Selasa, September 10, 2013

ZAHID HAMIDI MEMBUATKAN AHLI KONGSI GELAP BAK CACING KEPANASAN

"Ketua gangster sekarang bukan macam dulu. Kelihatan ganas dan bertubuh besar, kebanyakkan mereka, macai," ujar anggota polis bertugas lebih 27 tahun dengan Pasukan Polis Diraja Malaysia, PDRM.

"Mereka ditahan mengikut Ordinan Darurat sebelum ini, lazimnya terbabit dalam kes apa?," soal saya.

"Antaranya, gangsterism, mereka mengutip wang perlindungan dari pusat hiburan dan menjad dalang sindiket pegedaran dadah. Manakala anak buah mereka ditugaskan menjaga parkir, menjadi bouncer dan 'menjaga' pusat pelacuran dan perjudian. Terdapat juga orang kaya menggajikan mereka sebagai pengawal keselamatan. Masalah selalunya timbul apabila satu kumpulan, 'melanggar' kawasan dijaga oleh kumpulan lain," balasnya.

Masyarakat marhaen barangkali tidak begitu menyedari mengenai kegiatan gangster kerana mereka tidak beroperasi secara terlalu terbuka. Cuma sekali sekali, kita terdengar dan membaca kes dua kumpulan gangster bergaduh kerana berebut kawasan untuk 'dijaga'. Akibatnya, sebilangan ahli kumpulan mengalami cedera parah dalam pertempuran membabitkan senjata tajam.

Klik di sini.

Pada penghujung bulan Julai tahun lalu, Seksyen 7, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor, kecoh. Dua kumpulan kongsi gelap bergaduh menggunakan senjata tajam. Saya hadir di lokasi selepas polis berjaya mengawal keadaan. Saya nukilkan secebis daripada senario kejadian di lokasi membabitkan ahli kongsi gelap itu, klik di sini.

Kita semua harus menerima hakikat, Ops Cantas Khas dilancarkan pada 17 Ogos lalu amat berkesan. Justeru, tidak hairan jika sebilangan ahli kongsi gelap cuba melarikan diri dan membolosi sempadan negara. Mereka bak cacing kepanasan, cuba bersembunyi agar tidak diberkas oleh pihak berkuasa.

BERNAMA melaporkan, 4 September lalu polis telah menangkap 4,777 individu dipercayai terbabit dalam pelbagai kes jenayah.

Tindakan Kementerian Dalam Negeri, KDN dan PDRM mengumumkan senarai nama 49 kongsi gelap berstatus aktif di media tempatan, satu langkah bijak. Kini, apabila masyarakat melihat tembok batu diconteng '04'  di tempat mereka bermastautin, secara automatik mereka mengetahui akan kewujudan kumpulan kongsi gelap di kawasan didiami.

Dua hari lalu, polis Kuala Lumpur memberkas 34 individu dipercayai ahli kongsi gelap dan merampas pelbagai jenis senjata api di Damansara Damai, klik di sini. Pasukan polis sama juga berjaya menangkap individu, ahli kumpulan 69 bergelar 'ayahanda' di Wangsa Maju dan merampas 4 pucuk pistol tiruan, klik di sini. Ketua polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad  Salleh berkata, suspek disiasat mengikut Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Pengalaman mengikuti banyak operasi sewaktu mengendalikan program 999, terbitan TV3 menunjukkan kemahiran pegawai dan anggota PDRM bukan calang-calang, majoriti mereka kelihatan tenang tetapi amat cekap mengumpulkan maklumat dan bertindak mencegah atau menangani kes jenayah. Tidak ramai antara mereka bertubuh sasa seperti tubuh pegawai polis di negara barat tetapi kemahiran mereka menangani kes jenayah sukar disangkal.


Sepengetahuan saya, selama ini, PDRM dan KDN tidak pernah mengistiharkan  perang habis-habisan untuk membanteras kegiatan dan menahan ahli kumpulan kongsi gelap di Malaysia sebesar skala Ops Cantas Khas.

Kini nama kumpulan terbabit bukan lagi taboo sekaligus menjadi sebutan masyarakat.

Biar apapun persepsi negatif dilontarkan oleh pihak tidak berpuas hati  terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, saya tetap memuji tindakan berani beliau. Tindakan selama ini tidak pernah diimplementasikan oleh Menteri Dalam Negeri terdahulu.

Jika Datuk Seri atau anak buah terbaca kandungan entri ini, saya mohon, operasi menangani kes ini dapat disegerakan.

Saya percaya, tiada pengeculian dalam tindakan undang-undang dan undang-undang sedang dilacurkan di depan mata kita semua.

Kepada pihak ingin memejamkan mata, pejamlah. Barangkali mata hati juga tertutup rapat sekali.

1 ulasan:

  1. Salam perjuangan abg Mazidul
    Harap dapat linkkan blog saya dekat blog abg
    Terima kasih.

    http://panglima-harimau.blogspot.com

    BalasPadam

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.