Isnin, September 30, 2013

BERAPAKAH GAJI KONSTABEL POLIS 34 TAHUN LALU?

"Saya mula menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia, PDRM pada tahun 1979 sebagai konstabel. Bertugas sebagai Polis Hutan 10 tahun, berkhidmat di Unit Pengambilan Bukit Aman, 10 tahun. Saya naik pangkat Sarjan dan menjadi Penolong Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabagt Polis Daerah (IPD) Brickfileds dan kemudian dipindahkan ke Bangsar sebagai Sarjan Aktiviti sebelum dinaikkan pangkat ke Sarjan Mejar. Saya kemudian memohon  jawatan Inspektor, berjaya dan ditugaskan di Cawangan Trafik Petaling Jaya. Kini saya Ketua Polis Balai Sea Park," ujar Gunam Resul Gunam Mohamad.


Saya menemui pegawai polis terbabit sewaktu beliau mengetuai sekatan jalanraya Ops Cantas di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, Selangor dibantu oleh 12 anggota polis dari IPD Petaling Jaya.


"Berapakah gaji tuan tatkala bertugas sebagai Konstabel?," soal saya.

"RM205 dan lebih kurang setahun setengah kemudian dinaikkan RM15. Sewaktu saya berkahwin, gaji saya lebih kurang RM300. Biarpun begitu, saya berjaya membesarkan 4 anak. Mereka kini bertugas sebagai tutor di Universiti Putra Malaysia, jurutera, jururawat dan seorang lagi masih belajar. Anak anak saya dibesarkan dengan gaji polis, biarpun pada awalnya kehidupan agak mencabar," jelas Inspektor terbabit.

Inspektor Gunam dilahirkan di Mengelembu, Perak dan berkelulusan MCE.

"Hanya polis berhati waja, memiliki heart of steel mampu bertahan?," tanya saya.

"Ya, In Sha Allah," ujar beliau.

Turut bersama di dalam sekatan  jalanraya sama, seorang lagi pegawai berhati waja,  Inspektor K. Amutha, anak kelahiran Jitra, Kedah.


"Menyertai PDRM sekaligus memberikan saya peluang dan ruang untuk berkhidmat secara langsung kepada masyarakat. Saya melihat, kerjaya sebagai pegawai dan anggota polis sebagai tugas mulia," ujar graduan lulusan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Universiti Malaya itu. 

"Sebelum menjadi Pegawai Gerakan, puan berkhidmat di mana?," soalan saya ajukan.

"Bermula pada tahun 2005 dan selama tiga tahun setengah, saya bertugas sebagai Pegawai Penyiasat kes jenayah di IPD Petaling Jaya. Tanggungjawab itu amat mencabar. Bertugas 24 jam dan jika berlaku tangkapan, antaranya saya perlu merakamkan kenyataan suspek sebelum mendapatkan perintah reman keesokkan harinya. Dalam pada itu saya juga perlu bertemu Timbalan Pendakwa Raya untuk menyerahkan kertas siasatan," terang pegawai berusia 34 tahun itu.

"Mesti penat," celah saya.

"Tentunya tetapi saya telah memilih kerjaya ini dan akan meneruskannya," jawab Inspektor Amutha.

PANJANG LIDAH MAT YO


Panjang lidah Mat Yo tetapi sayang,  tidak akalnya. Jika pembaca gemar atau jatuh hati melihat gelagat Mat Yo menjelirkan lidahnya itu, sila tulis 'suka' di ruang komen.

Apakah motif sebenarnya dia?

Mengejek?

Klik di sini.

Ahad, September 29, 2013

TNB TRANSMISSION JANGAN TIDUR BERDENGKUR


PANJANGNYA lidah ...


Saya hanya mampu tersenyum melihat telatah Mat Yo dan juga paparan akhbar Sinar Harian di atas. 

Klik di sini untuk membaca laporan lengkap disiarkan pada 30 Mei lalu.

Tatkala diperiksa, berduyun-duyun kakitangan Syarikat Bekalan Air Selangor, SYABAS, Tenaga Nasional Berhad, TNB dan penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya, MBPJ berada di lokasi.

TNB terlepas pandang kesalahan dilakukan oleh pengusaha kolam pancing itu selama 8 tahun.

Naib Presiden Hal Ehwal Korporat Tenaga Nasional Berhad, TNB, Adelina Iskandar berkata kolam memancing ikan berbayar di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor itu secara jelas melakukan dua kesalahan.

1. Membina struktur kekal di bawah kabel bervoltan tinggi.
2. Aktiviti memancing berbahaya jika terkena talian penghantaran.

Klik di sini.

