Ahad, Oktober 28, 2012

USTAZ NEGOTIATER

Semalam saya dan semua sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia, KP1M,  ke Kem Ramtha di Irbid, Jordan. Pelbagai jenis makanan dan selimut diagihkan kepada lebih 1,000 pelarian Syria.


Keadaan menjadi kelam-kabut apabila hampir semua penghuni kabin dibekalkan oleh UNHCR keluar menghampiri lori membawa barangan sumbangan Malaysia.


Untuk memudahkan proses pengagihan, semua pelarian diminta pulang ke kabin masing-masing bagi memudahkan sukarelawan KP1M mengangkat barangan ke kabin namun sebilangan mereka bersikap degil.

"Setiap kotak untuk famili dimuatkan barang keperluan asas seperti tepung, keju, gula dan bahan lain, bekalan selama sebulan," ujar Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim.


Biarpun menempuh pelbagai cabaran, ketua Misi Bantuan Kemanusiaan Syria, Datuk Azeez kelihatan tenang melaksanakan tugas beliau.

Lima hari berada di sempadan Jordan-Syaria, saya tertarik dengan sikap kanak-kanak pelarian. Setiap kali melihat kamera, mereka mendesak gambar dirakamkan.

Shouwir! Showir!

Teriak mereka.

'Shouwir' bermaksud gambar. 

Sebaik gambar dirakamkan, mereka ingin melihat hasil rakaman. Bayangkan andai saya merekodkan 10 gambar, kesemua anak kecil itu akan datang menghampiri untuk melihat gambar mereka. Sedikit sebanyak, tindakan mereka itu melengahkan tugasan saya. 


Situasi sama didepani semua jurugambar media Malaysia. Tidak hairan jika wajah mereka kelihatan penat, bukan kerana melaksanakan tugas tetapi melayan permintaan pelarian Syria untuk digambar.


Jika tidak dilayan, mereka akan berdiri dan melompat-lompat di hadapan lensa tanpa mempedulikan larangan.

Sesungguhnya kesabaran kekadang tercabar, mujur wajah comel mereka menghiburkan hati dan melegakan tubuh penat.


Sewaktu berada di Kem Za'atari, Mafraq, 45 minit perjalanan dari Amman, saya dan jurukamera, Rohaizat Roslan menaiki kenderaan diiringi oleh kereta perisai pihak berkuasa Jordan. 


Bermastautin di khemah tanpa keperluan asas lengkap berkebarangkalian mencetuskan tekanan di kalangan pelarian dan mengakibatkan mereka cenderung berdemonstrasi. 


Setakat ini, saya, jurukamera, pemandu dan penterjemah bahasa telah ditahan dan disoal siasat sebanyak lima kali.

Namun kepakaran Mohd Firdaus Muhammad Amin dan Huzaifah Basit berbahasa Arab tidak dapat dipertikaikan sekaligus membantu kami.


Gambar di atas sedikit kabur kerana saya rakamkan dari tempat duduk belakang kenderaan, melalui cermin kereta sentiasa berdebu.


Firdaus dan Huzaifah, 'ustaz negotiater' kami, tanpa wajah manis dan kebijaksanaan mereka menjawab pelbagai soalan pihak berkuasa Jordan, pastinya kami meringkuk di dalam lokap di bumi ambia ini.


Pada ketika ini, InsyaAllah, I am still standing.


Doakan keselamatan kami, agar saya berpeluang untuk memaparkan bingkisan 'Sengsara Sempadan' kepada semua di Majalah 3 kelak.

Terima kasih.

5 ulasan:

  1. Gendarmerie Jordan? Mcm polis french plak~ ehehe~

    BalasPadam
  2. semoga Allah mudahkan semua urusan di sana

    BalasPadam
  3. SMTI: Saya mewakili rakyat Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada 2 orang ustaz yg sedikit sebanyak melancarkan perjalanan urusan bro & kru.....:))

    *ppssttt....bro.. gambar terakhir tu boleh buat profile picture tu..hihi.. stakat ni gambar tu la nampak paling 'gagah'..hihi...*

    BalasPadam
  4. smti..
    tak dinafikan,wajah2 anak2 itu sgt comel

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.