Isnin, Julai 23, 2012

PONPUS!

Ramai remaja sekarang ketawa tanpa suara.

LOL!

Itu sahaja mereka ucapkan, laugh out loud, bermaksud ketawa berdekah-dekah. LOL juga kini digunakan oleh sebilangan orang dewasa. 

Barangkali kerana mengikut peredaran zaman.

Sewaktu makan malam bersama beberapa kenalan di Jakarta, Indonesia, saya diajukan soalan ...

"Kamu tahu apa maksud 'jablai'?"

"Tidak," balas saya.

"Oh! Jablai bermaksud, jarang dibelai. Seperti saya, janda anak dua," ujarnya berseloroh.

Majoriti rakyat Indonesia moden, saya dapati gemar menggunakan bahasa singkat atau abbreviation dalam Bahasa Inggeris.

Puskesmas, Pusat Kesihatan Masyarakat satu lagi contoh perkataan disingkatkan. Tidak hairanlah, rakyat Indonesia, pengguna Blackberry paling ramai di dunia. Barangkali menggunakan perkataan singkat, mereka lebih mudah berkomunikasi menggunakan blackberry messenger.  

Teringat ketika kenalan berkongsi cerita dengan saya beberapa hari lalu.

"Anak kawan saya, cakap kepada ayah dia, ayah ini kan ponpus!," ujarnya.

"Ponpus?," soal saya.

"Poyo nak mampus," jelasnya.

Saya tidak pasti samada ayah anak itu berkata, LOL atau menampar mulut anaknya.

HARAM!

Menggunakan cermin sisi kiri kenderaan, saya melihat motosikal ditunggang oleh lelaki muda, dibonceng oleh isteri dan anak kecil. Pada masa sama, saya ingin memakir kenderaan di kiri jalan berhampiran Bazar Ramadan di Damansara Damai, Petaling Kaya, Selangor.

Saya memberika isyarat ke kiri, motosikal terbabit diberhentikan buat seketika dan penunggang memberikan laluan kepada saya untuk meletakkan kenderaan.

Sebaik keluar dari kenderaan, saya disapa oleh penunggang motosikal terbabit dengan wajah marah.

"Saya baca blog awak setiap hari tetapi awak bawa kereta macam HARAM!," katanya.

Saya melihat wajahnya dan menjeling nombor pendaftaran motosikal, barangkali dia berasal dari Pulau Pinang.

"Bawa kereta macam HARAM!," herdiknya sekali lagi dalam loghat utara.

"Saya tidak pernah memaksa awak membaca blog. Lain kali kalau menunggang motosikal, pakailah topi keledar," balas saya.

Jika pada pandangan mata dia, saya bersalah berikutan cara pemanduan kenderaan, saya memohon maaf.

Apapun, dia juga tidak mematuhi undang-undang jalanaraya. Menunggang motosikal bersama isteri dan anak tanpa memakai topi keledar, membahayakan nyawa mereka sekaligus melanggar Akta Pengangkutan Jalan 1985.

Jika ingin menegur, tegurlah secara baik, apa salahnya. Saya ini insan penakut, tambahan pula di bulan Ramadan.

Kita sesama Melayu. 

Untuk rekod, motosikal mereka naiki TIDAK bergesel dengan kenderaan saya pandu, jauh sekali dilanggar. 


Namun bukan dia dan keluarga sahaja tidak memakai topi keledar, ramai lagi. 


Sepatutnya, dia berkata ...

"HARAM! Hang pa tak sayang nyawa ka? Awat tak pakai topi keledaq? Kalu bergesel dengan kereta, lagu mana? Apa jadi?"

Bagi saya, itu kepala mereka, gasaklah.

Jika dia masih membaca blog ini, biar saya terangkan kes berhubung kegiatan 'HARAM'. 

Kegiatan haram berlaku di hadapan matanya dan banyak mata lain.


Perhatikan gambar saya rakamkan di bazar terbabit.


"Macam HARAM! Hang guna budak kecik untuk meraih simpati. HARAM sungguh! Kasihanlah kat budak tu! Dia duk minum susu lagi dah bawak dia mengemis"

Saya tabik hormat kepada lelaki terbabit jika dia berani berkata begitu kepada pengemis wanita warga asing secara terang-terangan mengeksplotasi anak kecil di atas. 

Katakan juga kepada pengemis warga Kemboja di bawah ...

"HARAM! Hang boleh selamba guna tongkat tapi dok menagih simpati di sini. Aku pun tak faham, lagu mana hang boleh ada kat sini"


Kalau dia benar benar berani, bersama membanteras kegiatan HARAM mengutip wang secara tidak sah itu, pasti pengemis di atas akan beredar.


"HARAM! Lagu mana mak cik tua boleh duduk di sini? Mana pi anak anak dia? Tak patut, tak patut"


Warga asing di atas mendakwa bisu sewaktu saya cuba bertanyakan negara asal kelahirannya. Namun melalui pengalaan, saya percaya itu cuma sekadar tipu helah bertujuan melindungi  identiti dirinya daripada dibongkar.

HARAM sungguh! 

Ahad, Julai 22, 2012

HE HE HE! AGAK AGAKLAH MAK CIK OIII!

Jam 12.57 tengahari hari tadi, saya rakamkan gambar wanita berbaju putih di Chow Kit, Kuala Lumpur.


Melihat cara berjalan, barangkali dia uzur. 


