Sabtu, Julai 14, 2012

SAYA HANYA MEMOHON PREMIS PERJUDIAN BERKOMPUTER DI SLIM VILLAGE DITUTUP

Saya tertarik dengan komen bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mendakwa kadar jenayah di Malaysia masih tinggi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar kemudian menyifatkan kenyataan itu bersifat peribadi.

Klik di sini.

Saya bukan Ketua Polis Negara tetapi saya memaparkan fakta.

Berulang kali saya menulis berhubung premis perjudian beroperasi di pekan kecil, Slim Village, majoriti penduduk di sekeliling berbangsa Melayu.

Sebelum ini, berikutan laporan di entri ini, emel dihantar oleh Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim, kepada saya, disahkan oleh Ketua Polis Daerah, Superintendan Othman Nanyan, klik di sini.

Bukan sahaja gambar malah lokasi tepat premis judi 'kebal'  itu saya dedahkan di blog ini, klik di sini.


Untuk pengetahuan semua pembaca, Slim Village hanya pekan kecil sekangkang kera, bukan bandar atau kota metropolitan.

Ketua Kampung, ahli Jawatan Kuasa Masjid dan majoriti penduduk kampung di sekitar serta setiap anggota bertugas di Balai Polis Slim Village mengetahui kewujudan premis judi terbabit.

Saya difahamkan, lelaki mendakwa pemilik kedai emas sedang cuba mencari saya berhubung pendedahan fakta di blog ini. Lelaki sama juga pernah berkunjung ke rumah keluarga saya di Sungai Bil. Jika dia berhasrat untuk menutup mulut dan menghalang jari jemari saya daripada terus menaip berhubung kes ini, ada baiknya dia menoktahkan hasrat itu dengan kadar segera.

Slim Village di bawah pemantauan Balai Polis Slim Village, Ibu Pejabat Polis Daerah, IPD Tanjung Malim dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen, IPK Perak di Ipoh.

Setakat ini saya dimaklumkan, tindakan telah dilaksanakan oleh IPD Tanjung Malim dan IPK Perak. Namun premis terbabit masih terus beroperasi. Majoriti pelanggan berbangsa Melayu dan sebilangan Orang Asli. 

Mereka bukan jutawan, kebanyakkan petani. Jika mereka gagal dihalang berjudi, wajar sekiranya premis perjudian itu ditutup untuk mengelakkan pelbagai kes jenayah sampingan, seperti kecurian berlaku sekaligus menyusahkan penduduk kampung.

Biarpun barangkali pada pandangan polis, kes ini terlalu kecil namun tetap berstatus kegiatan melanggar undang-undang di negara ini.

"Di Slim Village ada satu, di Slim River, kalau tidak silap tujuh dan di Tanjung Malim tiga belas," ujar sumber.

Saya tidak mempunyai masa mencukupi untuk mengira satu persatu bilangan premis perjudian di dua pekan berhampiran tetapi itu maklumat dibekalkan kepada saya. Jika diandaikan setiap premis menghasilkan  keuntungan purata RM1,000 sehari, 20 premis meraih RM600,000 sebulan.

Saya pernah diberitahu, pelanggan taksub berjudi sanggup bergolok bergadai kononnya untuk meraih keuntungan secara mudah dan kemudian mereka hanya akan tinggal seluar dalam sahaja.

Kronik.

"Kekadang akibat kalah berjudi dari petang hingga ke subuh, membelikan susu anak kecil di rumah tidak mampu," ujar sumber sama. 

Tersepit dalam kes sebegitu, lazimnya mendorong mereka melakukan jenayah kecil kecilan seperti mencuri getah beku dan petai. Jika mangsa membuat laporan polis, pastinya bilangan kes menyumbang ke arah kenaikan Indeks Jenayah Negara.

Ringkasnya, saya memohon pihak polis melaksanakan tindakan konsisten memberhentikan operasi peremis perjudian di Slim Village.

3 ulasan:

  1. di behrang 2020 ada satu.dibelakang kedai makan yang selalu polis singgah makan.

    BalasPadam
  2. Jalankanlah kewajipan
    Putihkan yg hitam
    Kuasa kan di tangan
    Tunjukkan jalan cerahkan yang kelam.

    BalasPadam
  3. soal judi dan rumah urut ni sampai bilapun takkan dapat dihapuskan sebab penjaganya adalah polis sendiri.

    abg sebagai pengamal media berpengalaman takkan tak tahu benda ni..hari ni tutup tempat ni, esok buka tempat lain..depan media buat serbuan..belakang media semua lepas balik..

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.