Isnin, Julai 16, 2012

DIA BUKAN MONALISA



"Ini kubur siapa?," soal saya kepada Abu Ali, 57 tahun.

Abu menetap di Kampung Pasir Puteh, Pasir Gudang, Johor Bahru, Johor sejak 34 tahun lalu. Saya menemui Abu di Tanah Perkuburan Islam kampung sama.


"Ini kubur isteri saya. Dia meninggal dunia seminggu sebelum Hari Raya tahun lalu. Pada mulanya dia hanya sakit kaki dan kemudian diserang sakit jantung," jelasnya ringkas.

"Ramadhan tahun lalu berbanding Ramadhan tahun ini selepas isteri meninggal dunia ...," ujar saya sambil melihat tepat ke wajahnya.

Belum pun sempat saya menghabiskan soalan itu, Abu mencelah.

"Ramadhan hendak sampai tahun ini, hati berasa sebak, sedih, teringat kepada dia ..."

Tiba-tiba Abu menangis teresak-esak.


Saya hanya mampu mendiamkan diri dan menyapu belakang ayah 3 anak itu. Agak lama perbualan kami terhenti. Sebagai wartawan, saya telah lama berupaya menahan perasaan sebak di dada setiap kali mendepani kejadian menyedihkan. 

Namun itu tidak bermaksud saya tidak pernah menitiskan airmata sewaktu meniti perjalanan hidup ini.


Betapa agungnya cinta suami itu kepada isterinya.

Ramahan tahun ini Abu akan berpusa dan berbuka tanpa isterinya,  Zainab Sulaiman. Isteri tersayang telah pergi menghadap illahi pada 22 Ogos 2011.

Sebagai peringatan kepada diri sendiri dan semua pembaca, marilah kita bersama menyayangi semua insan tercinta dengan tulus dan ikhlas sebelum Allah menjemput mereka buat selamanya. Kejadian seperti dilalui oleh Abu akan pasti berlaku kepada kita semua. 

Isteri akan pasti kehilangan suami, suami akan kehilangan isteri, suami dan isteri akan kehilangan anak manakala anak akan kehilangan ibu dan ayah apabila tiba saatnya kelak. Manusia diciptakan oleh Allah Subhanawatala dan kepada Dia kita semua akan kembali.


Menjelang Ramadhan ini, marilah kita bersyukur kepada tuhan maha berkuasa kerana masih dikelilingi mereka kita sayangi.

Sebak di dada berasa sedikit lega sebaik terlihat layang layang pelbagai bentuk bebas terbang di udara. 


Kebebasan itu juga dikongsikan ramai anak kecil sedang bermain di padang berhadapan Sekolah Kebangsaan Pasir Puteh.

Barangkali tidak terlintas di sanubari mereka berhubung soal kematian kerana mereka bak tunas sedang tumbuh di pohon subur. 

Anak kecil berlari sambil menampilkan wajah ceria.


Saya terpesona melihat gelagat mereka.

Sahabat saya, Zulhazri Abu Bakar turut berada di lokasi sama juga tidak melepaskan peluang merakamkan gambar reaksi anak kecil di padang.


Kecekapan Zulhazri merekodkan 'the right moment' tidak dapat disangkal. Saya percaya sebilangan daripada gambar dirakamkannya bakal di kongsikan di Hazrey.com dalam tempoh waktu terdekat.

Sewaktu Hazrey sibuk merakamkan gambar, saya terlihat kelibat gadis manis berdiri di padang bersama wanita tua.

"Pandang ke sini," detik hati saya.

Tidak langsung disangka, niat itu dimakbulkan.


Biarpun dia bukan Monalisa namun terpancar keikhlasan di wajahnya.

Jarang benar saya berpeluang merekodkan momen sebegitu. Sebelum ini berulang kali saya terpaksa menunggu berjam lama untuk merakamkan gambar kelihatan unik di mata sendiri.  

"Adik! Mari ke sini sekejap. Mazidul hendak mengambil gambar dengan awak," dakwanya.

Lalu saya menjadikan 'impian' Zulhazri sebagai satu realiti. Saya percaya gambar itu akan dimuatkan di entri terbaharu wartawan kelahiran Johor terbabit. Untuk rekod, dia bukan sahaja amat berminat merakamkan gambar gadis sunti malah gambar 140 ibu tunggal menghadirkan diri di majlis Semurni Kasih  juga direkodkannya.

Bukti dipaparkan di bawah.


"Ya, seni tidak mengenal usia"

Barangkali itu kenyataan dibisikkan oleh jurukamera Majalah 3, Rohaizat Roslan, 44 tahun kepada Zulhazri.

Majlis berlangsung pada petang 15 Julai 2012 itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Tiram, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Johor, Datuk Maulizan Bujang.


Sebelum Datuk Maulizan berucap di dalam dewan, saya merakamkan gambar Syafikah Amizan, 7 tahun, di padang. 


Ibu dan ayahnya meminati layang layang.

"Dia baru sahaja seminggu belajar menerbangkan layang layang," ujar ibu Syafikah kepada saya.

Barangkali berikutan berat badan tidak begitu mencukupi, ketika menerbangkan layang layang berlatar belakangkan langit biru, dia kelihatan bak diseret di atas padang dek angin bertiup kencang.  

