Isnin, September 30, 2013

BERAPAKAH GAJI KONSTABEL POLIS 34 TAHUN LALU?

"Saya mula menyertai Pasukan Polis Diraja Malaysia, PDRM pada tahun 1979 sebagai konstabel. Bertugas sebagai Polis Hutan 10 tahun, berkhidmat di Unit Pengambilan Bukit Aman, 10 tahun. Saya naik pangkat Sarjan dan menjadi Penolong Pegawai Penyiasat di Ibu Pejabagt Polis Daerah (IPD) Brickfileds dan kemudian dipindahkan ke Bangsar sebagai Sarjan Aktiviti sebelum dinaikkan pangkat ke Sarjan Mejar. Saya kemudian memohon  jawatan Inspektor, berjaya dan ditugaskan di Cawangan Trafik Petaling Jaya. Kini saya Ketua Polis Balai Sea Park," ujar Gunam Resul Gunam Mohamad.


Saya menemui pegawai polis terbabit sewaktu beliau mengetuai sekatan jalanraya Ops Cantas di Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, Selangor dibantu oleh 12 anggota polis dari IPD Petaling Jaya.


"Berapakah gaji tuan tatkala bertugas sebagai Konstabel?," soal saya.

"RM205 dan lebih kurang setahun setengah kemudian dinaikkan RM15. Sewaktu saya berkahwin, gaji saya lebih kurang RM300. Biarpun begitu, saya berjaya membesarkan 4 anak. Mereka kini bertugas sebagai tutor di Universiti Putra Malaysia, jurutera, jururawat dan seorang lagi masih belajar. Anak anak saya dibesarkan dengan gaji polis, biarpun pada awalnya kehidupan agak mencabar," jelas Inspektor terbabit.

Inspektor Gunam dilahirkan di Mengelembu, Perak dan berkelulusan MCE.

"Hanya polis berhati waja, memiliki heart of steel mampu bertahan?," tanya saya.

"Ya, In Sha Allah," ujar beliau.

Turut bersama di dalam sekatan  jalanraya sama, seorang lagi pegawai berhati waja,  Inspektor K. Amutha, anak kelahiran Jitra, Kedah.


"Menyertai PDRM sekaligus memberikan saya peluang dan ruang untuk berkhidmat secara langsung kepada masyarakat. Saya melihat, kerjaya sebagai pegawai dan anggota polis sebagai tugas mulia," ujar graduan lulusan Pentadbiran dan Keadilan Sosial, Universiti Malaya itu. 

"Sebelum menjadi Pegawai Gerakan, puan berkhidmat di mana?," soalan saya ajukan.

"Bermula pada tahun 2005 dan selama tiga tahun setengah, saya bertugas sebagai Pegawai Penyiasat kes jenayah di IPD Petaling Jaya. Tanggungjawab itu amat mencabar. Bertugas 24 jam dan jika berlaku tangkapan, antaranya saya perlu merakamkan kenyataan suspek sebelum mendapatkan perintah reman keesokkan harinya. Dalam pada itu saya juga perlu bertemu Timbalan Pendakwa Raya untuk menyerahkan kertas siasatan," terang pegawai berusia 34 tahun itu.

"Mesti penat," celah saya.

"Tentunya tetapi saya telah memilih kerjaya ini dan akan meneruskannya," jawab Inspektor Amutha.

1 ulasan:

Anda bertanggungjawab terhadap komen dicatatkan di entri ini. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu.