Jumaat, Oktober 31, 2008

Melayu Bantu Melayu

“Aku dapat maklumat ada 43 lagi gadis Melayu kena larikan dan sekarang ada di Lombok,” jelas Datuk Abdul Azeez Abd Rahim sewaktu menghubungi saya semalam.

Datuk Azeez selaku Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO Malaysia berlepas ke Lombok 2 hari lalu membawa pulang Noor Fadilah Ahmad, 18 tahun kembali ke Malaysia semalam. Fadilah dilarikan warga Lombok Timur, Nasrudin Dahrom, 24 tahun pada 3 September lalu.

Syukur, kes terbabit diselesaikan secara baik. Fadilah dilapor bakal menjadi penuntut kursus kejururawatan Segi Kolej di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor dibantu program ‘Second Chance’ Putra UMNO Malaysia.

“Ni terbaru 7 pelajar brilliant kita di Perth, Autralia dilaporkan hilang. Pelajar ambil jurusan Geology. Kes ni pun kita nak tengok juga. Mungkin dia orang ni dipengaruhi kumpulan ajaran sesat,” telah Datuk Azeez.

Semoga usaha berterusan Sekretariat terbabit semakin menyerlah, lambang jelas Melayu mampu membantu Melayu.

Fadilah akan ditemubual secara langsung dalam program MHI, Isnin 3 November 2008. Jangan lupa menyaksikannya.

Khamis, Oktober 30, 2008

Kaum Nabi Lut

Minggu lalu saya ditegur paramugara berusia lingkungan 30 an di lapangan terbang.

“Bang, saya selalu tengok show abang, 360,” katanya.

Saya ucapkan terima kasih.

“Bila abang nak buat cerita pasal cabin krew?,” soalnya.

“Kenapa dengan cabin crew?,” balas saya.

Kenyataan dia seterusnya memeranjatkan saya ..

“Saya dah lama nak contact abang tapi tak berkesempatan. Abang tau tak? Saya berani cakap, 60 peratus daripada crew lelaki syarikat saya kerja ni, gay. Tua ada, muda ada,” jelasnya serius.

“Ha? Biar betul?”

“Kalau kita orang fly keluar negara, pakai Airbus, setiap crew dapat satu bilik seorang. Jadi peluang buat kegiatan terkutuk tu senang. Saya menyampah tengok. Dia orang dah semakin berani. Kalau lelaki straight macam kita ni lalu, nak test, dia siap cuit punggung kita tu! Kita biarkan, nanti dia berani pegang selamba jer”

“Dalam kapal terbang?”

“Ya,” jawabnya.

“Macamana awak kenal dia orang gay?,” tanya saya.

“Boleh kenal. Bulu kening cukur atau cabut macam perempuan. Kalau saiz baju dia ‘L’, dia pakai ‘M’, biar nampak fit. Gelar diri ‘mak’, couple, dia orang gelar ‘anak ikan’. Bila kat luar negara siap pakai hand bag pun ada. Pihak pengurusan tahu benda ni tapi tak boleh buat apa sebab kerja dia orang tip top,” responnya.

“Really?,” saya kehairanan.

“Ada masuk kerja normal. Tak sampai tiga empat bulan dah lembik! Kalau abang nak buat 360 fasal topik ni, boleh interview saya. Mesti gempak. Kita ni bimbang tak nak Melayu jadi macam kaum Nabi Lut!”

Saya berharap dakwaan itu tidak benar.

Rabu, Oktober 29, 2008

Mungkinkah kita?

Jika kita mampu tahu kejadian bakal berlaku esok, mungkinkah kita ..

Takut meneruskan hubungan bersama pasangan ..
Takut memandu kenderaan di jalan raya ..
Takut keluar dari rumah ..
Takut ke institusi kewangan ..
Takut ke tempat kerja ..
Takut makan dan minum ..
Takut berada di bangunan tinggi ..
Takut ke pusat perubatan ..

Atau mungkinkah kita bergembira hari ini?

Selasa, Oktober 28, 2008

'Dear'

Terkejut isteri berusia 24 tahun menerima khidmat pesanan ringkas, SMS suami tinggal di Sabah sedang dia bermaustautin di Perak.

‘You kalau dah habis shopping, call I dear’

Kata isteri itu ..

“Dia dah tersilap hantar. Suami I tak pernah panggil I, U. Guna saya dan awak’

Justeru, apakah ‘maksud’ sebenar SMS itu? Wujud orang ketiga?

Sorry! I Tak Pandai Masak

‘Sorry! I memang tak pandai masak”

Antara ungkapan kerap terpancul dari mulut segelintir gadis muda kini. Malah sesetengah mereka bangga berkata begitu.

