Isnin, September 23, 2013

RESTORAN NASI KANDAR PELITA BERSTATUS HALAL DAN MILIK BUMIPUTERA


Izinkan saya mendedahkan fakta sebenar berhubung fitnah disebarkan di laman sosial mengenai Restoran Nasi Kandar Pelita.

Dalam misi mencari jawaban asal usul roti canai pada April 2013, saya bersemuka dengan dua pengarah syarikat Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd, syarikat pemilik 28 cawangan restoran Nasi Kandar Pelita, Datuk Hj Shamsuri Ahmad dan Datuk K. K Sihabutheen Kirudu Mohamed.




Datuk Shamsuri juga memegang jawatan Pengerusi Eksekutif Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd. Tugasan rutin beliau, penceramah agama bebas dan amat dikenali oleh jemaah masjid di sekitar Pulau Pinang.


Selain berkunjung ke Pulau Pinang, dalam misi sama, saya ke Chennei, India, melaksanakan tugasan Majalah 3, klik di sini. Tatkala berada di negeri Tamil Nadu itu,  saya berpeluang pula bertemu dua lagi pengarah Nasi Kandar Pelita, Datuk D. Ramesh dan Uswath Khan Kirudu Mohamed.



Uswath, 44  tahun dan abangnya, Datuk Sihabutheen berketurunan India Muslim atau lebih dikenali sebagai mamak di Malaysia.

"Uswath, beberapa cerita negatif disebarkan di facebook dan blog.  Satu daripada cerita itu mendakwa kononnya Restoran Nasi Kandar Pelita dimiliki oleh orang India. Boleh jelaskan mengenai hal ini?"

Itu soalan saya kemukakan kepada Uswath pada 18 April lalu sewaktu dia ditemui di Restoran Nasi Kandar Pelita cawangan Chennei. Bagaimanapun jawaban kepada soalan itu tidak dikongsikan di Majalah 3 kerana saya mengajukan pertanyaan itu  untuk pengetahuan peribadi sahaja bukan untuk dikongsikan bersama masyarakat umum.



"Saham Pelita Samudra Pertama dipegang oleh TUJUH  individu dengan tugasan tersendiri. Lima daripada tujuh rakan kongsi syarikat, beragama Islam manakala 2 lagi bukan Islam, termasuk Datuk Ramesh," terangnya.

Sejak bertemu, saya menganggap mereka berempat sebagai rakan, waima apapun sekali keturunan dan agama mereka anuti. Justeru rasa bersalah menghantui diri andai saya gagal memberikan pencerahan terhadap fitnah selama ini dilontarkan terhadap Restoran Nasi Kandar Pelita.



Dalam laporan  bergambar akhbar The Star pada 24 September lalu, dipaparkan nama dan gambar Datuk Ramesh bersama Presiden MIC, Datuk G. Palanivel. Gambar terbabit direkodkan sewaktu upacara pecah tanah pembinaan dewan serba guna bernilai RM4 juta berlangsung berhampiran Kuil Karumariamman di Seberang Jaya. 

Klik di sini.

Di bawah, gambar sebenar terkini lokasi upacara terbabit disempurnakan, dirakam oleh jurukamera, Amelia Shafer petang semalam.




Saya berpeluang menemu bual  Datuk Ramesh sewaktu kunjungan ke pejabat  Pelita Samudra Pertama di Taman Chai Leng, Prai.  


[ Datuk D. Ramesh bersama Mazidul ]


"Dalam gambar disiarkan oleh  akhbar  itu (The Star), saya berdiri posisi  tiga dari kiri, di kanan Datuk Palanivel," ujar Datuk Ramesh. 


"Jadi ini gambar siapa? Nama Datuk tercatat di situ?," soal saya.

Sambil  memaparkan kepada anak jati Pulau Pinang itu salinan  gambar keratan akhbar hitam putih di atas.

"Di sebelah kiri, Datuk R.A Arunasalam manakala di kanan, Ahli Dewan Undangan Negeri, L. Krishnan, saya tidak ada dalam gambar itu. Saya dijemput oleh presiden Kuil Karumariamman dan hadir di lokasi pada 23 September di atas tiket individu, bukan mewakili Restoran Nasi Kandar Pelita," jelas beliau tenang.

