Jumaat, Mei 23, 2008

Siapa Mereka?

“Siapa lah dia orang ni?”

Soalan menerjah fikiran sewaktu saya singgah di Kawasan Rehat dan Rawat, RnR Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Setiap kali kenderaan berhenti, mereka berlari menghampiri pemandu dan keluarga. Jika barangan dijual tidak dibeli, mereka melangkah pergi dan cuba mendapatkan pelanggan lain.

Perlahan saya menghampiri seorang daripada 8 lelaki penjual barang terbabit. Tetapi sebaik melihat kelibat saya, semua melarikan diri. Saya rakamkan gambar mereka dari jauh.

“Mesti warga asing,” bisik hati saya.

Setengah jam saya menunggu, akhirnya seorang daripada mereka mengambil keputusan duduk di hadapan medan selera, barangkali kepenatan bermain ‘cat and mouse’ dengan saya. Perlahan saya melangkah menghampirinya.

“Sebab apa lari?,” tanya saya dari belakang.

Terkejut, dia menoleh.

“Ndak lari bang, malu bah kami digambar,” katanya.

Daripada loghat diguna, saya menjangka dia anak kelahiran Sabah, saya cuba mengusik.



“Jual barang salah ke?”

“Tak bang. Kami jual kamera, jam tangan dan spek saja. Beli di Chow Kit, datang jual di sini”

Jelas lelaki memperkenalkan dirinya sebagai Mohd Azrie Md Lahal, 20 tahun Tawau, Sabah.

“Bang ada duit seringgit, mau beli air,” pintanya.

Saya hulurkan 5 ringgit. Ketika dia melangkah membeli minuman, rakan seusianya, Erwen Roslan menghampiri saya.

“Di Sabah, saya dulu driver forklift bang. Tapi gajinya sikit, 3 ringgit satu jam. Baru 4 bulan datang semenanjung, duduk di Kajang sama Azrie. Dia dulu kerja kontrak buat rumah, upah 12 ringgit satu hari. Ndak cukup bah,” ujarnya.

“Berniaga di sini ok,” soal saya.

“Ok la jugak, ini spek kami beli 10 ringgit, jual 30. Kalau satu hari jual 10, boleh dapat 200”

Padanlah selama ini kita lihat warga asing dari Afrika dan China turut merebut peluang sama, Cuma barangan dijual lebih banyak jenisnya.

“Kamera ni jual berapa?,” tanya saya kepada Azrie sedang sibuk makan.

“Beli dalam 30 lah, jual ada 100, ada 130,” jawabnya.
“Tapi ini bukan kamera digital, pakai filem biasa,” katanya jujur.

“Aku ingat kau orang dari Indonesia”

“Ish! Mana ada bah. Kami orang Malaysia, ni ada IC lagi,” sambil Azrie menunjukkan kad pengenalannya kepada saya.

“Abang ambil gambar buat apa?,” barangkali sejak awal dia inginkan jawaban kepada soalan itu.

“Saja. Aku mahu tulis, bagi tau sama orang lain, kau orang bukan warga asing, orang tempatan”

“Bukan masuk TV la ni?,” Erwen kelihatan kecewa.

“Alah! Tadi masa aku sampai kau orang lari. Mau masuk TV macamana?,” gurau saya pada jam 2 petang itu.

“Pemalu bang kami ni,” pantas Azrie menjawab.

“Ada orang kacau kau orang berniaga?”

“Ada jugak sekali sekala. Dia orang kejar kami lari. Lepas tu kami datang balik,” jujur komennya.

“Kalau setakat jual barang apa salahnya, kerja halal, barang halal. Ramai orang asing di negara kita, langsung tak ada dokumen boleh berniaga di tepi jalan, di dalam pusat membeli belah. Tak ada lesen, main langgar saja. Kau orang, orang Malaysia, ada IC,” panjang komen saya lontarkan.

“Betul tu bang,” serentak Azrie dan Erwen menjawab sebelum kami bersalaman dan beredar.

Saya percaya jika ada antara anda singgah di RnR sama, pasti bertemu Azrie, Erwen dan 6 rakan lain.

Mereka rakyat Malaysia.

4 ulasan:

  1. Sedih pulak saya bila baca orang sabah terpaksa merantau jauh semata2 ingin memperolehi pendapatan yg lebih tinggi.Sememangnya di Sabah sukar untuk mendapat kerja yg berpendapatan tinggi. Seperti saya walaupun telah berkerja selama 8 tahun, gaji saya masi lagi di bawah seribu ringgit. insya allah, mudah2an rezeki akan bertambah.

    BalasPadam
  2. setuju jugak dengan pendapat anda..
    negara kita sudah lebih 50 thn merdeka..tp kenapa masih ada lg rakyat kita yg begini yer..?
    musykil..mungkinkah kerana peluang pekerjaan yang kurang atau mereka sendiri yg tidak tahu merebut peluang..? atau ada sebab2 lain..?

    BalasPadam
  3. ops! tgk pada tajuk, teringat pulak pasal semalam..

    tgh duk layan anak buah bermain kat taman permainan dekat tasik shah alam..tiba2 didatangi seorang kanak2 yang datang mintak derma..dibawa bersamanya beberapa buah surah yasin..kelihatan juga beberapa orang kanak-kanak yang seangkatan dengannya..
    dah lama juga soalan ni bermain di fikiran..."siapakah mereka"..?
    "anak-anak tempatankah?"

    BalasPadam
  4. Alhmdulillah mereka masih brusaha utk mncari rezeki scara halal. Smoga tabah dlm mgharungi dugaan khidupan..

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.