Isnin, Mei 19, 2008

Mayat Tanpa Kepala, Tangan Dan Kaki!

Salam sejahtera buat semua. Semoga semua pembaca berada dalam keadaan tenang, gembira dan selamat.

Tiada siapa berhasrat mati dibunuh dalam keadaan ngeri apatah pula tanpa dikenali identiti.
Bagaimanapun kejadian itu berlaku. Bukan di negara lain tetapi di negara kita sendiri. Bukan jauh tetapi di Lembah Kelang.

19 Mei, jam 3.30 petang saya menerima panggilan dari teman jurukamera.

"Datang lah ke Federal Highway depan Nanyang Siang Pau. Ada jumpa mayat," katanya.

Ketika itu saya baru pulang dari Melaka, bercuti. Bagaimanapun saya ketepikan kepenatan buat seketika. Pantas saya mencapai beg galas dan kunci kereta. Sejak blog ini mula ditulis saya memastikan kamera digital disimpan di dalam beg ke mana sahaja. Lalu dari Kota Damansara saya terus memandu ke arah Lebuhraya Utara Selatan menuju ke Plaza Tol Subang. Dari tol saya menyusuri jalan kecil sehingga tiba berhampiran bangunan Motorola, Petaling Jaya.

"Allah! Jem lah pulak jalan," hati saya mengeluh.

Sewaktu menaiki jejantas Lebuhraya Damansara-Puchong dan membuat pusingan 'U', jalan sesak akibat pemandu memperlahankan kenderaan. Memang begitu sikap warga kita, barangkali mereka prihatin diundang perasaan ingin tahu.

Turun dari kereta saya disapa lelaki tidak saya kenali.

"Ada kes apa?"

"Tak tahu. Awak tanya polis, saya baru sampai. Nanti tengok berita, mesti ada," saya menjawab.

Lelaki itu kelihatan kecewa, tiada bingkisan hangat dibawa pulang. Saya kemudian melangkah menghampiri kumpulan wartawan dan jurugambar, majoriti berpeluh akibat cuaca agak panas petang itu.

"Mayat perempuan. Tapi belum dapat gambar sebab body ada kat bawah jambatan," bisik wartawan berdiri di sebelah saya.

Ketika itu ramai pegawai dan anggota polis berada di lokasi termasuk anggota pasukan Forensik dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed. Arjunaidi berseluar jeans sibuk berbual dengan pegawai lain.

"Dengar tak ada kepala, kaki dan tangan," kata wartawan Kosmo, Mohd Turmadzi Madun lengkap dengan buku nota dan pen di tangan.

Saya mendengar secara teliti perbualannya bersama beberapa wartawan lain. Sebelum itu saya mendapat sedikit maklumat semasa bertemu jurukamera, Nong di lokasi sama.

"Semalam ( 18 Mei ), pukul 8.15 pagi ada orang jumpa kaki perempuan, lutut ke bawah dalam tong sampah di Taman Salak Selatan, Brickfields"

"He! He! Masa tu saya sedang bermandi-manda di Pengkalan Balak, Melaka," balas saya.

Nong tersenyum.

"Saya rasa dalam minggu ni jumpa la kepala, 2 tangan dan 1 kaki lagi tu," telah Turmadzi, wartawan jenayah bertugas sejak 4 tahun lalu.

Saya mendiamkan diri sambil melihat polis membentangkan tuala mandi berwarna merah jambu di atas jalan berhampiran mayat ditemui. Penuh kesan darah, saya rakamkan gambarnya.

"Siapa nak ais krim?," terdengar orang bertanya.

"Siapa menjual ais krim tu?," soal saya kepada wartawan NTV7, Sarina Salleh atau lebih senang dipanggil Kak Ina.

Sepanjang kerjaya wartawan, saya tidak pernah melihat sesiapa menjual ais krim di tempat kejadian bunuh. Hati berkata, lelaki itu mesti istimewa kerana tiada siapa melarang atau menegur tindakannya. Dia berada di dalam kawasan tali rentang bertulis 'Do Not Cross'.

"Dia call polis lepas nampak orang berkumpul tengok mayat tu tadi pukul 2.40 petang," jelas Kak Ina.

Saya kemudian menghampiri lelaki itu. Mendengar loghat bahasa digunakan saya boleh menjangka kewarganegaraannya.

"Siapa nama?," saya ingin tahu.

"Riyadi Riduan. Tadi dari Jalan Gasing jual ais krim," katanya.

"Wak ada paspot ke?," usik saya.

"Ish! Saya paspot ada, semua ada. Kalau tak macamana nak balik Indonesia. Saya telefon polis tadi lepas tengok orang ramai kumpul kat sini," balasnya bangga mengulang fakta saya ketahui.