“Perempuan dulu lain, tak ada kerja, duk rumah. Bolehlah masak siang malam. Sekarang ni perempuan berkerjaya, lain,” komen sebahagian lagi.

Tetapi pada masa sama tidak dinafikan ramai berbakat dan mengambil inisiatif belajar memasak. Mungkin terfikir kepentingan kemahiran itu jika melangkah ke jinjang pelamin satu hari nanti.

“Setakat jerang air panas no problem. Masak ni leceh la, banyak kerja. Susah-susah kedai mamak banyak, order aje lah, apa masalahnya? Kalau kahwin nanti bibik kan ada, suruh aje la dia masak,” antara komen membingitkan telinga lelaki masa kini.

Para pembaca ..

Pentingkah wanita pandai memasak?

Isnin, Oktober 27, 2008

Mata Terkeluar

“Saya nampak benda hanyut, saya ikut nak kereta nak pastikan binatang ke manusia. Tapi bila tengok dari dekat ada jari, sah lah manusia,” ujar Borhan Sabar, 43 tahun.

Penyelia tapak projek kuari itu menemui mayat separuh bogel tanpa identiti terbabit pada jam 10.30 pagi tadi. Polis masih belum mengenal pasti samada si mati mangsa bunuh atau mati mengejut. Mayat membengkak tetapi tidak berulat manakala bahagian kepala si mati kelihatan lebih gelap berbanding tubuh dari pinggang ke bawah. Mata membonjol dan hampir terkeluar.

“Kena bunuh kat tempat lain kut, lepas tu campak dalam sungai,” telah lelaki tidak dikenali berada di lokasi sama.

Mayat akan dihantar ke hospital untuk diperiksa pakar pathologi bagi memastikan sebab kematian.

Ahad, Oktober 26, 2008

Hidung Berdarah

Malam tadi saya di Johor Bahru, Johor.

“Jomlah bro, tempat tu ada live band. Saya datang all the way dari KL nak pergi dengan bro ni,” pelawa rakan.

Lalu saya memenuhi permintaan itu. Pusat hiburan terbabit dikunjungi majoriti remaja Melayu. Jam 2 pagi, premis itu dipenuhi asap rokok tebal dan bingit dengan alunan lagu rock. Remaja menari, ramai berpelukan dengan pasangan dibawa. Kebanyakannya mabuk, air arak di dalam botol besar berharga ribuan ringgit hanya tinggal sedikit.

“Apahal tu?,” tanya saya kepada chief bouncer bertugas.

Dia menggelengkan kepala sambil tersenyum.

Remaja lelaki Melayu, saya anggarkan berusia awal 20 an kelihatan tidak bermaya, gagal mengangkat kepala, terlalu mabuk. Rakannya pantas mencapai jag Coca Cola dan perlahan menuang air berkabonat itu membasahkan kepala rakannya. Di meja sama, lelaki berusia lebih tua, lewat 40 an berada dalam keadaan serupa. Cuma darah merah kelihatan mengalir keluar dari hidungnya. Mungkin kepanasan meneguk arak keterlaluan.

Apakah mereka cari? Itu persoalan bermain di fikiran saya ketika melangkah keluar 10 minit kemudian.

Rumah Terbuka Rizal RTM


Hari Pertunangan Teh Syuhaida Sharip

Sabtu, Oktober 25, 2008

Air Kanji Nasi

Jam 10 pagi tadi, Simpang Kecil, Kota Tinggi, Johor Bahru, Johor.

“Pak cik, tolong, tolong pak cik, lepaskan mak bapak saya”

Rayu kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sambil menitiskan air mata. Dia dan 5 adiknya terpaksa hidup terbiar akibat ibu dan ayah, warga Rohingya, Myanmar ditahan Jabatan Imigresen awal bulan ini. Mereka antara 40 ribu pelarian diberikan perlindungan United Nation High Commissioner for Refugees, UNHCR di Malaysia.

Sebagai pelarian mereka tidak dibenarkan bekerja. Azab kehidupan, sehinggakan anak kecil terpaksa minum air kanji nasi sebagai ‘susu’.

Warga Kemboja dan Aceh, Indonesia juga berstatus sama, dilindungi UNHCR di negara ini. Peliknya mereka dibenarkan bekerja, hidup mewah sebagai peniaga.

Mungkin itukah digelar 'double standard' perikemanusiaan?

Jumaat, Oktober 24, 2008

Akhirnya Pengkid Diharamkan

Bro, dah baca surat khabar? Pengkid diharamkan.

Kandungan sistem pesanan ringkas saya terima pagi tadi dihantar rakan pernah muncul dalam rancangan 360, paparan berhubung pengkid. Isterinya 33 tahun ‘dilarikan’ pengkid berusia 27 tahun dan kini tinggal serumah di Petaling Jaya, Selangor bagai 'suami isteri'.

