Ahad, Ogos 05, 2012

KASUT BUNDLE UNTUK HARI RAYA

Menjelang 1 Syawal 1433 Hijrah, Up Town D'Kota, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, dibanjiri orang ramai.


Biarpun penat berjalan, hati saya tiba-tiba terpanggil untuk singgah di gerai menjual kasut terpakai, The Great Bundle. 


Tanpa disangka, gerai terbabit milik kenalan, Zainal Maarop, 46 tahun.

"Kedai saya di Sungai Penchala, terletak berhampiran masjid. Kasut di sini telah dipilih, jadi berkualiti dan masih elok," jelas Zainal.


"Abang, cubalah dahulu," ujar pekerja, EJ.


Sebenarnya sebelum ini saya tidak pernah membeli kasut terpakai namun malam tadi saya mengubah fikiran.

"Kaki saya besar, bersaiz dua belas," ujar saya.

Saya kemudian mencapai kasut berjenama Timberland.


Dipakai, selesa dan kelihatan seperti masih baru.

EJ kemudian membersihkan kasut itu.


"Kalau di kedai, harga kasut baru seperti ini barangkali mencecah di antara RM500 dan RM600," celah Zainal.

Saya kemudian membeli kasut itu.

Selain menjual kasut lelaki, kasut untuk wanita juga dijual dengan harga berpatutan.


Jika ingin melihat dan membeli  pelbagai jenis kasut dijual oleh rakan saya itu, sila hubungi EJ melalui talian 012 435 4234.

Sabtu, Ogos 04, 2012

PERNAHKAH MENDENGAR WANITA KOMPLEN KERANA TIDAK MENDAPAT NAFKAH BATIN? (18SX)

"Tengok lelaki, kekadang tanah kubur isteri masih lagi merah, mereka sudah berkahwin lain. Terlalu mudah mencari pengganti. Kekadang tindakan itu dipersetujui oleh anak-anak, kekadang tidak tetapi lazimnya pandangan itu semua mereka tidak ambil pusing," ujar kawan.

Barangkali ramai pembaca blog ini pernah terdengar komen lebih kurang sama, cuma dilontarkan oleh individu berbeza.

"Alah! Itu semua kerana nafsu lelaki semata-mata. Perhatikan majoriti wanita di Malays, jika suami meninggal dunia, sukar benar mereka untuk berkahwin lain. Mereka sanggup menjanda sehingga ke akhir hayat," komen wanita.

Sekaligus terlintas di fikiran saya ...

Pernahkah mendengar wanita komplen jika tidak mendapat nafkah batin, seks?

Mungkin, tetapi jumlah mereka hanya sekelumit. Komplen berhubung isu perihal dalam kelambu, masakan tergamak dikongsi secara terbuka samada bersama ahli keluarga ataupun rakan.


Tambahan pula meluahkan perasaan ketidakpuasan hati berhubung layanan batin, barangkali dianggap taboo oleh masyarakat kita. Sedangkan hakikatnya wanita dikatakan memiliki sembilan nafsu berbanding lelaki, satu.

Apakah berlaku kepada nafsu wanita itu?

"Lelaki lain. Kalau sudah tidak beristeri samada akibat bercerai hdup atau mati, sebilangan mereka boleh 'makan luar'. Pelacur Vietnam, Republik Rakyat China dan Thailand berlambak di pasaran terbuka, untuk ditiduri. Perempuan tidak begitu," celah rakan wanita.

Wah! Kasar sungguh kenyataan dilontarkan itu. 

Barangkali wanita dahulu begitu, tidak sekarang. 

Sebilangan mereka sanggup membela 'anak ikan' andai  berkemampuan. Lelaki muda, segak bergaya, mampu memenuhi kehendak wanita bergelar janda untuk membelai jiwa dan raga. Bukan sahaja janda malah wanita berstatus isteri juga tidak terkecuali. 

Pelbagai jenis anak ikan mampu dipilih, hanya wang menjadi penentunya.

Jumaat, Ogos 03, 2012

PENDAPATAN PENGEMIS DIBAHAGI DUA DENGAN?

Jam 4 petang tadi, saya terlihat beberapa warga emas kurang upaya, OKU, turun dari teksi berhampiran  laluan utama Bazar Ramadan, Kelana Jaya, Selangor.

Saya merekodkan visual mereka dari dalam kenderaan tanpa mereka sedari. Visual itu, InsyaAllah akan saya kongsikan bersama penonton Majalah 3, September nanti.

Di bawah seorang daripada pengemis saya ekori.


