku mungkin tangan kanak2. tak perlu saya buktikan dengan membuat imej yang lain. adakah sdr mazidul sendiri benar2 'KENAL' siapa penyumbang gambar, dan haruskah kita percaya 100% sejarah atau latarbelakang rumah atau lokasi?- Sangkuriang'

'Kamera murah, macam hp memang akan panjangkan sikit shutter speed..

cuba en. mazidul ekstrak exif data pada gambar tersebut...

saya pun pengguna tegar kamera handphone.. kalau en mazidul mahu, saya boleh tunjuk gambar seorang budak menjadi "The Flash" iaitu superhero yang mempunyai kelajuan berlari yang sangat pantas.. gambar ini saya sendiri yang tangkap guna hp saya..

pendapat saya, jangan lah en. mazidul menerima bulat2, atau sengaja "buat-buat bodoh" untuk terima sesuatu sebagai fakta, semata2 nak melariskan blog.. saya tau, blog en mazidul dah pun famous, bukan lah niat saya nak dengki ke apa ke, cuma sayanglah blog2 famous, tapi isinya 'tak berapa cerdik'.. sikit2 hantu, sikit2 hantu.. tak kaji tak apa.. tau nak bubuh ja dalam blog..

hairan saya, dah lama benar bekerja dengan kamera, takkanlah trick macam ni pun tak tahu.

oh.. mengenai orbs.. kahkah.. saya pun ada gambar orbs di siang hari, orbs tu siap duduk depan saya, jarak kamera dan saya cuma tak sampai 2 meter... wahhh.. takutnya, sebab menurut blog en. mazidul.. orbs dikaitkan dengan entiti..

haha.. kalau macam tu, cuba en mazidul keluarkan gambar orbs tanpa guna flash.. sebab ikut teori, hantu wujud setiap masa... tak payah tunggu flash pun kan?- Tukang Dera'

'Saya bersetuju bahawa entiti didalam gambar ini adalah satu entiti paranormal. Saya selalu melihat makhluk ini terutama sekali bagi mereka yang menyimpan saka.

Sebagai seorang pengubat tradisional saya akur bahawa imej didalam gambar ini ialah imej entiti - Adam Vai'

'Kalau boleh dapat exif data gambar tersebut.. mungkin boleh dapat diperjelaskan setting yang digunakan oleh pemilik gambar tersebut - Power'

Saya tertarik dengan komen terakhir berhubung 'EXIF' gambar terbabit.

Petang tadi, saya menghantar gambar sama kepada kenalan, pakar komputer. Beliau menggunakan perisian Preview di Mac OsX.

Seperti dituntut oleh sebilangan pelontar komen,  berikut saya paparkan Exchangeable Image File, EXIF, gambar dirakamkan, dihantar kenalan terbabit.

Sila klik untuk membaca perincian tercatat.







 Pada masa sama, saya menghubungi pemilik gambar.

"Saya tahu gambar itu memang original sebab saya rakamkan sendiri dan tiada sebarang modifikasi dibuat. Sebelum ini saya hanya tunjukkan gambar itu kalau ada orang menempelak kononnya tidak percaya dengan kewujudan entiti sebegitu. Kamera jenis apa? Saya tidak berapa ingat,  lagi pun gambar dirakamkan pada tahun 2009," katanya.

Kamera digunakan, Canon PowerShot S5 IS bukan Nikon D40.  

Kepada kelompok menuduh secara semberono, bercakap benarlah beserta bukti, bukan sekadar melepaskan geram tanpa keikhlasan di hati.

Saya tidak dibayar untuk menghuraikan kejadian tersirat di blog picisan ini, kru 666 juga tidak menerima imbuhan lumayan. Kami hanya sekadar sekelompok manusia berhajat menyingkap fakta kejadian alam membabitkan entiti dunia paranormal.

Untuk rekod, kami juga mengeluarkan wang poket sendiri sewaktu melaksanakan tinjauan di pelbagai lokasi dan kadangkala dibantu penyokong usaha kami.

Ringkasnya, cukuplah jika keringat kami selama ini dibalas dengan lontaran komen membina, bukan bercorak penghinaan, biarpun barangkali sebilangan isu dibangkitkan tidak dipersetujui oleh semua.

Itu adat manusia, hanya ilmu menjadi faktor pembeza. 

KEMAS KINI I

Sebelum ini sebilangan pembaca, meminta EXIF data gambar terbabit dikongsikan.

Done.

Kini segelintir mendakwa imej dirakamkan menggunakan slow speed shutter.

Apapun, terlebih dahulu saya ingin kongsikan bersama pembaca, fakta dimaklumkan penghantar imej kepada saya.

"Masa gambar itu diambil, tiada kanak-kanak di rumah didakwa 'haunted itu'," katanya.

Jika ingin terus berhujah secara kosong, pertikaian berhubung status keaslian gambar tidak akan berakhir atau terungkai.

Dengan kebenaran pemilik photo, saya sudi bekerjasama dengan juru gambar profesional untuk menganalisa imej terbabit, jika mereka sudi. Hubungi saya melalui emel mazidulakmal@yahoo.com, sertakan nama lengkap, nama syarikat dan nombor untuk dihubungi, InsyaAllah bersama kita mencari fakta sebenar menggunakan ilmu mereka miliki.

Kepada kelompok berbicara bak tin kosong, just keep your opinion to yourself. 

KEMAS KINI II

Jam  5.10 petang tadi saya menghubungi juru gambar berpengalaman, Mohd Kamal Mishah, 40 tahun.

Untuk rekod, Kamal bertugas di syarikat Bintang Maju di Maju Junction, Kuala Lumpur dan berpengalaman merakamkan ribuan gambar sejak 30 tahun lalu.

"Kalau kita menggunakan teknik slow shutter speed, semua formation subjek (entiti di dalam gambar) mesti complete, bukan hanya nampak tangan dan kaki sahaja. Contohnya dalam kes ini, kepala dan badan tidak kelihatan. Lebih pelik, kedua tangan kelihatan memegang penghadang tangga, tangan kanan sahaja. Slow shutter kalau digunakan sekalipun, kita mesti nampak shadow pergerakan the whole body, bukan hanya tangan dan kaki sahaja," jelas Kamal.

"Kita boleh consider gambar ini rare ke?," soal saya.

"Ya. Memang berlaku pergerakan subjek dari atas ke bawah tangga tetapi jika dia manusia, imej tubuhnya tidak complete. Kalau kata, gambar sama dimodifikasi, EXIF data tidak menunjukkan bukti imej diubah. Saya memang biasa menggunakan teknik slow shutter untuk merakamkan night potrait. ISO kamera rendah, cahaya kurang tetapi gambar cerah," jelasnya lagi.

Saya terus mendengar penjelasan juru kamera gambar pegun berpengalaman itu.

"Kalau orang tidak percaya kewujudan entiti seperti ini, sampai bila pun, dia orang tidak akan percaya. Hakikatnya, kita semua tahu, dunia ini kita kongsikan bersama entiti alam ghaib dan pemilik gambar kira beruntunglah sebab berpeluang merakamkan gambar sebegitu," katanya.