Tengahari tadi, mayat terakhir tragedi bot karam di perairan Pulau Bruit, Daro, Sarawak ditemui. Jenazah Mahdani Akim, 56 tahun dijumpai penduduk pasukan pencari penduduk kampung.
Mayat bilal Masjid Kampung Tekajong itu dilapor berada dalam keadaan sempurna dan telah dihantar ke Hospital Daerah Daro sebelum dikebumikan di kampung halamam arwah.
"Sewaktu kejadian, arwah memakai jaket RELA dan berselur jeans," kata penduduk Kampung Tekajong kepada saya pagi tadi.
Dua hari lalu saya menemu bual isteri arwah, Suraidah Basnu, 48 tahun di Kampung Tekajong.
"Saya berpaut pada tong minyak, terapung bersama Imam I dan seorang rakan lain sambil berpegang tangan bersama suami. Dalam keadaan kelam kabut untuk menyelamatkan diri, dia berkata, selamatkan diri awak, berpaut kuat, jangan hiraukan saya," ujar Suraidah sambil airmata bergenang di kelopak matanya.
Iman I, Borhan Berdan, 68 tahun, turut maut dalam kejadian itu.
Saya menyertai pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, sehari sebelum bertemu Suraidah, mencari Mahdani dilaporkan hilang.
"Lebih dua puluh enam tahun kami hidup bersama, suami pergi meninggalkan saya, hilang hanya dalam sekelip mata. Apapun saya redha, ini semua kehendak Allah," tambah ibu tiga anak itu.
Barangkali airmata wanita itu sudah kering dan dia kelihatan tabah mendepani bencana menimpa.
Saya difahamkan, selepas 4 hari, sukar untuk mencari mangsa lemas kerana mayat lazimnya tenggelam. Jenazah Mahdani ditemui pada hari ke sembilan selepas tragedi pada 18 Januari lalu.
"Insan baik, In Sha Allah, jenazahnya akan ditemui"
Itu bisikan saya kepada kru tatkala kami tiba di Sibu pada 23 Januari.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.