Khamis, November 01, 2012

GADIS MISTERI DI BUMI ANBIA



Alhamdulillah.

Saya, jurukamera dan 54 sukarelawan Kelab Putera 1 Malaysia, KP1M selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 6.30 petang semalam. 

Pelbagai cabaran kami depani selama menjalankan tugasan di Jordan. 

Wajah sedih dan luahan duka, kami lihat dan dengari bersama, sewaktu berada di kem pelarian rakyat Syria di Za'atari dan Ramtha.


"Di hari terakhir, pita rakaman tidak boleh dikeluarkan dari kamera. Manakala kamera kru RTM pula hanya boleh merekodkan visual tetapi tidak boleh digunakan untuk prebiu bahan rakaman," ujar wartawan Bilik Berita TV3, Fazli Ahmad.


Kamera Majalah 3 juga bermasalah, tiga daripada sembilan pita rakaman didapati rosak. Mujur Fazli sudi berkongsi visual dirakamkannya bersama jurukamera, Taufik Attan di lokasi kami kunjungi bersama.

Terima kasih.

Sekalung penghargaan kepada presiden KP1M, juga ketua misi, Datuk Abdul Azez Abdul Rahim kerana sudi mengundang saya membuat liputan Misi Bantuan Kemanusiaan Pelarian Syria. Hasil liputan, InsyaAllah bakal dipaparkan di Majalah 3 kelak.


Secara peribadi, pengalaman diraih di lapangan amat berharga buat diri saya sebagai wartawan penyiaran. Sebelum ini saya gagal memasuki Gaza akibat karenah pihak berkuasa Mesir tetapi Allah membukakan  peluang dan ruang kepada saya untuk menyertai misi ini.


Saya yakin Datuk Abdul Azeez amat berpuas hati dengan perlaksaan keseluruhan misi terbabit. Hakikatnya, bantuan dihulurkan, banyak membantu ribuan pelarian hidup dalam kesempitan dan kesengsaraan akibat perang saudara tercetus di Syria.

"Sebilangan orang mempertikaikan, mengapakah kita membawa lima puluh enam sukarelawan dan pengamal media ke Jordan? Sebenarnya selain daripada bertugas mengagihkan bahan bantuan, kita ingin anak muda pelbagai bangsa dari Malaysia mendekati pelarian, mendengar luahan hati sekaligus berpeluang memberikan kata-kata semangat kepada mereka. Pengalaman diraih di sini mengajar kita, betapa perpaduan mesti dijadikan tunggak utama di kalangan masyarakat kita di Malaysia," kata Datuk Abdul Azeez.

Melalui pengamatan, semua bahan makanan, ubat, selimut, tilam, sejadah dan wang tunai diagihkan kepada pelarian secara teratur dengan bantuan semua sukarelawan.


Duta Besar Malaysia di Jordan, Datuk Abdul Malek Abdul Aziz ketika saya ditemu bual turut berasa syukur kerana misi dirancang terlaksana cemerlang. 


Anak kelahiran Selangor, bersifat merendah diri terbabit pernah menjadi duta di Bangladesh sebelum ditugaskan di Jordan sejak tiga setengah tahun lalu.

"Kegigihan ditampilkan oleh sukarelawan membantu pelarian Syria di sempadan dan di beberapa kawasan penempatan, menyuntik semangat kepada diri saya untuk memberikan komitmen maksimum untuk  menjayakan misi ini. Kerajaan Jordan juga menyatakan penghargaan terhadap bantuan dihulurkan oleh KP1M kepada pelarian Syria," ujar beliau. 

Sesungguhnya, tugasan di sempadan Jordan-Syaria, bukan enteng. 

Hampir setiap hari, saya menghirup udara berdebu kuning dan berhadapan dengan cuaca tidak menentu. Tiupan ribut pasir sesekali menghalang perjalanan namun tidak menggugat semangat kru Majalah 3 untuk melangsaikan tugasan.

Pada masa sama, saya melihat usaha gigih pasukan perubatan diketui oleh Doktor Mohamed Kasim Abdul Rahim melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi.


