Khamis, Januari 26, 2012

ADAKAH MEREKA AKAN MENGUNDI BN?

Jam 4.17 petang tadi, saya menerima panggilan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tanjung Malim, Perak.

"Kami ingin memberikan penjelasan berhubung laporan di blog," kata anggota polis di hujung talian.

"Tolong hantarkan kepada mazidulakmal@yahoo.com," balas saya.


Untuk rekod, 16 Januari lalu, berikutan maklumat diperolehi saya menulis entri bertajuk 'SAYA TIDAK AKAN MENGUNDI BN'.

Berikut respon dihantar kepada saya melalui emel pada hari ini.

Pdrm.JPG                        IBU PEJABAT POLIS DAERAH
POLIS DIRAJA MALAYSIA
TANJONG MALIM
35800 SLIM RIVER
PERAK
                                                                                                                      TEL       : 05-4528222
                                                                                                                      FAX     : 05-4528633


                                                                                                                      Ruj       : 25/2
                                                                                                                      Tarikh  : 26 hb Jan 2012



Encik Mazidul Akmal Sidik


KENYATAAN BERKENAAN PREMIS PERJUDIAN DI DAERAH TANJONG MALIM

Merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Encik Mazidul Akmal Sidik tentang premis perjudian di laman web http://www.mazidulakmal.com/2012/01/saya-tidak-akan-mengundi-bn.html.

2.         Terima kasih kepada Encik Mazidul Akmal Sidik di atas maklumat berkenaan. Setelah meneliti kandungan blog yang mana niat murni Encik Mazidul Akmal Sidik ingin melaksanakan tanggungjawab sosial dalam memerangi gejala perjudian yang merugikan masyarakat sangat disanjung tinggi.

3.         Pihak Polis telah berjaya menjalankan serbuan diatas maklumat positif seperti yang telah dilaporkan.

4.         Kami amat berbesar hati sekiranya encik dapat terus bekerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat kepada pihak kami tanpa sebarang prejudis. Kerjasama dan keprihatinan encik di dalam perkara ini amatlah kami hargai.

Sekian, terima kasih.


.................................................
(Othman Bin Nanyan) Supt.
Ketua Polis Daerah
Tanjong Malim
PERAK

Terima kasih kepada Ketua Polis Daerah Tanjung Malim kerana sudi berkongsi maklumat bersama saya dan pembaca blog ini.

"Pengusaha telah membina pintu baru di luar premis, sebelum memasuki satu pintu lain di dalam dan didapati alat penghawa dingin beroperasi. Pada waktu malam, lampu di dalam premis masih dipasang," menurut sumber.

Saya tidak mahu bersifat prejudis tetapi ada baiknya pihak berkuasa meneliti kegiatan terkini di dalam premis sebelum ini terbukti menjalankan kegiatan perjudian itu sekali lagi.

Terima kasih kepada pemberi maklumat menyalurkan fakta tepat berhubung kes terbabit.  Saya percaya selepas pihak polis melaksanakan tanggungjawab mereka, lebih ramai lagi pembaca blog ini akan berkongsi fakta berhubung kegiatan bercanggah undang-undang di negara kita.

Kalau sebelum ini sebilangan individu di Slim Village meluahkan rasa kecewa sekaligus menyalahkan parti pemerintah kerana dilihat gagal memberhentikan kegiatan haram dipercayai berlangsung lebih setahun itu, timbul persoalan ...

Adakah selepas tindakan diambil, mereka akan bertindak menyokong kerajaan? Apakah pula tindakan mereka andai kegiatan sama didapati berulang?

Bersama, kita akan melihat dan mendengar.

Terbaru, lelaki berbangsa Cina, menghubungi ahli keluarga saya dan datang ke rumah di kampung.

Lelaki sama menemui emak saya berkebetulan berada di rumah pada ketika itu. Melalui kad busines diserahkan kepada emak, lelaki itu mendakwa pemilik kedai emas. 

Dia menyatakan hasratnya untuk bertemu saya.

Dakwanya, dia ingin saya mendedahkan informasi berhubung kegiatan premis perjudian di Kuala Lumpur. Terfikir, jika benar dia mempunyai maklumat tepat, lebih baik lelaki itu terus menghubungi pihak polis di ibu kota.

Saya yakin pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bersedia menerima maklumat dan bertindak.

Saya hanya blogger.

Apapun, saya ingin berkongsi maklumat bersama semua pembaca, saya tidak mempunyai kenalan berstatus pemilik kedai emas.

Justeru permintaannya untuk menemui saya ditolak. 

Untuk pengetahuan pembaca, saya mempunyai ramai kenalan dan saudara mara di kampung berhampiran pekan Slim Village. Justeru, saya percaya mereka secara berterusan berupaya untuk menyalurkan berita tepat berhubung sebarang kegiatan haram terlepas pandang dek pihak berkuasa.

Terima kasih kepada semua pembaca sudi memaparkan maklumat berhubung entri di blog ini di wall Facebook.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.