Isnin, April 07, 2014

UDA MALL : BANTULAH IBU TUNGGAL INI UNTUK TERUS MENCARI REZEKI

Sabtu lalu, kira-kira jam 2.30 petang, saya ke Pudu Central, Kuala Lumpur untuk membeli barang keperluan. 

Beberapa minit berada di dalam kedai, seorang daripada peniaga wanita di situ menghampiri saya.

"Saya peniaga pertama membuka kedai menyediakan khidmat menyimpan beg di Pudu Raya ini sejak 34 tahun lalu," katanya. 

Saya hanya mendiamkan diri.

"Berikutan kadar sewa dan caj penyelenggaraan terlalu tinggi, bil tertunggak kedai saya mencecah RM20,000. Bekalan elektrik kemudian dipotong bermula pada 25 Februari lalu. Jadi kedai terpaksa ditutup dan saya tidak berpeluang berniaga, mencari rezeki," jelasnya sedih.

Dia kelihatan cuak sebelum melontarkan kenyataan berikut.

"Pihak pengurusan, UDA Mall meminta saya menjelaskan RM7,000 sekaligus tetapi saya memang tidak mampu. Saya ibu tunggal, menanggung lima anak. Empat anak saya sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di Kuala  Lumpur, Perak dan Shah Alam. Kalau saya mempunyai RM7,000, saya pasti telah membayar jumlah itu. Tambahan pula saya mencari rezeki seorang diri," keluh peniaga itu.


Usianya hampir 60 tahun. Nasibnya bak sudah jatuh ditimpa tangga.

Tangga keluli.

"Puan berasal dari mana?," soal saya.

"Kuala Kangsar, Perak," balasnya lembut.

Terdetak di hati, belum tentu lagi saya mampu menandingi semangat waja dikurniakan Allah kepada ibu itu. Tanpa sumber pendapatan, bagaimanakah dia mampu untuk menyara diri dan keluarga di bandaraya Kuala Lumpur?

"Beginilah puan, sebenarnya saya ke sini bukan untuk membuat liputan berita. Hanya untuk membeli sedikit barang. Kalau boleh, tolong berikan saya nombor telefon pegawai UDA Mall, In Sha Allah saya akan menghubungi beliau, untuk membuat rayuan," ujar saya.

Peniaga lain kemudian memberikan saya nama dan nombor telefon bimbit Pemangku Naib Presiden UDA Mall Sdn. Bhd, Hasnizi Pauzi.


Saya cuba mengotakan janji kepada wanita itu. Pada jam 11.44 pagi tadi, saya menghubungi Hasnizi dan memperkenalkan diri.

"Saya sedang bermesyuarat, nanti selesai, saya akan hubungi kembali," kata beliau.

Barangkali Hasnizi terlupa. 

Sehingga jam 5.45 petang tadi, saya cuba menghubung Hasnizi tiga kali melalui telefon bimbit beliau tetapi tidak berjawab. Mungkin graduan lulusan Universiti Utara Malaysia itu sibuk dengan urusan lain atau tidak mendengar deringan telefon.

Saya hanya berkesempatan mengenali beliau melalui facebook. 

Klik di sini.

Sebelum keluar dari Pudu Central, saya menemui beberapa peniaga lain. Difahamkan sebelum ini, bayaran penyelenggaraan, service charges, kedai RM387.50 sahaja.


Pada Mac 2011, kadar itu melambung tinggi, mencecah RM2,533 sebelum dikurangkan 50%.


"Ramai peniaga tidak mampu membayar caj penyelenggaraan dan sebilangan mereka terpaksa menyewakan kedai kepada warga asing, terutama dari Indonesia. Jika pergi ke tingkat empat, food Court, majoriti gerai kosong. Masalah kebocoran dan gangguan sistem penghawa dingin juga sering berlaku," ujar peniaga saya temui secara rawak.