Selang beberapa minit duduk di tepi laluan di bazar, ramai pelanggan berbangsa Melayu menghulurkan sumbangan kepada wanita tua berkerusi roda itu.

Syukur, masyarakat Malaysia penyayang dan amat bermurah hati.

Saya terus memerhatikan pengemis itu. Sebaik wang di dalam kole plastik dipegang hampir melimpah,  perlahan dia memasukkan wang terbabit ke dalam bag.


Majoriti pengemis tempatan dan warga asing tahu, jika wang mereka biarkan melimpah, barangkali tidak ramai individu seterusnya akan menderma selepas itu. 


Melihat kulit tangan berkedut seribu, saya anggarkan usia wanita itu hampir mencecah 80 tahun. Dia juga mungkin pekak dan bisu. Tersentuh benar hati saya melihat keadaannya, terpaksa meraih simpati masyarakat pada usia emas.


Tiada pelanggan bazar Ramadan mencapai tisu dijual dengan harga 30 sen, digantung di kerusi roda sewaktu menghulurkan sumbangan.

Mereka hanya ingin memberi, bukan mengambil.


Sebelum ini, kita mungkin pernah mendengar dakwaan perihal pengemis sebegitu dibawa pihak tertentu ke lokasi sasaran. 

Sesunguhnya petang tadi, Allah ingin menunjukkan kepada saya situasi sebenar, bukti terhampar di hadapan mata.

Lihat gambar di bawah, satu persatu, secara teliti.


Wanita bertudung hitam itu kemudian saya dekati.

"Tinggal di mana?," soal saya.

"Di Chow Kit," balasnya ringkas sambil cuba menyembunyikan wajah di sebalik tudung.


Dia mengaku membawa warga emas itu mengemis di bazar Ramadan sama sejak 3 hari lalu.

"Dia (warga emas) tinggal sekali dengan saya. Saya bawa dia datang (mengemis) ke sini untuk mencari duit membayar sewa bilik, RM300, sebelum dia balik ke Kelantan pada 15 Ogos ini," jelasnya.

"Berapakah bayaran untuk awak?"

Sudah terlalu lama saya pendamkan soalan itu dan teringin benar untuk mendengar jawabannya.

"Separuh," jawabnya ringkas.

Saya dimaklumkan, hasil kutipan bersih pengemis warga emas terbabit di antara jam 5 petang dan 7.30 malam, dianggarkan kira-kira RM200.

"Kalau kita tidak terjumpa hari ini, awak bercadang hendak membawa dia mengemis lagi 12 hari? Sekurang-kurangnya boleh mendapat imbuhan RM2,400 dan awak akan mendapat separuh daripada hasil itu?," tanya saya spontan.

Dia hanya mendiamkan diri.

"Tidak perlu menutup muka. Apabila kisah dini dipaparkan di Majalah 3 nanti, visual editor bertugas akan membantu saya unutk menutup muka awak," ujar saya.

Saya kemudian terpandang, wanita di bawah menghulurkan sumbangan kepada warga emas sama. 


"Saya tahu, sumbangan diberikan tadi itu ikhlas tetapi bolehkah saya menerangkan keadaan sebenar sedang berlaku di sini?," soal saya.

Mereka berdua bersetuju dan saya kemudian membawa kedua mereka mendekati wanita berusia 47 tahun berdiri, menunggu pengemis menyelesaikan 'tugasnya'.


"Kenapa buat macam ini? Kalau kakak berniaga pun bagus. Kasihan mak cik tua itu," ujar wanita betudung hijau, bertugas sebagai guru.

Wanita itu tidak bersuara.

Saya membiarkan mereka bercakap dari hari ke hati.


Alasan dikemukakan wanita terbabit tetap sama.

Dia membawa warga emas itu mengemis untuk mencari wang dibuat tambang balik ke Negeri Cik Siti Wan Kembang.

"Terima kasih Mazidul keran sudi berkongsi fakta sebenar," ujar mereka berdua sebelum beredar.

Andai dicongak, kutipan harian dianggarkan mencecah RM200 sehari dan mereka mula berada di lokasi itu sejak 3 hari lalu, pendapatan kira-kira RM600 sudah memadai untuk melangsaikan sewa bilik di Kuala Lumpur.

Berikut visual wanita terbabit, saya rakamkan ketika mereka berdua tiba di lokasi.

JANDA THAILAND DISERAHKAN KEPADA JABATAN IMIGRESEN (UPDATED : KLIP VIDEO)



Sebentar tadi saya menghubungi Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM Selangor, Suhaila Maijana Adnan.


