Khamis, Februari 27, 2014

SAYA INGIN MAKAN LAKSA BUKAN NYAMUK


Petang semalam, saya bertemu  beberapa pengendali  blog dari Alor Setar, Kedah dan makan malam bersama mereka. Sebelum itu saya dibawa ke gerai Zakaria Laksa Telok Kechai di Jalan Kuala Kedah.

Sebaik kenderaan diberhentikan di tepi jalan, bau hanyir longkang menusuk hidung. Mujur gerai terbabit ditutup awal.

Kira-kira jam 7.45 malam tadi, saya sekali lagi dibawa oleh rakan ke premis dikunjungi ramai pelanggan itu. Sebaik duduk di kerusi, banyak nyamuk berterbangan dan mula menggigit tubuh. Setelah memaklumkan pelayan, saya tercium bau racun semburan nyamuk.

Alhamdulillah.

Bagaimanapun, nyamuk tetap mengurungi kami.


Rimas digigit oleh puluhan nyamuk, kami kemudian berpindah ke meja lain, dilengkapi kipas siling. Namun bilangan nyamuk semakin bertambah sehingga terbang masuk ke dalam hidung. Laksa dan sate dipesan tidak berpeluang kami habiskan kerana tidak selesa dengan gangguan terlampau. 

Pada masa sama, bau longkang pula semakin busuk.

Rakyat Malaysia tahu, kini demam denggi menyerang mangsa tanpa mengira lokasi. Bagaimanapun Selangor masih mencatatkan rekod tertinggi kes demam denggi, 219 kes berbanding Kedah.

Sebelum bergegas masuk ke dalam kenderaan, rakan merakamkan gambar air longkang kira-kira 5 meter dari meja kedua.


Air longkang bertakung dan tidak bergerak, dipenuhi sampah. Tidak hairan jika baunya amat meloyakan.


Saya difahamkan, longkang di tepi jalan persekutuan ini diselenggarakan oleh Jabatan Kerja Raya, JKR.

Barangkali JKR terlepas pandang.

Premis menjual laksa itu terkenal tetapi serangan nyamuk dan longkang berbau bak jamban menghilangkan selera.


Kepada kakitangan JKR, mohon longkang itu dibersihkan dengan kadar segera. Saya teringin memakan laksa, bukan nyamuk.

Selasa, Februari 25, 2014

GIGITAN MAUT


[ Sumber : Klik di sini ]

Mengikut statistik dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, sehingga semalam, Selangor mencatatkan bilangan kes demam denggi tertinggi, 144. 

Bagi sebilangan kita, berita mengenai demam denggi barangkali dianggap remeh. Remeh kerana kita atau pun ahli keluarga tidak menderitai demam akibat virus genus Flavivirus disebarkan melalui gigitan nyamuk Aedes betina itu. Kepada individu kehilangan anak, suami, isteri, ibu dan ayah akibat denggi, pastinya detik hitam itu amat sukar untuk ditempuh dan dilupakan.

Antara simptom demam denggi, sakit kepala, sakit bahagian belakang bebola mata dan sakit pada sendi serta otot.

Klik di sini.

Nyamuk Aedes aktif sektar 2 jam selepas matahari terbit dan beberapa jam sebelum matahari tenggelam tetapi menggigit di sepanjang hari. Hakikat wajib diterima, gigitan Aedes boleh membawa maut jika mangsa tidak mendapatkan rawatan awal.


Sekumpulan penyelidik daripada Institut Penyelidikan Perubatan, diketuai oleh Dr. Soobitha Subenthran, mendapati jus daun betik mampu untuk merawat demam denggi kerana ia meningkatkan bilangan sel platlet darah jika diminum.

Klik di sini.

Kepada semua pembaca, berhati-hati, hindari diri dan keluarga daripada demam denggi. Nyawa kita, tanggungjawab kita.


Isnin, Februari 24, 2014

TIADA SIAPA MAMPU MENGHALANG JIKA MASIH KEPINGIN MAKAN AYAM DISEMBELIH SECARA MERAGUKAN


Kejadian berlaku pada Mac 2001 ini mungkin boleh dijadikan panduan.

13 tahun lalu, saya menghubungi Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Mokhtar Dahlan.