Sejak paparan itu disiarkan pelbagai respon saya terima. Ramai pengkid berang dan mendakwa kebebasan mereka tidak harus disekat. Hujah saya, jika pondan diharamkan, mengapa tidak pengkid?

Semalam Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan pengkid. Fatwa itu diumumkan Pengerusi Majlis, Datuk Dr. Abdul Shukor dalam muzakarah 2 hari di Kota Bharu, Kelantan.

Justeru, kepada perempuan kepingin menjadi lelaki, berubahlah. Jangan ditentang kejadian Allah s.w.a.

[ Kata Mazidul: Selamat melangsungkan pertunangan kepada wartawan 360, Teh Syuhaida Sharip, 26 Oktober ]


Khamis, Oktober 23, 2008

Tersinggungnya Orang Melayu

“Pukul 5 petang ni ada bantahan aman terhadap kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Kota Damansara, YB Dr. Mohd Nasir Hashim, dia ada cakap sebahagian duit kutipan zakat boleh diagihkan kepada orang bukan Islam untuk mengatasi masalah kemiskinan,” kata rakan.

Lalu saya ke lokasi. Bukan sahaja protes dilakukan menggunakan banting malah poster wajah ADUN terbabit diconteng menggambarkan betapa tersinggungnya orang Melayu beragama Islam. Memorandum bantahan diserahkan kepada wakil YB di pejabat Parti Sosialis Malaysia, PRM jam 5.30 petang semalam.

Semalam dalam kenyataan akhbar, Menteri Besar Selangor YAB Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kenyataan presiden PRM itu tidak akan dilaksanakan.

Mencurah Air Di Daun Keladi

25 pegawai Jabatan Imigresen Putrajaya diketui Pengarah Penguat Kuasanya, Datuk Ishak Mohamad menyerbu premis hiburan di Jalan Belimbing, Starlight Park, Seremban pada jam 11 malam semalam. Hasilnya 38 pelayan pelanggan, GRO warga China dan 2 dari Thailand diberkas dalam ‘Ops Sayang’ terbabit. Mereka dilapor menyorok di 2 bilik khas di bahagian belakang dinding.

Pendapatan purata GRO diberkas dianggarkan antara RM10,000 dan RM20,000 sebulan.

Mereka didapati memasuki negara ini melalui Kuala Lumpur International Airport menggunakan pas lawatan sosial. Bermaksud mereka tidak dibenarkan bekerja di negara ini.

Menurut Datuk Ishak, berikutan masalah sosial timbul, orang ramai dikatakan berulangkali membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan dan polis namun tiada tindakan diambil sehingga beliau dihubungi.

Barangkali ramai berasa jemu, aduan dibuat bagai mencurah air di daun keladi.

Selasa, Oktober 21, 2008

Wanita Ketuk Ketampi

“Apa cerita?”

Soalan paling banyak diajukan kepada saya hari ini sejak awal pagi hingga ke saat ini. Jarang telefon bimbit saya kehabisan bateri tetapi hari ini berlaku. Banyak panggilan saya terima daripada kawan-kawan, kawan dan sahabat. Pelbagai pertanyaan diajukan.

“Engkau ok ke?”, “Apa jadi ni?”, “Apahal?”, antaranya.

Bagaimanapun tiada siapa berkata ..

“Kalau saya boleh membantu, bagi tahu”

Tetapi saya faham, ramai mungkin berasa serba salah mengajukan soalan secara terbuka. Barangkali bimbang saya terasa. Apapun, kisah sebenar tidak seburuk digambarkan surat khabar tempatan hari ini. Percayalah.

Masih ingat kisah perempuan dipaksa ketuk ketampi di Balai Polis Petaling Jaya sebelum ini? Pada awalnya, wanita itu dilaporkan warga China. Maka tergesa-gesa Malaysia menghantar wakil ke China memohon maaf, khuatir hubungan dua negara tergugat.

Akhirnya setelah siasatan dijalankan, wanita itu didapati berbangsa Melayu dan sahih warga Malaysia.

Tidak semua laporan itu tepat.

Doakan Kami

Mungkin ramai terkejut membaca berita dimuatkan dalam surat khabar tempatan hari ini. Saya percaya pelbagai spekulasi timbul di kalangan media dan orang ramai. Itu lumrah.

Apa pun hanya saya dan keluarga mengetahui perkara sebenar. Doakan kami mampu mengharungi cabaran ini.