Tiba-tiba terlintas soalan di fikiran saya, adakah tindakan bercanggah dalam Islam JIKA rakan kongsi perniagaan beragama Hindu atau lain menyumbang untuk tujuan keagamaan? Lalu pantas saya menghubungi penceramah agama terkemuka, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, 28 tahun melalui telefon bimbit.



Tatkala itu beliau berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang untuk pulang ke Bangi, Selangor.

"Ustaz, dari aspek hukum Syarak, adakah dibenarkan individu bukan Islam menjadi rakan kongsi peniaga Islam?," soal saya.

"Saya hendak menjelaskan dari sudut ilmiah. Katalah, orang Melayu, Cina dan India membuka perniagaan, mereka berkongsi. Di manakah kita hendak kata pendapatan mereka raih itu salah? Pertama, orang keliru akan berkata sebab dia berkongsi dengan peniaga Cina. Kalau orang Cina itu membuka kedai runcit, mereka meraih pendapatan halal. Apakah masalah dia? Kecuali apabila peniaga rakan kongsi bukan Islam itu contohnya, menjual babi, arak. Andai peniaga India pula berkongsi dengan peniaga Islam membuka kedai kain, samalah. Tiada masalah perkongsian di situ. Tidak ada masalah selagi hasil perniagaan diusahakan diagihkan secara adil," jawab graduan lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir itu. 

"Bagaimanakah pula JIKA rakan kongsi niaga bukan Islam itu menyumbangkan wangnya untuk membiayai acara keagamaan dia?," satu lagi soalan saya ajukan.

"Itu tidak ada masalah, ikut suka hati dia. Kalau dia hendak menyumbang untuk tujuan pembinaan kuil sekalipun, itu hak peribadi dia, tindakan itu bukan mewakili syarikat dia menjadi rakan kongsi bersama peniaga beragama Islam," terang beliau secara teratur.

Kira-kira sejam setelah bercakap dengan Ustaz Don, saya duduk semeja bersama imam Masjid Seberang Jaya, Mohamad Ikramuddin Zaqwan Al-Hafiz, 33 tahun, di Restoran Pelita Nasi Kandar.



Ustaz lulusan Madrasah Miftahul Ulum, Taman Sri Petaling, Kuala Lumpur itu anak kelahiran Air Hitam, Kedah dan dilantik menjadi imam sejak kira-kira 4 tahun lalu.



"Apakah pandangan ustaz mengenai penggunaan ayat Al-Quran digantung di dinding restoran ini?," soal saya kepada ayah 2 anak itu.

"Mula-mula kita tengok pada asas terlebih dahulu. Apabila asas itu bersih dan  tiada keraguan halal atau haram  (subhah) maka tiada masalah. Tambahan pula, rakan kongsi restoran ini, majoriti beragama Islam," jelas anak sulung daripada 8 beradik.



Pelita Samudra Pertama (M) Sdn. Bhd, syarikat milik penuh bumiputera disahkan oleh Kementerian Kewangan.



"Kita harus membuat penyelidikan dan rujukan secara teliti sebelum mengeluarkan kenyataan berhubung sesuatu isu.  Khuatir, jika tidak benar, kenyataan kita keluarkan menjadi fitnah," kata anak sulung daripada 8 beradik itu. 



Menjelang jam 12 tengahari, sewaktu Ustaz Ikramuddin dan Pengerusi Masjid Seberang Jaya menjamu selera, Restoran Nasi Kandar Pelita mula dibanjiri oleh ratusan pelanggan pelbagai bangsa. 




Mereka sabar beratur untuk memilih pelbagai hidangan menyelerakan.




Seorang daripada pelanggan restoran saya temui, Nor Hasrul Nizam, 32 tahun, datang bersama kenalannya.



"Sebelum makan di restoran mamak, saya akan memastikan makanan disajikan halal dan restoran itu bersih. Kesihatan juga harus dijaga," ujar peniaga terbabit.



Saya kemudian secara spontan menjemput Hasrul untuk bersama meninjau dapur Restoran Nasi Kandar Pelita. Uswath mengiringi kami berdua.