"Dua wanita Cina warga tempatan diselamatkan di Bazar Ramadan, Seksyen 13, Shah Alam, tempohari dibawa ke pejabat. Setelah kita memeriksa rekod jabatan, mereka sebenarnya penerima bantuan JKM sejak tahun lalu, RM300 sebulan. Pasangan adik-beradik itu diberikan amaran agar tidak mengemis lagi sebelum diserahkan kepada keluarga mereka," ujarnya.

Suhaila bertugas dengan JKM sejak 10 tahun lalu.

"Sebelum ini saya di JKM Negeri Sembilan tetapi ini kali pertama saya melihat kes seperti itu," tambahnya lagi.

Untuk rekod, kedua wanita terbabit didapati memakai jubah seperti dipakai oleh wanita Islam biarpun bukan beragama Islam.



"Masa masuk waktu Maghrib, kita ajak mereka bersolat tetapi mereka memberikan alasan masih belum belajar Jawi," kata Suhaila bergurau.

Memang sejak dari awal, seorang daripada mereka secara terbuka, mendakwa free thinker itu  petah berkata-kata dan mampu berbahasa Inggeris.

"Kita satu Malaysia! Saya suka pakai macam ini, fesyen"

Berulangkali dia mengeluarkan kenyataan sambil tersenyum dan sesekali tertawa tanpa mengetahui rahsianya bakal terbongkar sekaligus dipaparkan oleh media elektronik dan cetak tempatan.


"Awak tidak boleh memegang IC saya!," jeritnya kepada anggota polis bertugas.

Barangkali ilmu dimilikinya tidak lengkap biarpun fasih berbahasa Inggeris. Pegawai dan anggota Pasukan Polis Diraja Malaysia dibenarkan memegang MyKad untuk tujuan pemeriksaan atau siasatan.

Menurut Suhaila, kakak pengemis itu berusia 71 tahun, dilaporkan bekerja sebagai pembantu tukang kebun sebelum ini.

"Jumlah kutipan dua beradik itu, RM290," kata Suhaila lagi.


Apapun, saya kagum melihat reaksi polis terbabit, mereka kelihatan tenang melayan karenah pengemis ditahan.

Terkini, janda beranak dua, warga Thailand, didapati mengutip derma tanpa kebenaran itu telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Selangor.


"Lelaki mendakwa 'ustaz' mereka, sebelum ini pernah diperiksa oleh JKM juga turut diserahkan kepada jabatan sama untuk tindakan lanjut," tambah Suhaila.

Dia didapati berehat di surau berhampiran manakala 2 wanita bersamanya menjalankan tugas mengutip derma. Lelaki sama hanya muncul setelah dihubungi dua 'pekerja' nya. 


"Encik kenal saya kan? Kita pernah berjumpa sebelum ini?," soal kakitangan JKM berkemeja biru.

Lelaki itu mengangguk.

"Kalau mengutip derma secara sah, tidak mengapa. Di dunia ini pun kita mempunyai undang-undang harus dipatuhi. Malaysia juga mempunyai undang-undang. Kalau rakyat Malaysia pergi ke Thailand dan sewenang-wenangnya mengutip derma seperti ini, boleh ke?," soal saya.

"Tidak, saya bersalah," katanya perlahan.


Setelah saya desak beberapa kali, pengutip derma terbabit kemudian mengaku menerima komisyen RM20 daripada setiap RM100 hasil kutipan. 

Kepada pembaca budiman, sebelum menghulurkan derma di bulan Ramadan ini, cubalah minta peraih simpati mengucap dua kali syahadah terlebih dahulu. Mampu memberi dan menjawab salam, bukan bukti seseorang itu beragama Islam.

Laporan terperinci berhubung pengemis, bakal disiarkan di Majalah 3 pada pertengahan September kelak.

Jika pembaca terserempak dengan pengemis dianggap unik, sila hubungi saya melalui emel  mazidulakmal.com.

"I AM A FREE THINKER!"

Kalau sebelum ini, pengemis wanita Kemboja memakai tudung seperti perawakan ramai wanita Melayu, operasi bersepadu bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM Selangor petang semalam mendedahkan fakta berbeza.

Kira-kira 30 kakitangan JKM, penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam dan polis terbabit menahan 6 pengemis tempatan dan warga asing di Bazar Ramadan, Seksyen 13, Shah Alam.


Lama saya memerhatikan wanita di atas.

