Jumaat, Jun 13, 2014

BAHASA MUDAH SUKAR DIFAHAMI

Saya tertarik mengikuti kenyataan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, Rafizi Ramli berhubung geran RM100 juta dilapor diluluskan kepada syarikat NSE Resources Corporation (M) Sdn. Bhd. 


Di bawah, petikan artikel disiarkan oleh Malaysian Insider.


Berlandaskan kenyataan di atas, Rafizi MENDAKWA kononnya Perdana Menteri, PM, Datuk Seri Najib Razak MELULUSKAN geran itu  kepada syarikat NSE Resources Corporation (M) Sdn. Bhd. 

'I want the prime minister to explain why he and the Science, Tecnology and Industry minister APPROVED the RM100 million grant ...'

Di bawah, surat dihantar oleh NSE kepada PM. 




Teliti nota ditulis tangan oleh Datuk Seri Najib untuk perhatian Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Ewon Ebin.


'YB Datuk Dr. Ewon ebin, untuk pertimbangan. Saya tiada halangan jika projek ini sesuai'

Tiada sebarang bentuk arahan dalam nota ringkas di atas membuktikan PM meluluskan geran itu. Beliau cuma meminta Datuk Dr. Ewon untuk MEMPERTIMBANGKAN permohonan NSE. Kenyataan seterusnya bersyarat, Ewon berhak membuat keputusan samada meluluskan geran dipohon SEKIRANYA projek bakal dilaksanakan itu sesuai atau sebaliknya.

Jika PM bertujuan memberikan arahan kepada Datuk Ewon supaya permohonan itu diluluskan, lebih baik beliau mencatat ...

'Luluskan'.

Bahasa digunakan oleh PM, amat mudah tetapi mungkin sukar difahami oleh Rafizi. 

Rabu, Jun 11, 2014

ALIRAN TRAFIK LEBUH RAYA UTARA SELATAN DIBERHENTIKAN

Aliran trafik Lebuh Raya Utara Selatan terpaksa dihentikan berikutan kejadian lori 3 tan terbakar di lorong menuju ke utara tanahair.

"Kejadian bermula pada kira-kira jam 1.45 tengah hari. Waktu saya memandu, beberapa pengguna lebuh raya lain memaklumkan, lori dijilat oleh api. Pantas saya memberhentikan lori di lorong kecemasan dan kemudian beredar untuk menyelamatkan diri," ujar Wira, 58 tahun.


Saya menemui pemandu lori itu tatkala dia berdiri, memerhatikan kenderaan dipandunya marak di sekitar KM303


"Saya berpengalaman memandu lori sejak 30 tahun lalu dan ini kali pertama lori terbakar. Saya syak berlaku masalah pendawaian. Lori saya pandu membawa kotak, habis semua musnah dan saya telah melaporkan kepada majikan" ujar ayah kepada tiga anak terbabit.


Saya dan jurukamera, Abdul Rahman Salim dalam perjalanan ke Ipoh, untuk melaksanakan tugasan istimewa bakal disiarkan pada 30 Jun akan datang.


Petugas bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Gopeng, tiba di lokasi kira-kira 15 selepas kes dilaporkan.

Buat sementara waktu aliran trafik diberhentikan bagi menjamin keselamatan pengguna lebuh raya lain.


Lima petugas bomba bertindak pantas, api berjaya dipadamkan sepenuhnya dalam tempoh kurang lima minit.


Isnin, Jun 09, 2014

TEH TARIK PERCUMA DI HO CHI MINH

Jarang benar orang asing mampu seratus peratus memahami budaya pelbagai bangsa rakyat Malaysia. 

Bidang pelancongan semakin berkembang di Ho Chi Minh, HCM, Vietnam, berikutan bercambahnya bilangan restoran menyajikan makanan halal. Juadah dihidangkan mungkin enak tetapi majoriti kakitangan premis menjual makanan termasuk pengurus tempatan, tidak dilengkapkan dengan pemahaman budaya rakyat Malaysia.