Hasrul bertemu tukang masak beragama Islam, Ensarul Shaikh, 34 tahun, mula bertugas memasak pelbagai juadah sejak 10 tahun lalu.  Sebelum berkhidmat di Restoran Nasi Kandar Pelita, dia memasak juadah halal di hotel lima bintang di India.



"Kita ada 658 bahan masakan diluluskan oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)," celah Uswath sambil menunjukkan bungkusan kari halal. 



Hasrul  ternyata berpuas hati dari aspek kebersihan di restoran sama.

"Nasi Kandar Pelita amat komited memantau dan  melaksanakan  4  aspek utama, rasa makanan,  kebersihan,   servis dan   status halal makanan.   Kami memastikan  rasa makanan sentiasa konsisten, kebersihan dijaga rapi, mutu layanan terhadap pelanggan sentiasa dipantau dan sumber makanan, cara simpanan serta kaedah penyediaan, halal. Semua  cawangan  Pelita  telah mendapat sijil halal dikeluarkan oleh JAKIM pada Mei 2012," jelas Datuk Shamsuri.



Dua kali setahun syarikat konsultan, AnsarCom (M) Sdn. Bhd konsultan dilantik oleh Pelita Samudra Pertama melakukan pra-audit memastikan semua cawangan Restoran Pelita Nasi Kandar mengikut ketetapan JAKIM mengenai Pensijilan Halal.  



"AnsarCom mula beroperasi sejak tahun 2004. Tugas kami memastikan semua syarat halal JAKIM dipatuhi oleh rangkaian restoran terbabit. Kami antaranya melakukan pemeriksaan status halal stok bahan masakan dan memeriksa kebersihan dapur restoran. Kami mendapati syarikat pengurusan Restoran Nasi Kandar Pelita amat komited mematuhi prosedur Pensijilan Halal JAKIM," ujar Pengarah Eksekutif AnsarCom, Ramlah Hamad.  

Sila klik di sini untuk membaca pandangan dan fakta dikemukakan oleh  AnsarCom mengenai Restoran Nasi Kandar Pelta.

AnsarCom ((M) Sdn. Bhd  (664160-W)

No 36-G, 36-1, 36-2
Jalan Putra Mahkota 7/7A
Putra Heights Subang Jaya
47650 Subang Jaya, Selangor
Tel : 03 51922185/2186/2187
Faks : 03 5192 2189

Orang ramai juga  dipersilakan untuk menghubungi JAKIM seandainya ingin membuat rujukan, 03-8886 4000.

"Ketika Restoran Nasi Kandar Pelita dibuka 19 tahun lalu, saya hanya  berusia 24 tahun. Rakan kongsi niaga saya, dua individu beragama Islam. Pertama, arwah ayah Uswath, Kirudu Mohamed Kuppaikanni atau lebih dikenali dengan nama Haji K.K, 56 tahun dan Khaliq Jamal, 42 tahun pada waktu itu. Saya menjadi juruwang, Haji K.K dan Khaliq memasak. Haji K.K mencadangkan logo lampu pelita untuk restoran kami. Pelita menyamai lampu di pasang oleh masyarakat Melayu pada malam tujuh likur di bulan Ramadan, bukan lampu seperti digunakan di kuil Hindu," terang Datuk Ramesh.



Berikut antara contoh  gambar lampu digunakan oleh penganut agama Hindu di kuil mereka, berbeza berbanding pelita menjadi  logo restoran dikunjungi ramai itu.



Di bawah lampu minyak tanah, logo  Restoran Nasi Kandar Pelita.


"Terdengar desas-desus mendakwa kononnya Nasi Kandar Pelita menggunakan 'mandaram' atau jampi serapah untuk menarik lebih ramai pelanggan datang. Komen Datuk?," soal saya.

"Tidak ada. Lazimnya orang India kalau pergi ke kuil tidak menggunakan elemen sebegitu untuk menarik pelanggan. Rakan kongsi saya beragama Islam dan saya sentiasa menjaga nama baik mereka semua kerana ini busines bersama. Berikutan status makanan halal dan perkhidmatan tulus kami tawarkan, perniagaan kami terus mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat. Terima kasih. Cuma kekadang saya berasa amat hairan apabila segelintir mendakwa gambar upacara pecah tanah dewan serba guna berhampirn  kuil September lalu itu kononnya didakwa berkait dengan kegiatan mandram dilakukan di hadapan restoran. Walhal kedua premis berada di lokasi berbeza. Lagi satu Mazidul, mustahil dan pelik sekiranya mandram dilakukan bersama Datuk Palanivel," ujar Datuk Ramesh sambil tersenyum.