"Di manakah lokasinya Mazidul?," soal Datuk Mokhtar kira-kira pada jam 9 malam.

"Kampung Kayu Ara (Petaling Jaya, Selangor) Datuk," balas saya melalui panggilan telefon. 

Datuk Mokhtar tiba di lokasi, kilang Lee Trading. Tentunya, pemilik kilang berbangsa Cina dan dia sendiri berada di lokasi sewaktu kilang diperiksa oleh kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor, JAIS, dibantu oleh sepasukan penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya.



Beberapa pekerja warga Bangladesh sedang sibuk membersihkan ayam telah 'disembelih' menggunakan air bertakung di dalam bekas aluminium. Air itu berwarna merah pekat akibat tumpahan darah ratusan ayam. Sebelum dibersihkan, ayam dikeluarkan dari alat pembuang bulu dan kemudian dilemparkan lalu menggelungsur seperti bola bowling di atas simen kotor.

Adakah taukeh kilang mengambil pusing mengenai tahap kebersihan dan status halal haram ayam terbabit? 

Tentunya tidak kerana dia hanya memikirkan keuntungan hasil jualan ayam. 

Setelah dibungkus menggunakan plastik lut sinar, ayam diproses KELIHATAN bersih dan segar.



"Teruk," bisik Datuk Mokhtar.

Saya menganggukkan kepala.

Ketika itu saya bertugas sebagai wartawan dan pengacara program 360.

Klik di sini untuk membaca laporan Utusan Malaysia.

Dua tukang sembelih bertugas, warga Indonesia beragama Islam tetapi didapati tidak bertauliah.

Tugas saya, menyebarkan berita sahih dan kenyataan RASMI berhubung premis hasil operasi bersepadu itu dikeluarakan oleh wakil JAIS dan Datuk Mokhtar. 

Saksikan laporan saya sediakan.


Untuk pengetahuan pembaca, tiada kemudahan facebook di Malaysia tatkala itu.

Rumusannya, kini pelbagai informasi tepat dan sahih dikongsikan oleh pihak berkuasa secara RASMI lebih mudah disebarkan di alam siber berbanding pada ketika itu. Setelah kegiatan tidak bertanggungjawab itu didedahkan kepada jutaan penonton, terserah kepada mereka untuk membuat keputusan.

Jika masih ingin mendapatkan bekalan ayam dari kilang terbabit (pada waktu itu), tiada siapa bisa menghalang. 

Tanggungjawab saya selesai setelah kegiatan menjijikkan itu dipertontonkan.

Perlu diingat, ayam 'disembelih' itu pastinya untuk makanan pengguna beragama ISLAM.

Seingat saya, taukeh premis pembekal ayam itu, tidak pula berang. Begitu juga pengguna beragama ISLAM, malah mereka berasa amat bersyukur kerana kes ayam disembelih secara meragukan dibongkar. Tentunya pengguna ISLAM mempunyai pilihan premis lain untuk membeli ayam, makanan dijadikan darah daging.

Ahad, Februari 23, 2014

PELAJAR PTA DIDAKWA MENENDANG KERUSI DAN KERETA


10 Februari lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, JHEAIK, mengarahkan Pusat Tahfiz Amal, PTA di Kedah, ditutup.


[ Klik di sini ]

Namun Pengetua PTA, Muslim Ab Karim memaklumkan media, dia akan membuat rayuan terhadap tindakan itu kerana khuatir nasib bakal menimpa 105 pelajarnya. Hari ini, Sinar Harian memaparkan hasil tinjauan wartawan ke lokasi.

Beberapa pelajar ditemui dalam waktu singkat meluahkan hasrat untuk pulang ke rumah kerana rindukan ibu dan ayah mereka.

Klik di sini.

Kira-kira jam 3.30 petang, 21 Febaruari lalu, 11 hari selepas PTA diarah memberhentikan operasi sekaligus dilarang memperkudakan pelajar untuk mengutip derma, saya terlihat seperti kelibat pelajar PTA di Bandar Baru Selayang, Selangor. Sebaik menyedari gambarnya dirakamkan, dia menyelinap melarikan diri ke bahagian belakang deretan bangunan kedai.