Isnin, Oktober 20, 2008

Pangkalan Haram

Lebih 130 pangkalan haram dikesan pihak berkuasa di sepanjang Sungai Golok, sempadan Malaysia-Thailand. Pangkalan terbabit digunakan antaranya bagi tujuan penyeludupan barangan terlarang, beras, disel dan mercun. Barangkali fakta itu diketahui ramai justeru sama sekali tidak mengejutkan.

Bagaimanapun semasa menyertai tinjauan Unit Pencegahan Penyeludupan, UPP Pengkalan Kubor semalam saya tergamam.

“Lembu tu tunggu masa nak diseludup masuk ke Malaysia. Nanti orang dia (Thailand) akan naik bot, ikat seekor lembu menyeberang sungai. Lembu boleh berenang, timbul kepala saja. Lepas tu lembu lain tu akan ikut sampailah ke seberang belah kita,” kata anggota UPP bertugas.

Menjelang sambutan Hari Raya Haji, bilangan lembu diseludup untuk upacara korban dipercayai meningkat.

Ahad, Oktober 19, 2008

Unit Pencegahan Penyeludupan Kelantan


Jika Di Bilik Guru

Sebelum ini klip video pelajar berseragam sekolah melakukan hubungan seks di pelbagai lokasi pernah tersebar. Wajah dan aksi mereka jelas. Kini klip video terbabit dipercayai ditonton jutaan rakyat Malaysia, tua dan muda melalui paparan telefon bimbit.

Terbaru, pelajar lelaki dan perempuan berseragam sekolah berusia antara 13 dan 19 tahun dilaporkan terbabit dalam penggambaran koleksi klip video ‘aksi panas’. Bezanya kali ini dilakukan di dalam kelas.

Jika di bilik guru ..

Barukah kita terkejut?

Jumaat, Oktober 17, 2008

Murid Gengster

Mungkin ramai pernah terdengar mengenai gengster Cina. Setiap kumpulan punyai ‘taiko’ atau abang besar dan pengikut. Mereka dilaporkan sering memeras ugut mengutip wang perlindungan dan terbabit dalam pergaduhan.

Tetapi guru Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis di Kangar, Azhana Ibrahim, 27 tahun tidak dibelasah gengster Cina. Dia dipukul dua anak murid sendiri berusia 14 tahun pada jam 10 pagi semalam. Azhana dikatakan menegur murid terbabit kerana menulis perkataan kesat dalam buku tugasan dihantar kepadanya. Akibatnya, dia ditendang dan diugut.

Laporan dibuat di Balai Polis Kangar dan siasatan dijalan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Ganasnya pelajar sekarang.

Khamis, Oktober 16, 2008

Datuk Shah Rukh Khan

King of Bollywood, Shah Rukh Khan dilahirkan pada 2 November 1965 dikurniakan Darjah Mulia Seri Melaka, DMSM membawa gelaran ‘Datuk’ sempena sambutan Hari Jadi ke 70 Yang Di-Pertua Negeri , Tun Mohd Khalil Yaakob pada 11 Oktober lalu.

Manakala 3 artis veteran tempatan menerima Darjah Seri Melaka, DSM, Henry Goh, Ali Mamak dan Mariam Ahmad. Bagaimanapun DSM tidak membawa gelaran Datuk.

Shah Rukh Khan dikatakan membantu mempromosi Melaka melalui lagu dan filem One Two Ka Four dirakamkan di A’Farmosa Resort di Alor Gajah 7 tahun lalu.

Tindakan pengurniaan anugerah ke 3 tertinggi di Melaka itu mengundang reaksi berbeza pelbagai lapisan masyarakat.

Respon Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia, Ahmad Ibrahim menarik perhatian saya.

“Jika Ketua Menteri fikir selama ini kami tidak melakukan apa-apa mempromosikan Melaka, saya menyeru semua pengarah berhenti melakukan penggambaran di Melaka”

Kalau Hang Tuah bukan lagenda dan beliau masih hidup, mungkinkah hulubalang itu akan berang?

[ Kata Mazidul: Kalau Datuk Mazidul Akmal tak berapa ok. Tan Sri Mazidul Akmal lebih molek .. ]

Rabu, Oktober 15, 2008

Melayu Mudah Lupa

Sebelum ini warga Afrika berulangkali terbabit menjadi dalang sindiket ‘black money’. Mereka menawarkan ‘wang kertas’ dicat hitam dan memperdaya mangsa membeli cecair berharga puluhan ribu ringgit kononnya mampu menukar ‘wang kertas’ itu kepada US Dollar. Mangsa tertipu akhirnya kesal menyedari ‘wang kertas’ itu hanya kertas kosong.

Kini muncul sindiket terbaru.

