Sabtu, Januari 11, 2014

BAHAGIAN PERLESENAN MBPJ 'MENURUT ARAHAN' PIHAK PENGURUSAN UPTOWN D' KOTA (AIKS! BEGITU PULA?)


Jam 11 malam tadi, saya memasuki Uptown D' Kota, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor melalui pintu belakang kerana ketiadaan ruang parkir di hadapan.

Saya kemudian disapa oleh wanita berpakaian serba hitam.

"Datang ke sini untuk membuat liputan ke? Tadi saya terdengar, mereka (peniaga) menjerit-jerit suruh panggil Mazidul," ujarnya dengan wajah serius.

"Awak ini siapa?," soal saya. 

Saya merenung wajahnya, garang, lagaknya bak singa betina untuk menakutkan saya. Ok! Ok! Saya takut. Sehingga saat menulis entri ini, kepala lutut saya masih menggeletar.

"Boleh dikatakan setiap minggu saya berkunjung ke sini. Tidak ada masalahpun," balas saya. 

Jika saya tidak dibenarkan berada di premis itu, saya ingin menyarankan pihak pengurusan Uptown untuk menaikkan satu papan tanda khas di pintu msuk.  

'MAZIDUL DILARANG MASUK'

Apapun sebelum bertindak sebegitu, molek jika TERLEBIH DAHULU dipaparkan nama dan logo syarikat pihak pengurusan di papan tanda kerana sehingga kini masih tidak kelihatan setelah sekian lama beroperasi.

Sebaik memasuki kawasan Uptown, saya terpandang kaunter dikunjungi orang ramai.


Saya difahamkan oleh peniaga, Bahagian Perlesenan Majlis Bandaraya Petaling Jaya, MBPJ, membuka kaunter untuk 159 peniaga memperbaharui lesen perniagaan mereka.

Pihak pengurusan Uptown, Ilmu Panduan Hidup, klik di sini.

Syarikat terbabit DIDAKWA membeli premis sebelum ini dikenali sebagai Kompleks Muhiibbah dengan harga murah, klik di sini.

"Kami mula berniaga di sini pada tahun 2005. Waktu itu, saya memiliki empat gerai, kini gerai itu telah digabungkan. Jadi saya berjumpa dengan pihak pengurusan. Kata mereka tahun 2014, saya hanya membayar untuk satu lesen sahaja. Malam ini, Bahagian Perlesenan MBPJ menuntut saya membayar empat lesen. Hampir seribu ringgit saya kena bayar," ujar peniaga, Ibnu Khatab Ismail, 60 tahun.


"Bolehkah lesen diperbaharui?, " soal saya.

"Pegawai MBPJ memakai baju berwarna merah itu berkata, saya mempunyai tunggakan. Jadi lesen perniagaan tidak boleh diperbaharui. Soalan saya kini, apakah hubungan di antara pihak pengurusan Uptown dengan MBPJ? Tungakkan saya dengan pihak pengurusan Uptown, BUKAN dengan Bahagian Perlesenan MBPJ," balasnya kesal.

Majoriti peniaga saya temui kelihatan keliru. Soalan itu bermain di minda mereka. Lalu saya meminta mereka menagih penjelasan daripada pegawai dimaksudkan.


"Masalah akibat tunggakan dan lesen perniagaan tidak boleh diperbaharui, puan mendapat arahan daripada siapa tadi?," soal peniaga, Aslam Khan Pateh Khan, 40 tahun.

"Pihak Pengurusan (Uptown). Saya tidak dapat berbuat apa, encik kena berjumpa dengan pihak pengurusan," katanya.


"Sekarang ini, adakah  MBPJ berada di bawah pihak pengurusan Uptown?," saya mencelah.

"Saya tidak cakap kita (MBPJ) berada di bawah pengurusan Uptown," jawab wanita terbabit.

"Baik, dia berkata tadi, MBPJ menerima arahan daripada pihak pengurusan Uptown D' Kota. Betul?," soal saya.

Peniaga beramai-ramai menjawab.

"Ya"

Manakala wanita itu mendiamkan diri.

93 peniaga daripada 159 kesemuanya gagal memperbaharui lesen perniagaan mereka.