Bertujuan memastikan fakta, saya menghampiri peniaga di kawasan sama, Hashimi Abdul Rahman, 40 tahun, berasal dari Segambut, Kuala Lumpur.


"Tadi dia makan di sini," ujar Hashimi.

"Selalunya ada tiga pelajar PTA mengutip derma di sini. Lelaki bergerak dari kedai makan ke kedai makan manakala pelajar perempuan pula mengutip derma sambil menjual pelbagai produk SM Amin di stesyen minyak," celah rakan Hashimi, Azmi Awang, 49 tahun.


"Kami berniaga, apabila mereka melintas di hadapan restoran, kami jemput mereka makan. Kasihan melihat mereka kepenatan. Bayangkanlah, seharian  berjalan ke hulu ke hilir mengutip derma, di antara jam 11 pagi dan 1.30 pagi. Mazidul tadi terserempak dengan pelajar yang kurus, sebenarnya ada dua lagi rakan bersama dia," ujar anak kelahiran Alor Star, Kedah itu.


"Pernah saya lihat, seorang daripada pelajar menendang kerusi di restoran di Taman Tun Dr Ismail, berang kerana orang ramai tidak membeli produk dijual. Kejadian berikutnya berlaku di hadapan restoran tempat kami berniaga. Pelajar PTA lelaki, bertubuh besar berusia dalam lingkungan 16 tahun, menawarkan produk SM Amin kepada pemandu kereta, duduk di dalam kenderaan. Pemandu itu menolak, dengan tidak semena-mena pelajar PTA itu terus menendang kereta diparkir," dakwanya.

"Mungkin mereka sudah bosan diperkudakan sebegitu," kata saya.

"Saya kurang faham, mengapakah selepas lebih 11 tahun notis pertama dikeluarkan oleh JHEAIK, PTA baru ditutup," komen Hashimi.

Rumusannya, biarpun PTA tidak lagi beroperasi pada waktu ini, pelajar pusat terbabit, dipercayai tinggal di rumah transit di Sri Damansara masih meneruskan kegiatan mereka.

Sabtu, Februari 22, 2014

SAYA RELA DIPENJARAKAN DEMI MEMELIHARA KEPENTINGAN UMAT ISLAM

Alhamdulillah, Allah masih memberikan saya kekuatan biarpun bertalu dikecam sebilangan individu terbabit dalam perniagaan produk Double Stemcell dan Triple Stemcell, keluaran syarikat Pyhtosciense Sdn. Bhd.

Phytoscience, syarikat diasaskan oleh Datuk Seri Lai Teck Peng dan produk dipasarkan secara MLM, majoriti masyarakat MELAYU, peniaga beragama ISLAM.

Teliti bungkusan produk Double Stemcell di bawah, dicetak logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, JAKIM.


Majoriti pengguna beragama Islam, pasti percaya dan tidak akan mempersoalkan keaslian logo halal itu. Cetakan logo itu sekaligus memberikan isyarat kepada pengguna, produk ini memiliki Sijil Pengesahan Halal JAKIM.

Saya sendiri hampir terjebak.

Kira-kira sebulan lalu, saya berhajat untuk menjadi stokis produk itu dengan bayaran RM5,400. Wang tunai telah dikeluarkan dari bank. Namun hajat itu terpaksa saya batalkan kerana Allah maha mengetahui, menggerakkan hati kecil saya untuk terlebih dahulu mendapatkan maklumat SAHIH mengenai produk sebelum berstatus peniaga.

Apapun, terima kasih kepada ramai peniaga menyatakan kesudian untuk menaja saya dan menawarkan produk percuma tatkala itu.

Tanpa didorong oleh insan bergelar manusia, saya kemudian menghubungi Pegawai Perhubungan Awam JAKIM, Ustazah Asiah Alkharib Shah serta Pegawai Perhubungan Awam Hab Halal JAKIM, Nadia Zammil Md Nasir.

Nadia boleh dihubungi di talian 03 8892 5048.

Terima kasih di atas kerjasama dihulurkan.

Pada 20 Januari 2014, JAKIM mengeluarkan kenyataan RASMI di laman Facebook badan dipertanggungjawabkan menjaga kepentingan umat ISLAM di Malaysia.  


Kenyataan di atas boleh dibaca oleh semua pengguna memiliki kemudahan internet, klik di sini.

