Sabtu, Julai 05, 2008

Persahabatan 2 Abad

Salam.

Saya tiba di Krabi, Thailand pada jam 1.30 tengahari 4 Julai lalu. Penerbangan dari LCCT mengambil masa 1 jam 20 minit. Krabi terletak 814 kilometer dari Bangkok.

Kumpulan saya sertai membuat tempahan pengangkutan dan hotel secara on-line sebelum bertolak. Perjalanan dari lapangan terbang Krabi ke hotel mengambil masa kira-kira 20 minit menaiki van 8 penumpang dengan bayaran 700 bath atau RM70. Kami memilih Phranang Place, tempat menginap selama 3 malam.

Sejurus selepas check in kami berjalan menuju ke pantai, cuaca agak panas. Bagaimanapun hati tiba-tiba menjadi sejuk sewaktu terpandang pantai indah terbentang luas. Laut biru seperti warna awan di langit.

Di mana nak cari tempat makan halal? Perut lapar, makan nasi di dalam penerbangan tidak mengenyangkan kerana terlalu sedikit.

“Mari kita naik tuk-tuk, 20 bath seorang, ada gerai orang Islam, tak jauh dari sini,” ujar Jon, rakan baik isteri saya.

Jon, wanita Melayu sejati, cuma gelarannya kedengaran seperti nama lelaki. Nama sebenar gadis berasal dari Johor Baharu, Johor itu, Ezatul Farrita Mohd Alwi, masih bujang.

Tengahari itu semua makan berselera. Ramai memilih juadah nasi goreng melapik perut. Ada juga makan pisang goreng panas.

“Besarnya udang dalam nasi goreng ni. Lepas tu banyak pulak tu. Tapi pergh! Pedas,” antara komen kedengaran.

Saya memilih makan nasi campur berlauk kari ayam dan daging. Boleh tahan rasanya, saya makan dua pinggan. Selepas makan kami ke bandar Krabi, 15 minit perjalanan menaiki kenderaan. Di pasarnya rakan isteri membeli ikan tenggiri bakar, RM7 se ekor. Ikan bakar kelihatan menyelerakan, dicampur pelbagai ramuan. Selain tenggiri banyak ikan lain dijual, udang bakar tidak ketinggalan.

Sewaktu berjalan meninjau bandar agak lengang itu, saya terpandang lelaki tua dipercayai warga Mynmar bersiap sedia melakukan tugas hariannya, mengemis. Lama saya menunggu, namun dia belum bersedia memainkan alat muzik dipanggil ‘So’ dipegangnya. Lalu saya membuat keputusan untuk beredar.

“Ala Dul, konsert tak start lagi la,” usik rakan, Rahayu Kassim atau Ayu.

Ayu, 38 tahun berasal dari Johor Baharu menyertai percutian bersama suami, Khairul Anwar Mohd Natar.

Dalam perjalanan, saya terdengar sembang mereka.

“Noorli, belajar-belajar lah tidur kemudian bangun. Lepas tu tidur balik,” ujar Ayu.

Noorli atau nama sebenar, Noorliza Omar dan suami Baharuddin Dollah bakal menerima ‘orang baru’ dalam hidup mereka.

Selamat menjadi ibu dan ayah cemerlang.

“Ni kami belikan beg LeSportsac untuk engkau,” kata Rozana atau Nana, sahabat karib Jon sambil menghulurkan beg berbunga kepada Ayu.

Seperti Jon, Nana masih bujang.

Ayu tersenyum lebar. Barangkali sudah lama dia mengidamkan beg itu.

“Kalau di butik di Kuala Lumpur, harga mahal, beratus,” sampuk isteri saya Khairul Fazlin Kamarudin.

Saya kagum.

Bukan kerana kari ikan maupun ikan bakar. Jauh sekali kerana melihat pengemis atau beg berbunga dibeli murah.
Fazlin, Noorli, Ayu, Jon dan Nana-sahabat karib selama lebih 20 tahun, sejak mereka semua menuntut di UITM Segamat, Johor. Persahabatan mereka kekal hingga ke hari ini. Biarpun status mereka berbeza, ada sudah beranak 4, ada bakal menerima cahayamata malah ada masih kekal bujang.

Bukan mudah tetapi mereka berjaya melakukannya ..

p/s Saya masih di Krabi ..

2 ulasan:

  1. laaa...aku ingat nko dan org umah g indon...rupanya g siam ...(din cikgu baki)...

    BalasPadam
  2. Berihatlah, ..dalam rihat pun boleh perolehi pengalaman.

    Sesungguhnya setiap detik dan langkah kehidupan merupakan guru yang tiada nilainya...

    .... tapi itu hanyalah untuk orang yang memerhati dan berfikir.

    Saya percaya Sdr Mazidul dan isteri mampu memenfaatkan setiap detik kerihatan... seterusnya berkemampuan pula untuk dikongsi dengan kita-kita ni.

    Itulah nikmat kehidupan..ditambah dengan erti persahabatan..

    Salam hormat dari saya
    Skudai.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.