Selasa, November 06, 2012

KANAK-KANAK DISEMBELIH HIDUP HIDUP



Sewaktu berada di Amman, Jordan di antara 23 dan 30 Oktober lalu, saya berpeluang melihat proses pengagihan pelbagai barang bantuan, makanan, selimut, tilam, peralatan sekolah dan komputer riba kepada ribuan pelarian Syria.

Di Pusat Pertubuhan Kebajikan Islam Mafraq di utara Jordan, 3,000 tilam diagihkan bersama bungkusan daging korban oleh sukarelawan Kelab Putera 1Malaysia, KP1M, kepada ibu tunggal dan keluarga miskin di kalangan masyarakat Syria.


Sukarelawan KP1M melaksanakan tugas mereka secara teratur dan berkumpulan namun suasana di pusat pengagihan kekadang bertukar menjadi sedikit kelam-kabut akibat sikap pelarian tidak mengendahkan arahan dikeluarkan.


Barangkali begitu antara sikap mereka dirundung malang dan ditimpa bencana. Majoriti tidak sabar dan cuba untuk mendapatkan sebanyak mungkin bahan bantuan untuk keluarga mereka.

Ketika hujan turun lebat di luar bangunan terbabit, saya bertemu pelarian, Romia Salim.

"Dua anak kembar lelaki saya berusia 7 tahun mati dibom oleh tentera di Syria. Sejak itu saya lebih banyak menangis berbanding bercakap," ujarnya.

"Adakah anak selain daripada mereka?," soal saya dibantu oleh penterjemah.

"Tiada. Semoga Allah mengurnaikan saya dengan anak lain," balasnya dengan airmata bergenang di kelopak mata.

Tidak mampu saya membayangkan kepiluan ditempuh oleh Romia. Cabaran kehilangan dua anak sekaligus di depan mata, pastinya duka besar dalam hidupnya.

Selepas menemu bual Romia, saya terlihat gadis comel berikut.


Usianya saya anggarkan dalam lingkungan 5 tahun. Jika ditembak, masakan dia berpeluang untuk menyelamatkan diri. Tubuh cilik itu akan ditembusi dan dirobek peluru tanpa belas kasihan. Jika berkesempatan, dia pasti menjerit kesakitan sebelum menghembuskan nafas terakhir.

Sewaktu menemu bual bekas guru berasal dari Syria, Maher Abdullah, saya mengajukan soalan berikut.

"Majoriti penduduk Syria beragama Islam?"

"Ya," balasnya ringkas.

"Jadi mengapakah umat Islam saling berbunuhan sesama Islam?," tanya saya lagi.

Dia terdiam.

Maher kemudian menceritakan kejadian amat zalim berlaku sewaktu dia berada di kampung halaman, Houla, di selatan Homs, Syaria.

"Pada 25 Mei tahun ini, kira-kira 80 anak kecil berusia di antara 6 dan 9 tahun dibunuh. Mereka bukan ditembak tetapi disembelih hidup hidup, menggunakan pedang dan pisau oleh tentera. Saya melihat dengan mata kepala sendiri, mayat mereka bergelimpangan di atas tanah dan di dalam rumah," jelasnya.

Dengarkan luahan duka Maher dan ramai lagi pelarian Syria di Majalah 3, jam 9 malam, Sabtu ini.

5 ulasan:

  1. ' Maher Abdullah ' masih boleh tidur lena .. dan bercerita mengenai kejadian 80 orang kanak=kanak yang di mati di sembelih itu ??? .. kiuat betul semangatnya !! Kalau saya ... rasanya .. boleh jadi ' tak ketahuan ' .. asyik di ulit mimpi ngeri ...

    BalasPadam
  2. saya tak faham, mengapa mereka melakukan kekejaman sesama Islam. Bukankah Islam itu bersaudara...

    BalasPadam
  3. Salam..jika kekejaman dilakun oleh askar kerajaan kenapa media kita asyik menamakan pejuang/pembela sebagai pemberontak ?

    BalasPadam
  4. kasihannya budak kecil yang tidak tahu apa2 tu... semoga beliau dilindungi Allah...

    http://buasirotak.blogspot.com/

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.