Khamis, Julai 05, 2012

UNCLE SEEKERS DITANGKAP UNTUK SIASATAN

Awal pagi tadi saya terbaca laporan ringkas di beberapa blog mengatakan Uncle Seekers ditahan polis.

Saya kemudian menghubungi blogger, Hazrey di Johor Bahru, Johor dan dimaklumkan pihak polis telah mengeluarkan kenyataan berhubung tangkapan terbabit.


Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, ACP Mohd Akhir Ishak, seorang lelaki dipercayai pengendali laman blog Uncleseekers.blogspot.com ditangkap kerana didakwa memfitnah Sultan melalui lamam blog.

Tangkapan dilakukan semalam pada jam 9.45 malam di Tol Senawang, Seremban, Negeri Sembilan.

Butiran tangkapan, Syed Abdullah Syed Husein atau lebih dikenali dengan gelaran Uncle Seekers, 46 tahun dan Siti Nadhirah Mohd Zain, 26 tahun. Kedua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen (8)(1)(d) Akta Rahsia Rasmi 1972, berikutan laporan dibuat pada 13 Jun 2012.

Siti Nadhirah dikatakan teman wanita Syed Abdullah.

Apapun mereka berstatus suspek dan belum didapati bersalah selagi tidak diputuskan oleh mahkamah.

Kini, wakil media cetak dan elektronik dilaporkan sedang menanti kedua suspek hadir di Mahkamah Majestrit Johor Bahru untuk pihak polis mendapatkan perintah tahanan reman.

Maaf, ruang komen TIDAK dibuka untuk entri ini kerana diklasifikasikan sebagai kes polis.