Mereka sukar untuk menguntumkan senyuman tatkala melayan pelanggan. 

Di bumi Vietnam ini, saya turut disajikan dengan pelbagai karenah manusia. Keegoan ditampilkan oleh segelintir pengusaha restoran sewaktu menerima teguran pelanggan, saya depani. Namun sebagai pengembara, insiden itu lumrah. Lagipun saya individu berstatus pelancong, bukan warganegara Vietnam. Justeru sikap sebegitu, saya kesampingkan sahaja.

Tidak menjadi kudis.

Di Vietnam, saya menjalinkan persahabatan dan di sini juga gambar saya berulang kali dirakamkan bersama ratusan rakyat Malaysia berstatus pelancong. Terima kasih kepada semua. 

Tengah hari tadi, saya tidak menjamu selera di restoran biasa dibawa oleh ejen pelancongan di HCM. Hati terbuka untuk mencuba menu di Warung 1 Malaysia di 47, Nguyen An Ninh, Ben Thanh Ward, District 1, HCM.


Hiasan di dalam restoran ini tidaklah kelihatan eksklusif dibandingkan dengan hiasan dalaman beberapa restoran lain terletak berhampiran tetapi masakan dihidangkan lebih enak, dilengkapi pula dengan layanan mesra oleh kakitangan bertugas.

Lebih molek, kemudahan surau juga disediakan di sini.


Terima kasih kepada sahabat saya, Lyna dan suami, klik di sini, kerana membawa saya ke restoran milik anak Malaysia, Abd. Hadi Law Abdullah.

Kami memesan hidangan daging masak kicap, ikan, kari ayam dan sayur. Semua makanan itu lazat, memenuhi cita rasa saya dan Lyna.


Lebih mempersonakan lagi, tanpa banyak soalan, saya berpeluang menghilangkan dahaga dengan minuman teh Cina sejuk dalam gelas besar. Mudah untuk berkomunkasi kerana Hadi, anak kelahiran Seremban, Negeri Sembilan.


Hadi bertugas di HCM sejak lebih 11 tahun. Beliau juga pengarah Warung 1Malaysia. Sebagai warganegara Malaysia, tentunya beliau lebih mudah berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu sekaligus memahami kehendak setiap pelanggan dari negara sendiri.


Dalam kesibukan melayan pelanggan, majoriti pelancong Malaysia, beliau sempat juga meluangkan waktu, berbual bersama saya.

"Saya sayangkan negara dan pemimpin negara saya. Oleh itu saya menamakan restoran ini sebagai Warung 1 Malaysia. Premis ini mula beroperasi sejak bulan Mac 2013 dan Alhamdulillah sambutan pelanggan semakin memberangsangkan. Rezeki saya di sini," ujar ayah kepada seorang anak itu.

Melalui pengamatan singkat saya, Hadi individu berbudi bahasa dan amat menghormati setiap pelanggan beliau.


"In Sha Allah, semua pelanggan saya, pembaca blog mazidul akmal dot com akan diberikan samada teh tarik atau teh Cina ais percuma sekiranya berkunjung ke sini. Cuma beritahu kepada saya atau kakitangan bertugas, SEBELUM membayar bil, "saya pembaca blog Mazidul", itu sahaja. Kita pun tidak pernah berjumpa sebelum ini. Takdir Allah, kita diketemukan di Vietnam," kata Hadi dengan senyuman terukir di wajahnya.


Jika ingin membuat tempahan awal, sila hubungi +84 8 38274477.

PENDEDAHAN EKSKLUSIF : SINDIKET PENIPUAN DI HO CHI MINH

Fakta, Ho Chi Minh, HCM, Vietnam, dianggap syurga membeli-belah di kalangan jutaan pelancong dunia, tidak terkecuali rakyat Malaysia. 

Saya nukilkan entri ini khusunya untuk kebaikan semua pelancong khususnya mereka senegara dengan saya agar tidak menjadi mangsa sindiket penipuan licik. 