Penguatkuasa MBPJ turut berkongsi informasi bersama saya sewaktu melakukan pemeriksaan di kolam sama. Kata mereka, ruang tanah di bawah kabel bervoltan tinggi hanya boleh digunakan untuk tujuan kegiatan penyemaian pokok dan dijadikan ruang parkir. Bagaimanapun kegiatan itu perlu mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Berikutan pemeriksaan dilaksanakan oleh pihak berkuasa pada 29 Mei 2013, operasi kolam memancing itu diberhentikan buat sementara.

Klik di sini.

Jam 4 petang tadi, saya melakukan tinjauan susulan ke lokasi terbabit. Berikut antara puluhan gambar saya rakamkan.


Hairan bin ajaib, sebagai tindakan susualan, penguatkuasa MBPJ hanya merobohkan atap pondok kayu didirikan secara haram di sekeliling kolam memancing, sedangkan struktur tempat pekerja mengutip bayaran masih tersergam gah?



Apapun, saya telah memaklumkan Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan MBPJ, Mohd Fauzi Maarop berhubung status kolam terbabit kembali beroperasi melalui pesanan ringkas, SMS.

Beliau telah membaca kandungan SMS itu.



Melalui pandangan mata kasar, terdapat dua pekerja di dalam struktur berbumbung di atas. Tidak dapat dipastikan samada mereka itu pekerja warga asing atau tempatan.

Apabila saya menghubungi kakitangan TNB Kota Damansara, respon saya terima mampu dijangka.  

"Laporan harus dibuat kepada TNB Transmission. Esok saya akan maklumkan kepada mereka"

Orang ramai melihat TNB sebagai TNB. Mereka tidak perlu tahu siapakah perlu bertanggungjawab membanteras kegiatan haram itu. Perlanggaran peraturan dihamparkan di hadapan mata mesti diberhentikan.

Barangkali kakitangan TNB Transmission tertidur lena dan kembali berdengkur selepas 8 tahun memejamkan mata, membiarkan kegiatan haram itu berlangsung.

Tidurlah.



Biarpun telah dipaparkan di media dan di blog ini, nampaknya AMAT sukar untuk 'membangkitkan'  sebilangan kakitangan  Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden TNB, Datuk Azman Mohd.



Saya dimaklumkan, Datuk Azman, individu bersifat tegas dalam melaksanakan tugas tetapi ternyata segeliintir kakitangan beliau kecut untuk bertegas dengan TAUKEH kolam memancing ikan itu. Hanya berani memotong bekalan eletrik jika kelompok marhaen tidak menjelaskan bil tertunggak.

Sila ambil tindakan dengan kadar segera bukan membisu.

Ada manusia lidah panjang tetapi isteri berlaku biadap di hadapan mata, lidah PANJANG itu kelu.



* ngeh

Please correct me if I  am  wrong but as it is now, I stand with my statements.

Klik di sini.


Jumaat, September 27, 2013

SAYA BUKAN BODOH! SAYA BUKAN BODOH! SAYA BUKAN BODOH!

"Saya bukan bodoh! Saya bukan bodoh! Saya bukan bodoh! Pak cik ini bodohlah pak cik! Jantan dayus! Jantan dayus! Jantan dayus!"

Ejekan bak diluahkan oleh anak kecil hingusan itu menjadi infamous di kalangan ramai rakyat mengetahui kes pertengkaran membabitkan isteri pemain bola sepak Nor Shahrul  Idlan Tallaha, Siti Aisya Adam, 24 tahun  dan pengawal keselamatan, Azman Mohd Nayan, bertugas di Subang Sky Park, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz.

Di hujung entri terdahulu, klik di sini, saya telah mencadangkan mekanisma damage control untuk dilaksanakan oleh pasangan suami isteri itu.


(Sumber Gambar : Berita Harian)

Hari ini, akhbar Berita Harian memaparkan berita Aisya telah memohon maaf kepada orang ramai berikutan kesilapan dilakukannya.

"Dengan rasa rendah diri, saya minta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas tindakan saya sehingga menimbulkan kemarahan semua pihak," ujar bekas pramugari itu.

Hemat saya, LEBIH baik jika Aisya dan suaminya, lebih dikenali dengan gelaran Mat Yo bertemu dengan Azman, 49 tahun dan memohon maaf secara peribadi. Tidak salah  jika mereka berdua kemudian memaparkan gambar bersalaman bersama pengawal keselamatan itu di facebook. Saya percaya masyarakat mampu menerima dengan baik tindakan tulus sebegitu.


"Pak cik maafkan saya, kerana menggelar pak cik bodoh dan dayus sebelum ini"

Ungkapkan ayat itu secara ikhlas. Lagi Aisya merendah diri, lebih dia dihormati.

Klik di sini untuk membaca laporan lengkap Berita Harian.

Aisya mendakwa masyarakat mengecam kebiadapannya itu kononnya tidak memahami situasi sebenar. Dia berhak untuk bersuara. Sebelum ini Aisya ternyata terlalu berani mencatatkan pelbagai kenyataan melalui status facebook miliknya.