26 September lalu, 3 warga Afrika dibantu wanita tempatan berpurdah menawarkan sejumlah ‘serbuk emas’ didakwa benilai 2.4 juta ringgit kepada pelanggan, taukeh kedai emas di Kuala Lumpur. Mangsa bersetuju membeli sekilogram berharga RM60,000 akhirnya terpedaya. Setelah diuji dimakmal, ‘serbuk emas’ itu hanya serbuk tembaga tidak berharga.

Tetapi mengapa majoriti mangsa sindiket orang Melayu? Sedangkan pepatah turun temurun dari awal mengingatkan, ‘orang tamak selalu rugi’ ..

Melayu mudah lupa?

Selasa, Oktober 14, 2008

Turunkan lah

“Harga minyak seharusnya diturunkan secara mingguan bukan bulanan,” kata penganalisis ekonomi, Datuk Salleh Majid.

Beliau ditemubual Ally Iskandar Mardzi dalam program Malaysia Hari Ini pagi tadi.

“Kalau tunggu lama, kita pun tak tau, mungkin akan naik lagi. Sekarang harga minyak turun US78 setong” sambung beliau.

“Pelik ..”

“Pelik apa Datuk?,” soal saya.

“Bila harga minyak naik, harga barang mendadak naik. Ni bila harga minyak turun, harga barang tak turun. Kalau Shahril (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) duduk sebelah saya, saya bagi tau kat dia. Menteri kan ada kuasa arahkan harga barang turun, arahkan lah. Ayam sekarang ni seekor RM15 tahu. Bila kata harga siling banyak ni, depa semua jual pada harga siling!,” komen beliau.

Komen sama barangkali dikongsi ramai?

Andalusia

Ramai mempunyai impian melanjutkan pelajaran ke menara gading demi memburu segulung ijazah (Degree). Tidak berpuashati dengan hanya ijazah, mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana (Master) dan kemudian ijazah kedoktoran (Phd).

Bagi lelaki tidak timbul masalah. Malang bagi wanita ..

“Huih! Tak berani aku nak pinang. Dia ada Phd tu, aku degree jer,” komen lelaki.

Akhirnya ramai wanita berpelajaran tinggi bergelar ‘Andalusia’, Anak Dara Lanjut Usia, membujang sepanjang hayat.

Mengapa jadi begitu?

Isnin, Oktober 13, 2008

Susuk Kemaluan

Saya tertarik dengan laporan muka depan Harian Metro semalam, ’Susuk pada kemaluan’.

Dipercayai pelayan pelanggan, GRO memakai susuk di kemaluan mereka bertujuan menundukkan pelanggan agar sentiasa mengingati mereka selepas melakukan hubungan seks. Pelanggan ketagih mampu menabur wang ringgit tanpa berfikir panjang.

Tidak hairanlah jika GRO khususnya berkhidmat di Lembah Klang mampu meraih pendapatan purata antara 3 dan 20 ribu ringgit sebulan bergantung kepada ‘servis’ ditawarkan kepada pelanggan.

Saya pernah menerima pesanan ringkas, SMS melalui talian hotline 360 kira-kira 3 bulan lalu ..

‘Buatlah liputan pemakaian susuk di kalangan GRO. Saya juga memakainya dan hidup saya sentiasa berasa tidak tenang’

Saya cuba menghubungi penghantar SMS terbabit tetapi gagal.

Majoriti GRO berbangsa Melayu selain warga Indonesia, Filipina dan China. GRO Melayu teramai menurut stastistik pernah dicatatkan dalam akhbar sebelum ini berasal dari Negeri Serambi Mekah, Kelantan.

Mengejutkan?

Ahad, Oktober 12, 2008

Apa Perempuan Nak?

Rakan lelaki bujang berusia 24 tahun bertanya ..

“Apa perempuan nak sebenarnya daripada lelaki?”

Biar pun bukan Dr. Love, saya melontarkan pandangan ringkas ..

“Disayangi, diambil berat dan dilindungi”

Bila jawaban sama dikongsi bersama rakan berusia 42 tahun, berikut responnya ..

“Huh! Bini aku dulu, memang aku sayang. Apa dia nak, termampu, semua aku bagi. Memang ambil berat, sampai kalau dia minum air panas, aku hembuskan bagi sejuk kemudian baru bagi dia minum. Ke pejabat berhantar dan berjemput setiap hari nak pastikan dia selamat. Akhirnya ..”

“Akhirnya?,” soal saya.

“Lari ikut jantan lain. Laki orang pula tu!”

Kini terfikir, apa perempuan nak sebenarnya?

Sabtu, Oktober 11, 2008

Perceraian Harus Terjadi?

Bercinta, saat indah sukar dilupakan.

Bertunang, durasi memahami karekter pasangan.

Berkahwin, tempoh perkongsian hidup sah antara dua insan.

