Selasa, April 08, 2014

UDA MALL : BEKALAN ELEKTRIK DISAMBUNG KEMBALI

Alhamdulillah, tepat jam 6.20 petang tadi, pihak pengurusan UDA Mall Sdn Pudu Central menyambungkan semula bekalan elektrik ke kedai menyimpan beg disewa oleh peniaga wanita berusia hampir 60 tahun.

Aduan ibu tunggal itu saya kongsikan bersama pembaca semalam, klik di sini


Pemangku Naib Presiden UDA Mall Sdn Bhd, Hasnizi Pauzi, 41 tahun, menghubungi saya pada jam 5.17 petang tadi. 

"Semalam saya memang sibuk dari pagi sehingga ke petang. Apapun, biar saya berikan penjelaskan berhubung dakwaan dimuatkan di blog encik Mazidul. Di antara 1 Mei  2011 dan 30 April 2012, UDA Mall tidak mengenakan sewa kedai serta caj penyelenggaraan kepada peniaga, percuma. Tahun kedua, peniaga cuma membayar sewa, RM182.50 dan caj penyelenggaraan bulanan, RM949 sahaja, berjumlah RM1,131.50. Caj penyelenggaraan antaranya meliputi servis kawalan keselamatan, sistem penghawa dingin dan pembersihan premis. Kos servis itu diagihkan mengikut kaki persegi keluasan kedai. Jadi kadar itu tidak begitu tinggi," jelas beliau.

Tenang, anak kelahiran Kelantan itu kemudian berkongsi kenyataan berikut.

"Mendapati penyewa itu tidak membayar tunggakan kira-kira RM16,000, pihak UDA Mall memberikan tempoh 12 bulan untuk dia menjelaskan bil tertunggak secara ansuran, RM1,338.10 sebulan, bermula Disember 2013. Jika dilaksanakan, bil akan langsai pada November 2014," tambah beliau.

3 Mac lalu, peniaga berasal dari Kuala Kangsar, Perak itu membayar RM3,400, sehari setelah berbincang bersama Hasnizi di pejabat UDA Mall, di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

"Kami menuntut puan itu membuktikan komitmen sebagai penyewa. Perniagaan menyimpan beg diusahakan sejak 34 tahun lalu, barangkali tidak lagi relevan kini. Justeru kami meminta peniaga itu mencadangkan perniagaan lebih kompetitif. Jika perniagaan itu dinilai lebih berdaya saing, tentunya akan membantu dia untuk menjelaskan bil tertunggak. Tiada sebab konkrit untuk saya tidak meluluskan cadangan, sekiranya dikemukakan. Malangnya, setakat ini, tiada cadangan kami terima," ujar Hasnizi.

Saya kemudian menghubungi pengadu.

"Saya mula menawarkan khidmat loker penyimpan beg sejak lebih 30 tahun. Itu sahaja perniagaan boleh diuruskan. Lagipun usia saya hampir mencecah 60 tahun. Sejak 25 Februari lalu, kedai saya bergelap. Sebilangan pelanggan khuatir untuk menyimpan beg," keluhnya.

Beberapa peniaga di Pudu Central, mendakwa, mereka kerap berasa tertekan berikutan pelbagai notis dihantarkan oleh pihak pengurusan.

"Menurut perjanjian, bayaran sewa dan caj penyelenggaraan harus dijelaskan pada hari ke 7 setiap bulan. Jika gagal, mengikut prosedur standard, UDA Mall mengeluarkan notis pertama kepada peniaga. Kekadang selepas 14 hari, bayaran masih tidak dibuat. Lalu pihak pengurusan mengeluarkan notis kedua. Jika gagal juga melangsaikan bayaran selepas bulan berakhir, UDA Mall berhak mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada peniaga terbabit. Puan ini tidak mejelaskan bil tertunggak sejak bulan Mei tahun 2013," jelas Hasnizi.

"Benarkah dakwaan mengatakan UDA Mall menggunakan pihak ketiga untuk menakutkan peniaga di Pudu Central?," soal saya.

"Saya menjaga mall 17 tahun. Kita tidak pernah menggunakan pendekatan mengupah pihak ketiga untuk menakutkan penyewa. Kami mempraktikkan dasar kompromi dan perbincangan," jawab anak kepada 4 anak itu.

