Selasa, Julai 22, 2008

Mereka Harus Pulang ..

Operasi besar-besaran pengusiran pendatan tanpa izin, PATI di Sabah bakal kita saksikan awal Ogos 2008. Kabinet memperuntukkan 50 juta ringgit kepada kerajaan Sabah untuk menyediakan peralatan dan keperluan operasi mengusir lebih 150 ribu PATI.

Saya banyak kali berkunjung ke Sabah, antaranya ke Tawau, Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan ibu negeri, bandaraya Kota Kinabalu, KK. Bukan bercuti, membuat liputan pelbagai paparan sebelum ini.

Berlandaskan pengalaman, PATI di Sabah terdiri daripada warga Indonesia dan Filipina. Mereka berada di mana sahaja. Masalah utama, penduduk warga tempatan dilapor ‘rimas’ dengan kehadiran mereka tanpa dokumen. Lebih membimbangkan sekiranya golongan sama terbabit dalam kegiatan jenayah.

“Lari dia orang,” kata jurukamera sewaktu kami melintas jalan berhampiran Pasar Filipin di KK.

“Siapa lari?,” tanya saya.

“Itu budak-budak jual rokok seludup,” balasnya.

Itulah hakikat sebenar. Amat mudah melihat kanak-kanak bawah umur anak warga asing berkeliaran di bandaraya itu. Jika tidak menjual rokok, mereka kerap menghampiri pelanggan makan di restoran maupun gerai.

Mau cuci kasut? Soalan biasa mereka dilontarkan. Berbekalkan kain tuala dan pengilat kasut dengan pakaian tidak terurus mereka tidak teragak-agak mendekati siapa sekalipun.

“Kalau cuci kasut nak bagi berapa?,” tanya saya kepada jurukamera anak kelahiran Sabah.

“Berapa saja,” spontan dia menjawab.

Kanak-kanak warga asing juga boleh dilihat duduk dan berlari di pasar basah. Setiap kali pelanggan membeli barang seperti ikan dan sayur mereka pasti didekati. Baju pelanggan ditarik sebagai isyarat meminta kebenaran membawa barang dibeli ke kenderaan. Upah diberi pelanggan kemudian dibawa pulang dan diserahkan kepada keluarga untuk membiayai perbelanjaan seharian.

“Datang sama siapa?,” soalan pernah saya ajukan kepada mereka.

“Sama adik,” ujar kakak berusia 12 tahun.

Saya renung adiknya berusia 9 tahun, perempuan. Masih hingusan, comot. Tidak fasih berbahasa tempatan, dia datang sekadar menemani kakak hampir 10 jam sehari.

“Jam berapa kamu datang sini pasar?,” tanya saya.

“Jam lapan pagi”

Itulah rutin mereka setiap hari. Majoriti tidak bersekolah kerana tidak memiliki dokumen sah. Tanpa pelajaran, masa depan mereka tidak secerah mana di negara kita, itu jangkaan saya. Tanpa kerakyatan tetap mereka bakal menjadi seperi ibu dan bapa, berstatus PATI.

Justeru, mereka juga harus dihantar pulang ke negara asal ..

1 ulasan:

  1. Masalah ini sudah berlarutan sekian lamanya, dan sudah banyak langkah dijalankan untuk membendungnya, namun sehingga kehari ini masalah ini masih tetap membelenggu negeri sabah.

    Kerajaan tidak hanya perlu tertumpu kepada masalah PTI, masalah seperti ketiadaan kad pengenalan bagi warga negeri sabah juga turut membelenggu.

    Seperti saya, sehingga kehari ini saya tidak mempunyai kad pengenalan walaupun hampir 13 tahun yang lalu saya membuat pendaftaran. Ini berlaku disebab saya gagal untuk menghubungi kedua ibubapa saya, dan adakah saya akan terus menerus seperti ini walaupun pelbagai langkah saya telah lakukan.

    Kini saya telahpun mempunyai anak, dan kini anak saya sudah tentunya diberikan taraf PTI disebabkan oleh taraf kerakyatan saya. Walaupun saya lahir & bersekolah disini.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.