Hemat saya, segelintir pesaing dalam perniagaan lazimnya sentiasa mengintai peluang untuk menjatuhkan peniaga lebih berjaya. Saya maklumkan kenyataan itu kepada Datuk Ramesh dan beberapa pengarah saya temui semalam. Lebih berjaya sesuatu perniagaan dijalankan, lumrahnya, lebih besar cabaran didepani oleh pihak pengurusan syarikat.

Menurut graduan seni bina, Datuk Sihabutheen, Restoran Nasi Kandar Pelita secara konsisten menghargai sambutan ikhlas setiap pelanggan selama restoran terbabit beroperasi. 


"Saya dan semua pengarah Pelita Samudra Pertama merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada setiap pelanggan setia kami, selama ini memberikan sokongan padu kepada Restoran Nasi Kandar Pelita. Saya juga berharap, berikutan penjelasan dan maklumat lebih tepat dikongsikan di sini, pelanggan di seluruh negara terus berkunjung ke restoran kami tanpa perasaan ragu ragu berhubung status halal  juadah kami tawarkan untuk semua. Kami juga berjanji  akan terus menawarkan perkhidmatan terbaik demi memuaskan hati pelanggan kami sanjungi," ujar beliau.

Allah maha berkuasa dan mengetahui. Lazimnya fitnah cuba disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab akhirnya didedahkan kepalsuannya.

Alhamdulillah.



Selamat menjamu selera tanpa was was di Restoran Nasi Kandar Pelita kepada semua pembaca budiman blog ini.

Klik di sini untuk ke facebook Nasi Kandar Pelita.

43 ulasan:

  1. Alhamdulillah.. terungkai sudah persoalan yang bermain di fikiran kita.. :)

    BalasPadam
  2. Balasan
    1. Terima kasih kembali. Sebilangan kita cenderung copy paste dakwaan biarpun belum memastikan kesahihan berita.

      Lebih baik mencari fakta.

      Padam
    2. Setuju, ramai antara kita yang suka menyebarkan "berita yg seakan benar" walaupun faktanya palsu.

      Kalau mereka tak pasti, tetap sebar dengan bgtau "betul ke berita ni? kalau salah bgtau" - tp mereka tak sedar kalau 100 orang yg baca, mungkin separuh je yg akan research, yg lg separuh sebar lagi. jadi lah berantai info yg palsu tu..

      Padam
  3. terima kasih abg mazidul atas penjelasan ini...saya tidak suka mempercayai khabar angin, cepat terpengaruh dgnnya melainkan ada bukti2 yg jelas & kukuh!

    BalasPadam
  4. Alhamdulillah, kerja kerja pencerahan ini insya allah ada ganjarannya di sisi agama. suatu iltizam bagi meredakan syak wasangka.....tabik bro

    BalasPadam
  5. Alhamdulillah, terungkai sudah kekeliruan, rasanya imej buruk dulu segaja difitnah oleh pesaing2 mereka.

    BalasPadam
  6. wahhhhhhhhhhhh pasni bleh makan kat pelita balik. yiiihaaaaaaaaa..

    BalasPadam
  7. alhamdulilah, saya antara mereka yang termakan dengan dahyah penyebaran keratan The Star tersebut. saya akan kembali minum di Pelita

    BalasPadam
  8. penerangan yg sangat berguna dan manfaat... terima kasih bro

    BalasPadam
  9. Alhamdulillah...inilah yang dinamakan mencari cerita, bukan mencari berita.