Saya bukan wakil rakyat atau ahli politik berkuasa serta berpengaruh untuk mengubah keputusan pihak pengurusan UDA Mall.


Namun saya merayu kepada UDA Mall untuk memberikankan peluang kepada peniaga wanita itu untuk terus mencari rezeki di bumi sendiri. Jika ibu tunggal itu insan hidup mewah, sudah pasti baki tunggakan RM17,000 itu sekelip mata dijelaskan.

Gunakanlah budi bicara. 

Tanpa peluang meraih pendapatan harian, bagaimanakah mungkin dia berupaya menjelaskan tunggakan itu?  Jika dia peniaga bermasalah sebelum ini, masakan dia mampu kekal di situ lebih 30 tahun?

Saya masih menunggu panggilan Hasnizi. 

6 ulasan:

  1. Saya fikir pegawai itu takut bila dihubungi oleh saudara. Mohon apalah sudinya saudara pergi ke pejabatnya, ia mungkin berbeza.

    BalasPadam
  2. Bukit Bintang ni Kawasan DAP. Apa kata jumpa wakil rakyat DAP. Kalau tak silap pusat perkhidmatan DAP Bukit Bintang terletak di belakang Kenanga Wholesale Mall Jalan San Peng. Inilah masanya nak kerah keringat YB Cina tu, jangan makan elaun buta aje.

    BalasPadam
  3. Re. Saya ibu tunggal, menanggung lima anak. Empat anak saya sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur, Perak dan Shah Alam.

    Jujurnya ini bukan alasan kerana pelajar-pelajar sekarang ada PTPTN dan Biasiswa.

    Re. Sewa dan Caj perkihidmatan yang tinggi

    Ini saya setuju dan akui. UDA ni memang itu perangai mereka, di Bukit Bintang Plaza pun mereka buat pekara yang sama iaitu menaikkan sewa yang tinggi. Ada rakan-rakan saya yang pernah berniaga disitu terpaksa bepindah.

    Re, bil tertunggak kedai saya mencecah RM20,000.

    Yang ini saya tak faham, kenapa tunggu sampai mencecah RM20,000. Kalau ikut angaran kasar, sudah lebih 10 bulan beliau tak bayar sewa, sevice charge dan bil elektrik dengan 50% potongan service charge diberikan.

    Mazidul patut tanya berapa pulangan bulanan yang beliau dapat sebulan secara puratanya. Dan apa masaalah yang dihadapinya, kalau tak ada pelangan tak mungkin beliau bertahan selama 34 tahun di situ, Dan saya pasti bila sewa dan caj perkihmatan dinaikan, sudah pasti caj perkhidmatan beliau dinaikkan sama oleh beliau.
    Selidik betul-betul, kadang-kadang manusia tak menceritakan kisah sebenarnya, cuba yang sedih pilu saja mereka ceritakan, perkara sebenar disebalik kisah tu tak diceritakan.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Betul jugak bab sewa tertunggak tu. Tapi jawapan kita kena tunggu kejap. Sebab itu lah encik mazidul call insan bertanggungjawab sebab nak diselidik, tapi tak angkat call. Mungkin dalam sehari dua kita dapat jawapan. Insyallah.

      Lagipun PTPTN kan bagi pinjaman yuran belajar je. balance untuk duit makan RM300-RM400 je satu semester. satu semester 4-6 bulan. nak makan apa RM400 dalam 6 bulan. Mesti mintak kat mak. Dan harap anak-anak akan kembali menjaga ibu mereka kelak. Amin :)

      Padam
  4. Anak2 yang tahu ibu bapa tak mampu nak tanggung mereka di universiti sila lah buat kerja sambilan. Mereka akan lebih tahu nilai wang. Macam saya bekerja setiap hujung minggu dan cuti semester. Memang duit ptptn bagi tak cukup. Jangan suka bermewah tunggula bila dah bekerja sepenuh masa kelak.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.