Siang tadi saya juga menghubungi seorang daripada peniaga, berikut maklumat disalurkan kepada saya.

"Kami percaya, kira-kira 80% daripada kedai di Pudu Central dialibabakan kepada peniaga Indonesia tetapi tidak dapat dibuktikan di atas kertas," ujarnya.

Kenyataan itu mengingatkan saya kepada pengalaman silam, berada di Puduraya sekitar tahun 1988. Saya menaiki bas dari situ untuk pulang ke kampung di Tanjung Malim, Perak. Majoriti pekerja gerai menjual makanan dan minuman, warga Indonesia.

Harga pula, mencekik darah.

"Konsep alibaba ini jalan mudah untuk peniaga tempatan menjana pendapatan di atas angin. Andai sewa dan caj bulanan didakwa terlalu tinggi, bagaimanakah peniaga asing mampu berniaga di situ? Kita melihat kadar bayaran rendah ditawarkan oleh UDA Mall disalahgunakan oleh sebilangan peniaga tempatan untuk meraih keuntungan," terang beliau.

"Maksudnya encik Hasnizi mengakui, kehadiran peniaga asing di Pudu Central?," tanya saya.

"Tepat. Pelbagai alasan dikemukakan oleh sebilangan 'peniaga' terkini. Mendakwa kononnya mereka pekerja, saudara dan rakan niaga penyewa sebenar. Kami menjadi 'lemas' berikutan pelbagai muslihat dan penipuan, alasan untuk mempertahankan kaedah alibaba ini," jelas beliau lagi.

Berikut senarai Ali Lembaga Pengarah Uda Mall Sdn. Bhd, dipengerusikan oleh Datuk Johari Abdul Ghani.


Sebilangan peniaga memaklumkan saya, Datuk Johari telah banyak menghulurkan bantuan kepada mereka. Malah beliau dilaporkan sentiasa membuka ruang kepada peniaga untuk berbincang setiap kali mendepani masalah. 


Saya memohon Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, James Musa Singah, untuk 'menjenguk' Pudu Central bagi memastikan warga asing tidak sewenang-wenangnya memonopoli perniagaan di situ.

"Saya meminta puan itu untuk menghormati dan mematuhi keputusan perbincangan harmoni bersama saya pada 2 Mac lalu. Kelonggaran ditawarkan itu harus diambilkira. Tunjukkan komitmen semasa, usaha membuat pembayaran secara berterusan. Itu permintaan saya. Berlandaskan budi bicara terakhir, saya telah mengarahkan kakitangan saya di Pudu Central untuk menyambung kembali bekalan elektrik ke kedai dia," kata beliau mengakhiri perbualan. 

Terima kasih kepada Hasnizi kerana sudi berkongsi fakta di sini.

4 ulasan:

  1. Tahniah .. muga ALLAH swt memberkati hidup en mazidul sekeluarga atas usaha tidak berbayar yg dilakukan. At least kedua-dua pihak sudah menjelaskan situasinya dan muga masalah ibu tunggal tersebut dpt diselesaikan. Berbalik kepada amalan ALIBABA ni .. memang ia ketara di mana saja, Saya sering terfikir bagaimana begitu BERANInya mereka ( pendatang asing ) berniaga dinegara kita tanpa merasa risau jika di tangkap polis atau pihak lain yang berkenaan. Bayangkan kita melakukan perkara serupa di Bangladesh, india atau Pakistan. Kita jerr yg rupa lain ... dalam kelompok peniaga di situ .. cakap pun tak lancar .. tak rasa ' seram sejuk ' ke kot ada yang menyerang ??? Tapi di Malaysia ni .. itu semua tak berlaku. Rakyat marhean tak berani ambil tindakan sebab nanti ditangkap polis. Sebaliknya mereka mengharapkan pihak berkuasa lakukan sesuatu. Saya ' sakit hati .. menyampah .. geram ' tengok kedai Bangla atau Pakistan ... di merata pecan .. dan pekerja nya budak-budak melayu ... orang kita.!!! .. Apa dah jadi ??

    BalasPadam
  2. Tahniah. Mengalahkan wakil rakyat. Tak malu ke bila wakil rakyat diberitahu hal ini.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.