Sabtu, September 22, 2012

PRESS RELEASE MAJALAH 3 MALAM INI

“Sepanjang operasi menyelamat saya ketuai,  pendapatan tertinggi pengemis pernah kami selamatkan,  di antara RM700 dan RM900 dalam tempoh kurang 12 jam. 

Manakala Pendapatan purata pengemis di Kuala Lumpur, dianggarkan kira-kira RM400 dalam tempoh sama”

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ketua Bahagian Warga Tua dan Keluarga Jabatan Kebajikan Masyarakat,  JKM  Kuala Lumpur, Tarmizi Ali Razak, sewaktu ditemu bual wartawan Majalah 3, Mazidul Akmal Sidik.

Barangkali maklumat itu mengejutkan majoriti kita namun terpaksa ditelan.

Mazidul mula membuat liputan berhubung kegiatan pengemis di Lembah Klang sejak 3 Ogos lalu. Hasil tinjauan terperinci dilaksanakan,  selain pengemis warga tempatan, warga asing turut mengambil kesempatan di atas sikap pemurah rakyat Malaysia. Mereka menagih simpati di lokasi strategik seperti bazar Ramadan, sekitar institusi kewangan, kaki lima deretan kedai dan tempat tumpuan pelancong di bandaraya Kuala Lumpur.

Pengemis warga Myanmar, ‘Salma’, 39 tahun, ditemui oleh Mazidul di Jalan Imbi, Kuala Lumpur,  berkongsi sekelumit kisah hidup sebagai pengemis.



“Hari Raya lalu, saya dan lima anak mendapat kira-kira RM400, mengemis di antara jam 2 petang dan 7 malam. Hari biasa,  kami boleh mengutip kira-kira RM200. Saya mengemis kerana suami diberkas oleh penguat kuasa Jabatan Imigresen. Dia didapati menggunakan paspot dan permit kerja palsu. Kini dia di Penjara Sungai Buloh,” ujar Salma.

Bertujuan membongkar kisah di sebalik kehidupan pengemis,  Mazidul mendapatkan maklumat tepat dari sumber dirahsiakan.

 “Saya berketurunan Kemboja tetapi dilahirkan di Malaysia. Jadi saya faham bahasa Kemboja dan sering bercampur-gaul bersama pengemis. Mungkin ramai tidak tahu, pengemis Kemboja mampu menyewa rumah di Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor dengan kadar ribuan ringgit sebulan. Mereka dihantar oleh teksi ke lokasi dihuni oleh golongan elit,” ujar ‘Usin’.

Usin, 30 tahun,  secara kebetulan ditemui oleh Mazidul sewaktu dia mengekori pengemis kudung di Seksyen 7, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

“Dia datang ke Malaysia sejak dua minggu lalu. Kaki dia kudung akibat terkena letupan bom di Kemboja. Sewaktu mengemis, lazimnya kaki palsu ditanggal dan disorokkan supaya orang ramai bersimpati melihat kecacatan fizikal dia. Selesai mengemis, kaki dipakai semula dan dia berjalan seperti biasa. Itu antara teknik digunakan oleh pengemis dari Kemboja,” jelas Usin.

Berbekalkan informasi dikongsikan oleh Usin, Mazidul dan jurukamera Majalah 3, Rohaizat Roslan,  ke Kampung Paya Jaras dan merakamkan visual di dalam dua unit rumah pegemis.
“Berapakah sewa rumah ini sebulan?,” soal Mazidul.

“Seribu tiga ratus ringgit. Setiap pengemis tidur di ruang tamu, membayar RM100 sahaja,” ujar seorang daripada penghuni.

Di rumah terbabit, visual empat pengemis warga asing dan tiga anak kecil dieksplotasi atas tujuan pengemisan dirakamkan.

Menurut Ketua Pengaah Jabatan Imigresen Malaysia,  Datuk Alias Ahmad, kehadiran pengemis warga asing ke Malaysia sukar dikenal pasti.

“Mereka ini tidak tergolong sebagai kelompok dilarang memasuki negara kita. Di pintu masuk seperti lapangan terbang, perawakan mereka tidak kelihatan seperti pengemis dan memasuki Malaysia secara sah menggunakan pas lawatan sosial,” ujar beliau.

Susulan maklumat dikemukakan kepada Datuk Alias,  tujuh  warga asing berusia di antara 20 dan 47 tahun diberkas penguat kuasa Jabatan Imigresen di Kampung Paya Jaras Hilir.

Mereka ditahan mengikut Seksyen 15(4) dan Peraturan 39(B) Akta Imigresen 1959/63.

Manakala dalam tiga operasi berasingan JKM Selangor, Kuala Lumpur dan Kelantan, 32 pengemis diselamatkan.

Antara individu diperiksa, remaja  lelaki berusia 14 tahun  mengaku diarahkan membuat ‘jualan amal’, memasarkan minuman untuk menambah kesegaran lelaki dan wanita ‘tonite’ di Bangsar, Kuala Lumpur.

“Saya menghafal Al-Quran selepas subuh dan kemudian dihantar oleh ustaz ke sini bermula pada pukul 1 tengahari untuk melakukan jualan amal selama lebih lapan jam,” ujar remaja berasal dari Kedah itu.

Mazidul juga terserempak remaja perempuan berusia dan menuntut di sekolah tahfiz sama di Kota Bharu, Kelantan.

“Saya bersama 14 rakan lain datang dari Kedah dan kini tinggal di rumah sewa di Panji,” ujar gadis berasal dari Sungai Buloh, Selagor itu.

“Selama lapan jam awak berdiri di hadapan bank ini untuk jualan amal?,” tanya Mazidul.