"Kebanyakkan pesakit saya rawat menghadapi masalah sakit kerongkong dan gatal kulit kerana keadaan  di sekeliling berdebu. Mujur pasukan kami disertai oleh Doktor Alvin Tan, pegawai perubatan mahir merawat penyakit kulit," kata Doktor Rihanah Rafie.

Ibu kepada seorang anak, bertudung merah jambu di gambar bawah, kini menetap di Ampang, Kuala Lumpur dan sebelum ini berpengalaman menyertai misi bantuan kemanusiaan antaranya ke Pakistan, Mesir dan Indonesia.


Beliau kini bertugas di Jabatan Pesakit Luar, Hospital Kuala Lumpur.

Selain daripada 24 sukarelawan, 14 doktor dan pembantu pegawai perubatan, misi ke sempadan Jordan-Syria juga disertai oleh 18 wakil media Malaysia.

Setiap hari, mereka berdedikasi tinggi membuat liputabn pelbagai cerita dan kemudian bergegas menghantar berita untuk dipaparkan di media cetak dan elektronik di negara kita.


Berikut saya paparkan gambar jurukamera RTM, Adzam Jamaluddin, 27 tahun, ketika dia merakamkan visual di puncak bangunan di kem pelarian Palestin di Baqa'a di Zarqa.

"Boleh nampak ke?," jeritnya kepada saya berdiri di bawah.

Boleh, bisik hati saya.

Biarpun hanya menggunakan kamera Canon SX40, saya bukan sahaja merakamkan gambar Adzam tetapi semangat ditampilkannya sewaktu bertugas.


Saya kemudian duduk di tangga diselaputi debu bersama beberapa kanak-kanak di kem dihuni lebih 130,000 penduduk berketurunan Palestin itu.


"Facebook! Facebook!," anak kecil berbaju kuning bersuara.

Biarpun tidak memiliki telefon bimbit berperisian android, laman sosial Facebook tidak asing bagi mereka.

Perhatikan keadaan tempat mereka tinggal, jauh berbeza berbanding suasana tempat anak kita dibesarkan di Malaysia.


Saya difahamkan, majoriti penduduk Jordan tidak berani memasuki kem dibuka sejak lebih 80 tahun ini berikutan ancaman keselamatan. Kami ternyata bernasib baik kerana diiringi oleh beberapa anggota polis Jordan dan juga kakitangan Pertubuhan Kabajikan Hashimate Jordan.


Sejurus gambar di atas dirakamkan, perhatian saya spontan dipancing oleh kemanisan gadis cilik berdiri pegun di tepi rumah bersama adik lelakinya.


Melihat wajahnya, tiba-tiba tercetus persoalan di fikiran ...

Siapakah mampu menjamin keselamatan dan keselesaan hidupnya di kem terbabit?

Saya perhatikan buat beberapa detik, dua beradik itu bersama rakan mereka hanya berpeluang berlegar di ruang celah dinding konkrit diconteng perkataan bahasa Arab, sambil menghirup udara berdebu.


Ternyata nasib mereka tidak sebaik nasib anak kita, gembira bermain PS3 di rumah dan selamat bergaul selesa di luar bersama rakan sebaya.

Di bawah, beberapa gambar saya rekodkan sewaktu pengagihan kotak mengandungi pelbagai bahan makanan dan daging korban kepada pelarian Palestin.

"Keseluruhannya, 191 kambing, 10 lembu dan seekor unta dikorbankan di sepanjang misi berlangsung di antara 19 dan 31 Oktober. Semua kos pembelian barangan dan haiwan disumbangkan oleh ramai rakan saya, ahli perniagaan terkemuka di Malaysia tetapi enggan dikenali dan juga Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak," ujar Datuk Abdul Azeez.

Proses melapah daging haiwan korban dibantu oleh ratusan pelajar Malaysia kini menuntut di Jordan dalam pelbagai jurusan.


Sepanjang liputan di bumi ambia itu, saya serta jurukamera, Rohaizat Roslan, lima kali  ditahan dan disoal siasat oleh polis. Mujur dua pelajar universiti tempatan bersama kami, Huzaifah Basit dan Mohd Firdaus Muhammad Amin berjaya memberikan penjelasan berkesan kepada pihak berkuasa Jordan, lalu kami dibebaskan.