Benar jangkaan saya, dia bukan rakyat tempatan. Setelah menjawab beberapa soalan, Riyardi terus berjalan ke hulu ke hilir sibuk menjual ais krim kon. Maklumlah cuaca panas, wartawan dan jurugambar haus maka banyak lah ais krim laku dibeli.

Seorang daripada pelanggan Riyardi, wartawan Sinar Harian, Wan Nor Rosida Wan Ahmad berdiri di sebelah saya sambil makan ais krim Cornetto.

"Sedap sungguh," bisik hati saya.

"Tak kisah ke mengandung buat crime?," tanya saya.

Sebelum itu saya terdengar Wan bersembang dengan rakannya mengatakan dia mengandung 2 bulan.

"Tak kisah, saya bukan tengok mayat tu," balasnya sambil tersenyum.

Saya kemudian menjeling ke kiri dan terpandang anggota pasukan forensik cukup saya kenali, Lance Kopral Noraini Tumi, dipanggil 'baby' di kalangan rakan-rakan. Jika tidak silap saya, Noraini anak kelahiran Sabah.

"Lama tak nampak?," dia menoleh ke arah saya.

"Ada. Tapi selalu pergi kursus," jawabnya.

Seperti Nambia ( rujuk artikel 'Leher Terkulai' ) Noraini antara anggota polis kerap melihat dan menyentuh mayat. 'Memproses' tempat kejadian mengikut terma forensik. Itu antara tuntutan tugasnya. Saya kagum, sebagai wanita muda dia cukup berani barangkali bersesuaian dengan maksud pepatah Melayu, alah bisa tegal biasa.

Tiba-tiba wartawan dan jurugambar meluru menghampiri tempat kejadian. Berdiri di tepi jalan, ACP Arjunaidi bersedia memberikan sidang akhbar.

"Mayat wanita dipercayai dibunuh di tempat lain dan dicampak di sini. Tiada kepala, tangan dan kaki. Badan ditemui berlapik kain baju. Usia, mungkin antara 20 dan 30 an," kata beliau.

"Tuan, mangsa dibunuh kurang 24 jam?" tanya Kak Ina.

"Ya. Kita percaya kurang 24 jam, tiada pengenalan diri ditemui," tegas Arjunaidi.

"Kulit color apa Tuan?," satu lagi soalan ditanya.

"Sawo matang," balas Arjunaidi ringkas.

"Ada kaitan dengan kes jumpa kaki semalam Tuan?," satu soalan dijangka ditanya setiap wartawan berpengalaman.

"Kita tengah siasat," satu jawaban standard diterima bagi memastikan siasatan tidak terganggu.

"Mayat dipotong clean cut ke Tuan?," satu lagi soalan dikemukakan.

"Ya," jawab Arjunaidi.

Hebat! Detak hati saya. Saya mengagak mangsa pasti dikerat menggunakan senjata tajam sebab itu dikatakan clean cut.

Kes jenayah ini mengingatkan saya kepada satu peristiwa berlaku di Melaka lebih 6 tahun lalu jika tepat ingatan saya. Mayat turut dikerat kepada beberapa bahagian dan kemudian dicampakkan di tepi jalan di beberapa lokasi berbeza.

Saya percaya ada pihak mengetahui rentetan kejadian berlaku terhadap mangsa dan cuba sedaya-upaya mengelirukan pihak polis. Mereka cuba menghapuskan identiti dan bukti berhubung mangsa.

Saya juga pasti ada antara warga kita sedang kehilangan ahli keluarga, barangkali ibu kepada anak, isteri kepada suami, adik kepada kakak atau apa jua sekali perhubungan wujud. Jika mangsa bukan warga kita, mungkin warga negara lain? Tetapi masih ada hubungan dari aspek kemanusiaan.

Sepandai-pandai tupai melompat, pasti akan jatuh ke tanah jua. Begitulah akibat berlaku kepada penjenayah selalunya bukan setiap kali.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Justeru, sekiranya ada antara pembaca mengetahui maklumat bersabit kes itu, sila salurkan maklumat ke balai polis berhampiran.

Berhatilah-hatilah. Jenayah berlaku sekiranya wujud ruang dan peluang.

Terima kasih kerana sudi membaca.



5 ulasan:

  1. suadara mazidul nice to see ur blog...dh lame buat blog nie? anyway nice handwriting..

    BalasPadam
  2. Bro Saiful. thanks. Blog ni baru seminggu pada 21 Mei.

    BalasPadam
  3. dekat tmpt kerja aku tu (freescale)
    Time jumpa mayat tu member aku baru blk kerja, time tu baru 2-3 org kumpul.

    So berhati2lah thdp persekitaran kita..

    BalasPadam
  4. beb, betul2 blkg flat aku lah. saspen gak ni.

    BalasPadam
  5. tepi hiway tu jer mayat tu dicampaknya? aaah malaysia yang dulu aman sudah tidak aman lagi... mana silapnya? kemasukan pendatang2?

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.