Bercerai, tika lupusnya saat indah, persefahaman dan perkongsian suami dan isteri.

Justeru, mengapa kejadian ‘buruk’, PERCERAIAN harus terjadi?

Sedangkan segalanya dimulakan dengan ‘pakej indah’, percintaan, pertunangan dan perkahwinan ..

Jumaat, Oktober 10, 2008

Bonjol Sana Bonjol Sini

Memang semua orang tahu tetapi tidak berminat memperkata dan menyentuh isu ini secara terbuka. Barangkali ramai suami khuatir terpaksa tidur di luar rumah akibat dimarahi isteri.

Isu apa?

Isu majoriti wanita Malaysia gemuk selepas berkahwin dan mereka bagai tidak pernah ambil pusing.

“Huh! Dulu sebelum kahwin, seksi. Pinggang ramping, bersolek, stylish. Sekarang ni bonjol sana bonjol sini, hips macam batang balak. Tambah pula sekarang ni dah tak minat nak belai suami, manjakan suami. Bila masuk bilik tidur asyik pakai ‘baju kelawar’ menggelebeh. Manalah berselera nak tengok beb!”

Keluhan suami dalam bahasa Melayu tetapi boleh diapplikasikan kepada isteri pelbagai bangsa di negara ini, Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain.

Alasan isteri ..

“Dulu lain, anak tak ada lagi. Banyak masa nak jaga badan. Sekarang anak berderet, so sibuk, nak melawa macamana? Apatah lagi nak keep in shape. Alah! Tapi laki pun sama, asyik salahkan isteri. Walhal perut dia tu boroi tak sedar, lepas tu duduk rumah pakai kain pelikat! Selera ke?”

“Lelaki boroi, ada orang kata seksi, wanita berperut buncit?,” komen suami.

100 tahun lagi, mungkinkah keadaan masih sama?

Khamis, Oktober 09, 2008

Maid!

Siapa cuci pakaian kotor? Maid!
Siapa jaga anak? Maid!
Siapa mandikan anak? Maid!
Siapa tidurkan anak? Maid!
Siapa basuh berak anak? Maid!
Siapa kemaskan rumah?
Siapa mop lantai? Maid!
Siapa bersihkan sawang? Maid!
Siapa pergi pasar beli barang mentah? Maid!
Siapa masak makanan? Maid!
Siapa layan suami? Maid!

Mudahnya kerja isteri zaman sekarang ..

Siapa kahwin dengan suami? Maid!

Maid dibayar gaji RM350 se bulan tu?

Yup!

Rabu, Oktober 08, 2008

Terima Kasih Pemimpin

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang tadi mengumumkan beliau tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO dalam pemilihan parti Mac tahun depan.

Justeru, tempat beliau akan diganti.

Hakikatnya pemimpin dipilih rakyat, mereka tahu itu. Mereka juga tahu dalam membuat pilihan pasti ada penyokong dan pembangkang.

Siapapun pemimpin, tidak semua suka, tidak semua membenci.

Itu lumrah.

Apapun, terima kasih kepada semua pemimpin negara datang dan pergi.

Walhal

Salah faham seringkali terjadi dalam hubungan sesama manusia.

“You bagi tau I betul-betul, you kat mana sebenarnya? Tu bunyi muzik punya kuat kat belakang tu! Macamlah I tak dengar! Ingat I ni pekak? You kat disko ya? Penipu!,” dakwa si isteri, sakit hati meletakkan gagang telefon.

Walhal suami pada ketika itu sedang minum bersama rakan lelaki di gerai tepi jalan berhampiran kereta dilengkapi sistem bunyi terkini, berkebetulan diberhentikan pemandu di kawasan sama.

“Semua orang nampak you dengan girl tu duduk dua orang kat Secret Recipe. Duduk kat luar lagi. Langsung tak ada segan silu! Bersembang punyalah mesra. Cuma tak bertepuk tampar saja. Makan cakes three pieces lagi, satu tu kira share la ya? Siapa dia tu? Pesaing I? Tak payah nak bagi seribu alasan!,” tanya teman wanita dalam kesamaran lalu menoktahkan perbualan.

Walhal wanita dimaksudkan, isteri sahabat sedang di bilik air.

“Habis? You ingat I ni buta? Kereta tu siap berhenti depan rumah hantar you balik kerja semalam. Semua jiran nampak la. Berani you ya? Ingat tau, I ni laki you, bukan lelaki dayus kutip tepi jalan!,” marah suami kepada isteri.

Walhal lelaki itu suami kawan sepejabat isteri berkebetulan ingin mengunjungi saudara mara tinggal berhampiran rumah.

