Khamis, Julai 12, 2012

ADAKAH 4 MEI HARI TERAKHIR SAYA HIDUP?

Sebilangan mereka saya temui di lokasi berbeza sebelum ini, bertanya ...

"Selama terbabit dalam program 999, kes apakah paling menarik?"

Terus terang, bagi saya semua kes menarik dan unik  namun tidak semua mencabar. 

Melihat mayat terkujur kaku dan menulis skrip berhubung kes bunuh tidak mencabar kerana semua maklumat dibekalkan oleh pihak polis. Sebagai wartawan, saya hanya menulis fakta dan kemudian dikongsikan bersama jutaan penonton. Kes perjudian? Fakta hampir sama. Pihak berkuasa menyerbu premis, mesin dirampas, pekerja warga asing diberkas dan dalam tempoh beberapa hari saya dimaklumkan premis sama beroperasi kembali.

"Bang, saya bukan sekolah tinggi, buka ini kedai game, itu sahaja saya tahu. Kalau saya pergi lompak olang lagi susah"

Itu antara komen pemilik premis perjudian pernah menyentuh cuping telinga saya ketika berkhidmat dengan 999.

Baik, berbalik kepada kes mampu saya klasifikasikan sebagai menarik dan mencabar.

Klik di sini untuk membaca perincian kes.

Untuk pengetahuan semua pembaca, pada pagi 4 Mei 2010 itu, ketika menaip entri, klik di sini, airmata saya menitis secara tiba-tiba. Saya cuba menyembunyikan muka dan sesekali menyapu airmata ke bantal bilik hotel, berasa segan jika dilihat rakan setugas pada ketika itu, Shahnun. 

Di hati saya tercetus persoalan penting.

"Wajarkah wartawan seperti saya berusaha menyelamatkan pelacur terbabit atau hanya sekadar menulis mengenai kisah duka mereka untuk paparan televisyen dan kemudian terbang pulang ke Semenanjung?"

Tambahan pula mereka tidak kami kenali.

Pada masa sama, saya terfikir, adakah 4 Mei itu hari terakhir saya hidup di muka bumi ini? Untuk menyelamatkan 2 wanita terbabit bersama anak kecil, kami terpaksa berhadapan dengan ahli sindiket     pelacuran. 

Tidak sempat saya catatkan di entri sebelum ini, pagi itu, kenalan amat jarang menghubungi saya, menelefon.

"Kau di Tawau ka?," soalnya.

"Ya, mengapa?," tanya saya kembali.

"Heboh suda bah, kau kasi lari dua pelacur," ujarnya.

Saya kemudian memutuskan telekomunikasi. Dalam situasi genting begitu, kekadang mereka digelar kawan, belum pasti mampu berfungsi sebagai sahabat.

Mujur, pada pagi sama, Allah membukakan hati saya untuk menghubungi Pengurus Besar Jabatan Majalah dan Dokumentari TV3, Ahmad Kamaludin Zaba'ai, 55 tahun.

"Hang minta Polis Indonesia di sana dan Konsulat Muda depa ambil perempuan itu (pelacur) di bilik," ujar beliau.

Kamaludin bakal bersara dalam tempoh beberapa bulan lagi namun segala nasihat, pandangan serta ilmu beliau kongsikan bersama saya, kekal di ingatan. Kekadang cadangan beliau kedengaran mudah tetapi hasilnya memberikan kesan mendalam.

Sekadar berkongsi pandangan, kepada wartawan baru, sila rujuk pendapat mereka lebih berpengalaman sewaktu mendepani persoalan tidak mampu dijawab oleh diri sendiri.

Setelah misi pertama selesai di Tawau, selang 18 hari kemudian saya dan kru mendedahkan kes pemerdagangan orang membabitkan 12 warga Filipina di Sandakan.


Remaja berusia 10 tahun diragut daranya secara paksa dengan harga RM1,000 oleh lelaki mengelar dirinya sebagai orang dewasa. Fakta itu membuatkan semangat saya berkobar-kobar untuk menyelamatkan kumpulan terbabit, biarpun disedari, nyawa kami menjadi sandarannya.

Klik di sini.

Saya tidak berhasrat menjadi penyelamat dunia.

I am not a super hero.

Namun, fakta berhubung 2 kes paling mencabar terbabit pasti akan terus terpahat di minda saya sehingga ke akhir hayat.

Terima kasih kepada semua pegawai dan anggota pihak berkuasa sudi membantu kami mendedahkan kes itu.

6 ulasan:

  1. Saudara memiliki keberanian yang amat tinggi..Hanya ucapan tahniah yang mampu di sampaikan..Semoga saudar beroleh kebahgiaan di dunia dan akhirat....

    BalasPadam
  2. salam bang,
    sebelum nie saya fanatik berpolitik..kadang2 teguran keras abang nampak bias...tapi hakikatnya...kita manusia pandangan politik berbeza...tahniah pada abg...biar abg bukan superhero..tapi jika satu kebaikan dilakukan...bertambah satu manusia baik didunia ini..
    di doakan abg sentiasa meniti kebenaran...
    segala kebaikan abg ini...
    biar allah membalas nya..
    saya dan manusia lain hanya melihat..
    tahniah pada abg..semoga allah memlihara insan seperti abg...
    mempunyai hati yang lain dari lain...

    BalasPadam
  3. Warkah tn sungguh menyentuh hati. Wartawan juga rupanya adalah insan biasa yg punya hati dan perasaan dan tidak semata2 berkejaran mencari bahan hanya untuk secumit kemasyuran. Hanya ucapan bangga dan terima-kasih yang mampu diberi keatas usaha2 tn dari kami yang hanya mampu melihat dan mendengar tetapi tidak mampu melakukan apa2. Mendoakan tn semuga sentiasa sihat dan sejahtera didalam mengharungi tugasan murni ini.
    Salam.

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.