Khamis, Julai 24, 2008

Bersama PM

Pagi tadi, jam 7 saya menaiki coaster menuju Putrajaya bersama krew teknikal.

“Bang, bangun. Dah sampai,” ujar Penerbit lokasi MHI, Mohd Fareed Shariff mengejutkan saya.

Kami tiba di Seri Perdana, kediaman rasmi Perdana Menteri, PM, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Indah, itu perkataan terlintas di fikiran saya. Melangkah masuk ke Dewan Protokol, saya diperkenalkan pertama kali kepada Setiusaha Akbar PM, berusia 37 tahun.

“Kita ni memang biasa dengan reporters, jadi orang hubungan,” ujar beliau ringkas.

Saya senyum melihat wajah segar beliau, kemas berbaju batik.

“Ada sesetangah press sec ni muka serius. Kita nak dekat pun segan. Tapi you ok,” balas saya kepada anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Dia tersenyum.

Tepat jam 7.50 pagi, pasukan Formula Future terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berusia antara 8 dan 18 tahun memasuki dewan. Jurugambar sibuk merakamkan gambar mereka. Gambar juara keseluruhan Formula Future berlangsung di Ravenna, Itali pada 20 Julai lalu. Di tangan masing-masing, piala mereka menangi. Pasukan negara memenangi 6 pingat, 3 emas, 2 perak dan 1 gangsa. Pasukan sama menjuarai pertandingan terbabit pada tahun 2004, 2005 dan 2007. Formula Future pertandingan mengendali bot berkuasa tinggi sebelum ini dilangsungkan di Sepanyol dan Jerman.

7.55 pagi, PM memasuki dewan bersama isteri, Datin Seri Jean Abdullah. Beliau kelihatan segar dan bertenaga. Bacaan doa kemudian diikuti persembahan tarian ala ‘Hakka’. Menarik pergerakan anak-anak terbabit. Ketika itu saya dan krew penerbitan MHI bersedia untuk lintas langsung dipancarkan ke seluruh negara.

“Malaysia boleh! Malaysia Boleh! Malaysia Boleh!,” teriak mereka.

Saya memulakan laporan kemudian diikuti temubual bersama PM.

“Datuk Seri, pepatah Melayu kata melentur buluh biar daripada rebungnya. Bagaimana Datuk Seri melihat kejayaan ini?,” soal saya.

“Saya bangga tengok anak-anak ini cemerlang menjadi juara dunia. Kita bukan saja nak tengok anak-anak kita cemerlang dalam bidang pelajaran, malah dalam bidang sukan,” antara kenyataan beliau saya rakamkan di minda.

Jelas terpancar kebanggaan pada wajah beliau. Saya perhatikan lebih dekat wajah pemimpin nombor satu negara itu.
"Ini anak-anak Melayu ni," ungkap beliau lagi.
Beberapa soalan susulan saya ajukan kemudian dijawab lancar.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Terima kasih,” kata saya sebelum beliau menkalungkan bunga kepada 12 ‘pilot’ pagi itu.

Saya perhatikan sambil terus memberi komentar sendirian sambil cuba menarik wayar mikrofon terpijak wartawan dan jurugambar bertugas.

“Mai, mai,” beliau menggunakan isyarat tangan sewaktu saya hampir menamatkan laporan secara langsung.
Teragak-agak saya melangkah ke hadapan, menghampiri beliau sekali lagi.

“You tengok depa ni kecik, tapi semangat depa besar,” ujarnya sebelum saya menamatkan laporan pagi itu.

“Kali terakhir saya interview Pak Lah, masa beliau jadi Menteri Luar dulu,” kata saya kepada Fareed.

“Ya ke? Lama dah tu,” balasnya.

“Memang,” balas saya ringkas.

2 ulasan:

  1. salam,
    kecemerlangan dan kejayaan bukan sahaja diukur pada akademik, banyak lagi..sukan, seni yang pelbagai...oleh itu ibubapa, guru dan masyarakat perlu lihat lebih luas..makna kejayaan. Orang yang tidak berjaya cuma satu...yang merosakan dan membinasakan diri sendiri ---dadah, rempit, perompak dan sewaktu dengannya. setiap individu ada potensi masing-masing. perlu kenal pasti apa potensi anak-anak kita sejak kecil lagi. ada tekniknya untuk kenalpasti...

    BalasPadam
  2. kejayaan ada banyak tafsiran...
    sedang mencari kejayaan yang agong...

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.