Namun dia tetap bertahan.


Berikut gambar Syafikah ketika bertarung menerbangkan layang layang lebih kecil berbanding layan layang lain sedang menakluki ruang udara kampung dihuni kira-kira 4,000 orang itu.


Setiap kali layang layang itu jatuh menyembah bumi, secara pantas dia dibantu dek ibu menaikkan semula  layang layang itu ke udara.




Semangatnya untuk cuba terus menerbangkan layang layang itu kelihatan kental biarpun beberapa kali dia gagal. 

Jika Syafikah terbaca entri ini, berikut pesanan pak cik.  

Meniti kehidupan ini tidak ubah bak bermain layang layang. Kekadang terbang tinggi dan ada waktunya layang layang jatuh ke tanah. Setiap kali jatuh, naikkan kembali dan terbangkan semula layang layang itu selama mungkin. 


Syukur, didampingi ibu dan ayah berpengalaman, mereka pasti tidak akan teragak-agak terus membantu Syafikah menerbangkan layang layang lebih  tinggi di udara. 


Bagi sebilangan anak lain, barangkali mereka kini tidak beribu atau berayah, yatim piatu dan jauh sekali berpeluang memiliki layang layang berwarna-warni seperti dimiliki oleh Syafikah.

Setiap pergerakan Syafikah diperhatikan oleh Suriani Mohd Liki, 16 tahun, datang ke padang bersama anak saudaranya, Mohd Zikri Zulkarnain.


"Suka tengok layang layang?," soal saya kepada Suriani.

Dia menganggukkan kepala.


Biarpun bukan pemain, mereka seboleh-bolehnya ingin melihat layang layang terus terbang bukan mencecah bumi.


Biarpun dalam skala kecil, sokongan sebegitu sepatutnya dipraktikkan di kalangan masyarakat kita. Kita harus bersama memastikan masyarakat Melayu berada di puncak bukan sesama saling menjatuhkan.

Justeru mari bersama kita berjalan berpimpin tangan untuk terus membina negara bermaruah ini.


Apapun, terima kasih kepada penduduk kampung Pasir Puteh, sudi membantu kru Majalah 3 menyempurnakan rakaman di kampung mereka semalam.

Sikap merendah diri dan berjiwa rakyat Datuk Maulizan, memikat perhatian saya.


Biarpun berpendidikan tinggi dan memegang jawatan penting di negeri Johor, beliau masih sudi bersantai, minum teh ais dan makan keropok ikan di jeti bersama saya dan penduduk kampung.


Saya berdoa ke hadrat illahi, semoga lebih ramai pemimpin seperti beliau dianugerahkan kepada rakyat di seluruh Malaysia.

Ikutlah resmi padi, semakin tunduk, semakin berisi.


Sila tonton Majalah 3, Sabtu, minggu hadapan untuk mengetahui antara kegiatan dilaksanakan oleh penduduk kampung Pasir Puteh sebelum Ramadhan menjelang tiba.

HEBAHKAN

12 ulasan:

  1. Terima kasih kerana berkongsi pengisian program kampung saya.

    Ikhlas,

    Anaknda kpd Hj Bachok

    BalasPadam
  2. smti...menarik..menanti juga kot2 ada entri nukilan MAS untuk daerah saya di kota Tinggi... mcm tak ada je...apapun harap seronok sepanjang berada di Johor. Menanti bingkisan Majalah 3...

    BalasPadam
  3. Selamat dtg en mazidul.. Kelibat anda didewan smlm dpt diagak oleh sy. Kami terharu kiranya corak hidup pekampungan kami diabadikan dlm blog ini. Kami bkn golongan elit yg hidup mewah, nk masuk simpang umah kena touch security card.. Kami bkn hartawan yg kena ada parking 1/2 ekar utk buat garage kereta. Kami hanya org kg biasa yg x tertinggal dgn arus kemodenan dan mengecapi kesenangan dr sistem pemerintahan yg ada. Tapi sy pasti! Komuniti kami sgt hebat. Dgn pimpinan ketua kg yg ada skrg. Terima kasih En Mazidul.

    BalasPadam
  4. sebak baca kisah Abu...suka gambar yang last tu..nice..

    BalasPadam
  5. SMTI...selamat datang ke JOHOR...negeri ku tercinta.. :)

    BalasPadam
  6. Selamat datang ke Johor bro Mazidul

    Kat pasir Puteh ada restoran seafood yang best

    Kenapa saya tak jemu memandang wajah gadis berselendang pink tu..

    BalasPadam
  7. saya plak nilah thn pertama bakal menyambut ramadhan tanpa insan bergelar ayah..
    Ya Allah.. rindunya pada arwah..

    BalasPadam
  8. bila baca pasir puteh ingatkan pasir puteh di kelantan, rupanya ada juga pasir puteh di johor. minggu depan pasti saya akan tengok majalah 3 utk lihat kegiatan penduduk kg pasir puteh ini...

    http://buasirotak.blogspot.com/

    BalasPadam
  9. semoga ramadhan kali ini lebih baik dari yg sebelumnya utk kita semua aaminn

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.