Cara pemakaian tudungnya kelihatan agak aneh kerana dilengkapi topi. Saya dan jurukamera berpeluang mendekatinya sebelum kakitangan JKM membuat pemeriksaan.


"Nenek sudah tua, giginya tinggal dua ... ," dia mendendangkan lagu Burung Kakak Tua sambil menyeringai menunjukkan gigi.

Ramai pelanggan bazar melihat kejadian itu dan majoriti berasa marah, tertipu berikutan tindakan wanita itu.


Setelah MyKad miliknya diperiksa oleh polis, dia. 66 tahun didapati bukan beragama Islam. Turut mengemis bersama, kakaknya, 5 tahun lebih tua.


"Agama apa?," soal saya.

"I am a free thinker, saya pakai ini (tudung) sebab fesyen. Lagipun hari ini panas," jelasnya.

Seorang lelaki tempatan dipercayai berbangsa Cina, memakai kopiah putih. Melalui Laporan JKM, saya dimaklumkan, dia muallaf dan memeluk Islam pada tahun lalu.

Malangnya, dia gagal untuk mengucap dua kali syahadah.

"Pengemis ini faham, di bulan Ramadan, umat Islam disarankan bersedekah. Lagipun, jika kita lihat, majoriti pelanggan bazar ini beragama Islam. Jadi mereka memakai tudung dan kopiah, sekaligus kelihatan seperti penganut agama Islam untuk meraih lebih simpati orang ramai," ujar Nik Omar Nik Abd Rahman, Pengarah JKM Selangor.


Khamis, Ogos 02, 2012

PROGRAM ON AIR KINI OFF AIR?

Saya mengikuti beberapa episod program On Air, terbitan Astro. Program untuk melahirkan pengacara lebih berbakat, menurut kata ahli panel.

Namun saya tidak berpeluang menonton program sama ketika penampilan bekas pemaisuri Brunei, Azrinaz Mazhar Hakim.

"Sebelum ini On Air sampai ke peringkat, lima peserta terakhir dipilih. Sekarang program itu tidak ke udara lagi, tiada final? On Air, kini off air?," soal rakan.

Mengapa?

Barangkali sebilangan pembaca blog ini menetap di Brunei boleh berkongsi fakta bersama semua.

Masihkah Astro beroperasi di negara jiran itu?

posted from Bloggeroid

Rabu, Ogos 01, 2012

DENGARKAN LUAHAN HATI KU ... (KLIP VIDEO MESTI TONTON)

Usia wanita saya temu bual petang tadi, 76 tahun dan dia berasal dari Besut, Terengganu. Di bulan mulia ini dia bekerja menjual tisu di Bazar Ramadan Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Katanya, dia dan beberapa rakan cacat penglihatan lain menyewa bilik di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Wanita sama juga tidak senang dengan lambakan pengemis warga asing di negara ini. 

Sebelum bertemu wanita itu, saya sempat berbual bersama rakannya, lelaki cacat penglihatan.

"Saya pernah ditangkap (diselamatkan) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, 3 kali di Kuala Lumpur, 4 kali di Terengganu. Di Terengganu, saya dikurung sebulan. Dalam tempoh itu, siapakah memberikan makanan kepada  6 orang anak saya tinggal di Besut? Terserah kepada belas ihsan jiran untuk membantu. Anak saya paling kecil, darjah 3, paling tua, baru hendak masuk tingkatan 6. Kami menjual tisu tetapi dikatakan mengemis. Cuba tengok pengemis warga asing, bersepah! Punyalah ramai di negara kita. Tangkaplah mereka, buat apa menangkap orang cacat seperti kami?," soalnya.

Ya Allah! Saya tidak mampu menjawab soalan itu.

Menurut lelaki berusia 60 tahun itu, purata pendapatan hariannya, RM50 sebelum ditolak tambang teksi. 

Walhal pendapatan purata pengemis warga asing sehari, mencecah RM400, klik di sini.

"Selepas wang hasil jualan tisu ditolak tambang teksi, tinggallah dua, tiga puluh ringgit. Bayaran sewa bilik di Chow Kit, kalau tinggal di ruang tamu, RM100 sebulan, tidur di atas tikar sahaja. Saya bukan buta sejak lahir. Masa kecil terkena demam panas dan kemudian penglihatan saya terganggu," jelasnya.

Barangkali sebelum ini luahan hatinya belum pernah didengari justeru dia dan rakannya berkongsi pandangan bersama saya sekaligus pembaca blog ini.

Sila tonton klip video saya rakamkan ini.