Alhamdulillah, saya telah selesai membuat liputan 'Tragedi 18 Januari' di Pulau Bruit, Daro, Sarawak. Petang semalam saya pulang bersama kru, terbang dari Sibu ke Kuching dan kemudian ke KLIA.
Sewaktu berada di Sibu selama 6 hari, saya makan mi kolok, burger dan nasi campur. Ada sedap, ada kurang sedap.
Mari bersama kita teliti gambar makanan di bawah.
Juadah dihidangkan, ikan sambal, 'fish sambal with rice'
"Ini ikan sambal?," soal saya.
"Ya"
Itu jawaban saya terima.
Lalu saya perhatikan sekali lagi secara lebih teliti dari pelbagai sudut. Beberapa kali saya membelek makanan itu menggunakan garfu plastik. Saya hanya melihat sejemput nasi berderai, sayur layu dan beberapa ketul daging ikan (fillet). Bertujuan mengelakkan pembaziran dan perut berkeroncong, saya menyuapkan sedikit ikan ke mulut.
Ternyata rasanya tawar dan sah tiada terasa sambal. Sepatutnya juadah itu dinamakan 'fish with invisible sambal' atau 'sambal ikan halimunan'
Hemat saya, andai juadah sama dihidangkan kepada kucing kebuluran, belum tentu haiwan peliharaan manusia itu berselera makan sehingga habis.
Apakah sebenarnya terjadi? Seingat saya, sebelum ini, makanan dihidangkan tidak seteruk itu. Mengapakah menu tidak berkualiti dihidangkan?
BUKAN di Sibu tetapi di dalam pesawat MAS, penerbangan MH 2597, 28 Januari 2014.
BUKAN di Sibu tetapi di dalam pesawat MAS, penerbangan MH 2597, 28 Januari 2014.
"Bagaimanakah rasanya?," soal pramugari bertugas.
Saya hanya mengukirkan senyuman tawar kerana tidak mampu menipu diri sendiri. Saya difahamkan oleh kru kabin, makanan itu disediakan oleh pembekal dari Kuching.
Barangkali pihak pengurusan MAS tidak mengetahui betapa rendahnya kualiti makanan dihidangkan kepada penumpang pesawat.
Bak melepaskan batok di tangga.
Oleh itu, saya menyarankan agar pihak pembekal makanan menghantar beberapa bungkus nasi seperti di atas ke pejabat Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Ahmad Jauhari Yahya. Berikan beliau peluang untuk menjamah sendiri menu 'istimewa' itu. Mungkin Jauhari juga tidak tergamak menghabiskan hidangan sama.
Saya kerap menggunakan pesawat MAS untuk terbang di dalam dan ke luar negara, melaksanakan pelbagai tugasan. Majoriti pramugara dan pramugari bersifat peramah, lemah lembut dan bersopan.
Apapun, saya percaya kebanyakkan penumpang hanya menyuapkan makanan itu ke mulut sekadar untuk melapik perut dalam penerbangan hampir 2 jam, tidak lebih daripada itu.
Sebagai pelanggan tetap, mohon MAS mempertingkatkan kualiti makanan di dalam pesawat dengan kadar segera.