    BalasPadam
  10. terima kasih kerana memberi penjelasan yang amat memuaskan. Saya ada menonton temu bual Mazidul di Majalah 3 tempoh hari. Tetiba keluar di FB, dakwaan pemilik RNKP memberi sumbangan untuk membina kuil .. terkejut ' beruk ' jugalah. First time saya masuk restoran NK Pelita ni tika di Penang tempoh hari. Pekena roti canai je .. mujur :) Tetapi memang rasa heran .. takkan Mazidul menipu. Saya ingat seorang DATUK orang Melayu .. yang dikatakan pemilik NK Pelita di temubual oleh Mazidul. Apapun saya share juga berita di FB tu .. dgn berpesan .. kita kena sentiasa berwaspada. Alhamdulillah .. Mazidul telah membuat pencerahan berkaitan isu ini. Insha Allah saya kan share di FB.

    BalasPadam
  11. Ajaklah yang dua orang tu masuk Islam -selesai masalah. Ambil peluang untuk berdakwah kepada mereka

    BalasPadam
    Balasan
    1. Keputusan untuk memeluk agama Islam terletak di tangan individu.

      Padam
  12. Saya baru bertelagah dengan isteri . Dia kata x dpt status halal. Saya dengan penuh yakin kata En Mazidul dah buat homework masa M3 tentang roti canai tempoh dan terbukti ada sijil halal.

    Kali ni dirungkaikan lagi atas ketelusan etika kewartawanan beliau. Syabas En Mazidul atas ETIKA dan tanggungjawab.

    BalasPadam
  13. Syabas atas etika kewartawanan yg professional. Walaupun telah yakin dengan status halal semasa membuat liputan M3 tentang roti canai , dek spekulasi dan kekeliruan org ramai ... suatu inisiatif diambil utk pencerahan dan menentang khabar angin. Tahniah & Terima kasih En Mazidul

    BalasPadam
  14. Alhamdulillah, bolehlah saya masuk semula ke restoran ini tanpa was-was. Kat Sungai Dua Pulau Pinang selalu ke situ, hairan juga bagaimana restoran ini menjadi sasaran fitnah sedangkan ada lagi restoran yang patut diberi tumpuan tentang cerita seperti ini. Terima kasih Saudara Mazidul .

    BalasPadam
  15. Boleh tak saudara Mazidul tolong siasat dan sebarkan siapa sebenarnya "dajjal" yang mula dalang dalam menyebarkan fitnah jahat ini. Saya sendiri pun turut tertipu...rasa bengang sungguh

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mereka berniat menyebarkan fitnah, mempunyai objektif tertentu. Saya hanya memaparkan kebenaran.

      Padam
  16. Boleh makan 3 pinggan tanpa was-was. Walaupun banyak yang saya kurang bersetuju dengan Encik Mazidul sebelum ni, tetapi terima kasih kerana merungkai persoalan umum ini.

    P/S: Pelita Chai Leng Park le yang paling sedap. Tempat ori. :)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Yup betul.. teringat dulu zaman bujang2 selalu makan kat situ dengan member2.. alhamdulillah tahniah tuan mazidul atas pencerahan yang amat memuaskan

      Padam
  17. Pelita masakan sedap. Harga makanan berpatutan (untuk standard mamak laa). Kalau di Pulau Pinang, ada lagi yang sedap seperti Line Clear dan Nasi Kandar Beratur (malam), tetapi kalau lalu dekat dapur, memang kurang selera lah.

    Saya dah lama stop pergi Kayu Nasi Kandar. Masakan boleh diterima. Tetapi harga lauknya agak melampau. Nasi + Sotong Goreng + Kari Kosong = RM15.00

    Cadangan kepada kerajaan: Minta diadakan gred harga makanan untuk setiap kedai. Jika yang caj tinggi, kenakan cukai lebih tinggi. Jika harga lebih rendah, kurangkan nilai cukai. Minta juga ketatkan penjagaan kebersihan, tak kira untuk peniaga Melayu atau Mamak. Mungkin semua kedai makan harus ada sijil Halal.

    BalasPadam
  18. dato' shamsuri adalah bekas guru saya semasa sekolah menengah dulu. bila saya dpt tau ustaz shamsuri jd pengerusi pelita, saya langsung tak rasa ragu2 utk mkn kat situ. sbb saya yakin akan kredibiliti ustaz memantau operasi di restoran tersebut. terima kasih encik mazidul atas kupasan ini. semoga dpt mencerahkan yg kabur.