"Setiap kali kita ditahan, saya memaklumkan polis terbabit, misi membantu pelarian Syria mendapat  sokongan Duta Besar Malaysia di Jordan dan Raja Jordan. Maklumat itu diketahui oleh ketua polis mereka. Jadi saya meminta mereka menghubungi pegawai atasan," jelas Huzaifah.


Kami terhutang budi kepada anak kelahiran Negeri Sembilan dan Perak itu kerana banyak bersabar sewaktu membantu penggambaran Majalah 3 di Jordan dan sempadan Syria.

Selain mereka, sukarelawan, doktor serta pemberita juga dibantu oleh beberapa pelajar Malaysia, fasih bertutur bahasa Arab, bertugas sebagai penterjemah.

"Huh! Kalau abang dengar dia bercakap bahasa Arab, memang macam orang Arab sungguh. Dia menjadi penterjemah untuk saya dan Taufik masa menemu bual ramai responden ," komen Fazli sambil tersenyum sampai ke telinga.


"Siapa dia?," soal saya.

"Zaidah," balas Fazli ringkas.

Zaidah dianggap sebagai gadis misteri di kalangan sukarelawan kerana dia antara ramai pelajar perempuan Malaysia berpurdah. Pertama kali saya terlihat kelibatnya sewaktu dia bersama rakan lain mengemas pinggan mangkuk selepas makan malam majlis Korban Perdana di bangunan Al-Byth Mafraq. Dia kelihatan bersopan, peramah, petah berkata-kata dan bersuara nyaring.


Hanya pada malam terakhir berada di Amman, ketika semua sukarelawan diraikan di rumah Datuk Abdul Malek, saya berpeluang mendekati Zaidah.


"Nama saya Zaidah Abd.  Samad, berasal dari Selayang, Selangor, berusia 21 tahun dan kini menuntut dalam jurusan Syariah," katanya kepada saya.

Itu sahaja maklumat saya perolehi mengenainya.


Biarlah dia menjadi gadis misteri di bumi anbia ...

11 ulasan:

  1. Tahniah tuan Mazidul dan terima kasih diatas penyaluran maklumat begini untuk tatapan umum khususnya buat rakyat malaysia, sekurang-kurang menyumbang rasa keinsafan dalam diri kita yang kebanyakan kurang bersyukur dengan limpahan nikmat yang kita kecapi..betapa bertuahnya kita berbanding mereka disana..semoga perpaduan kita dalam negara ini terus kukuh, walau berbeza fahaman politik, agama, bangsa..

    BalasPadam
  2. salam tuan, pembetulan - bukan AMBIA, tapi ANBIA. Maksudnya para Nabi Nabi. kalau AMBIA dah lain maksudnya.

    wallahua'lam..

    BalasPadam
  3. Dari sinar matanya kelihatan dia seorang yang sangat cantik. Kecantikan yang terlindung...

    BalasPadam
  4. Assalam Tuan,

    Hanya Allah yang dapat membalasnya...

    BalasPadam
  5. Assalam Tuan,

    Mahasuci Allah yang menghantar Tuan serta teman-teman lain untuk membantu mereka yang memerlukan...

    Kasih sayang jelas kelihatan tanpa mengira agama dan bangsa...

    BalasPadam
  6. tengok mata je dah nampak comel... mesti zaidah ni cantik kan... apa2 pun sangat tersentuh dengan misi2 kemanusiaan seperti ini... hanya Allah taala sahaja yg dapat membalas budi baik kalian.

    http://buasirotak.blogspot.com/

    BalasPadam
  7. sangat terkesan bila menatap wajah anak2 kecil yang comel itu.serentak saya memandang anak yang sedang tidur lena di dalam rumah yang agak selesa.bersyukurlah wahai anakku kerana kau dilahirkan di negara yang aman ini.kalau lah saya mampu menjaga semua anak2 yang malang itu......

    BalasPadam
  8. sy teringin nak menjadi sukarelawan malaysia...tetapi,sy sgt risau jika sy yg menangis terlalu over..sy "chengeng" orgnya...tidak boleh tgk benda2 menyedihkan depan mata...air mata cepat mengalir laju...melihat anak2 kecik,senyuman mereka di sana,dah berair mata sy...semoga Allah melindungi mereka semua dan juga diri kita di Malaysia...Amin....

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.