Jutaan kejadian lain menimbulkan persoalan berlaku dalam kehidupan seharian. Pentingnya ada pihak perlu memberikan penjelasan manakala pihak satu lagi bertindak mendengar sebelum membuat keputusan terburu-buru.

Malang, ketika jiwa dibelenggu emosi dan kemarahan teramat, sering mata, telinga dan hati, buta, tuli dan tertutup.

Selasa, Oktober 07, 2008

Pengemis Kaya

[ RM500 sehari? ]

Tahniah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, JKM Negeri Sembilan kerana berjaya memberkas ‘pengemis kaya’, semoga dapat membuka mata masyarakat keseluruhannya.

Menurut laporan akhbar, pasukan diketui pengarahnya, Mizan Maulud antaranya memberkas wanita berusia 64 tahun memiliki wang tunai RM9,786 di tangan manakala setelah diperiksa di dalam akaun banknya tersimpan wang berjumlah RM15,000.

Seremban dilaporkan menjadi lubuk rezeki lebih 100 pengemis tempatan dan asing dari Myanmar, Thailand dan China. Pendapatan harian mereka antara RM300 dan RM500.

Tetapi saya percaya lambakan pengemis bukan sahaja berlaku di Seremban, malahan di pekan, bandar maupun bandaraya di seluruh negara.

Isnin, Oktober 06, 2008

Dosa Sesama Manusia

Bukan mudah memaafkan manusia melakukan kesalahan kepada kita. Khususnya individu atau mereka pernah cuba menjual maruah kita diiringi hasad dan dengki demi kepentingan diri. Apatah lagi jika golongan sama tidak kepingin memohon maaf atas kesilapan dilakukan.

Justeru, jangan khuatir atau gentar meminta maaf atas kesilapan lalu selagi kita masih bernafas.

Menurut pakar motivasi, Datuk Dr Fadzilah Kamsah ..

“Bila minta maaf jangan hanya dari mulut, kena dari hati, dari kalbu. Bukan sekadar cakap, maaf ya, kira kosong kosong lah”

“Kalau orang tu minta maaf dari hati, waktu bersalam tu boleh terasa ‘gegaran’ nya,” tambah beliau lagi.

“Saya dengan Datuk, kalau Datuk buat silap, lepas tu saja, saya dah maafkan,” gurau saya sewaktu menemubual beliau dalam rancangan Malaysia Hari Ini pagi tadi.

Maafkan orang lain secepat mungkin agar mereka tidak azab di alam barzah. Ketahuilah, dosa sesama manusia hanya manusia mampu memaafkan.

Ahad, Oktober 05, 2008

Bukan Semua Orang Suka Kita

Bukan semua orang suka kita maupun perkara kita lakukan.

Kenyataan itu dikongsi ramai manusia berlatar belakang berbeza di seluruh negara malahan dunia.

Ringkasnya, golongan membenci akan terus membenci sehingga dibukakan pintu hati untuk menyayangi. Manakala mereka menyayangi akan berterusan sehingga mereka membuat keputusan bertindak sebaliknya.

Sebab itulah, ada kawan menjadi lawan, ada lawan menjadi kawan kerana manusia boleh berubah bagai pantai. Bezanya pantai berubah struktur, manusia berubah pemikiran sekaligus tindakan susulan.

Bagaimanapun selagi bilangan mereka menyayangi jauh lebih ramai berbanding mereka membenci, itu sudah mencukupi membenarkan kita hidup di dunia sementara ini secara aman menarik nafas lega.

Justeru jika ada rakan datang menghampiri lalu berbisik ..

“Aku tak suka dia”

Bisikkan kembali ke telinganya secara jelas ..

“Oh ya? Tak apa. Bukan semua orang suka dengan saya macam itu juga dengan awak”

Faham?

Alangkah Baiknya

[ Pelik tetapi sedar ]

Penunggang motosikal memakai dan mengikat topi keledar secara sempurna berkebarangkalian 60% lebih selamat jika terbabit dalam kemalangan jalanraya. Bagaimanapun majoriti mereka memandang remeh hal itu. Justeru tidak hairanlah, ‘carta’ tertinggi bilangan korban kemalangan jalanraya di musim perayaan ‘dijuarai’ golongan sama.

Gambar dirakam di pekan Tampin, Negeri Sembilan ini memberikan senario berbeza. Lelaki Cina tua pengutip barangan lusuh ini kelihatan lebih faham bahana dan kesan kemalangan walaupun dia hanya menunggang basikal buruk.

Alangkah baik jika semua penunggang motosikal mengikut amalannya ..

