Seorang lelaki, 44 tahun diberitakan ditembak di dada pada jarak dekat oleh suspek bermotosikal sekitar jam 3.15 petang tadi di Nibong Tebal, Seberang Prai, Pulau Pinang. Dia kini dirawat di Hospital Seberang Jaya.
Semestinya polis sedang sibuk menyiasat kejadian jenayah itu. Ahli keluarga mangsa pasti terkejut dengan nasib menimpa lelaki itu.
Setakat ini, bangsa mangsa tidak dinyatakan dalam laporan akhbar. Namun kita semua boleh menjangka.
Bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Tan Sri Zaman Khan berpendapat, polis sukar untuk membanteras kegiatan kongsi gelap kerana orang ramai tidak mahu tampil sebagai saksi, klik di sini.
Respon kepada kenyataan itu, mudah. Saksi terpaksa menanggung karenah birokrasi dan melalui pengalaman peribadi saya, tanggungjawab itu berisiko tinggi.
Saya pernah beberapa kali tampil sebagai saksi awam kes jenayah sewaktu terbabit sebagai wartawan program diminati ramai, 999 terbitan Primeworks Studios. Kes dibicarakan, berhubung kes pemerdagangan orang di Sandakan, Sabah, bukan berkait gengsterism, klik di sini.
Pembongkaran dilakukan pada bulan Mei 2010. Pada Mac 2011, hampir setahun kes itu didedahkan, saya dan bekas penerbit 999, Shahnun Hanif Suhaimi dipanggil ke mahkamah.
Sebagai wartawan dan orang awam, kami berasa cukup cuak untuk ke Sandakan.
Untuk rujukan, pada Disember 2011, kami sekali lagi dipanggil untuk menjadi saksi awam dalam perbicaraan kes pemerdanganan orang pertama kami dedahkan di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Birokrasi saya maksudkan, mudah difahami, klik di sini.
Berbalik kepada kes di Sandakan.
Saya dan Shahnun tiba di Sandakan pada 13 Mac 2011. Antara perkara utama bermain di minda kami tatkala itu, apakah tindakan PDRM untuk menjaga keselamatan kami? Terfikir, sebelum itu kami terbabit menyelamatkan mangsa mendakwa diperdagangkan oleh suspek. Dua suspek, wanita berketurunan Filipina dan lelaki tempatan. Bagaimanakah jika kenalan atau anak buah suspek bertindak menggugat keselamatan dan nyawa kami sebelum sesi perbicaraan bermula?
Kami diarahkan untuk menghadiri 2 sesi pada 2 hari berbeza.
Tiada usaha dilakukan untuk menjamin keselamatan kami sepanjang berada di Sandakan selama 4 hari sehingga kami terpaksa memohon bantuan kenalan bertugas di agensi penguatkuasa lain.
Jika melalui pengalaman, kami tidak berasa selesa sewaktu tampil sebagai saksi awam dalam kes pemerdagangan orang, bagaimanakah pula situasinya jika orang awam lain disapina sebagai saksi kes membabitkan gengster di Malaysia?
Saya percaya, sebilangan individu berhati kering tidak berasa gentar untuk berkongsi maklumat di mahkamah tetapi usah menjadikan proses itu sebagai satu beban diiringi tekanan kepada saksi. Pihak polis harus menjaga kebajikan saksi secara lebih baik dan mempermudahkan pembabitan mereka.
Bersama, In Sha Allah, kita mampu mengurangkan kejadian jenayah di negara ini.
SMTI
BalasPadamsetuju sangat...bahaya jadi saksi..kalau berani pun,risau ahli keluarga jadi mangsa..
BalasPadam