Kini persoalan sudah terjawab. Jabatan Perlesenan MBPJ MENGIKUT ARAHAN pihak pengurusan Uptown D' Kota sedangkan premis itu dikatakan telah dijual kepada syarikat Ilmu Panduan Hidup.

Apakah jenis kuasa istimewa dianugerahkan oleh Ilmu Panduan Hidup sehingga berhak MENGARAHKAN kakitangan Bahagian Perlesenan MBPJ?

"Sudah hampir dua tahun kami tidak bertemu dengan lelaki menguruskan Uptown ini, bernama Khairul," keluh Aslam.

Februari tahun lalu, saya diusir sewaktu memasuki Uptown D'Kota, klik di sini.

Tatkala itu saya ke situ melakukan tinjauan, berikutan runggutan orang ramai mengatakan tandas di premis perniagaan itu amat kotor.

Peniaga, Zainuddin Hashim pernah membawa saya merakamkan keadaan tandas di lokasi terbabit.


Amat menjijikkan, klik di sini.


"Bilangan pengunjung ke Uptown semakin berkurangan kerana keadaan persekitaran tidak teratur berikutan pembinaan laluan MRT. Sebilangan peniaga tidak mampu melangsaikan bayaran sewa bulanan. Pengunjung pula tidak selesa untuk ke tandas. Ini hari ke empat, tandas lelaki dan wanita tidak berlampu," ujar Zainuddin.

"Jom kita pergi tengok. Kita rakamkan fakta supaya tidak menjadi fitnah," kata saya. 

Peniaga bersetuju, lalu kami bergerak ke tandas.


Sebaik memasuki tandas, bau hancing dan busuk menusuk hidung. Sahabat saya, Mohd Farid Hamzah merakamkan gambar dalam keadaan gelap. Tahap kekotoran tandas di premis dilesenkan oleh MBPJ itu tetap tidak berubah berbanding keadaan hampir 5 bulan lalu. 


Saya yakin, kakitangan MBPJ bertugas di kaunter tentunya tidak sudi menggunakan tandas sebegitu rupa biarpun sedang tercirit. Tandas wanita terletak lebih jauh, juga bernasib sama, gelap gelita.  


"10 September lalu, kedai menjual barangan perhiasan perak dipecah masuk, kerugian dianggarkan kira-kira RM100,000. Pihak pengurusan hanya sekadar menjenguk dan kemudian tiada tindakan susulan," ujar Muhammad Nurul Amin Mat Nor, 28 tahun.


[ Amin kerugian RM100,000 ]

"Siapakah kakitangan pihak pengurusan datang ke kedai awak?," tanya saya kepada Amin.

"Perempuan yang menahan encik Mazidul di pintu masuk tadi," balasnya.

Barangkali kakitangan pihak pengurusan itu buta FAKTA. Uptown,  pusat membeli-belah dikunjungi oleh orang awam. Saya juga orang awam dan bermastautin di Kota Damansara, BUKAN makhuk asing dari planet Marikh. Saya datang ke Uptown menaiki kereta BUKAN kapal angkasa. Selagi saya tidak melanggar seksyen dalam Kanun Keseksaaan, mengapakah terlalu gentar membenarkan saya masuk dan mendengar keluhan peniaga?

Majoriti peniaga berbangsa Melayu, sebangsa dan seugama dengan saya.

"Tadi, saya berjumpa perempuan sama dan menjemput dia membuat kenyataan mewakili pihak pengurusan. Dia berkata, awak tidak ada hak untuk menyuruh saya bertemu sesiapa," lapor Aslam.

Tidak mengapalah, pedulikan dia. Saya hadir untuk melaporkan FAKTA, usah khuatir. Seperkara lagi, saya TIDAK dibayar untuk melakukan liputan ini. Rasa simpati melihat Melayu diperkotak-katikkan mengundang saya ke sini. 

Saya tertarik membaca status dipaparkan oleh pengendali facebook peniaga Uptown D' Kota.


Ada baiknya kakitangan Tenaga Nasional Berhad berkunjung ke premis itu dan membuat pemeriksaan untuk memastikan pihak pengurusan tidak melakukan sambungan elektrik HARAM seperti dipersoalkan.

Sudahlah kedai peniaga dipecah masuk oleh penjenayah, kelak terbakar pula. Sudah jatuh nanti ditimpa tangga.

Klik di sini.


1 ulasan:

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.