    BalasPadam
  19. 1. Saya masa muda-muda dulu suka makan di restoran asal Pelita di belakang bekas bangunan supermaket di Chye Leng Park tuh.

    2. Masa tu restoran tu belum lagi di incorporated (Sdn. Bhd) yang dipunyai oleh 100% oleh Mamak tua tetapi business partnership itu dibeli oleh India bukan Muslim dan seterusnya diconverted kepada perniagaan Sdn. Bhd.

    3. Oleh kerana majoritu pelanggan Pelita adalah orang Melayu, diikuti dengan orang Cina dan India, strategi business atau pendekatan (approach) Pelita dalam penyediaan makanan mamak dan Islamik ialah:-

    (a) Melantik Ustaz Shamsuri sebagai company chairman. Ustaz Shamsuri ini adalah bekas guru agama (ustaz) di sekolah anak saya dulu, iaitu sekolah agama kerajaan yang terkenal dengan keputusan cemerlang PMR/SPM iaitu SMKA Al-Irshad. Dia meletakkan jawatannya untuk menjadi Chairman Pelita. Tidak diketahui plak berapa 'gifted' shares yang diperolehinya. Saya dimaklumkan dulu dia ditawarkan gaji RM15K sebulan sebagai chairman yang mana jumlah itu adalah beberapa kali ganda lebih tinggi dari gaji atau pendapatannya sebagai guru berijazah Kerajaan yang mungkin empat atau lima ribu ringgit saja sebulan pada masa itu.

    (b) Ustaz Samsuri ini amat terkenal di kawasan Pulau Pinang dan utara Semenanjung (mungkin juga di Malaysia kerana beberapa kali masuk TV) sebagai seorang penceramah agama walaupun pada masa dia masih berkhidmat dengan Kerajaan sebagai guru agama sekolah menengah lagi. Pada masa lalu, apabila Ustaz Samsuri selesai memberi kuliah maghrib di Masjid Seberang Jaya, restoran Pelitalah yang membekalkan nasi bungkus kepada jemaah-jemaah.

    4. Semasa saya sedang makan di sebuah cawangan Restoran Pelita, seorang India (bukan Muslim) datang bersembang dengan saya. Dia kawan lama saya yang lebih 15 tahun tidak bersua muka. Pakai rantau emas setebal jari bayi. Dulu dia kerja sebagai Pegawai Penaksir di Income Tax, graduan Accounting. Dia memberitahu dia dah resign dari Income Tax dan dah lama dalam business Restoran Pelita. Barulah saya tahu dia adalah salah seorang major shareholder dalam Pelita datang meninjau perjalanan business Pelita.

    5. Perniagaan Pelita telah pun di diversified. Sekarang, selain business restoran, mereka telah memasuki business hartanah dsb. Tentu ada sebahagian kita pernah menginap di Hotel-hotel Pelita, hotel taraf 3 bintang. Ada bangunan hotel yang tidak maju diambil alih oleh Pelita dan dijadikan hotel mereka, termasuklah pembinaan bangunan sendiri Hotel Pelita. Bapa kepada sahabat baik anak saya semasa mereka belajar di Kolej adalah seorang shareholder satarikat hotel Pelita. Kawan anak saya itu Indian Muslim (Mamak).

    6. Untuk mengatakan Restoran Pelita itu adalah milik Bumiputera saya tidak bersetuju kerana dalam perniagaan business tricks mesti wujud walaupun Penyata Shareholding yang dikemukakan kepada pejabat Pendaftar Syarikat (ROC) setiap tahun itu menunjukkan demikian.

    7. Walaupun saya tahu actual owner Restoran Pelita tetapi saya tetap makan di situ kerana makanannya halal dan persekitarannya bersih. Lagi pun servicenya cepat dan memuaskan hati.

    BalasPadam
  20. saya pernah makan di chai leng park , tak ragu2 pun makan kat pelita. kat bayan baru memang selalu pegi dengan kawan2 termasuklah makan sahur di bulan ramadhan. Best..

    BalasPadam
  21. Makanan di kedai mamak kalau saya melihatkan para pelayan dan juga jurumasaknya. sekiranya was-was saya tak akan masuk dan makan. terima kasih mazidul dengan pendedahan ini, terungkailah sudah, tak ada was - was lagi tentang Nasi Kandar Pelita.

