Ahad, Julai 25, 2010

Hey! It Has Got Nothing To Do With Peterporn Ok!

Jam 6.28 petang semalam krew 999 menemubual 3 gadis Indonesia melarikan diri daripada majikan mereka di Kangar, PERLIS.


"Saya bekerja membersihkan rumah, dua kali sehari, 7 hari seminggu sejak 3 tahun 7 bulan lalu tetapi setakat ini hanya dibayar gaji RM1,800 sahaja"

Dakwa gadis manis berusia, 22 tahun duduk di kanan penerbit 999, Shahnun Hanif. Dilaporkan, sebilangan rakan mereka dipukul dan dikurung majikan jika cuba melarikan diri.

Berbekalkan maklumat diperolehi, kami menghubungi Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. Hasilnya sepasukan penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia, JIM KEDAH dihantar untuk menjalankan operasi dibantu 2 anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Cawangan Perlis.

Tepat jam 11.23 malam pasukan kami sertai tiba di hadapan rumah teres di Taman Perlis itu namun pemilik rumah berdegil sekaligus enggan membuka pintu pagar setelah diarahkan berulang kali sehingga memaksa penguatkuasa JIM memanjat pagar. Hebat!


Sebaik memasuki rumah terbabit, saya rakamkan gambar gadis tidur di atas lantai berhampiran tangga. Dia dikatakan mengalami masalah paru-paru dan terpaksa diasingkan daripada penghuni lain. Simpati saya melihat wajahnya terperanjat sewaktu terjaga dari tidur.


Ketika bergegas naik ke tingkat atas rumah bersama penguatkuasa JIM, sekumpulan gadis Indonesia bertempiaran berlari keluar. Sebilangan mereka menangis teresak-esak dan spontan memeluk erat penguatkuasa JIM berjaket biru berdiri berhampiran saya.

"Dia peluk saya, tanda gembira," ujar penguatkuasa berbangsa India itu.


Pantas saya melangkah masuk ke bilik tidur mereka. Alangkah terkejutnya saya melihat keadaan penginapan mereka, sempit dan tidak tersusun.


Rumah diubahsuai menjadi bangunan 3 setengah tingkat ini menempatkan 68 pekerja syarikat membekalkan pekerja wanita pembersih rumah di sekitar Kangar. Turut menginap di rumah sama, majikan dan isteri serta 2 anak lelaki mereka.

Saya tidak pasti samada Majlis Perbandaran Kangar, MPK meluluskan pengubahsuaian bangunan terbabit atau sebaliknya. Jika secara kebetulan kakitangan penguatkuasa MPK terbaca tampalan ini, sila berkunjung ke rumah ini. Mustahil andai mereka tidak mengetahui lokasi 'premis hangat' di Taman Perlis ini, mustahil.

Saya juga ingin menyarankan Pasukan Bomba Dan Penyelamat Perlis meninjau rumah sama. Biarpun dilengkapi sistem penghawa dingin, hemat saya, sekiranya berlaku kebakaran, dijangka ramai penghuni bakal rentung jika tindakan segera tidak dilaksanakan.

Kesemua pekerja dibangunkan dari tidur kemudian dikumpulkan di ruang tamu di tingkat bawah rumah. Apapun bangsa dan kewarganegaraan, mereka manusia. Kenyataan itu secara tiba-tiba menerjah minda saya.


Saya difahamkan, tahun lalu, 8 pekerja syarikat sama dilapor melarikan diri. Mereka di dalam gambar di atas berusia di antara 17 dan 50 tahun, majoriti berasal dari Bandung. Sebahagian berada di dalam ketakutan teramat dan masih menangis ketika gambar saya rakamkan.

"Kamu semua beragama Islam?," soal saya.

"Yaaaaaaaaa!," jawab mereka beramai-ramai.

"Baik, majikan kamu bukan tuhan, jadi kamu usah gentar. Saya cuma ingin bertanyakan satu soalan dan jawablah secara jujur. Majikan kamu sudah saya minta naik ke tingkat atas, dia tidak akan melihat apa kamu lakukan. Baik, siapa antara kamu tidak lagi mahu tinggal di rumah ini?," tanya saya.

Semua mereka secara spontan mengangkat tangan.