Sabtu, Oktober 04, 2008

Menahan Kesakitan Teramat

[ nyawa-nyawa ikan ]

5.30 petang tadi sewaktu melintasi Jalan Pokok Tanjung, Kampung Londang, 2 kilometer dari Masjid Tanah, Melaka tragedi saya saksikan. Penunggang dan pembonceng motosikal berusia lingkungan belasan tahun tercampak ke tepi jalan akibat berlanggar dengan kereta Toyota Vios hitam.

“Kereta besar tu la bawa laju sangat!”

Jerit penunggang motosikal sambil mengerang terbaring di atas tanah dikerumuni orang ramai. Kaki kiri remaja itu patah, mulutnya berdarah.

Rakannya terdampar berhampiran, nyawa-nyawa ikan patah bahu. Dua topi keledar mereka pakai pecah.

Tiba-tiba muncul lelaki berbaju putih tidak dikenali lalu menjerit ..

“Tu la engkau bawa moto laju, padan muka!”

Dia kemudian berlalu.

Kedua mangsa kemudian dibawa kehospital kenderaan terbabit dalam kemalangan itu. Saya harap mereka selamat biarpun terpaksa merana menahan kesakitan teramat.

Bagai Melepaskan Anjing Tersepit

Tragedi tongkang karam jam 7 pagi 30 September lalu setakat ini mengorbankan 14 nyawa, tiga mangsa dilaporkan masih hilang. Kesemua penumpang, pendatang tanpa izin warga Indonesia, lelaki, wanita dan kanak-kanak.

Mendengar cara mereka bercakap sewaktu ditemubual dalam Buletin Utama TV3, ramai sedar gaya bahasa mereka hampir sama dengan cara percakapan rakyat tempatan.

“Cakap pun dah sama dengan orang Malaysia. Berapa lama agaknya dia orang dah tinggal secara haram di negara kita?,” antara soalan dikemukan beberapa penonton saya temui.

Laporan terbaru, dua daripada 18 mangsa terselamat dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor berjaya melarikan diri. Mungkin mereka bercadang terus bermaustautin di negara ini. Ringkasnya, usaha kita bagai melepaskan anjing tersepit, tersilap langkah menggigit diri sendiri.

Dipercayai 6 pengkalan haram beroperasi aktif di persisiran pantai negeri Selangor berfungsi menyeludup keluar masuk pendatang tanpa izin. Jika malapetaka terbabit tidak berlaku pasti kisah pengkalan haram turut senyap begitu sahaja.

Terfikir, jika penyeludupan manusia bebas berlaku apatah lagi penyeludupan barangan terlarang. Lihat sahaja peruncit majoriti warga Aceh, memasarkan rokok seludup pelbagai jenama secara angkuh dan terbuka. Malah pengkalan haram sama juga mungkin dijadikan pintu masuk penjenayah warga asing sekian lama menggugat keselamatan nyawa dan harta benda rakyat tempatan.

Jumaat, Oktober 03, 2008

Kahwin Lari

Ahmad Abdul Hamid, 46 dari Bagan Serai, Perak mendakwa anak sulungnya, Noor Fadilah, 18 ‘dilarikan’ warga Indonesia, Nasrudin Dahrom, 24 tahun pada 3 September lalu tanpa kerelaan.

Bagaimanapun, laporan akhbar Kosmo 2 September mencatatkan Noorfadilah mengaku rela mengikut bakal suaminya itu ke Desa Kesik, Lombok Timur.

Jika di Malaysia, kejadian kahwin lari dianggap perbuatan ‘taboo’, tidak disenangi keluarga dan masyarakat. Mungkin tidak di Indonesia. Menurut maklumat, pemuda Lombok berjaya melarikan gadis Malaysia dianggap wira di kampung halaman mereka, perlakuan tidak bercanggah dengan adat tempatan.

Untuk rekod, setakat ini dipercayai lebih 40 gadis Melayu tempatan ‘dilarikan’ ke Lombok.

Aidilfitri 1429H


Hisap Rokok Belum Tentu Mati

Pasangan suami isteri, Mohd Ibrahim Kader Mydin, 47 dan Rosina S M Mydin Pillay, 41 tahun terbunuh di Flat Sri Sarawak, Jalan San Peng, Kuala Lumpur semasa mendapatkan rawatan menghilangkan tabiat ketagihan merokok dan penyakit hati. Dilaporkan mereka dipukul pengamal perubatan dipercayai mengalami masalah mental secara bertalu-talu menggunakan topi keledar dan batang penyapu semasa rawatan 'pelik' itu dijalankan.

Sehubungan itu, pengamal perubatan berusia 23 tahun terbabit ditahan polis dan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, membunuh. Ketika entry ini ditulis keluarga mangsa masih berada di Hospital Kuala Lumpur.

Apabila kepercayaan karut diamalkan, bahana turut diundang.