    BalasPadam
  22. Dekat Chennai pun ada satu cawangan Pelita. Makan kat situ lah kalau nak rasa suasana mamak Malaysia.
    Bersih. dan halal. insyaAllah.

    BalasPadam
  23. Saya dr kecil sampai besar menjadi regular customer Nasi Kandar Pelita di cawangan pertama di Taman Chai Leng...pada pendapat saya...cerita2 buruk tentang Pelita hanyalah propa untuk menjatuhkan imej Pelita kerana mmg lumrah perniagaan untuk menjatuhkan saingan..kedai makanan yg mengutamakan kebersihan..mendapat sijil halal dari Jakim...Pelita juga menutup waktu perniagaan pada setiap jumaat dr pukul 1ptg-2 ptg untuk mengerjakan solat jumaat di mana pada pendapat tiada terdapat di mana2 kedai makan berbuat begitu...

    BalasPadam
  24. Salam...En maZidul....Tahniah kerana anda mengambil berat untuk mendedahkan fakta sebenar... Bukan macam sesetengah org main hentam saja tanpa fakta..Sepatutnya pujian diberikan kepada nasi kandar Pelita kerana mengambil berat tentang kepentingan menyediakan makanan halal kepada umat islam dan kaum lain di Malaysia berbanding dengan sesetengah restoran walaupun milik penuh org islam tetapi gagal untuk mendapat sijil Halal...saya mendapat info dr Jakim untuk mendapat sijil Halal perlu menepati sistem piawaian ISO... Bahan mentah dalam ramuan perlu mendapat Halal Jakim sepenuhnya....ini terbukti bukan semua premis Nasi Kandar mahupun restoran org islam mampu memenuhi kriteria tersebut...dan Satu lagi Nasi Kandar Pelita sanggup menutup sementara premis selama 1 jam untuk memberi Laluan kepada pekerjanya untuk solat Jumaat.. Tabik dan respect kat Pengurusan Nasi Kandar Pelita sanggup mengorbankan keuntungan untuk memenuhi tuntutan Islam walaupun terdapat non muslim partner dalam pengurusan mereka... Tahniah kepada En Mazidul kerana berani membuat pendedahan berani...akhirnya Kebenaran terserlah jua... Tahniah...

    BalasPadam
  25. Saya amat besetuju dengan penjelsan diatas. Terima kasih kpd saudara mazidul dan Pelita. Saya ingin maklumkan penghargaan saya bahawa restoran PELITA di hartamas menyediakan surau yg sangat selesa di bhg atas restoran tersebut. bayangkan kawasan begotu ada juga tempat untuk solat.

    BalasPadam
  26. leganya rasa bila baca kenyataan ini sebab saya merupakan pengunjung tetap nasi kandar pelita di cyberjaya. bila dapat berita pasal yang tak baik tu rasa bersalah juga tp bila dah baca statement dari mazidul ni akhirnya lega sangat rasa... terima kasih mazidul kerana beri penjelasan....

    BalasPadam
  27. orang tua-tua ada pesan.. kalau kat kedai mamak tu takde menu daging...maka...

    BalasPadam
  28. cuba cek status nasi lemak bumbung area seafield. popular gak tu

    BalasPadam
  29. Alhamdulillah, syukur. Bersama mencerahkan fakta, membuktikan kebenaran dan berkongsi sesuatu yang benar. Baik pada diri sendiri, manfaat kepada orang lain. TQ encik mazidul..

    BalasPadam
  30. Assalamualaikum. Mohon Tuan Mazidul yang dihormati untuk mencerahkan fakta tentang isu air mineral Cxxxxs yang di keluarkan oleh syarikat Cxxx Sxxx di perak. Banyak yang dah ceritakan , namun kami sebagai peniaga mohon bantuan Tuan Mazidul. Terimakasih tuan yang banyak jasanya . Moga segala jasa baik tuan di balas ALLAH swt.

    BalasPadam
  31. Syukur tiap2 lunch kt pelita.. rasa ingin tahu sudah pun terjawab...
    http://luzonsavana.blogspot.com

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.