“Ya,” balasnya ringkas.

Wajahnya kelihatan lesu.

Barangkali berdiri di lokasi sama dalam tempoh panjang meragut kudrat tubuh kecilnya.

Eksplotasi terhadap kanak-kanak di bawah umur seperti itu seharusnya diberhentikan dengan kadar segera namun setakat ini kegiatan pelajar kerap ditemui di stesen minyak dan di sekitar institusi perbankan itu masih terus berleluasa.

Tempat mereka di sekolah, bukan di jalanan.

Di Bazar Ramadan Kelana Jaya, Selangor, Mazidul terserempak pengemis berasal dari Kelantan.

Warga emas cacat penglihatan,  berusia 80 tahun,  dibawa ke lokasi khusus untuk mengemis oleh wanita tempatan sihat tubuh badan, berusia 47 tahun.

“Dia (pengemis warga emas) tiada keluarga dan mengemis untuk mendapatkan wang untuk membayar bilik sewa di Chow Kit, Kuala Lumpur, RM300 sebulan,” ujar wanita terbabit.

Imbuhan diterima oleh wanita sama, separuh daripada hasil kutipan warga emas terbabit dan dua lagi pengemis dibawanya ke lokasi.

“Sedekah itu lebih afdal jika kita mencari sasaran untuk bersedakah seperti rumah kebajikan, rumah anak yatim, mahad tahfiz atau diberikan kepada mereka berjuang ke jalan Allah berbanding menghulurkan sumbangan kepada kelompok datang meminta,” ujar Ustaz  Zaharuddin Zainal.

Ustaz Zaharuddin, pendakwah lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir.

Pendedahan eksklusif berhubung kisah di sebalik tangan yang menadah, bakal dipaparkan di Majalah 3,  jam 9 malam ini. 


Klik di sini.

9 ulasan:

  1. “Sedekah itu lebih afdal jika kita mencari sasaran untuk bersedakah seperti rumah kebajikan, rumah anak yatim, mahad tahfiz atau diberikan kepada mereka berjuang ke jalan Allah berbanding menghulurkan sumbangan kepada kelompok datang meminta,” ujar Ustaz Zaharuddin Zainal.

    Sangat setuju!!

    BalasPadam
  2. tak sabar nak tunggu majalah 3 malam ni nk tgk zakiah anas hehehe

    http://buasirotak.blogspot.com

    BalasPadam
  3. SMTI.... Mmg terbaek la pendedahan berani Bro Mazidul ..... Selama ni rakyat M'sia di ayam2kan je... Belajar sampai dpt Degree pun tak bergaji sampai RM300 sehari.....

    BalasPadam
  4. salam, hati saya sebak dengan anak2 miskin dan yatim dipergunakan oleh pusat tahfiz yg sering bertukar nama jenama produk yg berasal drp kedah ini. sampai malam2 pun masih disuruh jual barang.sy x boleh bayangkan kalau anak2 sy yg diperlakukan begitu.mereka diekploit dan diajar menjawab w/p takut2 menjawab bila ditanya.sekarang ni kalau tanya 'mengapa adik menjual brg,ustaz suruh ker?' jawab remaja itu ' tak,saya sendiri mahu berniaga kerana ianya sunnah rasullullah..' bila ugama menjadi 'bahan' dan permainan beginilah jadinya. sama juga dgn pengemis asing yg memakai jubah ,bertudung.Ya rabbi..!
    berbalik kepada pelajar tahfiz miskin/yatim disuruh berniaga ikut sunnah itu,sekarang ni bosnya bertukar jenama ,drp produk almansur ,sekarang SM AMIN pula.kalau x silap saya sekrg sudah menyewa bangunan di seksyen 26(bgn Perwaja steel lama)..Ya Allah,selamatkanlah anak2 itu drp terus dipaksa dan di'brainwash'..!!!

    BalasPadam
  5. Ada juga tu yg pakai tudung labuh tapi rupanya free thinker.

    BalasPadam
  6. Org Islam gemar bersedekah. Pihak yg berada pada saluran yang betul patut mengambil alih tempat2 peminta sedekah ni.. sediakan tabung dan kakitangan di bazar2 ramadan atau tempat2 tumpuan. Biar sedekah itu sampai ke masjid, rumah kebajikan dan lain2. Membiarkan org islam atau yg menyamar menjadi islam berpura2 miskin dan meminta sedekah adalah penghinaan pada agama Islam itu sendiri.

    BalasPadam
  7. tahniah tuan mazidul saya ada menonton siaran ini semalam, teruskan tuan membongkar segala kepalsuan dan sendiwara manusia yang penuh dengan kepura-puraan, Syhabas tuan

    BalasPadam
  8. Apa yg telah dipaparkan atau dibongkarkan sekurang2nya membuka minda & mata seluruh rakyat Malaysia.. Pelbagai cara mereka mengemis.. Itu belum lg kisah mengemis di kedai makan.. Si Celik memimpin Si buta dari meja ke meja dgn membawa tisu sebeban.. Kumpulan ini juga mungkin mampu meraih berbelas2 ribu ringgit sebulan.. Saya berharap sangat sekiranya kisah ini juga dibongkarkan.. Siapakah mereka ini? Bagaimanakah modus operandi mereka ini? Siapakah dalangnya? Tolong bongkarkan... TK

    BalasPadam
  9. Tuan mazidul sentiasalah berhati-hati ketika menjalankan segala tugasan. tidak mustahil ramai manusia diluar sana yang terbabit merasa dendam dan benci pada tuan. kerana kegiatan songsang mereka ini diselongkar..

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.