Terdapat beberapa lelaki lain dipercayai warga asing dan berbangsa Melayu berada di dalam premis ditinggalkannya.


Barangkali wanita itu berharap, 'rezeki' menjenguknya di hari kedua umat Islam berpuasa.


Lebih baik jika penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan sekali sekali datang membuat pemeriksaan di premis di bawah.


...untuk memelihara kesucian Ramadan Al-Mubarak. 


Sabtu, Julai 21, 2012

HASIL MENGEMIS RM400 SEHARI



Selesai sudah umat Islam menyempurnakan hari pertama ibadah puasa tahun 1433 Hijrah. Seperti biasa, petang tadi, Bazar Ramadan di Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor, dibanjiri ramai pelanggan, membeli pelbagai jenis juadah.


Masyarakat pelbagai usia, berpusu-pusu membeli makanan dan minuman untuk dijamah bersama keluarga di rumah sebaik laungan azan bergema.


Di celah-celah orang ramai, lensa kamera saya merakamkan gambar lelaki ini.


... dan juga lelaki ini.


Menyedari diekori dan gambarnya dirakamkan dari belakang, dia kemudian berpaling.


Daripada raut wajah, melalui pengalaman lalu, saya percaya dia warga asing, menjadikan bazar ramadan sebagai lubuk untuk meraih simpati.

Lalu saya terus mengekorinya.


Dia menggelongsor di jalan menggunakan papan beroda empat. Sekali dilihat, pasti ramai bersimpati, tanpa teragak-agak menghulurkan sumbangan terutama di bulan Ramadan Al-Mubarak, bulan umat Islam digalakkan bersedekah.

Majoriti pelanggan bazar terbabit memasukkan wang seringgit ke dalam bekas plastik hijau dipegang oleh pengemis itu, sebilangan dua ringgit.


Kira-kira lima minit kemudian, saya tunduk dan berbisik kepadanya.

"Sudahlah! Jangan menipu orang Malaysia, tidak baik," ujar saya.


Dia kemudian bergerak laju ke tepi jalan.


"Ambil balik tongkat kamu sembunyikan!," arah saya.

Taktik digunakan oleh pengemis warga Kemboja, berada di dalam genggaman saya.

Pantas dia mencapai tongkat disorokkan di celah timbunan sampah berhampiran pokok.


Papan gelongsor dan bekas plastik kemudian dibungkus menggunakan beg kain berwarna merah.


Dia kemudian cuba untuk beredar.

"Tunggu sekejap. Saya hendak tanya sedikit. Kamu orang Kemboja?," soal saya.

"Ya," katanya.

"Islam?," soal saya lagi.

"Bukan," balasnya.


"Kamu tinggal di mana? Bagaimana datang ke sini?," tanya saya.

"Tinggal di Damansara Damai, datang ke sini dengan kawan naik teksi, tiga puluh ringgit, pergi balik," ujarnya.

Lelaki saya rakamkan gambarnya sebelum bertemu pengemis itu, rakannya. Jumlah tambang teksi untuk datang ke Kelana Jaya dibahagi dua, RM15 seorang.


Tambah ayah kepada empat anak itu, paspot dimiliki sudah lama tamat tempoh

"Sepatutnya Jabatan Imigresen sudah lama menghantar kamu balik ke Kemboja. Kamu duduk di sini, mengelirukan ramai orang. Kamu sembunyikan tongkat agar orang berasa simpati," kata saya.

Dalam tempoh 4 tahun menetap di Malaysia, dia sebenarnya sudah fasih berbahasa Melayu.

"Cakap sama Lim, dia orang Kemboja, pandai bercakap Melayu. Lim duduk Puchong," katanya sambil menghulurkan telefon bimbit kepada saya.


Beberapa kali dia cuba menghulurkan telefon bimbit kepada saya namun saya menolak.

"Buat apa perlu saya bercakap dengan Lim?," soal saya.

Dia kemudian duduk kembali di atas tanah dan mendial telefon bimbitnya dan kemudian kelihatan bercakap dengan seseorang. 


Tepat jam 6.52 petang, pengemis itu dihampiri pegawai penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya, MBPJ melakukan rondaan.


"Tuan, boleh tolong minta dia keluarkan hasil kutipan hari ini?," pinta saya.

Pegawai MBPJ, kenalan saya itu kemudian meminta pengemis terbabit menunjukkan wang dikutipnya.


"Banyak!," ujar pegawai penguatkuasa itu.


Dia mengeluarkan semua wang dari beg.

"Dia memang sudah siap ikat, seikat ini RM100," kata pegawai sama.


Saya perhatikan, terdapat dua ikatan RM100 manakala wang kertas lain masih dalam keadaan berterabur, saya anggarkan berjumlah lebih RM200.

"Lebih kurang dalam RM400 semuanya," celah pegawai MBPJ itu.


Saya yakin, RM400, jumlah pendapatannya dalam tempoh sehari, mengemis di antara pagi dan senja di beberapa lokasi berbeza.

"Itu semua kutipan satu hari?," soal saya untuk mencari kepastian.

Dia menganggukkan kepala.

Jika dia mengemis tanpa bercuti, anggaran pendapatan bulanan pengemis terbabit mampu mencecah RM12,000. Andai dia mengambil keputusan berehat pada hari Ahad setiap minggu, hasil mengemis terkumpul dalam tempoh 26 hari, RM10,400.

Fikirkan kembali berapakah jumlah pendapatan kita sehari?

HEBAHKAN