Pengguna di Malaysia terbukti ingin mengetahui fakta sebenar. Maklumat itu kemudian dikongsikan oleh lebih 3,000 pengunjung laman Facebook JAKIM.  

Malangnya, sebilangan individu terbabit dalam perniagaan MLM itu tidak dapat menerima kenyataan, produk Double Stemcell telah menggunakan logo halal JAKIM secara salah. Justeru segelintir mencadangkan agar saya disaman berikutan menyebarkan maklumat RASMI itu.


Pembaca sekalian, andai kata menyebarkan maklumat tepat demi memelihara kepentingan umat Islam di negara saya cintai ini adalah satu kesalahan mengikut undang-undang, saya rela dipenjarakan kerana memperjuangkan isu ini. Demi Allah yang maha berkuasa dan maha mengetahui, saya enggan melihat semua individu seagama dan sebangsa dengan saya terus dikelirukan oleh kelompok manusia memburu kekayaan duniawi. 

Saya akur, Datuk Seri Lai, individu kaya-raya, menuai hasil penjualan produk dipasarkan oleh majoriti ejen dan stokis berbangsa Melayu dan beragama Islam.


Jika pengeluar bersikap jujur dalam perniagaan, mengapakah perlu logo halal JAKIM itu diperkotak-katikkan? Apakah tujuan terselindung di sebalik tindakan itu? 

Justeru molek sekiranya, Datuk Seri Lai menasihatkan peniaga MLM itu agar tidak mengambil tindakan secara semberono. Tindakan LEBIH bijak, jika Phytoscience Sdn. Bhd, memohon Sijil Pengesahan Halal JAKIM untuk menyelesaikan isu ini biarpun tidak diwajibkan.

Jika produk ingin dipasarkan kepada pengguna bukan Islam, adakah logo halal JAKIM itu penting sehingga disalahgunakan?

Ramai peniaga Double Stemcell mendakwa, syarikat pengeluar memiliki Sijil Pengesahan Halal JAKIM tetapi telah tamat tempoh. Bertujuan tidak menyebarkan berita berupa fitnah, saya memperolehi penjelasan daripada Pegawai Perhubungan JAKIM terbabit. Saya dimaklumkan Produk Double Stemcell TIDAK pernah memiliki Sijil Pengesahan Halal JAKIM sebelum ini. Tidak hairan jika sehingga ke detik ini, tiada peniaga berupaya mempamerkan salinan sijil dimaksudkan kerana dokumen itu tidak wujud.

Petang semalam, saya difahamkan oleh Nadia, kini logo halal tidak lagi dicetak di pembungkus baharu Double Stemcell. Hemat saya, tindakan itu sekurang-kurangnya tidak akan terus mengelirukan pengguna ISLAM di Malaysia.

Perhatikan, TIADA lagi logo halal JAKIM di sudut kanan atas bungkusan produk. Jika hal ini tidak didedahkan? 


Selain daripada isu Sijil Pengesahan Halal JAKIM, saya juga menghubungi Pegawai Perhubungan Awam SIRIM dan Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM untuk mendapatkan maklumat tepat berhubung status penggunaan logo SIRIM dan siri kodex KKM.

Berikut kenyataan rasmi SIRIM dihantar ke emel saya pada 6 Februari 2014.



Pegawai Perhubungan Awam SIRIM, Daing Zarina Daing Mokhtar, boleh dihubungi di taliann 03 5544 5021.

Berdasarkan maklumat rasmi itu, Phytoscience TIDAK mendapatkan kebenaran bertulis dari SIRIM Berhad untuk menggunakan logo SIRIM.

Jadi, mengapakah logo itu digunakan?


Akhir sekali, berikut, kenyataan RASMI dikeluarkan oleh KKM berhubung kodex dicetak di belakang bungkusan Double Stemcell.


JAKIM, SIRIM dan KKM telah mengeluarkan kenyataan rasmi, berhubung penggunaan logo halal, logo SIRIM dan kodex KKM.

Oleh itu, wajar bagi Phytoscience bertindak mengeluarkan kenyataan RASMI berbentuk penafian SEKIRANYA semua kenyataan pihak berkuasa itu DIDAPATI  tidak tepat. 