Melalui maklumat saya perolehi, ramai pelancong Malaysia kini berstatus mangsa, barangan dicuri. 


Ruang waktu 4 hari 3 malam, melancong bersama sebilangan pembaca blog ini di HCM saya gunakan sepenuhnya untuk menjalankan siasatan rapi di negara Sungai Mekong mengalir.

Sumber maklumat berkredibiliti terpaksa saya rahsiakan demi keselamatan diri mereka.

"Ibu ayam bersama kumpulan wanita tempatan kekadang dilihat berdiri di kalangan pelancong samada di Pasar Malam Ben Thanh atau di sekitar hotel berhampiran. Ibu ayam itu, bertatoo di paha kanan, gambar bung ros," ujar sumber.


Hasil siasatan terperinci dan temu bual bersama penduduk tempatan,  saya dapati ahli sindiket hadir di lokasi menjadi tumpuan ramai pelancong. Secara senyap, tanpa menariik perhatian umum. Pengiring, runner, wanita bertopi, berperawakan seperti lelaki mendekati pelancong lelaki dari pelbagai negara dan menawarkan khidmat mengurut.

"Abang, massage, only five (US) dollars per hour"

Itu antara ayat lazim digunakan oleh runner untuk memancing perhatian lelaki berhidung belang. Lelaki datang ke HCM dengan niat bercabang, bukan untuk membeli-belah.

"Hanya runner itu sahaja berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, gadis dibawa dan dipamerkan, hanya bercakap dalam bahasa Vietnam," kata sumber saya lagi.


Dilaporkan, kebanyakkan mangsa dari Malaysia, pelancong datang ke HCM tidak bersama isteri atau teman wanita. Sebilangan mereka datang mengikut rombongan dikendalikan oleh ejen pelancongan tetapi mencari ruang untuk menyelinap biarpun sejam dua.

Setakat ini, dianggarkan lebih 20 rakyat Malaysia terjebak menjadi mangsa penipuan sindiket terbabit. Namun kes itu tidak menjadi kecoh dan dihebahkan kerana mangsa berasa malu untuk berkongsi cerita sebegitu.


"Lelaki secara individu atau berkumpulan, terpesona dengan pakej palsu ditawarkan akan dibawa ke bilik hotel. Sebelum diurut, mereka diminta untuk membersihkan diri di bilik air sekaligus mangsa meninggalkan pelbagai barangan berharga, wang tunai, telefon bimbit, di dalam bilik sama. Gadis Vietnam kononnya bertugas sebagai tukang urut itu kemudian akan mencuri barangan terbabit dan pantas menghilangkan diri," terang sumber. 

Mangsa, terlopong mengundang bahana tidak diduga.


Tiga gadis manis di atas dijadikan umpan. Kejelitaan mereka disalahgunakan untuk meraih keuntungan dalam tempoh singkat.

"Lelaki berminat untuk berhibur di karaoke, lazimnya juga ditimpa nasib malang ditempah. Sebaik tiba di bilik karaoke, pintu dikunci dan mangsa diugut sebelum menyerahkan semua barangan berharga termasuk wang tunai. Setakat ini, mangsa dilaporkan kerugian di antara RM3,000 dan RM15,000. Berikutan kehilangan wang tunai, mereka tidak mempunyai wang untuk dibelanjakan di sini lalu memberikan alasan kepada isteri di rumah, kononnya barangan di HCM terlalu mahal untuk dibeli. Walhal wang mereka lesap akibat ingin memenuhi nafsu serakah," tambah sumber sama.

Melalui pengamatan saya, HCM semakin dibanjiri pelancong dari negara kita. Saya sertakan beberapa gambar pembaca blog sewaktu sibuk membeli-belah dan bersantai.


Terima kasih kepada pemandu pelancong, Andy, 35 tahun, warga Vietnam tetapi amat fasih berbahasa Melayu.