Mengapa? Apa peristiwa getir mereka lalui? Siapa majikan mereka?

Pembaca, sewaktu ayat ini ditulis, jam menunjukkan pukul 5.57 pagi. Tubuh saya berusia 43 tahun terasa kepenatan dan mata hampir terpejam. Justeru, izinkan saya menyambung catatan ini kemudian. Apapun untuk rekod, operasi ini TIDAK disertai media lain kecuali krew 999. Justeru butiran  terperinci operasi dan perkembangannya hanya boleh dibaca secara eksklusif di blog ini.

Tunggu ...


Apakah hubungkait di antara pekerja wanita warga asing terbabit dengan koleksi ratusan filem lucah di dalam bentuk DVD ditemui di rumah sama? Hey! It has got nothing to do with Peterporn ok!

8 ulasan:

  1. Miris.. miris... Encik, bolehkah sesekali saya turut serta meliput berita...???

    BalasPadam
  2. Teringat peristiwa kebakaran rumah teres dua tingkat yang diubahsuai dan didiami oleh puluhan orang di Petaling Jaya beberapa tahun lalu. Rahsia terbongkar apabila rumah tersebut terbakar dan mengakibat kematian beberapa orang. :(

    BalasPadam
  3. Kak Cik, memang begitu resmi manusia. Bila berlaku kes kematian, gempar satu negara. Sedangkan orang lain masih melakukan perkara sama.

    Anazkia, well, it is not that easy. Masa tidak menentu, begitu juga lokasi. Ada baiknya, duduk di rumah dan nantikan sahaja siaran 999 pada hari Khamis, thanks.

    BalasPadam
  4. Salam Bro Mazidul...

    Terasa nak komen sebab berlaku di tempat saya...(apa pasal tak minta nombor saya dari Hazrey..?)

    Ok, saya kenal kedua2 suami isteri tu...saya pun pernah ambil khidmat pembantu rumah harian dari mereka dulu...memang banyak cerita yang diceritakan oleh mereka...pernah sekali, gadis yang setiap minggu ke rumah saya bagitahu kawan dia dipukul teruk sebab ada pelanggan komplen pada majikan si pekerja tu tak pandai buat kerja...

    Sepatutnya mereka hanya membekalkan pekerja pembersihan harian...tapi ada jugak premis2 bakery dan kedai makan (yang sama bangsa dgn majikan berdua tu) yang ambil...

    Shift mereka dua kali sehari...pagi bermula 8pagi hingga 2petang manakala petang pulak 3 hingga 9malam...setiap pelanggan perlu pergi ambil dan hantar pekerja tersebut dan menanggung makan tengahari (utk shift pagi) dan makan malam (utk shift petang)...sebab balik rumah, majikan dirumah tak sediakan makan dah..

    Panjang lagi kalau nak cerita...masih di Kangar ka?Boleh belanja cendol pulut...hehe..

    BalasPadam
  5. Rasanya syarikat dan tempat ini menyediakan pembantu rumah asing dan agen yang top di Perlis. Rasanya J. Imigresen Perlis pun tau syarikat ini rasanya.

    Bukan sahaja pekerja harian tetapi mencari pembantu rumah. Rasanya sudah lama ia beroperasi. Adakah syarikat ini beroperasi secara haram atau....?

    Terima kasih atas maklumat ini, harap dapat cari siapa orang besar disebalik syarikat ini. Mungkin lebih ramai yang terlibat?

    BalasPadam
  6. abg mazidul.. saya rasa boss mereka ni bukan manusia tetapi syaitan.. sesuka hati jual tubuh orang kalau bukan islam komfim masuk neraka kalau islam dah la masuk neraka.. anak bini makan hasil lendir orang lain.. kompom jadi darah daging sampai anak cucu

    BalasPadam
  7. Bekas Guru; apa yang dikejar; apakah pencen & simpanannya tidak mencukupi atau Guru apa ini... cara penghambaan modennya amat tragis!

    BalasPadam
  8. Saya sempat tonton di 999 tempohari. memang sungguh MEMALUKAN!

    PBT dan KDN sama saja...

    kura-kura dalam perahu,
    purak-purak tidak tahu!

    **SIGH**

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.