Rabu, Mei 21, 2008

Monyet Tang Ling

Tiba-tiba saya teringat tentang monyet. Bukan sebarang monyet tetapi monyet jantan garang cuba menyerang sewaktu saya merakamkan gambar ahli keluarga dan kawannya berhampiran gerai Nasi Lemak Tang Ling, Kuala Lumpur. Dia monyet terbesar berbanding monyet lain. Bersemangat jitu berani mengacah-acah mengejar saya dengan mulut ternganga menampakkan taring tajamnya apabila menyeringai. Melihat saya berundur, dia berjalan mendada kehadapan sambil mengembangkan bulu di muka. Tanda dia bangga dan gembira kerana saya mengalah.

Petang itu saya bersama beberapa rakan wartawan duduk bersantai minum sambil makan nasi lemak.

“Ada orang kata sedap sangat tapi tak lah sesedap mana pun,” komen saya setelah makan beberapa suap nasi lemak berlauk kari ayam pada jam 5 petang cukup sunyi itu.

“Ikut cita rasa masing-masing,” sambut rakan.

Saya lihat di belakang gerai, tiga pokok besar berdiri megah biarpun daun dahanan bawah hampir togel. Tidak ada perkara signifikan mengenai pokok itu cuma barangkali usianya sudah mencecah puluhan tahun. Di ranting kecil dan besar monyet bergayutan, bebas berkejaran sesekali kedengaran suara jeritan nyaring terpancul daripada mulut-mulut kecil. Monyet lebih tua hanya sekadar memerhati, monyet kecil baru lahir bergurau tanpa henti .

Mereka gembira.

Saya perhatikan kawanan monyet itu secara lebih teliti. Setiap pokok ‘hak milik’ koloni tersendiri. Bagai wujud garisan ‘Do Not Cross’ antara pokok dicipta komuniti monyet gagal dikesan mata kasar saya. Jika ada antara monyet menceroboh pokok lain, pasti dikejar lari tidak cukup tanah. Setelah selamat kembali ke pokok sendiri, monyet dikejar menjerit meluahkan ketidakpuasan hati. Monyet lain sekadar melihat sambil menggaru hampir seluruh badan. Kejadian berulang saya saksikan.

Bagaimanapun mereka gembira.

Tiada pepohon tumbuh rendang menghijau di sekeliling. Setiap kali monyet penat bergayut turun dari pokok, kaki mereka akan berpijak di atas jalan bertar keras bukan rumput lembut belantara. Tiada kedengaran suara kicauan unggas petang cuma deruman bingit kenderaan lalu di jalan besar disumbat ke telinga monyet itu.

“Beginilah kehidupan monyet bandar,” bisik naluri saya.

Happy sungguh monyet-monyet ni,” kata rakan bagai mampu membaca gerak hati saya.

Monyet tidak gemar duduk diam. Saling bergurau sesama mereka. Paling nakal, monyet kecil dengan tali terikat di badan cuba menggigit ekor rakan sendiri. Melompat monyet digigit, melarikan diri bagai sedang bermain police centry.

“Dah lama tali tu terikat di perut dia, lebih kurang macam seat belt la,” gurau jurukamera bersama saya.

“Tak boleh buka ke?,” soal saya.
“His! Nak bukak macamana? Dekat saja, mak bapak dia confirm datang serang,” jawabnya.

Terhibur hati saya buat seketika melihat telatah monyet Tang Ling. Pada masa sama, timbul persoalan di fikiran, apa mereka makan? Di mana mereka minum? Maklumlah pokok rendang dijadikan laman permainan tidak berbuah. Jauh sekali berpeluang meneguk air sungai berbanding monyet di hutan. Manusia di sekeliling pasti bukan tuan. Mungkin ada sudah menyampah dan meluat mendengar bunyi bising mereka setiap hari.

Tetapi monyet itu tetap kelihatan gembira.

Saya berharap, monyet itu akan terus bergembira biarpun terpaksa tinggal di hutan batu ciptaan manusia, bukan dunia mereka.

Persoalan timbul di benak fikiran, adakah kita tinggal di dunia sendiri boleh segembira monyet itu?

2 ulasan:

  1. Salam! Bila baca blog tentang monyet ni teringat saya tentang koloni monyet di Pantai Kelanang, Banting. Banyak, tapi berkumpulan. Seronok bagi monyet-monyet makan roti krim.

    BalasPadam
  2. huhu. teringat dulu. Hamper kene gigit dengan monyet..kalau tak, sekarnag dah jadi monyetman.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.