Dia juga dipetik berkata, tidak akan menyaman pengawal keselamatan itu. Baguslah. Tindakan undang-undang berkebarangkalian besar akan lebih memburukkan lagi keadaan. Pasangan suami isteri 'terkenal' itu tidak perlu menyusahkan orang susah. Kalau saya menjadi Mat Yo, dibayar gaji RM80,000 sebulan, saya tidak akan keberatan untuk menghulurkan sedikit wang sagu hati kepada pengawal keselamatan terbabit. Tidak salah, kan? Berkongsi kemewahan bersama insan hidup sederhana. 


Dalam kes ini, saya yakin, Mat Yo juga turut berasa tertekan. Sebagai pemain bola sepak terkemuka, dia tentunya memerlukan sokongan peminat. Biarpun sokongan itu bukan dalam bentuk wang ringgit namun mampu menjadi pembakar semangatnya setiap kali beraksi. Bayangkan, jika sebaik terlihat kelibatnya di padang bola sepak, Mat Yo dikecam oleh ribuan penonton perlawanan bola sepak.

"Kami bukan bodoh! Kami bukan bodoh! Kami bukan bodoh!," jerit mereka.

Pasti dia juga akan berasa goyah dan sekaligus mengganggu prestasi permainannya.

"Pak cik, saya memohon maaf di atas kesilapan dilakukan oleh isteri saya"

Pasti ramai teringin mendengar Mat Yo mengungkapkan kenyataan di atas. Itu pun jika dia berani dan berkredibiliti. Jika dia masih menunggu tiupan wisel pengadil untuk bertindak, payah.

Kepada Selera Tajam dan pemuda Jalan 6tiada siapa berminat hendak memukul Mat Yo. Kami menghormati undang-undang. 

Menendang celah kangkang pun kami TIDAK berminat :)


Klik di sini.


ONE LAST RIDE (TERPEROSOK DI BAWAH KENDERAAN MEWAH)


One LAST ride.


Saya menerima gambar di atas, dihantar oleh sahabat, Mohd Farid Hamzah melalui WhatsApp. Berkebetulan lokasi kejadian hanya berjarak 5 minit menaiki kenderaan dari rumah. 

Mangsa, Christophe Arnaud Desages, 54 tahun, warga Perancis. Alamat tercatat di lesen memandunya, Sri Hartamas, Kuala Lumpur. Dia menunggang motosikal Royal Enfield 500 CC di Jalan PJU 3/22, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, sebelum dilanggar oleh kenderaan jenis Volvo cuba membelok ke kanan dari Jalan PJU 3/27.


Mangsa dan motosikal terperosok di bawah kereta terbabit dan maut di tempat kejadian sekitar jam  8.30 pagi tadi.


Sebelum Pegawai Penyiasat tiba di lokasi kejadian, saya perhatikan lelaki Melayu, berwajah sugul, berdiri berhampiran kenderaan terbabit dalam kemalangan itu. 

Lalu saya mendekatinya.


"Hampir setiap pagi, saya dan rakan minum bersama dia di Restoran Khalifah terletak tidak jauh dari sini. Mangsa tidak boleh berbahasa Melayu tetapi faham kalau kita mempelawa dia makan atau  minum. Selalu dia bersama isteri," ujar Zamri Abdul Rahman, 44 tahun.


Zamri berasal dari Teluk Intan, Perak.


"Setiap hari saya melalui jalan ini. Bahaya sangat. Masalahnya di simpang ini tidak ada lampu trafik dan banyak kenderaan membelok tanpa berhenti," tambahnya.

Dia berharap pihak berkuasa memasang lampu trafik di lokasi itu agar tidak banyak lagi nyawa melayang.


Saya difahamkan, saksi kejadian dan beberapa individu berada di lokasi cuma membantu Christope tatkala dia tersepit namun usaha mereka gagal.


Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, Inspektor Mohd Sufi Mohd Jalaludin memaklumkan saya, mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.


Melalui pengamatan saya, mangsa kelihatan hanya luka sedikit di dagu manakala hidungnya berdarah. Barangkali dia mengalami kecederaan dalaman di kepala akibat hentakan kuat.


Pasti berita kematiannya disambut sedih oleh ahli keluarga di Malaysia dan di Perancis. Kejadian ini sekaligus mengingatkan saya betapa mudahnya nyawa kita diragut tanpa diduga.


Kepada semua pembaca blog ini, berhati-hati sewaktu memandu. Sayangi nyawa dan keluarga anda.

Condolences to his family members as well as friends.

Saya difahamkan, mendiang, Ketua Pegawai Eksekutif  Sepang Aircraft Engineering.

   

  Klik di sini.