Sebagai pengguna, kami berhak untuk mengetahui fakta dan kebenaran.  


Barangkali ramai juga antara pembaca blog ini pernah melihat Sijil Halal Islamic Food Centre Asia disebarkan di alam siber. Mengikut maklumat tercatat, dua produk Phytoscience menggunakan sijil terbabit. Sijil sama juga menarik perhatian pelayar alam siber.

Berikut penjelasannya.


Andainya sijil itu masih digunakan, JAKIM perlu melaksanakan tindakan tegas mengikut lunas undang-undang dan bukan sekadar membuat kenyataan sijil itu tidak diiktiraf.


Sebilangan peniaga bertali arus mendakwa kononnya saya dibayar untuk memaparkan fakta. Sekali lagi, demi Allah, saya melakukan ini semua demi memelihara kepentingan umat ISLAM dan kesucian agama.  Tanggapan tanpa bukti hanya sekadar dakwaan.

Dalam pada itu, saya juga tertarik membaca pendedahan berhubung stem cell dikongsikan oleh penyelidik stem cell berbangsa Melayu, menuntut di Jepun, klik di sini.

Jika kenyataan Ibrahim Abdul Aziz itu tidak benar, sila kemukakan hasil kajian saintifik agar pengguna LEBIH memahami.

Minggu lalu, saya diberitahu, penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan kepenggunaan, KPDNKK, telah menyerbu sebuah premis dan beberapa produk dirampas. Nadia berjanji akan berkongsi hasil tindakan itu sebaik sahaja siasatan selesai. Ketua Pasukan Petugas Khas Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Putrajaya, Fahmi Kassim memaklumkan saya, kertas siasatan kes itu telah diserahkan kepada JAKIM untuk tindakan susulan.

In Sha Allah, sebaik memperoleh perincian dijanjikan, maklumat itu akan saya kongsikan di sini sekiranya saya masih berpeluang untuk bersuara.

Klik di sini.

Khamis, Februari 20, 2014

BEKAS KETUA AJARAN SESAT TERKAYA DI MALAYSIA


Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, JHAIK, mengarahkan Pusat Tahfiz Amal, PTA, di KM 17 Jalan Kuala Kedah-Yan ditutup berkuat kuasa pada 10 Febaruari lalu.


Muzakarah Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 2003 mengesahkan, PTA bernaung di bawah AZHAR WAHAB, bekas ketua ajaran sesat, klik di sini. Hairan, hanya selepas lebih 10 tahun kemudian, JHEAIK membuat tindakan susulan, biarpun notis arahan penutupan pernah dikeluarkan pada tahun 1 Januari  2007.

Jabatan Agama Islam Kedah, JAIK mendapati pusat terbabit beroperasi sebagai sekolah Islam tanpa pendaftaran.

Klik di sini.

Penaung PTA, SM Amin, kini hidup terlalu mewah dipercayai hasil memperkudakan ratusan kanak-kanak, remaja dan warga emas untuk menjual pelbagai produk keluaran syarikatnya.

Klik di sini.


Sebagai reaksi terhadap arahan penutupan itu, akhbar Kosmo! melaporkan, Pengetua PTA, Muslim Ab Karim akan menghantar surat rayuan kepada JHAEIK untuk membolehkan PTA beroperasi semula. Dia khuatir nasib 105 pelajar kini ditempatkan di pusat itu.

Selama ini ramai terkeliru, menganggap semua pelajar di PTA berstatus anak yatim. Walhal kenyataan itu tidak benar. Majoriti mereka anak keluarga susah. Justeru Kerajaan Negeri Kedah harus membantu menempatkan semula semua pelajar terbabit di sekolah bersesuaian. Mereka wajib dikeluarkan dari PTA seandainya kita enggan melihat murid pada usia mentah itu kembali diperhambakan oleh pihak pengurusan.


JHAEIK telah membuat kesilapan kerana membiarkan PTA beroperasi sejak disahkan dinaungi oleh Azhar kira-kira 11 tahun lalu.

Jangan ulangi kesilapan sama.

Mari bersama kita mendesak JHAEIK agar menolak rayuan Pengetua PTA sekaligus memantau operasi pelajar, jika masih dikerah untuk mengutip derma di tempat awam.

Klik di sini untuk menyalurkan maklumat tepat.

BILA KACA DISANGKA PERMATA (PUSAT TAHFIZ AMAL DIARAHKAN TUTUP)


Alhamdulillah, saya panjatkan kesyukuran kepada Allah kerana kebelakangan ini, ramai rakyat Malaysia telah mengetahui maklumat tepat mengenai SM Amin.

Sila baca kenyataan di bawah.




Andai diabaikan semual 'gelaran', nama sebenarnya, AZHAR WAHAB. Dia bekas ketua ajaran difaktwakan sesat pada Oktober 2004 kerana ajarannya didapati bercanggah dengan aqidah, syariat serta akhlak Islam.


Selain menjadi pengasas Al-Mansur Holdings Sdn. Bhd juga, Azhar, pembekal produk dipasarkan oleh pelajar Pusat Tahfiz Amal, PTA di Kedah.

Kini, dia hidup terlalu mewah.

 

Tafsirkan gambar di bawah.



Lazimnya, bahasa tubuh tanpa disedari mencerminkan sikap sebenar manusia. Barangkali wang telah menutup perasaan hormat di hati. Tatkala kaca disangkakan permata, begitu jadinya.

Azhar juga taksub merakamkan klip video muzik bersama 'artis' wanita. Konsert dianjurkan setiap kali album terbaharunya dilancarkan.



Dari segi suara ...

Tonton video berikut dan nilaikan samada dia penyanyi berkualiti atau sekadar syok sendiri.




Di bawah antara produk keluaran syarikat Azhar, dipasarkan oleh kanak-kanak, remaja dan warga emas di restoran, stesyen minyak, kawasan Rehat dan Rawat Lebuh Raya serta di sekitar bank.


PTA tidak pernah melahirkan penghafaz Al-Quran sejak mula beroperasi lebih 10 tahun lalu. 


[ Klik di sini ]

Perhatikan kelas di PTA dirakamkan oleh sumber saya, kosong dan berhabuk. 


[ Klik di sini ]

Majoriti pelajar, bukan anak yatim, diperkudakan untuk menjual produk dibekalkan oleh syarikat Azhar. Antara mereka, gadis berusia 13 tahun, berasal dari Selangor, saya temui di Kota Bharu, Kelantan pada Ogos 2012. Dia terpaksa berdiri selama 8 jam sehari untuk menjual produk Azhar.


[ Klik di sini ]

Bukan sahaja remaja diperhambakan, kanak-kanak tidak terkecuali.




Wanita warga emas, 60 tahun, di bawah saya temui sewaktu menjual madu keluaran syarikat SM Amin di restoran mamak pada Jun 2011.




[ Klik di sini ]


Puluhan pelajar PTA saya temui sejak lebih 4 tahun lalu berkata, mereka harus membuat jualan minima RM150 sehari sebelum pulang ke rumah transit. Baca rakaman perbualan di antara rakan saya dan gadis dieksploitasi. Gambarnya dirakamkan di stesyen minyak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, pada November 2013.


Klik di sini.

1 Disember 2013, Kerajaan Negeri Kedah di bawah dipimpin oleh Datuk Mukhriz Mahathir mengeluarkan kenyataan untuk melaksanakan tindakan tegas terhadap pengurusan PTA.


Laporan polis kemudian dibuat oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah di Ibu Pejabat Polis Kota Setar juga tidak menampakkan sebarang hasil.


[ Klik di sini ]

Terkini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, telah mengarahkan PTA ditutup bermula 10 Februari lalu.


Alhamdulillah sekali lagi.



Andai arahan itu antara hasil usaha Mukhriz, secara peribadi, saya mengucapkan terima kasih kepada beliau.


Klik di sini.

Apapun, arahan itu tidak semestinya akan dipatuhi oleh PTA. 

Jika masih terserempak dengan pelajar PTA, jangan sesekali membeli produk keluaran syarikat bekas ketua ajaran sesat itu. Andai bersimpati melihat kanak-kanak dan remaja kelesuan akibat terpaksa berdiri dan berjalan selama 8 jam sehari, huliurkan mereka wang sekadar cukup untuk membeli makanan serta minuman. 

Jika pembaca mempunyai sebarang komen ingin dikongsikan, sila catatkan di sini.